Bab 31
“BANG, sudah-sudahlah dengan kebencian abang tu. Takkan
kita nak sisihkan Fatin macam ni. Ika tau, dia tu budak bermasalah tapi
dia tetap adik tiri Ika, bang. Ika tak sanggup tengok keadaan mak cik
kat kampung tu yang risau sangat keadaan Fatin. Rayzal dah keluar
negara, bang. Fatin pula entah macam mana keadaannya.” Rayu Zulaika
dengan mata yang berkaca. Dia benar-benar mengharapkan bantuan daripada
suaminya untuk mencari di manakah Fatin Adiba sekarang.
“Apa? Ika
nak kita cari dia?” keras suara yang dilontarkan. Yusuf Hakimi
menggelengkan kepalanya. “Tak mungkin, Ika! Abang takkan jilat balik
ludah abang. Ika sebagai isteri kena patuh dengan cakap abang. Kalau
abang dah kata abang tak mahu Ika cari dia... tak mahu Ika ambil tahu
tentang hal dia lagi, Ika kena akur. Abang juga tak suka dia datang
kemari. Kalau abang tahu dia datang kemari dan Ika benarkan dia masuk...
siaplah!”
“Apa! Apa abang nak buat? Abang nak ceraikan Ika kalau
Ika berani bawa dia masuk ke rumah ni?” sergah Zulaika dengan suara
meninggi. Terkejut beruk Yusuf Hakimi mendengar isterinya mengherdiknya
begitu rupa kerana selama ini Zulaika tak pernah meninggikan suara
padanya.
“Ika tak baca ke buku Bagaimana Hendak Menjadi Isteri
Solehah yang abang belikan untuk Ika bulan lalu tu? Salah satunya ada
menyatakan untuk menjadi isteri solehah yang disayangi suami, si isteri
tak boleh membenarkan orang yang dibenci suaminya masuk ke rumahnya. Ika
tak baca ke, lupa?”
Air mata Zulaika menubir. Dia tidak mahu
menjadi isteri yang durhaka pada suami tapi dia benar-benar risaukan
keadaan adik tirinya. Walaupun Fatin Adiba tidaklah sebaik mana
dengannya tapi mereka tetap pernah membesar bersama.
“Tolonglah, bang... kita cari dia. Ika cuma nak tahu keadaan dia aje, bang. Tolonglah!” dia merayu-rayu.
Sebagai seorang suami, dia tersentuh melihat air mata isterinya yang
gugur itu. Tetapi kali ini dia perlu berkeras. Fatin Adiba harus belajar
berdikari.
“Kita akan cari dia, tapi bukan sekarang semasa hati
abang masih panas,” putus Yusuf Hakimi sambil meninggalkan Zulaika yang
terkebil-kebil memandangnya.
ZULAIKA terus menunggu dan
menunggu bilakah suaminya akan menunaikan janjinya untuk mencari Fatin
Adiba. Namun penantiannya hanya sia-sia. Yusuf Hakimi sebenarnya sudah
jauh menanam benci pada adik tirinya itu. Setelah jenuh menunggu
akhirnya dia mengambil keputusan untuk mencari sendiri di manakah tempat
tinggal Fatin Adiba.
“Tolonglah Abang Fauzan, seburuk-buruk dia,
tetap adik tiri saya.” Dia merayu di dalam telefon. “Abang Fauzan! Abang
dengar tak ni?” soalnya ketika lelaki di hujung talian mendiamkan diri.
“Macam nilah, Ika, abang akan cuba telefon Rayzal kat Australia tu
tanya kat mana adik tiri Ika tinggal. Ika harus ingat, abang lakukan
semua ni sebab kesiankan Ika bukan Si Fatin tu. maaf cakaplah, Ika.”
Tingkah Encik Fauzan.
“Terima kasih, bang. Sebaik aje abang dapat
tahu di mana dia tinggal, abang contact handphone Ika ya. Satu lagi Ika
nak minta bang, tolong jangan bagitau suami Ika tentang hal ni. Dia tak
suka Ika cari Fatin. Tapi Ika tak sanggup biarkan Fatin, bang.”
“Abang faham perasaan Ika. Hati Ika sebenarnya sangat lembut dan abang
kagum dengan Ika. Ika cari dia sebab ada rasa tanggung jawab seorang
kakak di hati Ika terhadap dia. Insya-Allah, malam ni abang akan cuba
telefon Rayzal. Sebaik aje tahu di mana Fatin tinggal, abang akan inform
Ika. Jangan risau ya!”
“Terima kasih kerana sanggup tolong Ika, bang.” Getusnya.
Sebaik sahaja dimaklumkan oleh Encik Fauzan, Zulaika nekad untuk ke
apartmen Fatin Adiba walaupun dia tahu perbuatannya itu akan menimbulkan
kemarahan suaminya. Dia harus bertemu muka dengan adik tirinya. Dia
mahu melihat sendiri keadaan Fatin Adiba. Sihatkah dia, ada duitkah dia?
“Bang, Ika nak ke rumah Ayu. Dengar cerita dia tak sihat, Ika nak
jenguk dia.” Itulah alasan yang diberikannya pada Yusuf Hakimi.
“Ika nak abang hantarkan?”
“Tak! Tak payah. Ika naik teksi aje.” Dia segera menjawab dan menarik
nafas lega sebaik saja mendapat keizinan daripada suaminya. Maafkan Ika
kerana menipu abang, tapi Ika terpaksa desis hatinya dengan sebak.
Dia menahan sebuah teksi untuk menghantarnya ke alamat yang telah siap
dicatatkan pada sehelai kertas. Pemandu teksi yang arif dengan
selok-belok bandaraya itu tidak sukar hendak mencari kediaman Fatin
Adiba. Teksi itu kemudiannya berhenti di sebuah apartmen yang tinggi
menjulang.
Selepas melepasi pondok pengawal, dia menaiki lif untuk
membawanya ke tingkat dua belas. Apartmen Fatin Adiba terletak di hujung
sekali berhampiran dengan tangga. Dia segera menekan loceng. Agak lama
juga dia menunggu sebelum pintu apartmen itu terkuak. Seorang wanita
menjenguk dan kelihatannya seolah-olah baru bangun dari tidur.
“Ya, cari siapa?” soal wanita itu.
“Fatin Adiba. Saya dapat tahu dia tinggal kat sini.”
“Awak ni siapa?” soal wanita itu sambil merenungnya dari atas ke bawah.
“Saya Zulaika, kakak tirinya. Fatin ada tak?”
“O... ya, dia ada, tengah tidur. Masuklah dulu, nanti saya kejutkan.”
Kata wanita itu sambil membukakan pintu luas-luas untuknya.
Dah
hampir nak masuk tengah hari ni pun masih tidur lagi? Dia tak kerja ke?
Hatinya bersoal-jawab sendiri. Dia mengekori wanita bertubuh langsing
itu masuk ke ruang tamu.
“Duduklah dulu. Saya panggilkan dia.” Kata wanita itu sambil menuju ke sebuah bilik yang tertutup rapat.
Zulaika menunggu beberapa minit sebelum Fatin Adiba muncul di hadapannya dengan wajah yang masam mencuka.
“Kenapa kau cari aku, hah?” sergahnya dengan kasar. “Kau dan laki kau
kan dah halau aku dari rumah besar kau tu, sekarang kau cari pulak aku.
Hey, baik kau berambuslah!”
“Aku minta maaf, Fatin. Aku dah cuba halang Abang Yusuf daripada halau kau keluar dari rumah tapi...”
Fatin Adiba memalingkan wajahnya. Jelas dia cukup marah dengan Zulaika.
“Kenapa kau cari aku, Ika?”
“Aku nak tengok keadaan kau. Kau dah kerja ke sekarang?” soalnya. Fatin Adiba mengangguk.
“Kau baliklah ke rumah besar kau tu, Ika. Aku tak perlukan pertolongan kau lagi!” desisnya.
“Aku tahu kau masih marah sebab sikap suami aku tu, tapi aku nak kau
tahu yang aku tak pernah lupakan kau, Fatin. Kalau kau ada masalah apa
jua sekalipun kau beritahu aku. Insya-Allah aku akan tolong.” Zulaika
cuba menjernihkan keadaan.
“Terima kasih ajelah, Ika. Aku dah serik
minta pertolongan kau. Dahlah, kau balik ajelah! Kirim salam aku kat
laki kau yang sombong tu!”
“Fatin...”
“Sudah! Baik kau berambus keluar dari sini sebelum aku halau kau keluar, Ika.” Jerit Fatin Adiba.
Zulaika terkejut diherdik begitu. Dengan langkah longlai dia melangkah keluar dari apartmen tersebut.
“KAU yang nak tahu sangat cerita tentang Aliza kan?” duga Taufik
sewaktu sedang menikmati teh pekat dan roti bakar di kopitiam lewat
petang itu.
Nama yang baru saja meluncur keluar dari bibir temannya
itu membuatkan Yusuf Hakimi merenungnya rakus. Aliza, bekas buah
hatinya sewaktu menuntut di universiti dahulu. Wanita itu jugalah yang
membuatkan dia berputus arang dengan jejaka di hadapannya. Tapi itu
kisah silam. Kisah cinta zaman remaja yang kini hanya tinggal nostalgia.
“Dia kat mana sekarang?”
“Aku dengar dia balik kampung, mengajar di sebuah sekolah menengah di
Kubang Krian. Dia dah kahwin dan suaminya cikgu juga.” Beritahu Taufik.
“Baguslah, semoga dia bahagia macam kau dengan Ayuni sekarang.”
Tukasnya. Taufik tergelak besar. “Hey, aku dengar cerita tunang kau tu
tak sihat ya? Dia sakit apa?”
Taufik kerut kening. “Eh, sapa cakap
dia tak sihat. Pagi tadi aku yang hantar dia ke pejabatlah. Kejap lagi
ni kang nak pergi jemput dia pulak.”
“Tapi Ika kata...” dia tidak
mampu meneruskan kata-katanya. Wajah Zulaika ketika meminta kebenarannya
untuk melawat Atika Ayuni yang dikatakan sakit terbayang di ruang mata.
Kenapakah Zulaika sanggup bercakap bohong dengannya? Dan ke manakah
arah tujuan isterinya itu?
Ika, sejak bila kau belajar berbohong denganku? Ika, siapakah sebenarnya yang hendak kau temui?
“Kenapa, Suf?” soal Taufik tatkala melihat wajahnya yang berubah.
Yusuf Hakimi hanya menggelengkan kepalanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan