Bab 37
INTAN JULIANA pulang awal ke rumahnya. Sejak dikunjungi
oleh Zulaika dia hilang mood untuk terus berada di ruang galerinya. Hati
yang tak tenteram membuatkan badan menjadi seram sejuk, terasa seperti
hendak demam.
Dia meneguk susu panas yang dibawa oleh Siti Asiah
sambil menjamah puding jagung yang manis dan enak. Walaupun dia sedang
ligat memikirkan tentang pertemuannya dengan isteri Yusuf Hakimi, dia
masih perasan keadaan pembantu rumahnya yang telah dua tiga kali
melintas di hadapannya.
“Kenapa ni, Kak Siti? Kakak ada masalah
ke?” akhirnya dia membuka mulut bertanya ketika kali keempat perempuan
itu melintas di depannya. Langkah Siti Asiah terhenti. “Duduklah, kak,
yang akak berkawad depan saya ni kenapa?”
Siti Asiah terus melabuhkan punggungnya di hadapan Intan Juliana.
“Memang akak ada masalah sikit, Cik Ju. Tapi bila tengok Cik Ju balik
rumah dalam keadaan muram tadi akak tak sampai hati nak beritahu Cik
Ju...”
“Laa... akak ni! Hmm, apa masalahnya?”
“Akak nak minta cuti beberapa hari sebab semalam adik akak di kampung telefon. Dia kata emak akak tak sihat.” Tutur Siti Asiah.
“Berapa hari Kak Siti nak cuti?” soal Intan Juliana. Prihatin.
Siti Asiah kelihatan serba salah. “Susah nak cakaplah sebab akak pun
tak pasti bagaimana sebenarnya keadaan emak akak tu. Tapi kalau akak
cuti siapa yang nak temankan Cik Ju kat sini? Kesian pulak...” keluh
Siti Asiah.
“Akak tak perlu risau tentang saya. Saya pun pernah
berhadapan dengan situasi yang sama dengan akak ni dulu. Saya faham
keadaan akak. Baliklah jenguk mak akak yang sakit tu sebab soal ajal
maut ni terletak di tangan Tuhan. Jangan risaukan saya. Saya ni dah
besar, kak, tahulah saya jaga diri.”
Siti Asiah terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh majikannya. Hampir-hampir saja dia menitiskan air matanya.
“Terima kasih, Cik Ju. Akak janji akan balik cepat kemari.” Tingkahnya.
Intan Juliana hanya mengangguk. “Cik Ju nak makan apa malam ni?”
Intan Juliana yang bagaikan telah hilang selera hanya geleng kepala.
“Tak apalah, Kak Siti boleh berkemas kalau betul nak balik ke kampung
esok. Pagi-pagi esok saya akan hantar Kak Siti ke Puduraya.” Katanya
sambil membawa diri ke kamar tidur.
Dia baru hendak meletakkan kepalanya ke bantal tatkala telefon bimbitnya melagukan melodi Winter Sonata. Dia menoleh ke skrin.
“Ya, Suf?” soalnya.
“Awal you tutup galeri ni?” suara Yusuf Hakimi kedengaran menyoal.
“You kat galeri ke?”
“Ya!”
“Kenapa tak telefon dulu?”
“Kebiasaannya you takkan tinggalkan galeri sebelum pukul tujuh
setengah? Tu sebabnya I datang kemari, ingatkan dapatlah jumpa you.”
“Selalunya you call I kalau nak singgah ke galeri. So jangan nak salahkan I ya!”
“Isy, taklah! You okey ke ni? Lain macam aje suara you? I cuma nak tahu apa yang Ika nak daripada you.”
“Supaya you senang berdepan dengannya nanti?” dia menempelak. Yusuf Hakimi ketawa kecil.
“Apa yang you dengan dia bualkan?”
“You!”
“I? Isy, ni yang buat bulu tengkuk I meremang ni!” Yusuf Hakimi
tergelak lagi. “Dua orang perempuan cantik dah jadikan I yang tak berapa
handsome ni sebagai isu perbualan mereka. He, he, he!”
“Hey, yang
you tergelak-gelak ni, kenapa? Ni bukan masanya nak berseronok tau!”
marah Intan Juliana. “Ika... isteri you tu, syak yang kita berdua ada
hubungan istimewa.”
“Ya ke? Apa jawapan yang you berikan?”
“I nak tanya you sikit, Suf...”
“Go ahead, nak tanya banyak pun boleh.”
Intan Juliana menarik nafas panjang. “You rasa kenapa Ika menaruh syak
terhadap persahabatan kita sedangkan selama ni dia pun tahu yang kita
berkawan baik?”
Yusuf Hakimi mengeluh. “I rasa ada orang yang
sengaja masukkan input negatif dalam otak wife I supaya mencurigai
hubungan kita.”
“Siapa orang tu?”
“Hmm... tak payahlah you tau siapa dia, Ju.” Tingkah Yusuf Hakimi. “So apa reaksi you pada pertanyaan wife I, tu?”
“Dah tentulah I nafikannya. Tak sampai hati nak tengok airmatanya
menitis.” Sahutnya. “Lagipun memang betul kata you tadi, kita tak ada
hubungan apa-apa selain daripada seorang kawan karib, am I right?”
“Yes you are!” sahut Yusuf Hakimi pantas membuatkan hati Intan Juliana bersawang kecewa.
BILAKAH perasaan itu berubah kepada cinta? Intan Juliana sendiri tiada
jawapan pada persoalan itu. Cuma yang dia tahu semakin hari dia semakin
menyayangi teman yang selama ini dianggapnya sebagai kawan karib. Bukan
dia tak cuba melawan perasaan yang menghantui ketenangan jiwanya itu,
tapi dia akhirnya terpaksa mengaku kalah.
Dia hanyalah seorang
perempuan biasa yang terpaksa akur dengan kehendak hatinya. Alangkah
bahagianya kalau lelaki yang semakin melekap teguh di hatinya itu
bukanlah milik seorang wanita lain. Alangkah bahagia kalau Yusuf Hakimi
masih bujang. Tapi realitinya... ya, manusia kadangkala sentiasa tewas
oleh permainan emosi.
Dia membalikkan badannya. Matanya langsung tak
mengantuk walaupun dinihari semakin menjelang. Wajah Yusuf Hakimi
muncul di mana-mana!
DINIHARI yang sama; Zulaika juga tak mampu
melelapkan matanya. Dia menggelisah di kamar tidur, bukan kerana
pendingin hawa yang rosak tapi dek hati yang bergolak. Hakikatnya dia
kini tidak lagi mimpi untuk berjumpa dengan ketenangan yang abadi.
Desas-desus yang bertiup di sekelilingnya membakar syak wasangka dan
emosi seorang perempuan yang diamuk api cemburu.
Salahkah kalau dia
mencemburui suaminya? Bukankah cemburu itu tandanya sayang? Ya, dia
cemburukan teman baik Yusuf Hakimi yang bernama Intan Juliana itu.
Kenapa suaminya perlu mempunyai seorang perempuan sebagai teman baik?
Kenapa tak memilih saja teman baik di kalangan kaum sejenisnya iaitu
kaum Adam?
Ya, dia wajar mencemburui Intan Juliana. Ada banyak sebab
kenapa dia harus cemburukan perempuan itu. bukankah Intan Juliana ada
segala-galanya yang didambakan olegh tiap lelaki pada diri seorang
wanita? Dia cantik, bijak serta berharta sedangkan seorang Zulaika
hanyalah anak yatim piatu yang berasal dari ceruk kampung, yang tiada
apapun untuk dibanggakan.
Dia menoleh ke arah suaminya yang tertidur
pulas di atas katil. Apakah penafian Yusuf Hakimi tadi direka sekadar
untuk menyedapkan hatinya? Hati yang bagai disayat sembilu membuatkan
dia terasa mahu saja mengejutkan suaminya daripada tidur dan meluahkan
seribu satu persoalan yang bertapa di benaknya. Dia mahukan jawapan yang
benar serta pasti dari mulut suaminya bahawa dia dan Intan Juliana
tiada apa-apa hubungan istimewa selain daripada teman biasa.
Ya, Allah... berikanlah aku kesabaran dan cukupkanlah kesabaranku, hatinya merintih sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan