Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 11 Februari 2014

SUAMI KAMI KAHWIN LAGI





Terbakar hatinya.  Dia tidak pekak lagi.  Telinganya belum tuli lagi.  Kata-kata itu masih terngiang-ngiang  jelas di pendengarannya.    Marah dan geram menghentak-hentak hatinya.  Mendidih darahnya.  Rasa mahu tercabut nyawa daripada badan.  Bak belati tajam menghiris jantungnya.  Bagaikan dikerat-kerat badannya.  Sakit di hati bagaikan dihimpit dengan batu besar.
                Waktu dia sedang bertarung nyawa hendak melahirkan, tergamak suaminya  menikahi wanita lain.    Tidak cukup dua ditambah jadi tiga.  Tidak mustahil  jadi  empat bagi cukupkan kouta.  Tidak langsung berbincang.  Bagaikan tiada hati perut.  Kalau ikutkan hati amarahnya mahu sahaja dia menyerang suaminya.   Syifa’ Umairah mengetap bibir.  Menangis air mata darah sekalipun sudah tiada gunanya.  Suaminya sedang enak diulit mesra isteri ketiganya.  Kejamnya seorang  lelaki.  Atas alasan apa pula kali ini? 
                “Sampai hati abang!  Mai sedang sakit hendak melahirkan, abang mengenggam tangan tok kadi menikah lagi.  Mana hati abang?  Mana perginya timbang rasa seorang suami?  Mai sendirian di hospital.  Abang pula enak memeluk isteri muda! Abang memang kejam!”  jerit Syifa’ Umaira bagaikan orang hilang akal.  Anak yang baharu dilahirkan beberapa hari yang lalu menangis minta disusukan. 
                “Sabar Mai, abang kahwin ada sebabnya,” kata Amir Hudzaifa mempertahankan  perbuatannya.  Sengaja dia tidak  memberitahu isteri-isterinya.  Ummi Khadeeja tentu tidak akan membantah tetapi dia pasti Syifa’ Umaira pasti menolaknya mentah-mentah.  Itu sebab dia buat tanpa pengetahuan  mereka.  Sudah bernikah baharulah dia  boleh berbicara.
                “Sebab! Sebab! Sebab! Itu sahajalah alasan abang ya?  Tak cukupkah lagi Mai dan Kak Eja jadi isteri abang sehingga hendak menambah lagi?”  sudah hilang hormat di hati.  Lelaki kalau tidak digasak dengan persoalan bagaikan orang tiada hati dan perasaan main redah sahaja.  Dia tidak mahu dirinya dipermainkan.  Anak sudah lima tetapi masih mencari isteri baharu.  Mana boleh dia bersabar.  Hidup berdua sahajapun dia sudah tidak sabar ini sudah jadi tiga.  Dia sudah dimadukan! Mahu dia menjerit dan memaki hamun suaminya. 
                “Kalau sudah ibunya sendiri yang datang meminang abang, takkan abang hendak menolak.  Lagipun abang sudah lama kenal keluarga Siti Aminah.  Ini kisah lama Mai.  Sepatutnya abang berkahwin dengan Siti Aminah sebelum abang berkahwin dengan Mai. Tapi kami tiada jodoh ketika itu.  Akhirnya setelah dia kematian suami, ibunya sendiri datang berjumpa dengan abang, bertanya sama ada abang sudi mengahwini Siti Aminah.  Mana mungkin abang menolak?  Arwah ayahnya sudah banyak berjasa kepada abang sekeluarga,’” luah Amir Hudzaifa.
                “Abangkan boleh tolak?  Masa abang  bersama dengan kami sudah cukup terhad.  Bercampur dengan kuliah dan mengajar di sana-sini,  dari 2 minggu kini hanya tinggal 10 hari kita bersama, sebulan terpaksa dibahagi tiga.  Hanya 10 hari sahaja kita boleh berjumpa, untuk apa Mai kahwin kalau suami jarang ada di rumah?” tinggi suaranya.  Tidak mampu menahan apa yang terbuku di hati.
                “Tak sampai hati,” luah Amir Hudzaifa.
                Syifa’ Umaira ketawa berdekah-dekat, terasa geli di hati. 
                “Kalau sudah gatal! Cakap sahajalah.  Jangan bagi alasan,” jerkah Syifa’ Umaira.  Mata suaminya yang tenang dipandang dengan api kebencian. 
                “Mai! Jaga sikit tutur kata, abang masih suami Mai! Tidak pantas seorang isteri meninggikan suaranya kepada suami,”  marah Amir Hudzaifa, berasa tercabar dengan jerkahan Syifa’ Umaira bagaikan tidak menghormati dia sebagai seorang suami yang sepatutnya ditaati dan dihormati.  Bukan dia buat kerja maksiat.  Dia bernikah  secara baik-baik, mengikut kehendak syariat.  Kenapalah orang perempuan suka sangat bermain dengan emosi.  Bukan dia buat maksiat.  Dia bernikah secara halal.  Cuma lambat bagi tahu sahaja. 
                “Suami yang patut dihormati adalah suami yang tahu menghormati isterinya!”  jerit Syifa’ Umaira bagaikan orang hilang arah.  Terjerit-jerit dia melepaskan kemarahan yang semakin menebal di hati.  Sakit hati, geram dan benci bercampur baur berputat-putar dan berpusing-pusing di akal dan hati. 
                “Layan marah  awak, sampai ke subuh tak selesai!”  Amir Hudzaifa melangkah keluar dari rumah.  Tidak sanggup dia berada di situ berlama-lama dan membiar diri dihina dan dicaci oleh isteri sendiri. 
                “Abang!”  laung Syifa’ Umaira.  Dia terduduk di lantai.  Anak-anaknya seramai lima orang yang besar dan kecil turut menangis.  Semakin sayu hatinya.  Semakin  hancur jiwanya.    Keadaan
tidak boleh berubah.  Keadaan tidak akan kembali ke asal.  Perkahwinan ketiga suaminya  telahpun berlaku.  Menangis sehingga keluar air mata tujuh lautanpun tidak akan mengembalikan  suaminya.  Dia terpaksa berkongsi kasih lagi dengan wanita lain  lagi. 
                Mana madunya Ummi Khadeeja? Kenapa wanita itu membisu?  Apakah dia juga redha dengan apa yang berlaku?  Syifa Umaira menumbuk bantal kecil yang berada di pehanya.  Air mata terus mengalir, menangis nasib hidupnya yang tidak  henti-henti didera perasaannya.  Susahnya bersuaminya seorang ulama’ sudahlah  terpaksa berkongsi dengan masyarakat terpaksa pula berkongsi dengan dua orang wanita lagi. 
                Panggilan telefon yang diterima daripada suaminya tadi diterima dengan hati yang tenang.  Walaupun terkejut, namun tidak mampu berbuat apa-apa.  Ingatkan hendak minta izin  ataupun meminta pendapat, rupanya   hanya ingin memberitahu sudahpun menambah isteri lagi.  Orangnya amat dikenali, anak sahabat suaminya sendiri.  Bertuah suaminya, dapat isteri yang cantik jelita mengalahkan wanit  arab. 
                Entah bagaimana reaksi Syifa’ Umaira, mengamukkah dia?  Atau sudah matang dan dapat menerima perkahwinan baharu suami mereka?  Simpati menyinggah di hati.  Mahu sahaja dia menelefon madunya namun gusar  juga jika  amarah yang diterima.
                “Kak Eja!”  suara kasar terdengar dicuping telinga.  Terkejut  Ummi Khadeeja mendengarnya.
                “Mai?”  dia pasti itu suara madunya.  Daripada nada suara dia pasti madunya itu tengah marah, angin Laut Cina Selatan sudah merasuk atau putir beliung sudah memasuki tubuh madunya.
                “Akak tahukan Abang Amir nikah lagi?”  tangisan masih berbaki.
                “Baharu sahaja tahu, kenapa?”    Tentu madunya membantah, kalau tak tentulah tidak akan menefonnya.
                “Akak setuju?”
                “Takkan akak nak bantah?  Abang Amir sudahpun berkahwin, kendurinya minggu hadapan,”  Ummi Khadeeja sudah malas hendak melarang suamimya bernikah lagi.    Orang lelaki lagi dilarang, lagilah dia akan lakukan.  Biarlah, kalau dia rasa mampu.  Nanti dilarang kata isteri durhaka pula. Kalau hendak jadikan  4 sekalipun dia tidak mampu berbuat apa-apa.  Suaminya ketua keluarga, Talak dan ijab juga ditangannya.
                “Mai masih dalam pantang, abang sudah bernikah lagi!  Anak yang baharu lahirpun  dia  belum  lihat lagi. Hancur hati Mai, kak!” tangisan Syifa’ Umaira bergema lagi. 
                Ummi Khadeeja tidak mampu berkata apa-apa.  Segalanya sudah berlaku.  Sebagai isteri doakan sahajalah suami mereka bahagia dan mereka juga bahagia.
                “Akak dengar tak, apa Mai cakap?” jerit Syifa’ Umaira lagi.
                Ummi Khadeeja mengeluh.  Selama ini hubungannya dengan Syifa’ Umairah tidak pernah baik.  Hubungan yang ada hanya suam-suam kuku.  Panas tidak, teduhpun jarang.  Kalau berjumpa langsung tiada kemesraan.  Seorang kiri dan seorang kanan, seperti biasa.  Lebih-lebih lagi sekarang ini hidup sendiri-sendiri.  Syifa’ Umaira tidak lagi tinggal di Maahad.  Dia yang telah pulang ke rumah  orangtuanya kembali tinggal di Maahad atas permintaan suami dan seluruh penghuni maahad.  Tidak sanggup menolak.   Dialah yang terus menjaga Maahad Darul Hikmah.  Suami sudah jarang berada di Maahad lantaran kesibukan berdakwah. 
                “Redha sahajalah Mai,”  talian dimatikan.  Bukan boleh layan  dan ikut perangai meroyan madunya itu.   Sudahlah dalam pantang, nanti tidak pasal-pasal datang angin meroyan boleh gila jadinya.  Seram pula memikirkan perkara itu.  Ummi Khadeeja mengeluh.  Dia akan mendoakan suaminya menjadi manusia yang adil kepada mereka bertiga. Telus dan bertanggungjawab.
                Amir Khudzaifa mendengus kasar.   Isteri keduanya telahpun menfailkan penceraian di mahkamah.  Apa yang harus dia katakana lagi.  Keberanian isteri keduanya memang diluar jangkaan.  Tidak pernah disangka-sangkakan.  Tidak pernah terfikir diminda dan benaknya.  Sejauh itu isteri keduanya melangkah.  Syifa’ Umaira benar-benar berani mencabar kewibawaannya sebagai suami.    Sejak dahulu sehingga ke anak lima sikap dan perangai tidak pernah berubah.  Suka mengambil tindakan ikut nafsu tanpa berfikir terlebih dahulu.  Apa sahaja yang berlaku, dia akan menghadapinya sebagai seorang lelaki, khalifah, nakhoda dan suami.  Tidak mungkin dia membiarkan kapal yang telah dibina karam.  Biarlah apapun tindakan Syifa’ Umaira terhadapnya, dia tidak akan menyerah kalah. 
                Isteri pertama tidak menjadi masalah,  menerima dengan hati yang terbuka.  Langsung tidak membantah.  Dalam hati hanya ALLAH jua yang tahu.  Apa yang penting isteri-isterinya mampu berbaik sesama sendiri.  Semoga tiada dendam di hati.    Dia akan cuba memberi kasih dan sayang sama rata.  Tidak mahu sengketa. Dia ingin hidup bahagia selama-lamanya sehingga ke syurga.  Persengketaan menghancurkan bahagia.  Nanti tidak wujudlah keharmoniannya.    Ketiga-tiga akan diketemukan.  Anak-anak juga akan diberitahu.  Semoga semuanya dipermudahkan dan berjalan lancar.    Tindakan Syifa’ Umaira tidak akan meninggalkan kesan dalam kehidupannya.  Dia suami  punya hak untuk membimbing isteri-isterinya menjadi solehah dan muslimat sejati.  Kebahagian pasti milik mereka sekeluarga.



1 ulasan:

  1. Sekali suami dapat kahwin lagi.. tak mustahil dia akan tambah lagi.. Malangnya nasib si mai, kini dimadukan pula..

    BalasPadam