Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 14 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 30

Bab 30

“APA? Kau nak putuskan hubungan kita?” Fatin Adiba terjerit. Rayzal menengkurkan kepalanya. “Kau nak tinggalkan aku?” dia sudah tidak dapat mengawal emosinya. Kolar baju Rayzal dicekak kuat.
“Aku terpaksa, Fatin. Papa tentang keras hubungan kita ni.” Rayzal berdalih.
“O... baru sekarang kau takut dengan papa kau ya? Masa depan aku yang dah rosak ni macam mana? Aku hilang kerja dan kena halau keluar dari rumah disebabkan kau, tahu tak!”
“Aku dah cuba bantu kau kan? Pendahuluan untuk bilik ni siapa yang keluarkan duitnya? Aku pun sekarang ni susah, Fatin. Papa dah tahan kad kredit aku. Aku pun dah hampir kering sekarang ni. aku harap kau faham situasi aku.” Rayzal tetap dengan alasannya. “Kau kena cari kerja cepat-cepat, Fatin.”
“Kau kata nak tolong aku cari kerja!”
“Aku dah carikan kau kerja kat kafe tu, tapi kau kerja tak sampai pun sebulan dah berhenti!” hempuk Rayzal dengan marah.
“Kalau setakat kerja kat kafe, lebih baik aku balik kampung dah tolong mak aku kat warung!” Fatin Adiba menjawab.
“Ha... tulah kau! Kerja susah dan penat sikit tak nak. Sekarang kau nak salahkan ak pulak?”
Fatin Adiba mendengus. “Sudahlah, aku benci dengan kau. Kau memang jantan tak guna. Berambus!” dia menjerit kuat.
Rayzal segera beredar dari situ meninggal Fatin Adiba yang menyesali keterlanjurannya. Tidak sampai lima minit anak muda itu berlalu, pintu apartmen itu terkuak semula. Seorang gadis melangkah masuk.
“Kenapa kau menangis, Fatin?” soal teman serumahnya yang baru pulang entah dari mana.
“Sue, kau kena tolong aku. Aku dah pokai sekarang ni dan aku pula tak ada kerja. Jantan tak guna tu bukannya nak tolong aku tapi datang sebab nak putuskan hubungan dengan aku.” Dengusnya.
Suhana tersenyum sumbing.
“Jantan, Fatin! Macam tulah! Hmmm... betul ke kau desperate nak kerja ni?” Fatin Adiba segera mengangguk. “Okey, malam esok kau ikut aku jumpa bos aku. Aku tengok kau ni ada rupa juga, Fatin. Tempat kerja aku memang nak pakai orang sekarang ni.”
“Betul ke?” soalnya. Suhana tersenyum lebar.

SEKEMBALINYA mereka dari rumah Atika Ayuni, Zulaika dan Fatimah tidak segera menuju ke tempat tidur sebaliknya duduk-duduk di serambi. Angin malam menerpa masuk melalui jendela yang terbuka. Sejuk dan menyegarkan.
“Yusuf tak ada telefon ke?” soal Fatimah.
Zulaika geleng kepala. “Biarlah, mak cik. Agaknya dia dah tidur sekarang ni sebab letih memandu dari KL tadi.”
“Semua ni disebabkan oleh Fatin. Dia tu memang suka menyusahkan orang lain. Yusuf marah sangat dengan dia agaknya sampai kau pun kena tempiasnya, Ika. Maafkan mak cik. Mak cik ni tak pandai didik anak agaknya.”
Zulaika memeluk bahu ibu tirinya. “Jangan cakap macam tu, mak cik. Ni semua dugaan untuk mak cik. Bukannya senang nak jaga dan besarkan anak perempuan ni.”
“Alangkah baiknya kalau kau yang jadi anak kandung mak cik, Ika. Taklah buat mak cik sakit dada macam ni.”
Zulaika terdiam. Tangannya mencapai kerepek ubi pedas lalu disuapkan ke mulutnya. Dia juga risaukan keadaan adik tirinya itu sekarang. Entah bagaimana keadaan Fatin Adiba sejak menapak keluar dari rumah dahulu. Yusuf Hakimi pula terlalu keras. Walaupun Fatin Adiba merayu-rayu untuk berubah sikap, dia tetap dihalaunya keluar dari rumah. Hampir seminggu juga dia dan suaminya tak bertegur sapa disebabkan oleh kes itu.
“Dua minggu lepas dia ada telefon mak cik. Katanya dia menyewa sebuah bilik dengan kawan-kawan perempuan.” Tutur Fatimah.
“Baguslah kalau macam tu, mak cik. Dia kata dia dah dapat kerja ke?”
Fatimah mengeluh. “Mak cik tanya tapi dia tak jawab. Mak cik suruh dia balik kampung aje, dia tak mahu pulak.”
“Sabarlah, mak cik. Dia ada bagitau mak cik kat mana dia tinggal tak? Kalau boleh Ika nak cari dia bila balik KL nanti.”
“Puas mak cik tanya Ika, tapi dia tak nak bagi alamatnya. Entah-entah dia tinggal dengan budak lelaki tu.”
“Mustahil, mak cik. Budak tu dah balik dengan ayahnya. Dengar cerita hujung bulan depan dia nak sambung belajar di luar negara.” Tukas Zulaika. Fatimah mengeluh panjang.
“Hmmm... tengok tu! Budak lelaki tu tak rugi apa-apa tapi Fatin yang rugi sebab sebagai anak gadis dia tak pandai jaga diri!” omel Fatimah.

SUHANA menghulurkan baju yang bagaikan tak cukup kain itu pada Fatin Adiba. Dia memandangnya dengan mata tak berkelip. Walaupun dia adalah gadis yang agak liar dan sukar dikawal oleh ibunya tapi seumur hidupnya belum pernah dia mengenakan pakaian yang seksi begitu.
“Kalau kau nak kerja kat tempat tu kau kena pakai seksi-seksi macam ni. Barulah laku dengan pelanggan. Aku tengok taste kau kat dalam almari tu kekampungan sangatlah.” Galak Suhana sambil menyengih.
“Tapi aku tak biasa pakai macam ni. Nampak macam berbogel aje.”
“Ala, lama-lama nanti kau biasalah!” Suhana memujuk. “Cepatlah sikit pakai baju ni, lepas tu aku nak solekkan kau pulak. Kau kena belajar cara solekan yang betul, Fatin. Kau tu cantik sebenarnya dan akan nampak lebih menawan kalau kau tahu cara solekan yang betul.”
Fatin Adiba mencapai baju tak cukup kain yang dihulurkan padanya lalu disarungkan ke tubuh. Emm... cantik jugak aku pakai macam ni, desis hatinya sambil berpusing-pusing di depan cermin. Suhana memandangnya dengan rasa kagum. Bentuk badan Fatin Adiba boleh tahan juga. Kalau dengan rupa dan bentuk badan yang bergetah begitu pasti dia tak sukar hendak mendapat pelanggan, hatinya berkata-kata.
Selepas siap disolekkan Suhana menghulurkan pula minyak wangi jenama Chanel kepadanya untuk disemburkan ke tubuh. Harumannya penuh sebilik. Jam sembilan setengah malam itu, mereka keluar dari rumah untuk menanti teksi yang sering menjemput Suhana untuk ke tempat kerjanya.
Malam itu juga Fatin Adiba diambil bekerja oleh pengurusan kelab dangdut Mawar Merah itu. Bos barunya menyerahkan tugas pada Suhana untuk mengajar Fatin Adiba cara-cara melayan pelanggan. Bagi Fatin Adiba itu adalah satu tugas yang enteng. Pelanggan di kelab dangdut itu terdiri daripada lelaki pelbagai peringkat usia dan juga keturunan.
“Bos kagum dengan kau, Fatin. Dia kata kau cepat belajar dan pelanggan pun nampaknya sukakan kau. Katanya kalau kau kesempitan wang, kau boleh mintak advance dengan dia.” Kata Suhana sejurus sebelum waktu kerja mereka tamat di kelab dangdut itu.
dari situ bermulalah satu episod baru dalam kehidupan Fatin Adiba. Kalau dahulu dia hanya bekerja di siang hati tapi kini waktu kerjanya bermula setelah matahari terbenam. Tugasnya pula tidaklah sesusah mana, sekadar melayan pelanggan minum-minum, menyangi ataupun menari di ruang dansa. Gaji termasuk tips dari pelanggannya juga boleh tahan lumayannya.
Tak perlu belajar tinggi-tinggi untuk mengecapi kemewahan hidup, kata hatinya sambil membayangkan wajah Yusuf Hakimi yang telah menghalaunya keluar dari rumahnya bagaikan anjing kurap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan