Bab 25
FATIN ADIBA gembira kerana Rayzal masih sanggup
menghubunginya walaupun hubungan mereka mendapat tentangan hebat
daripada Encik Fauzan. Selepas tamat waktu kerja petang itu dia keluar
dengan Rayzal dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi milik jejaka itu.
“Kau tak takut ke papa kau marah, Ray?” soal Fatin Adiba.
“Dia tak tahu pun kita keluar berdua.” Sahut Rayzal selamba.
“Aini tu awek kau ke? Bukan main marah lagi dia dengan aku.”
Rayzal tergelak kecil. “Dia tu yang perasan lebih. Aku dengan dia hanya kawan biasa jelah.” Sahutnya.
Fatin Adiba senang hati mendengar kata-kata Rayzal itu. Dia memeluk
lengan jejaka itu dengan lebih erat ketika mereka melangkah masuk ke
pusat membeli belah terkemuka itu. Dia bagaikan hendak melompat
kegembiraan apabila Rayzal menyuruhnya memilih minyak wangi yang
digemarinya. Sudah tentulah Rayzal yang akan membayarkan untuknya.
Selepas minyak wangi berharga hampir dua ratus ringgit itu menjadi
miliknya barulah mereka meninggalkan kaunter menjual minyak wangi dan
menuju ke sebuah restoran makanan segera pula.
“Mahal ke
perbelanjaan kau di kolej tu, Ray?” soal Fatin Adiba. Dia bangga kerana
teman lelaki barunya ini adalah anak orang kaya dan terpelajar pula.
Bukannya macam Amir, teman lelakinya semasa di kampung dulu yang tidak
pernah lulus SPM pun dan kerjanya hanyalah melepak dan menghabiskan duit
emak bapak.
“Boleh tahan juga. Kenapa kau tanya? Nak tolong bayarkan yuran aku kat sana ke?” soal Rayzal. Fatin Adiba mengekel.
Selesai mengisi perut, mereka meronda lagi. Fatin Adiba tidak menyedari
ada dua pasang mata yang sedang merenung tajam ke arah mereka.
“KAU serius ke ni, Taufik?” soal Yusuf Hakimi.
“Apa pulak taknya? Aku tak pernah seserius ni seumur hidup.” Kata Taufik dengan bersungguh-sungguh.
Yusuf Hakimi mengangguk. Tidak menyangka sama sekali yang Taufik akan
memilih Atika Ayuni sebagai calon isterinya. Taufik yang dahulunya
seorang Don Juan yang menjaja cintanya merata-rata; yang tak sukar
baginya untuk memikat mana-mana gadis yang disukainya akhirnya terpaksa
menggunakan khidmat Zulaika untuk mencari calon isteri.
“Dia memang pilihan yang sesuai, Taufik. Jadi bila rombongan peminangan tu akan ke rumah perempuan?”
“Hujung bulan ni, insya-Allah. Bila aku kahwin nanti, kau akan jadi pengapit aku, okey?”
“Kau ni, Fik, bertunang pun belum dah berangan nak kahwin!” kutuk Yusuf Hakimi. Mereka berdua tergelak besar.
“Assalamualaikum! Eh, apa yang diborakkan ni, tergelak sampai nampak
anak tekak?” tegur satu suara. Kedua-duanya segera menoleh.
“Fauzan!
Aku dengan Taufik ingat kau tak datang tadi.” Tingkah Yusuf Hakimi ke
arah lelaki yang tercegat di tepi meja mereka itu. Encik Fauzan tergelak
kecil lalu melabuhkan punggung di sebelah Taufik.
“Dah janji mestilah ditepati.” Jawabnya.
“Kau dah makan? Kalau belum order ajelah, ni Si Taufik yang bayarkan!”
usik Yusuf Hakimi sambil mencuit lengan Taufik. “Tak lama lagi Don Juan
kita ni akan menamatkan zaman bujangnya.”
“Ye ke? Dengan siapa?” Encik Fauzan seolah-olah terkejut mendengar berita itu.
“Tentulah dengan seorang gadis yang istimewa, betul tak, Fik?”
“Sudah tentu!” sahut Taufik dengan megah.
“Alhamdulillah! Aku ingatkan kau nak membujang sampai ke tua. Hmm...
cepat-cepat kahwin, Fik! Aku nak tengok antara kau dengan Yusuf, siapa
yang akan timang anak dulu!” tukas Encik Fauzan.
“Tentulah Yusuf! Kan dia dah lama kahwin, aku ni meminang pun belum.” Sahut Taufik pantas.
“Memang betul dia dulu kahwin daripada kau, Fik. Tapi tiap-tiap bulan
orang rumahnya keguguran!” Encik Fauzan berlucu tanpa mengetahui hati
Yusuf Hakimi yang terasa dengan leluconnya itu. “Err... sorry, Suf. Aku
ni bergurau aje.” Getusnya pantas apabila melihat perubahan pada riak
wajah lelaki itu.
“Belum rezeki dia lagi.” Taufik meredakan keadaan.
“Kau pula bila nak tamatkan zaman duda, Fauzan? Dah lama juga kau
bercerai dengan bekas isteri kau kan?”
Lelaki itu tergelak besar.
Ketika itulah matanya terlihat dua susuk tubuh yang amat dikenalinya.
Pasangan itu kelihatan amat mesra, berpegangan tangan dan berpelukan
tanpa mempedulikan orang ramai di sekeliling mereka. Dia menoleh ke arah
Yusuf Hakimi. Dan cukup pasti bahawa lelaki itu juga nampak apa yang
dilihatnya. Dia naik takut melihat wajah lelaki itu.
“Sabar, Suf!” pujuknya. “Apa-apapun balik nantilah kau selesaikan dengan dia.” Nasihat Encik Fauzan.
“Jadi kau dah tahu tentang hal mereka berdua ni?”
Encik Fauzan mengangguk. “Aku dah nasihatkan Ray supaya jangan jumpa
Fatin lagi. Fatin pun aku dah nasihatkan juga. Nampaknya mereka jumpa
sembunyi-sembunyi di belakang aku.” Katanya sambil menyumpah-nyumpah
dalam hati. Janji Fatin Adiba untuk melupakan anaknya dan air mata yang
terhambur rupa-rupanya hanyalah palsu semata-mata.
“Fauzan, aku minta maaf...”
Encik Fauzan geleng kepala. “Aku tak salahkan kau, Suf.”
Taufik pula mengambil langkah untuk mendiamkan diri.
ZULAIKA yang bersendirian di rumah tertunggu-tunggu kepulangan Fatin
Adiba. Kebiasaannya, paling lewat sekalipun jam lapan malam dia sudah
terpacul di rumah. Dia menoleh ke arah jarum jam yang terus bergerak.
Ke manalah kau pergi sampai tak ingat nak balik ni, Fatin, desis hatinya.
Bunyi kereta yang berhenti di halaman rumah menandakan kepulangan suaminya. Dia meluru ke muka pintu.
“Fatin dah balik?” soal Yusuf Hakimi. Zulaika menggeleng. “Tulah, abang
dulu lagi dah kata, jangan campur tangan urusan dia, tapi Ika degil.
Nak juga abang tolong carikan kerja untuk dia dan benarkan dia tinggal
kat rumah ni!”
“Kenapa abang marah-marah ni?”
“Macam mana tak
marah, Ika! Fatin dah bagi malu muka kita. Baru tadi abang dan Fauzan
nampak sendiri yang adik tiri awak tu berpeluk-peluk dengan Rayzal, anak
bujang Fauzan. Malu abang tau Ika!”
“Masya-Allah!” Zulaika terduduk di atas kusyen.
Melihatkan wajah isterinya yang gelisah, dia mengambil keputusan untuk
mendiamkan diri sementara menunggu kemunculan Fatin Adiba. Jarum jam
terus bergerak. Yusuf Hakimi dan isterinya terus menunggu di ruang tamu
itu. Dan tatkala jam hampir menuding ke angka dua belas, barulah orang
yang ditunggu-tunggu muncul.
“Kau ni dari mana, Fatin?” dia menghentakkan pertanyaan.
“Err... Fatin... Fatin keluar dengan kawan, bang.”
“Lelaki ke perempuan?”
“Perempuan! Teman satu ofis...”
“Kau jangan nak tipu aku, Fatin! Kau ingat aku tak tahu apa yang kau
buat kat luar tu, hah? Cakap betul-betul tadi kau keluar dengan siapa?”
Yusuf Hakimi mengasaknya dengan pertanyaan. Fatin Adiba tunduk, merenung
lantai marmar di hujung kakinya. “Kau dah bisu ke, hah?”
“Bang, sabarlah!”
Mata Yusuf Hakimi mencerlang ke arah isterinya sehingga naik gerun
Zulaika memandangnya. Sepanjang perkahwinan mereka suaminya tidak pernah
memberikan renungan sebegitu padanya. Dia tahu suaminya ketika itu
teramat marah.
“Sabarlah, bang...” dia melembutkan suaranya sehabis mungkin dengan harapan agar kemarahan suaminya akan reda.
“Ika jangan masuk campur. Ika duduk diam-diam kat situ. Jangan tambah
kemarahan abang.” Ingat Yusuf Hakimi. Dia menoleh semula ke arah adik
tiri isterinya. “Fatin, kenapa kau diam aje ni hah?”
“Fatin minta maaf. Fatin mengaku tadi keluar dengan teman lelaki.”
“Siapa?”
“Ray... Rayzal, anak Encik Fauzan.” Sahut Fatin Adiba. Walaupun wajahnya nampak resah tapi dia berterus-terang.
“Dah miang sangat ke? Kau tu sedar diri kau, tak? Belum berapa bulan
kerja dah melayan lelaki, anak lelaki bos sendiri pulak tu!” Yusuf
Hakimi melepaskan kemarahannya.
Fatin Adiba angkat wajahnya. “Bang,
tolonglah jangan bagitau Encik Fauzan tentang hal ni. Kalau dia tahu
pasal ni habislah Fatin, bang!”
Yusuf Hakimi mendengus.
“Pandai-pandai engkaulah, Fatin. Tapi kau akan tinggal kat rumah ni
sampai hujung bulan ni aje. Aku bukannya tak bagi peluang pada kau, tapi
kau yang tak pandai menghargai segala kebaikan orang lain terhadap diri
kau. Lepas ni pandai-pandailah kau bawa diri. Aku dan Ika tak mahu
sakitkan kepala fikir pasal kau lagi.” Selepas menuturkan kata-kata itu,
Yusuf Hakimi membawa diri ke biliknya.
“KENAPA kau ni, Fatin?
Betul kata abang, kami dah beri kepercayaan pada kau, dah tolong kau
cari kerja kat sini tapi kau langsung tak menghargainya.” Marah Zulaika.
Mata kedua-duanya saling bertentangan.
“Kau pun nak bebelkan aku juga, Ika?”
Zulaika geleng kepala. “Sikap kau yang buat aku kecewa, Fatin!”
“Ya, aku yang jahat! Tapi kau tu baik, alim, bersopan-santun. Sebab
tulah kat kampung dulu semua orang sukakan kau, tapi mereka bencikan
aku. Mereka kata aku ni anak liar, kelakuan tak senonoh. Hey, Ika... kau
ingat kau aje boleh hidup senang dan dapat lelaki yang berharta serta
kacak macam Abang Yusuf tu, dan aku tak boleh? Apa salahnya kalau aku
bercinta dengan Ray, hah? Kami dah suka sama suka. Dia kacak dan juga
berharta.” Dia menghenyakkan punggungnya di sofa.
“Apa kau aje
boleh bernasib baik dan hidup senang macam ni? Kau boleh tangkap ikan
besar sebagai suami sedangkan aku hanya dapat bilis aje?”
“Fatin,
bukan Ika yang minta semua ni, kesenangan hidup dan suami Ika sekarang,
tapi semua ni adalah anugerah Tuhan pada Ika. dah jodoh Ika dengan Abang
Yusuf. Kau harus sedar akan hakikat bahawa ajal maut, rezeki dan jodoh
pertemuan ni dah ditetapkan oleh Allah Taala. Sekelumit pun Ika tak
cemburu kalau kelak kau dapat suami yang kacak dan berharta. Malah Ika
akan bersyukur pada Tuhan. Tapi kau kena ingat, Fatin, kau baru aje
bekerja di pejabat Encik Fauzan tu dan tak manis kalau dalam masa belum
sampai pun tiga bulan kau dah ke sana kemari dengan anak bujangnya.”
Zulaika memberikan nasihatnya.
“Haaaahhhh!!!” jeritan kuat Fatin
Adiba yang secara tiba-tiba itu membuatkan Zulaika terkejut. Selepas
puas menjerit dia meninggalkan Zulaika yang terkulat-kulat memandangnya
di ruang tamu.
Fikirannya kacau-bilau. Kelakukan Fatin Adiba memang
menyakitkan jiwa, tapi dia tetap adik tirinya juga. Walau bagaimana
buruk pun kelakuannya, dia harus memikul tanggung jawab itu. Dia tahu
Mak Cik Fatimahnya di kampung bergantung harap padanya agar menjaga
Fatin Adiba.
Dia melangkah ke dapur untuk menyediakan segelas
minuman untuk suaminya. Pintu bilik tidur diketuk, kelakukan yang sudah
lama ditinggalkan sejak bergelar isteri lelaki itu dahulu. Beberapa
ketika kemudian, Yusuf Hakimi terpacul di muka pintu.
“Kenapa Ika ketuk pintu?”
“Err...”
“Tak payah ketuk-ketuklah. Ni kan bilik Ika juga.” Tingkah Yusuf Hakimi.
Zulaika meletakkan minuman itu di atas meja kopi. Dia kemudiannya
melangkah ke balkoni. Kedinginan angin malam menerpa tubuhnya. Yusuf
Hakimi menghampirinya lalu melingkarkan tangannya ke pinggang ramping
Zulaika.
“Ika minta maaf, bang. Kerana Ika abang terpaksa berdepan dengan semua ni.”
“Kenapa pulak? Ni bukan salah Ika, tapi Fatin yang salah. Dia tak senonoh!” Yusuf Hakimi bersuara. Agak keras.
“Tapi kalau abang tak kawin dengan Ika, abang takkan berdepan dengan semua ni...”
Yusuf Hakimi segera meletakkan jari telunjuknya ke bibir isterinya. Mata mereka bertentangan.
“Jangan cakap macam tu. Ika isteri abang. Dan jangan sesekali Ika
menyalah-nyalahkan takdir yang mempertemukan kita. Sekarang ni, Fatin tu
yang bermasalah. Encik Fauzan kata dia pernah tangkap basah Fatin
dengan Ray sedang... isy...” kata-kata Yusuf Hakimi terhenti di situ.
Dia merenung wajah isterinya dalam-dalam.
“Apa abang cakap?”
“Mereka berdua pernah buat hal dalam bilik Fauzan sendiri.”
“Masya-Allah, bang!”
Yusuf Hakimi geleng kepala. “Fauzan dah beri ingatan pada mereka berdua
agar putuskan hubungan dan berjumpa lagi. Dia juga dah beri kata dua
pada adik tiri Ika tu. Kalau dia ternampak atau dengar cerita Fatin dan
Ray berjumpa lagi dia tak akan teragak-agak untuk buang Fatin kerja.
Fauzan kata Fatin merayu dan menangis-nangis tanda menyesal tapi...”
Yusuf Hakimi membelai rambut isterinya, “Ika, Fauzan rasa ditipu dan
dikhianati oleh Fatin. Abang takkan salahkan dia kalau dia kotakan
kata-katanya.”
“Kalau Fatin kehilangan kerja tu, macam mana, bang?
Takkan kita nak biarkan dia keluar dari rumah hujung bulan ni sedangkan
dia tak ada kerja? Apa kata mak cik nanti?” Zulaika mula kaget.
“Abang tahu Ika risaukan dia. abang kagum dengan sikap Ika. Ika sanggup
memaafkan dan terima dia sedangkan masa di kampung dulu, dia juga turut
terlibat menyeksa Ika dengan kata-katanya... dengan kelakuannya...”
“Dia tetap adik tiri Ika, bang. Ika dah maafkan dia.”
“Ika pernah dengar tak cerita tentang seorang pemburu yang melepaskan
anjing tersepit? Sebaik aje anjing tu dilepaskan ia akan menggigit
pemburu itu semula. Abang tak mahu hal ni berlaku pada Ika. Kalau nak
tolong orang pun kita kena berpada-pada, Ika. Tujuan abang baik. Abang
nak tengok Fatin berdikari dan tahu betapa sukarnya hidup ni, supaya tak
semudahnya dia persiakan masa mudanya.” Tingkah Yusuf Hakimi agak
penjang lebar.
“Jadi abang tetap dengan keputusan abang untuk halau Fatin keluar dari rumah ni ya?”
Yusuf Hakimi mengangguk.
“Dahlah, sayang. Jangan fikirkan tentang hal ni lagi. Jom kita masuk
tidur. Dah larut malam ni.” Pujuknya. Dia tahu hati isterinya yang
risau, tapi sebagai ketua keluarga dia harus tegas dengan keputusannya.
Fatin Adiba tetap akan meninggalkan rumah mereka hujung bulan ini.
Noktah!
“Mari sayang...”
“Abang tidurlah dulu. Ika belum mengantuk.” Sahut Zulaika sambil menepis tangan suami yang cuba memaut bahunya.
Malam itu untuk pertama kalinya Zulaika tidur memberi punggung pada suaminya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan