Bab 32
DIHENTAM rasa bersalah kerana telah berbohong dengan
suaminya, dia menyediakan hidangan kegemaran lelaki itu iaitu sup tulang
dan sambal sotong. Selepas mengerjakan solat Maghrib, dia turun ke
ruang tamu dan menunggu kepulangan suaminya.
Jarum jam terus
bergerak. Namun wajah Yusuf Hakimi tidak juga kelihatan. Selalunya
paling lewat sekalipun dia akan tiba di rumah lebih kurang jam lapan
setengah malam. Kalau lebih lewat daripada itu dia akan menelefonnya
untuk memberitahu tentang kelewatannya. Tapi malam itu berlainan sama
sekali. Bayang Yusuf Hakimi tidak juga muncul-muncul walaupun jarum jam
telah menunjukkan ke angka sembilan.
Dada Zulaika bergemuruh dengan
debaran. Apakah yang menyebabkan kelewatan itu? Jam sembilan setengah
malam kedengaran bunyi kereta berhenti di perkarangan rumahnya. Zulaika
menjengah keluar melalui tingkap. Dia menarik nafas lega setelah melihat
kemunculan suaminya lalu bergegas ke muka pintu untuk menyambut
kepulangannya.
“Kenapa abang tak telefon? Lama Ika tunggu abang.”
Katanya sambil mencapai briefcase suaminya. Yusuf Hakimi tidak menjawab.
Dia terduduk di sofa. “Abang letih? Ika bawakan air, ya. Abang nak
minum air apa?”
“Tak payahlah.”
“Abang nak makan sekarang ke atau...”
“Abang letih ni. Abang naik ke bilik dulu, nak mandi.” Tingkah Yusuf
Hakimi sambil meninggalkan Zulaika yang berwajah keliru di ruang tamu.
Setengah jam kemudian, dengan dada yang berdebar-debar dia menyusul
suaminya yang tak muncul-muncul dari kamar tidur. Dia ingin bertanya
apakah masalah yang menyebabkan suaminya pulang dalam keadaan sugul
begitu. Ketika dia melangkah masuk dilihatnya Yusuf Hakimi sedang
berbaring dengan mata yang tertutup rapat di atas katil.
Yusuf Hakimi menoleh sekilas ke arahnya ketika menyedari kehadirannya sebelum menutup semula matanya.
“Abang letih ke?” soal Zulaika lembut. Serta-merta mata Yusuf Hakimi
terbuka. Dia merenung wajahnya tajam membuatkan Zulaika menjadi gerun
melihatnya.
“Ya, abang letih! Abang letih dengan sikap Ika.” Suara
keras yang meluncur keluar dari bibir suaminya membuatkan Zulaika
semakin gelisah.
“Err... kenapa abang cakap macam tu?”
Yusuf
Hakimi sengih. “Masih nak berpura-pura lagi? Kalau pun Ika nak menipu
abang, carilah alasan yang canggih sikit. Ni tak...”
Air mata Zulaika menubir. Dia malu... malu kerana rahsianya telah terbongkar.
“Ika minta maaf, bang. Tapi Ika dah tak tahan lagi. Ika terpaksa
lakukannya. Memang Ika dah berbohong dengan abang pagi tadi. Ika keluar
cari Fatin kat apartmen sewaannya. Ika bukannya apa, bang, Ika cuma nak
tahu keadaan dia aje.”
“Kan abang dah ingatkan Ika yang abang tak
suka Ika cari dia lagi. Ika dah lupa ke apa yang dia dah buat pada kita?
Dia dah malukan kita, Ika! Mana abang nak sembunyikan muka ni daripada
Fauzan?”
“Ika tahu kesalahan Fatin tu besar, bang. Tapi dia adik
tiri Ika. Ika tak boleh biarkan dia macam tu aje. Ika kena cari dan
tengok keadaan dia.” Dia membela dirinya. “Maafkanlah Ika, bang.”
“Disebabkan dia, Ika yang selama ni taat dengan abang dah pandai menipu
abang?” sergah Yusuf Hakimi. Dia tidak menghiraukan air mata yang
mencucur keluar dari juring mata isterinya. Hatinya cukup sakit dengan
Zulaika.
Zulaika tersedu-sedu. “Apa Ika nak cakap lagi, bang. Maafkanlah Ika. Tolonglah, bang!”
“Sudahlah, Ika. Lap air mata Ika tu, jangan menangis lagi.” Dia
mengendurkan suaranya walaupun hatinya cukup mangkak dengan sikap
Zulaika yang berani menipunya.
“Bang, maafkan Ika ya, bang.” Zulaika merayu-rayu. Yusuf Hakimi mengeluh perlahan.
Keadaan suaminya yang angguk tidak, geleng pun tidak itu membuatkan Zulaika semakin resah.
INTAN JULIANA baru hendak melangkah keluar dari galerinya ketika dihampiri oleh seorang lelaki kacak. Mata mereka bertentangan.
“Zack! Apa you buat kat sini?” dia menyoal.
Mata jejaka itu menjilat wajahnya. Renungannya yang tajam membuatkan
Intan Juliana keresahan. Zackhary Iskandar kelihatan terdesak.
“Ju, I love you... I really love you, Ju! Kenapa you tak mahu terima cinta I?”
“Kenapa dengan you ni, Zack? Kan I dah kata yang cinta tak boleh
dipaksa. Kat KL ni ramai gadis yang lebih cantik dan lawa daripada I,
you pilih ajelah diorang untuk dijadikan kekasih you.” Intan Juliana
menjawab. Dia segera mengunci pintu galeri dan bergegas hendak berlalu
dari situ tapi Zackhary menahannya.
Jejaka itu bagaikan tidak dapat
mengawal emosinya lagi. Tanpa diduga dia memeluk tubuh Intan Juliana dan
cuba menciumnya di bibir. Dalam keadaan sedekat itu dia dapat menghidu
bau minuman keras pada nafas Zackhary. Sepantas kilat dia menolaknya ke
belakang lalu melayangkan penampar padu ke pipi jejaka itu.
Keperitan di pipinya membuatkan Zackhary bagaikan orang yang baru
tersedar, tapi segala-galanya telah terlambat. Intan Juliana merenungnya
dengan renungan yang berbaur benci.
“Kau mabuk?” desisnya. “Hanya
kerana aku tolak cinta kau, kau sanggup gogok minuman keras untuk
hilangkan kesedihan kau? You’re weak, man. Dan kau ingat aku akan pilih
jantan lemah untuk dijadikan kekasihku?” hentak Intan Juliana dengan
rasa marah yang membuak. Dia muak dengan lelaki-lelaki seperti jejaka di
hadapannya yang berpaling pada minuman yang memabukkan itu sebagai
alasan untuk menghilangkan segala masalah yang melanda jiwa mereka
kerana sebenarnya ia adalah seperti dadah, hanya pelega sementara.
“Ju, maafkan I, Ju!” jerit Zackhary. Namun Intan Juliana tidak
mengendahkannya. Dia melangkah pantas menuju ke kereta mewahnya lalu
memecut laju meninggalkan anak muda itu.
Dia tidak tahu hendak
kemana. Hendak pulang ke rumah yang sepi, sekadar menambahkan beban di
kepala. Setelah memiliki banglo yang tersergam itu barulah dia mengakui
kebenaran kata-kata Uncle Johannya; untuk apa dia tinggal di sebuah
rumah sebesar itu sedangkan dia hanya tinggal seorang diri? Malah
kadangkala kesunyian yang mencengkam di rumah besar itu membuatkan bulu
romanya meremang. Seram! Akhirnya dia memandu berkeliling kotaraya.
Setelah penat memandu barulah dia mengambil keputusan untuk pulang.
Kepulangannya disambut oleh Siti Asiah, pembantu rumahnya yang berasal
dari Kelantan. Wanita berusia empat puluh tiga tahun tapi masih bujang
itulah yang sering melayannya berbual tatkala dia kesunyian. Dia
memanggil Siti Asiah dengan panggilan kakak.
“Cik Ju dah makan ke?
Malam ni Kak Siti masak tomyam aje. Kalau nak, Kak Siti boleh
hidangkan.” Kata Siti Asiah. Dia menggelengkan kepalanya.
“Tak
apakah, Kak Siti, kenyang pulak rasanya malam ni. Tolong buatkan saya
kopi ajelah ya, lepas tu hantar ke bilik kerja saya. Saya nak siapkan
satu potret.” Tingkahnya sambil melangkah naik ke bilik untuk
membersihkan badan.
Dia mandi dan bersiap-siap untuk turun ke bilik
kerjanya dengan segera kerana takut kopi yang dibancuh oleh Siti Asiah
menjadi sejuk. Setelah menghirup seteguk dua kopi tersebut, dia
memulakan tugasnya melarik kanvas. Ketika sedang melukis semua masalah
bagaikan takut untuk menghampirinya.
Sejak akhir-akhir ini melarik
kanvas bagaikan menjadi kegilaan padanya. Sekembalinya dari galeri, di
bilik itulah dia berkurung – mencurahkan segala idea yang bersarang di
kepalanya dalam bentuk lukisan yang berwarna-warni. Dia seolah-olah mahu
meninggalkan suatu legasi seni untuk generasi seterusnya. Persoalannya,
untuk siapa?
DI DEWAN DANSA yang disinari lampu disko dan
muzik bingit, seorang gadis kelihatan terkinja-kinja menari mengikut
rentak dangdut bersama pasangannya yang berperut gendut. Dia tak lagi
kisah siapa yang dipeluknya. Tak lagi kisah siapa yang meraba sekujur
tubuhnya. Semua itu bagaikan telah sebati dengan dirinya. Rupa paras tak
lagi penting baginya, janji pelanggan yang melanggannya berduit. Kerana
duit dia sanggup menabur madah-madah cinta untuk sesiapa saja.
Pergi jahanam dengan Rayzal dan Encik Fauzan. Pergi mampus dengan Yusuf
Hakimi dan Zulaika! Dia kini tidak lagi perlukan pertolongan daripada
mereka.
“Fatin ni cantiklah! Geram abang tengok...” puji lelaki gendut yang asyik memeluk pinggangnya itu.
Fatin Adiba mengekel. Dia menggoncang dadanya yang bersalut kain nipis
itu dengan lebih hebat membuatkan lelaki gendut itu beberapa kali
menelan air liur kegeraman dek aksinya.
Di suatu sudut, seorang lelaki kelihatan begitu asyik memerhatikannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan