Bab 26
SETELAH suaminya serta Fatin Adiba berangkat ke tempat
kerja secara berasingan – Fatin Adiba terpaksa menahan teksi untuk ke
pejabatnya – dia duduk termenung di halaman rumah. Sejak adik tirinya
itu menumpang tinggal di rumah besar mereka, dia tidak lagi dicengkam
kesunyian seperti selalunya. Namun suaminya tidak dapat menyesuaikan
diri dengan kehadiran Fatin Adiba ditambah lagi dengan onar yang telah
dilakukannya bersama anak lelaki Encik Fauzan itu.
Tidak disangkanya
Fatin Adiba begitu berani. Nekad! Itulah ungkapan yang paling tepat
untuk adik tirinya itu. Dia tidak memikirkan tentang Yusuf Hakimi yang
telah membantunya mencarikan kerja di pejabat Encik Fauzan. Dia malah
langsung tidak memikirkan apa-apa termasuklah periuk nasinya sendiri
sehingga tega mengirai-ngirai maruahnya di tempat kerja.
Kenapa
Fatin Adiba sebegini rupa? Sejak di kampung halaman lagi, adik tirinya
itu sering dimanjakan oleh Mak Cik Fatimah. Apa-apa saja keinginannya
pasti akan ditunaikan. Dia ditatang bagaikan menatang minyak yang penuh.
Tapi tanpa sedar segala kasih sayang dan kemanjaan yang dicurahkan
bukannya mencorakkan lukisan yang indah pada sehelai kain putih. Yang
sebaliknya pula berlaku.
Zulaika sebenarnya risaukan nasib adik
tirinya itu. Kalau betullah dia akan diberhentikan kerja oleh Encik
Fauzan, Fatin Adiba terpaksa mencari kerja yang lain pula. Dengan
kelulusannya yang tidaklah setinggi mana, bukannya senang untuk dia
memburu kerja di kota metropolitan ini. Sedangkan mereka yang
berkelulusan universiti pun sukar hendak memperolehi pekerjaan, inikan
pula adik tirinya yang mempunyai kelulusan setakat SPM sahaja.
Keputusan Yusuf Hakimi yang bertegas mahu dia keluar dari rumah mereka
juga membuatkan Zulaika semakin bimbang. Di manakah adik tirinya itu
akan tinggal selepas ini? Kalau dia tinggal bersendirian di luar sana,
dia mungkin akan sebebas helang di angkasa. Dia cukup takut kalau-kalau
Fatin Adiba akan terus hanyut dan tidak menjumpai jalan pulang lagi!
Bagaimana hendak aku terangkan hal ni pada mak cik, desis hatinya dengan penuh kerisauan.
FATIN ADIBA tidak mampu angkat muka. Penyesalan yang bertamu bolehlah
dikatakan sebagai telah terlewat. Walau seribu kali dia menuturkan
kata-kata maaf, namun tatkala kepercayaan yang diberikan dikhianati, tak
mustahil hati lelaki itu menjadi keras seperti batu. Tiada maaf bagimu,
begitulah keputusan Encik Fauzan. Dia tidak mahu tertipu lagi dengan
sandiwara yang dipersembahkan oleh Fatin Adiba di hadapannya. Dengan
linangan air mata dia melangkah keluar dari bilik Encik Fauzan.
“Kenapa kau kena berhenti 24 jam, Fatin? Apa yang kau dah buat sampai
Encik Fauzan marah sangat dengan kau?” soalan teman sekerjanya, Saerah,
tidak mendapat jawapan daripadanya.
Setelah mengemaskan
barang-barangnya, dia melangkah meninggalkan ruang pejabat itu tanpa
peduli untuk mengucapkan selamat tinggal.
ONAR yang dicipta
oleh Fatin Adiba betul-betul membuatkan Yusuf Hakimi bengang. Untuk
pertama kali dalam sejarah perkahwinannya perselisihan faham telah
berlaku di antaranya dengan Zulaika. Walaupun kecil namun impaknya tetap
terasa.
Pagi tadi isterinya tidak mengejutkannya untuk
bersembahyang Subuh seperti kebiasaannya. Dia kesiangan tapi masih dapat
mengerjakan Subuh gajah. Di meja makan pula Zulaika kelihatan dingin
dan tidak sehangat selalu. Mujurlah Nescafe yang disediakannya tetap
hangat seperti biasa.
“Kenapa ni, Ika? Muncung aje?” soalnya ketika wanita itu menghantarnya ke muka pintu.
“Tak ada apa-apalah!”
“Ika marahkan abang ya?” soalnya.
“Taklah!”
“Abang tahu Ika marahkan abang. Tak ada faedahnya kita bergaduh disebabkan oleh adik tiri Ika yang tak bermaruah tu!”
“Abang!” tanpa diduganya Zulaika mengherdiknya. Rupa-rupanya wanita
yang selama ini tak pernah meninggikan suara di hadapannya itu tega
mengherdiknya gara-gara Fatin Adiba. “Maafkan Ika, bang, tapi kata-kata
abang tadi betul-betul dah menyakitkan hati Ika. Abang tak patut cakap
macam tu terhadap Fatin.”
“Habis abang nak cakap macam mana? Cuba
Ika terangkan apa kata-kata yang sesuai untuk dihamburkan terhadap
perempuan seperti Fatin tu?”
Zulaika menundukkan wajahnya.
“Dahlah, bang. Kalau abang nak pergi kerja, pergilah. Jangan cemarkan
pagi abang macam ni.” Dan tanpa sepatah kata Zulaika berpaling lalu
meninggalkannya terkulat-kulat di tepi keretanya.
Dia sudah nekad.
Walaupun mendapat tentangan hebat daripada isterinya, Fatin Adiba tetap
akan melangkah keluar dari rumah mereka hujung bulan itu.
Matanya
melekap pada lukisan di dinding – lukisan yang pernah direject oleh
isterinya. Untuk seketika masalah yang dicipta oleh Fatin Adiba bagaikan
hilang ditelan oleh kedamaian yang dipaparkan dek lukisan tersebut.
Sejuk mata memandang. Sesungguhnya imaginasi seorang pelukis bisa
memberikan impak yang mendalam pada orang yang tahu menghargainya.
Patutlah ada orang sanggup menghabiskan wang ringgit yang banyak sekadar
untuk memiliki sebuah hasil seni yang diminati oleh mereka.
Deringan telefon di mejanya mengganggu konsentrasi terhadap lukisan di
dinding juga wajah pelukisnya yang tiba-tiba bermain-main di mata. Dia
segera memekapkan telefon itu ke telinga. Encik Fauzan yang menelefon
untuk memberitahunya bahawa dia telah memberikan notis berhenti kerja
serta-merta pada Fatin Adiba.
“Aku terpaksa lakukannya, Suf. Aku harap kau dan Ika tak marah.” Kata lelaki itu.
“Tak, aku tak salahkan kau, Fauzan. Kadangkala ketegasan memang perlu. Aku harap dia akan dapat pengajarannya.”
“Okeylah, Yusuf. Aku telefon kau ni sebab tu aje.” Sahut Encik Fauzan pantas.
“Okeylah, Fauzan. Bye.” Tingkahnya sambil terus meletakkan telefon ke gagangnya semula.
Dia menoleh jam di lengannya. Jarum jam menunjukkan tepat ke pukul satu
tengah hari. Dia mencapai kunci keretanya lalu melangkah keluar dari
biliknya.
Setengah jam kemudian dia sedang melangkah ke sebuah
galeri lukisan. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu ke sana. Tetapi
kalau sebuah lukisan di dinding pejabatnya mampu memberikan secebis
ketenangan di jiwa, mungkin dia perlu memiliki sebuah dua lukisan lagi.
Ruang galeri itu lengang. Walaupun pintunya dibiarkan tidak berkunci,
tapi tiada seorang manusia pun kelihatan di situ. Mungkin pemiliknya ke
bilik air, getus hatinya sambil memerhatikan deretan lukisan yang
dipamerkan.
Dia berdiri dalam kekaguman. Sesungguhnya pelukis
tersebut adalah seorang pelukis yang berbakat besar. Kalau seorang
penulis mencurahkan segala isi hatinya dalam bentuk penulisan, pelukis
ini pula mencurahkannya melalui lakaran, lorekan dan padanan warnanya
yang berwarna-warni. Isterinya adalah seorang penulis, tapi dia tak
pernah menghayati hasil kerjanya kerana kurang minat membaca novel. Dia
lebih cenderung membaca buku-buku motivasi. Sebaliknya dia lebih mudah
menghayati hasil seni yang dipamerkan di dinding galeri itu sekarang.
“Ehem!” bunyi deheman itu membuatkan dia berpaling. Intan Juliana tersenyum manis ke arahnya. “Dah lama sampai?”
“Adalah dalam lima minit. You ke mana?”
“Bilik air, natures call.” Intan Juliana menyengih.
Yusuf Hakimi geleng kepala. “Kalau iya pun janganlah biarkan pintu galeri tak berkunci macam tu!” marahnya.
“Concern jugak you pada I ya!” desisnya.
“Orang perempuan memang selalu macam ni, cuai!” tingkah Yusuf Hakimi.
Intan Juliana tergelak kecil. Dia tidak marah dengan komen yang baru
saja dilemparkan oleh lelaki itu. Sekurang-kurangnya dia tahu bahawa
Yusuf Hakimi mengambil berat terhadap dirinya, ambil kisah tentang
keselamatannya. Sesungguhnya lelaki itu adalah seorang lelaki yang baik,
pujinya dalam hati. Dan perempuan yang menjadi isterinya sungguh
beruntung.
“Jangan risau. Buat masa sekarang I masih selamat.” Luah
Intan Juliana membuatkan Yusuf Hakimi hanya mampu menggeleng. “Hmm...
apa tujuan you datang ke galeri I tengah hari ni, Suf?”
“Nak tengok lukisan.”
Intan Juliana ketawa. “Sejak bila you berminat dengan lukisan pulak ni?”
“Dah lama minat. Cuma tak minat nak beli aje sebab harganya mahal.”
“Jangan ingat I nak bagi you lukisan percuma lagi tau. Lukisan yang
dulu tu pun I buat khas untuk Ika.” Sahut Intan Juliana pantas. Yusuf
Hakimi tergelak.
“Taklah! You ingat I ni sengkek sangat ke, asyik nak benda free aje?” balasnya.
“Manalah tau...”
“Hey, kawan... tengok koceklah.” Sahut Yusuf Hakimi. Intan Juliana
menghampirinya dan cuba menyelukkan tangan ke dalam kocek seluarnya
membuatkan Yusuf Hakimi bertindak pantas dengan memegang pergelangan
tangannya.
Mata mereka bertentangan. Yusuf Hakimi menggelengkan kepalanya. Intan Juliana tersenyum lebar.
“You tak nak lepaskan tangan I ke?” soal si gadis membuatkan Yusuf Hakimi segera tersedar.
“Sorry.” Tukasnya sambil melepaskan tangan si gadis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan