Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 12 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 27

Bab 28

“RAY, apa yang perlu aku lakukan?” gumam Fatin Adiba sambil melentukkan kepalanya ke bahu anak muda itu. Air matanya sudah tidak mahu keluar lagi.
Rayzal membelai-belai rambutnya. “Aku tak sangka ayah sanggup buat sampai macam ni sekali. Tapi kau jangan risau, sayang, kau boleh cari kerja lain.”
“Bukan senang nak dapai kerja sekarang ni, Ray. Kalau adapun kerjanya susah dan gajinya pula murah.”
“Takpe, sayang. Aku akan cuba tanyakan pada kawan-kawan aku. Dahlah jangan risau sangat ya.” Rayzal bijak memujuk.
“Kau senanglah cakap! Kita sama-sama buat salah tapi aku kena hukum lebih teruk daripada kau.” Getus Fatin Adiba dengan geram.
Rayzal ketawa kecil.
“Siapa cakap? Aku pun kena bambu teruk-teruk tau. Sikit lagi nak kena halau keluar dari rumah.” Kata Rayzal. Dia masih ingat lagi pertelingkahan besar yang telah berlaku di antaranya dengan papanya.
“Ray, papa tak sangka kau dan Fatin melampau sampai macam ni!” jerkah papanya. “Belajar pun belum habis lagi dah gatal layan betina. Hey Ray, kalau kau dah gatal sangat nak kahwin, berhenti saja belajar kat kolej tu dan papa boleh pinangkan dia untuk dijadikan bini. Kau nak macam tu?”
Rayzal hanya membatu.
“Kau nak berhenti belajar dan kawin dengan dia?” Encik Fauzan mengulangi soalannya. Rayzal menggeleng-gelengkan kepalanya. “Habis tu, macam mana situasi kau dengan dia ni. Dulu papa bagi warning suapaya kau lupakan dia dan tumpukan balik perhatian kau pada pelajaran. Tapi nampaknya kau dah kemaruk dengan dia!”
“Pa, bagilah Ray satu lagi peluang...”
“Dulu masa kau jadikan bilik papa sebagai markas maksiat kau papa dah bagi kau dan dia peluang kedua. Tapi korang berdua tak juga serik-serik. Sekarang ni bila dah tertangkap lagi sekali kau nak papa bagi peluang sekali lagi? Apa jaminannya yang korang berdua tak buat lagi benda tu? Dahlah, Ray, papa malas nak layan kau lagi.” Serentak dengan itu papanya bergegas keluar dari rumah.
Dia menoleh wajah Fatin Adiba yang terlentuk manja. Dia tahu perbuatannya melampau. Memang wajar dia menadah kemarahan daripada papanya. Tapi dia bagaikan telah terpesona dengan kemanjaan yang dihulurkan oleh gadis itu sehingga begitu sukar untuknya mengikis wajah Fatin Adiba dari hatinya walau dipaksa oleh papanya untuk berbuat begitu.
“Ah, janganlah difikir-fikirkan sangat hal ni, sayang.” Dia cuba memujuk dengan harapan agar Fatin Adiba akan segera reda keresahannya. Matanya asyik menjeling ke arah katil yang masih bersusun kemas. Dia berhajat untuk membaringkan Fatin Adiba di atas katil itu dengan kadar segera.
“Kau cakap senanglah, Ray! Aku dahlah kehilangan kerja, hujung bulan ni pula aku kena halau keluar dari rumah. Macam mana masa depan aku nanti, hah? Takkan aku nak menapak pulang ke kampung?” Fatin Adiba tiba-tiba menjerit. Dia menolak tubuh anak muda itu jauh daripada dirinya. “Dahlah, Ray, aku nak balik. Nanti kakak tiri aku risau pulak.” Katanya. Dia melangkah ke pintu untuk meninggalkan Rayzal yang kebingungan.
Ketika dia berada beberapa langkah dari pintu, terdengar bunyi ketukan bertalu-talu dari luar. Langkah Fatin Adiba tergencat. Dia berpaling ke arah Rayzal. Mata mereka bertentangan.
“Bukak pintu ni! Kami pegawai dari jabatan agama Islam!” tetamu yang tak diundang itu menjerit.
Wajah Rayzal dan Fatin Adiba pucat lesi.

“SAMPAI bila Ika nak tunggu dia pulang?” soal Yusuf Hakimi dengan suara yang sengaja dilembutkan. Kalau diikutkan hati yang panas, suara yang terpancut keluar dari mulutnya tentu kasar. Tapi dia tak mahu dek kerana Fatin Adiba, dia mencalarkan hati Zulaika yang sensitif.
“Dahlah tu, Ika. Jom masuk tidur.” Dia memujuk lagi.
“Kalau abang dah mengantuk, abang tidurlah dulu.” Isterinya bersuara tegas. Hati Yusuf Hakimi yang terasa, semakin sakit.
“Abang tahu Ika sayangkan Si Fatin tu. Tapi janganlah seksa diri sampai macam ni. Ika tak tengok ke jam tu, sekarang ni dah pukul satu pagi tau.” Dia cuba berdiplomasi.
“Bang, Ika risaulah. Biarlah Ika tunggu dia balik kat sini, ya. Abang gi naik bilik dulu ya.” Suara isterinya kedengaran lemah.
Yusuf Hakimi sekadar geleng kepala. Dia telah bersedia untuk melangkah naik ke bilik tidurnya ketika telefon hitam yang tercatuk di ruang tamu berdering nyaring. Langkahnya terhenti. Dia menoleh sekilas ke arah isterinya dan mereka saling berpandangan.
“Biar abang angkat.” Kata Yusuf Hakimi lalu melekapkan telefon ke telinga. “Hello.”
“Suf, aku ni... Fauzan.”
“Ya, Fauzan?”
“Maaflah mengganggu kau dan Ika malam-malam buta ni...”
“Tak apa.”
“Aku nak beritahu kau ni, Ray dan Fatin kena tangkap dengan pegawai pencegah maksiat kerana berkhalwat kat bilik hotel.”
“Apa? Fatin dan Ray kena tangkap basah?” soal Yusuf Hakimi. Dia menoleh ke arah Zulaika. Entah mengapa hatinya tiba-tiba menjadi teramat marah pada isterinya. Kalau bukan Zulaika yang beria-ia mahu membantu adik tirinya yang tak bermaruah itu, pasti semua hal ini tak akan terjadi. Penat-penat aku tumpangkan dia di sini, carikan dia kerja yang elok, dia balas segala kebaikanku dengan tuba pula! Dengus hatinya.
“Bang, betul ke, bang? Betul ke Fatin dan Ray kena tangkap basah?” soal Zulaika sambil menarik leher baju T suaminya. Wajahnya pucat, ditoreh tak berdarah.
“Semua ni salah Ika! Dari dulu lagi abang tak setuju nak tolong budak tak bermaruah tu, tapi Ika desak abang. Sekarang apa yang dibalasnya pada kita?” dia menghentakkan kemarahannya membuatkan Zulaika berundur ke belakang. Air mata mula menitis di pipinya. Yusuf Hakimi menggeleng.
“Dahlah, Ika! Ika menangislah macam mana sekalipun, hal ni dah terjadi. Sekarang apa yang abang nak cakap pada mama abang bila hal ni terbongkar nanti?” dengusnya sambil mencapai kunci kereta lalu tanpa sebarang kata, melangkah keluar dari rumah meninggalkan Zulaika terkulat-kulat sendirian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan