Bab 24
ZULAIKA teringat ketika pertama kali dia menapak ke
syarikat penerbitan itu dua tahun lalu untuk menjaja manuskrip
sulungnya. Ketika itu dia masih lagi bekerja di sebuah kilang di Bandar
Sunway, pekerjaan yang dilakukannya setelah berhijrah dari kampung ke
kota. Dia sampai ke situ dengan bas di tengah-tengah terik matahari.
Kemudian terpaksa pula berjalan di celah-celah deretan kedai untuk
mencari di manakah lokasinya. Ketika itu dia haus dan juga lapar dan
berdoa agar orang yang menyambut ketibaannya nanti akan menghulurkan
segelas air untuknya.
Kalau dua tahun lalu kehadirannya tidak
dihiraukan oleh para pekerja di syarikat itu, berlainan pula dengan
ketibaannya kali ini. Mereka menyambutnya dengan mesra dan kedatangannya
dialu-alukan terutamanya oleh editornya, Syuhada.
“Apa khabar, Ika?
Lama tak jumpa?” sapa Syuhada sebaik melihatkan kemunculannya di muka
pintu. “Ada buah tangan untuk Kak Ada ke?”
“Buah tangan?” soalnya.
“Err...” dia mengeluarkan seplastik buah-buahan seperti epal, oren dan
limau yang dibelinya dalam perjalanan ke situ tadi lalu diletakkan di
atas meja Syuhada membuatkannya tergelak kecil.
“Bukan buah tangan
ni yang Kak Ada minta, Ika, Tapi manuskrip terbaru Ika. Dah dua tahun
Ika menyepi, tahu tak? Sejak dah bergelar isteri orang ni, senyap sunyi
aje. Takkan layan suami aje, dik?” Syuhada sempat mengusik.
Zulaika tergelak malu.
“O... manuskrip terbaru Ika, ya? Ika tengah usahakanlah ni kak. Kali ni
Ika nak tulis panjang-panjang sikit, tulah sebabnya Kak Ada kena
bersabar.” Sahutnya.
Syuhada tergelak. Kalau dahulu, gadis yatim
piatu dari ceruk kampung yang kemudiannya bergelar pekerja industri itu
begitu mentah, lurus dan sedikit kurang matang, tapi kini dia telah
berubah. Mungkin peningkatan usia dan pengalaman yang semakin bertambah
telah memberikan sedikit sebanyak impak pada dirinya.
“Dah pandai menjawab sekarang ni ya?” bidas Syuhada dan Zulaika hanya ketawa kecil.
“Kak, macam mana jualan untuk novel pertama Ika tu?”
“Hanya Sebuah Memori dapat sambutan yang menggalakkan. Sekarang ni dah
nak masuk ke cetakan yang keempat. Kak Ada baru aje nak suruh budak
poskan satu copy cetakan terbaru ni pada Ika. Terlanjur Ika dah datang
ni, Kak Ada bagi terus ajelah pada Ika ya.” Kata Syuhada sambil
menghulurkan sebuah novel setelah empat ratus halaman ke arahnya.
Zulaika menyambutnya dengan rasa bangga. Dia tidak menyangka novel yang
diusahakannya dengan segala susah-payah itu akhirnya mendapat sambutan
hangat daripada para pembaca. Novel itu adalah novel pertamanya. Dia
mengusahakannya kerana minat. Setelah segela susah payah itu membuahkan
hasil yang agak lumayan juga – walaupun taklah selumayan pendapatan
suaminya – dia wajar berbangga.
Kemudian Syuhada menghulurkan pula beberapa pucuk surat kepadanya. Zulaika tercengang.
“Ni surat daripada peminat-peminat Ika.” Dia segera memberitahu sambil tergelak kecil.
“Isy, tak sangka Ika ni ada peminat, kak.” Tingkah Zulaika.
“Ika, sekarang ni Ika dah terkenal tau. Walaupun orang tak lihat wajah
Ika macam penyanyi atau pelakon kat tv tu, tapi beribu-ribu orang baca
novel Ika. Mereka juga tertunggu-tunggu kemunculan novel terbaru Ika.
Jangan menyepi lama-lama, dik. Nanti orang lupakan kita.” Nasihat
Syuhada.
“Insya-Allah, kak.” Kata Zulaika dengan keazaman yang semakin berkobar-kobar.
“Eh, dah lama juga Ika kahwin kan? Belum ada tanda-tanda lagi ke?” soalan itu membuatkan kegembiraannya terhenti.
“Err... belum ada rezeki, kak.”
“Tak apalah. Ika masih lagi muda. Masih banyak masa lagi untuk bergelar
ibu. Kalau macam tu, tentu ada banyak masa nak menulis kan? Pulun
dik... jangan tak pulun! Peminat Ika tertunggu-tunggu kemunculan novel
terbaru Ika tau.” Syuhada tidak putus-putus memberikan semangat.
“Insya-Allah!” sahut Zulaika pantas.
Mereka berbual tentang beberapa perkara sebelum dia mengambil keputusan
untuk pulang ke rumahnya. Jam ketika itu menunjukkan tepat ke pukul
tiga setengah petang. Dia melangkah turun dari Syarikat Cinta Buku
Publishing untuk menunggu teksi. Ketika dia sedang menunggu teksi itulah
Yusuf Hakimi menelefonnya.
“Ika dah keluar dari syarikat tu ke?” soal suaminya.
“Ya, bang. Ika tengah tunggu teksi ni.”
“Ika tunggu kat situ ya. Lima minit lagi abang sampai.” Tingkah Yusuf
Hakimi. Zulaika gembira kerana tidak perlu menunggu teksi untuk pulang
ke rumah sebaliknya dia akan dijemput oleh suaminya sendiri.
Apabila kereta suaminya berhenti, dia terus memboloskan diri ke dalamnya. Yusuf Hakimi menyengih ke arahnya.
“Abang memang sengaja lalu kat sini.” Katanya. “Kita minum dulu. Lepas tu abang akan hantar Ika balik ke rumah.”
“Kenapa? Abang kena balik pejabat ke lepas tu?”
Yusuf Hakimi mengangguk.
“Sibuk sikitlah, sayang. Abang dah call Fatin tadi, suruh dia balik
sendiri. Malam ni abang mungkin balik lambat sikit. Ika tak payahlah
susah-susah masak ya.” Yusuf Hakimi meramas jari-jemari kanan isterinya.
“Okeylah, bang.” Sahut Zulaika.
“KENAPA, Kak Som? Kak Som macam tak sukakan dia aje?” soal Mak Intan.
“Saya tengok Ika tu baik budaknya, bersopan-santun, ringan tulang...”
“Kalau orangnya aje baik tapi sumbang nak buat apa?”
“Sumbang?”
“Aku pun teringin tengok Yusuf timang anak sendiri, Intan!” Puan Kalsom meluahkan isi hatinya.
Mak Intan geleng kepala.
“Jangan risau, Kak Som. Belum rezeki mereka agaknya. Kalau dah tiba
masanya nanti, berderet-deretlah cucu Kak Som. Nanti tak terlarat pula
nak tolong jaga.” Dia sempat mengusik.
“Saya tengok Yusuf tak kisah
pun tentang tu. Kak Som, isterinya tu masih muda lagi, masih ada
harapan. Ada orang tu sepuluh lima belas tahun kahwin pun masih gagal
nak timang anak sendiri. Asalkan mereka bahagia, sudahlah Kak Som.”
“Kau tu cakap senanglah, Intan. Aku ni yang risau, tahu tak! Aku hairan
dalam ramai-ramai perempuan kenapa budak dari ceruk kampung tu juga yang
dia pilih untuk dijadikan isteri!” Puan Kalsom mendengus.
“Bekas
kekasihnya dulu kerja pramugarikan, Kak Som?” soal Mak Intan yang pernah
melihat kelibat bekas kekasih Yusuf Hakimi sebelum dia mengambil
keputusan untuk kahwin dengan Zulaika. Puan Kalsom angguk. “Agaknya
bukan jodoh dia dengan perempuan tu. Jodoh dia dah ditetapkan dengan
Ika.”
“Dia sanggup tinggalkan Suziana anak Datin Kamariah tu
walaupun dah bercinta bertahun-tahun semata-mata gilakan budak kampung
tu!” dengusnya lagi.
“Ni yang dinamakan jodoh, Kak Som. Kata orang
tua-tua, ikan di laut asam di darat, dalam periuk bertemu juga.” Nasihat
Mak Intan.
Setelah jirannya melangkah pulang, Puan Kalsom duduk
termenung di muka pintu. Dia membayangkan wajah Zulaika dan
membandingkannya dengan Suziana, bekas kekasih Yusuf Hakimi. Dia jadi
pelik memikirkan kenapakah anak lelakinya itu sanggup memutuskan
cintanya dengan pramugari MAS itu setelah bertemu dengan Zulaika, anak
yatim piatu yang berasal dari ceruk kampung.
Pernah terlintas di
fikirannya yang perempuan kampung itu telah mengenakan ilmu guna-guna
pada Yusuf Hakimi. Dia ingat lagi cerita Yusuf Hakimi apabila ditanya
bagaimana dia boleh bertemu dengan Zulaika – menurutnya, dia singgah
makan di sebuah warung kecil yang terletak di kampung itu sewaktu
melawak tapak projek di sana. Di situlah dia pertama kali bertemu dan
melihat Zulaika. Kemudian mereka bertemu secara tidak sengaja di sebuah
gerai di Kampung Baru setelah Zulaika berhijrah ke kota dan bekerja di
sebuah kilang.
Yusuf... Yusuf! Budak yang pernah kerja warung dan kerja kilang yang kau pilih untuk dijadikan bini! Hatinya menggerutu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan