Bab 19
“MACAM MANA dengan tempat kerja baru, Fatin?” soal
Zulaika. Ketika itu, dia, suaminya, Fatimah, Fatin Adiba dan juga Puan
Kalsom berada di sebuah restoran untuk makan malam seperti yang
dijanjikan oleh Yusuf Hakimi.
“Okeylah... seronok!” sahut Fatin Adiba.
“Dah dapat kerja tu, kerja elok-elok. Jangan jadi macam dulu, orang dah
bagi kerja tapi pemalas. Asyik nak ponteng aje,” rungut Fatimah dengan
disambut oleh derai tawa Zulaika serta Yusuf Hakimi.
“Emak ni tak
habis-habislah!” desis Fatin Adiba sambil menjeling ke arah Puan Kalsom
yang kelihatannya lebih banyak mendengar daripada berbual.
Semua
orang termasuklah Zulaika dan suaminya nampak dengan jelas reaksi Puan
Kalsom. Dia seolah-olah terpaksa berada di situ. Tindakan Yusuf Hakimi
yang cuba berbual-bual dengannya juga disambut dengan dingin.
“Mama nak tambah air?” soal Yusuf Hakimi setelah dilihatnya air apel suam yang dipesan oleh mamanya telah habis.
Puan Kalsom geleng kepala.
“Tak payahlah!” sahutnya.
“Sikit aje makan Kak Som?” soal Fatimah pula. Dia mahu menjernihkan suasana.
“Tak ada selera.’ Sahutnya ringkas.
“Tak ada selera sebab kitorang ada ke, mak cik?” mulut Fatin Adiba yang
celupar itu terlepas kata. Zulaika dan Yusuf Hakimi segera menoleh ke
arahnya.
“Tak adalah! Kau yang fikir macam tu agaknya.” Kasar nada suara yang keluar dari bibir Puan Kalsom.
“Maafkan anak saya ni, Kak Som. Dia ni kadang-kadang memang celupar
sikit.” Tukas Fatimah sambil menepuk paha Fatin Adiba yang duduk di
sisinya.
“Tak apalah! Saya memang dah tahu perangainya macam mana.”
“Apa mak cik cakap?” melolot mata Fatin Adiba merenung wajah Puan Kalsom yang duduk di sebelah anak lelakinya.
“Saya sedar kami ni orang kampung, Kak Som. Kalau ada terlebih atau
terkurang tu maafkanlah kami berdua.” Fatimah merendah diri. Tangannya
mengutil paha anak daranya sehingga Fatin Adiba menyeringai kesakitan.
“Saya tak kisah. Bukannya dia tinggal kat rumah saya. Tapi saya nak
ingatkan kat sini, jangan pula nanti ada orang yang menyesal kerana
biarkan dia tinggal sebumbung.” Kata-kata yang diluahkan oleh Puan
Kalsom penuh bermakna. Dan makna itu jelas ditujukan pada anak
menantunya yang bagaikan terperosok di kerusi.
“Sudah-sudahlah tu,
tak baik bertekak kat depan rezeki,” Yusuf Hakimi segera menjernihkan
keadaan. “Betul ke mama tak nak tambah air lagi ni?” dia menoleh ke arah
mamanya.
“Boleh jugaklah! Kali ni aku nak minum apel ais. Panas pulaklah cuaca malam ni.” Tingkahnya dengan nada sindir.
“KENAPA dengan mak mentua kau tu, Ika? Berlagak habis!” dengus Fatin
Adiba dengan rasa kurang senang setelah selesai acara makan malam. “Kau
tahan ke dengan perangai mak mentua macam tu? Sejak dulu lagi dia tak
pernah sukakan kau kan?”
“Ala... biarlah! Dia kan orang tua. Kita kena hormat dia. Kalau bahasa dia berbisa, buat tak tahu ajelah...”
“Kau ni memang jenis perempuan yang penyabar, ya? Kalau aku agaknya dah lama perang dengan mak mentua macam tu.”
Zulaika ketawa.
“Lupakanlah pasal dia. Ni, aku nak dengar cerita kau kat tempat kerja
baru tu.” Sahutnya pantas untuk menukar topik perbualan mereka. Dia
memang tidak selesa membicarakan tentang kedinginan Puan Kalsom terhadap
dirinya.
“Hari pertama kerja, aku berkenalan dengan anak lelaki
Encik Fauzan. Handsome maut, Ika!” kata-kata yang terkeluar dari bibir
adik tirinya itu mencambah rasa kurang di hati Zulaika.
“Rayzal?” dia menyoal. Fatin Adiba pantas mengangguk.
“Kau kenal dia ke?”
“Kenal-kenal macam tu ajelah. Sesekali jumpa bila Abang Yusuf bawa aku
ke rumah Encik Fauzan kalau ada apa-apa majlis atau kenduri kendara.
Fatin, ni aku nak ingatkan kau sebagai seorang kakak, kau harus
berhati-hati dengan mana-mana lelaki yang kau jumpa di KL ni,
termasuklah Si Rayzal tu. Kau kena ingat niat kau datang kemari ialah
untuk bekerja, cari rezeki yang halal untuk diri kau, bukannya sebab nak
jumpa jantan!”
Wajah Fatin Adiba berubah dengan komen kakak tirinya yang dirasakan pedas itu.
“Kenapa dengan kau ni? Tak boleh ke aku berkawan dengan Rayzal tu? Hey, Ika... aku dengan dia baru berkenalanlah!” protesnya.
“Aku tahu tu! Tapi aku tengok kau macam dah terpikat aje dengannya?”
tukas Zulaika yang cukup tahu hubungan adik tirinya dengan anak muda
bernama Amir ketika di kampung dulu.
“Kalau aku terpikat dengan dia pun, apa salahnya?” terjah Fatin Adiba.
“Aku nak kau berjaga-jaga, Fatin. Tingkah laku kau kena jaga. Kau kena
ingat yang kau tu bawa nama Abang Yusuf di syarikat tu. Aku tak nak
nanti...”
“Argh! Menyakitkan hati aje berborak dengan kau ni!”
hentak Fatin Adiba sambil menonong meninggalkan Zulaika yang
terkulat-kulat memandang.
Sikap adik tirinya itu membuatkan hatinya
jadi tidak menentu. Dia takut kalau-kalau Fatin Adiba meneruskan tabiat
lamanya yang agak liar itu. Apatah lagi rona-rona kota Metropolitan ini
memang menjanjikan keseronokan bagi sesiapa yang dambakan keseronokan
walaupun ia hanyalah sementara atau sebuah ilusi semata. Ah... hendak
menyesal pun sudah terlambat, desis hatinya sambil berharap agar semua
yang dirisaukan itu tidak menjadi kenyataan.
“Kenapa ni, sayang?” entah bila masanya Yusuf Hakimi mendekat. Jari-jemari kanannya diramas lembut.
Dia menoleh lelaki itu dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang.
“Tak ada apa-apalah, bang.”
“Jangan nak tipu abang. Tadi abang tengok Fatin baru aje tinggalkan Ika
dengan muka monyok. Mesti Ika bertengkar dengan dia ni?” koreknya lagi.
Zulaika hanya mendiamkan diri. Matanya merenung kejauhan, pada neon yang menyinari persekitaran.
TIDAK BERAPA JAUH dari situ, Fatin Adiba melirikkan matanya ke arah
pasangan tersebut. Keromantisan mereka menjolok cemburunya. Apa lebihnya
Zulaika sehingga dia mampu menjerat kasih lelaki seperti Yusuf Hakimi?
Dan, apa kurangnya aku?
Sikap Zulaika yang seolah-olah tidak suka
dia rapat dengan anak lelaki bosnya membuatkan dia berfikir yang
bukan-bukan terhadap kakak tirinya itu. Dia menyangka yang Zulaika hanya
mahu bahagia seorang diri. Sedangkan dia hendak berkawan dengan pemuda
kacak seperti Rayzal pun tidak dibenarkan.
Argh, aku boleh berkawan
dengan siapa saja yang aku suka. Zulaika tak boleh menyekat kebebasan
aku, desis hatinya sambil menghampiri ibunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan