Bab 34
KE MANAKAH perginya kehangatan asmara yang pernah
terjalin di antara Yusuf dan Zulaika? Ke manakah menghilangnya cinta
yang dulunya menggebu-gebu di antara mereka berdua?
Dia sudah tak
mampu menanggung bebanan perasaan itu lagi. Walau apapun natijahnya, dia
harus bersemuka dengan suaminya. Apabila difikir-fikirkan semula, rasa
kesal menghentam lumat tangkai hati – kesal kerana ‘membawa’ Fatin Adiba
ke rumah itu dahulu walaupun dia cukup tahu yang suaminya tak pernah
menyenangi adik tirinya itu. Tapi, seperti biasa rasa kesal hanya datang
kemudian. Tak guna dia asyik menyalah-nyalah dirinya sendiri sedangkan
suaminya semakin menjauh dari dirinya.
Dia telah bertekad malam itu
dia akan bersemuka dengan Yusuf Hakimi. Dia ingin menjernihkan semula
hubungan di antara mereka berdua. Takkanlah lelaki itu begitu kejam
untuk menyeksanya sebegini lama?
Cukup lama dia menunggu namun
suaminya tak pulang-pulang juga. Kalau dulu suaminya jarang pulang lewat
ke rumah, tapi kini kelewatan itu seolah-olah telah menjadi rutin
hariannya. Kalau dulu tiap kali pulang lewat, Yusuf Hakimi pasti akan
memaklumkan padanya terlebih dahulu, tapi kini telefon yang tercatuk di
ruang tamu seolah-olah segan hendak berbunyi. Malah, hendak menghantar
mesej ke telefon bimbitnya pun Yusuf Hakimi langsung tak peduli!
Dunianya yang sepi, kini semakin sunyi. Dia perlukan suaminya di sisi.
Di saat-saat kesunyian mencengkam hebat, keinginan untuk ditemani oleh
seorang bayi semakin menjadi-jadi. Mungkinkah ketiadaan cahayamata dalam
rumah tangga mereka menjadi faktor kenapa Yusuf Hakimi semakin
menjauhkan diri darinya?
Semasa dia sedang leka membilang
angan-angan, telefon di ruang tamu tiba-tiba berdering. Terkejut beruk
dia dibuatnya. Dia segera mengangkat telefon lalu memekapkannya ke
telinga.
“Assalamualaikum.” Lembut suaranya memberi salam.
“Waalaikumussalam.” Atika Ayuni menyahut di hujung talian. “Kau buat apa
tu, Ika? Belum tidur lagi?” soalnya yang mengambil keputusan untuk
menelefon Zulaika setelah terkebil-kebil kerana tak dapat melelapkan
matanya.
“Belum.” Sahut Zulaika.
“Eh, orang yang dah kahwin pun
lambat tidur ya? Selalunya malam-malam Jumaat macam ni, pasangan suami
isteri masuk kamar tidur awal sikit!” Atika Ayuni mengusik.
“Tak semestinya...”
“Apa maksud Ika? Suara Ika ni macam orang sedang bersedih je?”
“Tak adalah, Ayu. Jangan buat andaian yang bukan-bukan. Tak semestinya
bila tiba malam Jumaat je suami isteri akan bersama. Malam-malam lain
kan ada!”
“Tapi orang kata malam Jumaat malam yang istimewa bagi pasangan suami isteri.”
“Isy, Ayu ni... bercakap melebihkan orang yang dah kahwin!” tempelak
Zulaika. Atika Ayuni mengilai di hujung talian. “Ha, dah start nak
mengilai pulak malam-malam Jumaat ni. Ika dengar pun naik meremang bulu
tengkuk.”
“Aleh, Abang Yusuf ada kat sebelah takkan seram juga kut?” desis Atika Ayuni.
“Dia tak ada, belum balik lagi.”
“Huh, dah dekat nak pukul dua belas tengah malam pun suami kau belum balik-balik, Ika? Selalu ke Abang Yusuf balik lambat?”
“Entahlah, Ayu. Dia ada kerja agaknya.”
“Dia tak call?” Atika Ayuni menunggu beberapa ketika. Apabila Zulaika
masih mendiamkan diri dia bertanya lagi, “selalu ke dia balik lambat
macam ni Ika?”
“Dulu dia tak pernah macam ni, Ayu. Kalau ada kerja
sekalipun dia pasti akan call ke rumah ataupun hantar SMS beritahu Ika
yang dia lambat balik. Tapi sejak akhir-akhir ni... Entahlah Ayu, Ika
rasa Abang Yusuf masih marahkan Ika sebab hal Si Fatin dulu tu!”
Atika Ayuni mengeluh.
“Betul ke sebab Fatin buat hal dia berubah sikap? Ataupun sebenarnya ada hal lain yang buat dia jadi macam tu?”
“Apa maksud Ayu?”
Atika Ayuni mengeluh lagi. “Ika tak terfikir ke kewujudan orang ketiga dalam rumah tangga Ika?”
“Ika tak fahamlah, cuba Ayu berterus terang dengan Ika.”
“Ayu tak tahulah sama ada nak beritahu Ika hal ni ataupun tak...”
“Dah terlanjur tu, cakap ajelah Ayu. Insya-Allah Ika dapat terima apa
aje yang mendatang. Apa sebenarnya yang Ayu nak bagitau Ika ni?”
desaknya.
“Macam ni, Ika, dua hari lepas Ayu ada jumpa Abang Taufik.
Dia kata suami kau sekarang ni kelihatan rapat sangat dengan sorang
pompuan bernama Intan Juliana. Abang Taufik syak yang mereka berdua ada
hubungan intim. Bila Abang Taufik persoalkan hubungan mereka yang nampak
mesra tu, suami kau marah dan nafikannya. Dia kata dia dengan pompuan
tu hanya kawan. Dia kesian dengan pompuan tu yang baru aje kematian
ibunya. Entahlah Ika... Ayu pun sebenarnya dah langgar janji Ayu pada
Abang Taufik supaya rahsiakan hal ni daripada pengetahuan kau.”
Jantung Zulaika bagaikan hendak gugur. Dia cuba menahan air mata yang
hendak melurut keluar dari takungannya. Dia malu kalau esakannya kelak
didengari oleh Atika Ayuni.
“Ika... kau okey ke?”
“Emm... Ika
okey. Ayu janganlah risau. Err... Ika dengar macam bunyi enjin kereta
masuk tu, agaknya Abang Yusuf dah balik. Ika minta diri dulu ya, Ayu.
Assalamualaikum.” Dan tanpa menunggu salamnya disahut, dia terus
meletakkan telefon ke gagangnya.
Yusuf Hakimi melangkah masuk dan
terkejut melihat Zulaika sedang duduk sendirian di ruang tamu. Pandangan
mereka berlaga. Dia cuba tersenyum pada isterinya tapi senyuman yang
dibuat-buat nyata hambar dan hilang serinya.
“Ika tak tidur lagi?”
“Belum, Ika tak dapat tidur. Abang dari mana sebenarnya ni?”
“Abang jumpa kawan...”
“Jumpa kawan? Selalunya kalau abang balik lambat atau jumpa kawan
sekalipun, abang tak pernah lupa untuk beritahu Ika. Kenapa sekarang ni
abang dah berubah?”
“Ya, abang tahu abang salah sebab tak inform Ika
yang abang nak balik lambat malam ni, macam juga Ika yang sanggup
menipu abang untuk jumpa dengan adik tiri Ika yang tak bermaruah tu!”
hentak Yusuf Hakimi dengan nada kasar.
“Isy, abang ni! Sejak bila
abang belajar berdendam dengan isteri abang sendiri? Berapa puluh kali
abang nak Ika minta maaf dengan abang? Atau abang nak Ika sujud di kaki
abang baru abang nak maafkan kesalahan Ika tu?” tempelak Zulaika. “Okey,
kalau itu yang abang mahukan Ika boleh sujud di kaki abang sekarang!”
dengan air mata yang bercucuran di pipi dia merebahkan badannya, hendak
mencium kaki suaminya. Yusuf Hakimi terkejut lalu segera berundur ke
belakang.
“Ika!” desis Yusuf Hakimi. Dia menjauhkan dirinya daripada Zulaika lalu berdiri di tepi tingkap.
Tika itu tangisan Zulaika sudah memenuhi ruang tamu...
DIA menghampiri gadis yang sedang khayal itu. Entah kerana mabuk
setelah meneguk minuman keras ataupun kesan pil perangsang yang
ditelannya. Fatin Adiba bagaikan tidak berada di alam nyata lagi. Dia
telah terbang ke alam fantasi yang diciptanya sendiri.
“Saya mahu
dia temankan saya malam ni.” Katanya sambil menghulurkan beberapa keping
wang kertas pada pengurus kelab itu yang kelihatan tersenyum lebar
setelah mengetahui jumlah wang yang dihulurkan padanya.
“Pandai-pandailah you nak pujuk dia.” Tingkahnya. Dia hanya mengangguk.
Fatin Adiba yang sedang leka menari itu dihampiri. Dia memeluk
pinggangnya dari belakang dan gadis itu tidak menolaknya, malah
memusingkan badannya lalu membalas pelukannya dengan manja. Mereka
tenggelam dalam irama yang mengasyikkan.
“Apa kata awak ikut saya keluar dari sini?” dia memujuk.
“Ke mana kau nak bawak aku? Ke syurga? Kalau ke syurga, aku nak ikut...” rengeknya.
Dia ketawa. “Ya, aku akan bawa kau ke syurga. Tu pun kalau kau mahu.”
“Ya... ya... aku nak ikut! Aku nak ke bulan, ke bintang... boleh kau bawa aku ke sana?”
“Ya, boleh!”
“Hmmm... kita nak naik apa kalau nak ke sana?”
“Naik roketlah, naik apa lagi.” Sahutnya. Fatin Adiba ketawa mengilai.
“Kau dah tak bencikan aku lagi? Dulu bukan main lagi kau bencikan aku.”
“Tak, aku tak pernah bencikan kau. Malah, aku dah mula tertarik hati dengan kau di saat pertama kita bertentang mata.”
Fatin Adiba senyum meleret lalu menggeselkan payudaranya yang separuh
terdedah itu ke tubuhnya. Naluri kelelakiannya diransang hebat. Dia
sudah tidak sabar hendak mengheret gadis itu keluar dari dewan dansa
tersebut.
“Jom, kita keluar dari sini.” Akhirnya Fatin Adiba menyatakan persetujuannya.
Fauzan tersenyum senang. Dia memapah gadis itu keluar dari ruang yang bingit dengan muzik tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan