Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 17 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA-BAB 36

Bab 36

FATIN ADIBA menuruni tangga dengan dada yang berdebar kencang. Dalam pada itu matanya sempat jumpa membelingas memerhatikan frame-frame gambar yang teratur kemas di dinding. Gambar-gambar itu adalah gambar Fauzan dengan anak-anaknya dalam pelbagai aksi dan gaya. Gambarnya dengan Rayzal juga ada. Melalui foto tersebut, dia melihat yang lelaki itu begitu rapat dengan dua orang puteri dan seorang puteranya.
Perasaan sedih tiba-tiba menyambar hatinya sebaik saja melihat gambar Rayzal. Anak muda itu mungkin telah melupakannya. Entah-entah kini sedang berseronok dengan Minah Saleh di Australia sana. Dia di sini yang terpaksa menelan kepahitan disebabkan keterlanjuran mereka dahulu.
“Siapa kata aku tak sayangkan kau, Fatin? Aku memang sayangkan kau. Tapi papa tentang keras hubungan kita ni. Aku... aku tak boleh buat apa-apa sebab kau tau-tau sendirilah, aku pun belum lepas dari tanggungan dia lagi. Lainlah kalau aku dah habis belajar dan dah ada pendapatan sendiri.” Keluh Rayzal apabila meminta hubungan mereka diputuskan.
“Cik Fatin, jemput ke ruang makan. Tuan dah tunggu cik lama...” sapaan Susanti membuatkan imbauan wajah bekas kekasihnya hilang dari ruang kenangan.
“Pergi mampuslah dengan tuan kau!” desisnya perlahan agar tidak didengari oleh pembantu rumah itu. Dia mengekori Susanti ke meja makan dan melihat Fauzan begitu asyik merenungnya. Dia menghenyakkan punggungnya ke kerusi dan mempamerkan wajah masam.
Susanti menyendukkan mi goreng ke pinggannya.
“Cik Fatin nak minum apa?”
“Apa-apa jelah!” sahutnya hendak tak hendak.
“Tuangkan Milo untuk Cik Fatin kita ni, Susanti.” Fauzan memberi arahan. Fatin Adiba mengherotkan bibirnya.
“Ni Milonya Cik Fatin.” Kata Susanti sambil berlalu meninggalkan mereka di meja.
Matanya dan Fauzan berlaga. Lelaki itu yang telah kelihatan kemas, mungkin sudah bersiap untuk ke pejabat, sengih memanjang ke arahnya. Dia menyumpah-nyumpah dalam hati.
“Kenapa kau bawa aku balik ke rumah kau ni?” soalnya.
“Kalau ya pun, minumlah dulu.” Pujuk Fauzan.
“Aku tak selera nak minum selagi kau tak jawab soalan aku tadi. Kenapa kau bawa aku balik ke rumah kau ni?”
“Saya ambil berat tentang awak, Fatin. Mungkin awak nak tahu kenapa saya ambil berat tentang awakkan? Sebabnya ialah Zulaika. Saya cukup kesian dengan dia. Selepas awak keluar dari rumahnya, dia datang pada saya dan merayu-rayu nak tahu di mana awak tinggal. Dia masih menyayangi awak walaupun kelakuan awak...”
“Cukup... cukup! Kau masih tak puas-puas nak menghina aku?”
“Fatin, saya tak bermaksud begitu. Saya bawa awak pulang untuk menyelamatkan awak daripada terus terlanjur. Setiap orang harus tahu jalan pulangnya, Fatin. Kalau kakak tiri awak sentiasa berfikiran positif yang suatu hari kelak awak akan berubah, kenapa saya harus bersikap negatif terhadap awak?”
“Kau... kau nak menyelamatkan aku?” Fatin Adiba terjerit. Bulat matanya memandang wajah Fauzan, bekas bosnya yang telah memecatnya dahulu.
“Ya, saya nak menyelamatkan awak. Banyak keburukannya kalau awak masih bekerja di kelab tu, Fatin. Tengoklah diri awak malam tadi... awak mabuk dan telan pil khayal.”
“Hey, orang tua! Kau yang menyebabkan aku jadi macam tu, tau tak? Kau yang pecat aku dulu, kau dah lupa ke?”
Fauzan menggeleng-gelengkan kepalanya. “Kalaupun saya dah pecat awak, kerana silap awak juga, Fatin. Bukankah saya dah ingatkan awak agar jauhkan diri daripada Ray? Dia masih belajar lagi. Saya sebagai papa Ray mahukan dia berjaya dalam pengajiannya. Lepas tu saya tak kisah kalau dia nak bercinta ke... nak kahwin ke dengan sesiapa aje yang dia suka.”
“Anak kau, kau hantar ke luar negara. Aku kau pecat ya? Banyak cantik!” Fatin Adiba mendengus.
“Kalau awak setuju saya nak ambil awak bekerja dengan saya balik. Macam mana?” kata-kata lelaki di hadapannya membuatkan Fatin Adiba terdiam seketika. Fauzan sengih memanjang. “Macam mana? Awak setuju tak nak kerja dengan saya?”
“Kerja apa?”
“Jadi isteri saya.”
“What!” nyaris-nyaris dia tercekik mi goreng yang sedang dikunyahnya.
Lelaki di hadapannya tergelak kecil. “Ya, saya serius ni. Saya nak melamar awak sebagai isteri saya, tu pun kalau awak setuju.”
Fatin Adiba ternganga.

MEREKA bersalaman.
“Silakan duduk, Ika.” Pelawanya. Zulaika tersenyum nipis lalu melabuhkan punggungnya di kerusi. Dia turut menarik sebuah kerusi lain lalu duduk di hadapan isteri muda itu. “Apa tujuan Ika nak jumpa Kak Ju ni?”
“Maaflah kalau kedatangan Ika ni mengganggu kerja Kak Ju...”
“Isy, taklah! Kak Ju pun seronok juga Ika datang ni sebab Ika tak pernah singgah lagi ke galeri Kak Ju ni kan?” dipandangnya wajah isteri muda yang cuba sedaya upaya untuk kelihatan tenang di hadapannya itu. Hakikatnya dia tahu hati isteri muda itu sedang berkocak hebat.
Zulaika mengangguk.
“Ya, Ika belum lagi pernah singgah ke galeri Kak Ju ni. Ika kagum tengok lukisan-lukisan yang Kak Ju lukis ni, cukup cantik!”
Intan Juliana tersenyum.
“Terima kasih.”
“Kak Ju, sebenarnya Ika datang ni, bersebab.” Ujarnya dan wajahnya kelihatan benar-benar gelisah.
Intan Juliana mengangguk. “Teruskan dengan apa yang Ika nak katakan pada Kak Ju. Kalau tak ada alasan yang kukuh takkan Ika singgah ke galeri Kak Ju ni kan?”
“Err... Ika nak Kak Ju berterus-terang dengan Ika, apa hubungan sebenar Kak Ju dengan Abang Yusuf?”
“Kami berkawan baik. Ika sendiri dah lama tahukan tentang ni?”
“Betul ke apa yang Kak Ju cakapkan ni? Atau Kak Ju menyimpan sesuatu rahsia daripada Ika? Ika minta Kak Ju berlaku jujur dengan Ika. Ika takkan marah pada Kak Ju mahupun Abang Yusuf. Cuma tolonglah berterus-terang. Ika dah tak tahan lagi hidup macam ni, Kak Ju!” dan air matanya menitis juga dari takungan. Air mata seorang isteri yang tertanya-tanya tentang hubungan suaminya dengan seorang perempuan yang kini sedang berada betul-betul di hadapannya.
“Ika tahu Kak Ju seorang perempuan yang istimewa. Kak Ju juga seorang perempuan yang ada rupa, berpelajaran tinggi dan banyak duit. Kak Ju ada segala-galanya yang diimpikan dalam hidup ni sedangkan Ika... Ika hanya ada Abang Yusuf. Cuba Kak Ju fikir apa akan jadi pada Ika kalau ditakdirkan Ika kehilangan Abang Yusuf.”
Dan air mata seorang isteri yang goyah statusnya di sisi suami, semakin melebat lantas melemaskan hati Intan Juliana yang memandang. Wajah lelaki yang menjadi rebutan mereka berdua bertandang di ruang mata... pada renungannya, senyumannya dan bicara mesranya. Intan Juliana tak dapat membayangkan keadaannya kalau terpaksa berpisah dengan renungan, senyuman dan bicara mesra lelaki itu. Dia juga tahu wanita di hadapannya juga berada dalam situasi yang sama dengannya.
Alangkah malangnya kerana ditakdirkan mencintai lelaki yang sudah beristeri. Dan lebih malang lagi kerana saingannya adalah perempuan sebaik Zulaika!
“Apa salahnya mencintai suami orang, Ju? Bukankah Islam menghalalkan poligami?” kata-kata yang pernah diucapkan oleh Uncle Johannya menyapa ke ruang fikir. Sejak lelaki itu mengetahui isi hatinya yang mendalam terhadap Yusuf Hakimi, dia seolah-olah sengaja menggalakkannya untuk menjadi isteri lelaki itu. Memang betul, hidup bermadu dihalalkan oleh agama tapi persoalannya sanggupkah seorang isteri yang masih muda dan cukup cantik seperti Zulaika hidup berkongsi kasih?
“Kenapa Kak Ju diam? Susah sangat ke nak jawab soalan Ika ni?” Zulaika mendesak pada sebuah jawapan. “Apa hubungan sebenar Kak Ju dengan Abang Yusuf?”
“Kak Ju dengan dia hanya kawan.” Sahutnya.
“Betul ke ni, Kak Ju? Atau Kak Ju sengaja berselindung sebab nak jaga hati Ika?”
Intan Juliana mengangguk. “Percayalah! Bukankah Yusuf adalah milik Zulaika?” tingkahnya sambil meramas jari-jemari perempuan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan