Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 11 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 27

Bab 26

SETELAH suaminya serta Fatin Adiba berangkat ke tempat kerja secara berasingan – Fatin Adiba terpaksa menahan teksi untuk ke pejabatnya – dia duduk termenung di halaman rumah. Sejak adik tirinya itu menumpang tinggal di rumah besar mereka, dia tidak lagi dicengkam kesunyian seperti selalunya. Namun suaminya tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehadiran Fatin Adiba ditambah lagi dengan onar yang telah dilakukannya bersama anak lelaki Encik Fauzan itu.
Tidak disangkanya Fatin Adiba begitu berani. Nekad! Itulah ungkapan yang paling tepat untuk adik tirinya itu. Dia tidak memikirkan tentang Yusuf Hakimi yang telah membantunya mencarikan kerja di pejabat Encik Fauzan. Dia malah langsung tidak memikirkan apa-apa termasuklah periuk nasinya sendiri sehingga tega mengirai-ngirai maruahnya di tempat kerja.
Kenapa Fatin Adiba sebegini rupa? Sejak di kampung halaman lagi, adik tirinya itu sering dimanjakan oleh Mak Cik Fatimah. Apa-apa saja keinginannya pasti akan ditunaikan. Dia ditatang bagaikan menatang minyak yang penuh. Tapi tanpa sedar segala kasih sayang dan kemanjaan yang dicurahkan bukannya mencorakkan lukisan yang indah pada sehelai kain putih. Yang sebaliknya pula berlaku.
Zulaika sebenarnya risaukan nasib adik tirinya itu. Kalau betullah dia akan diberhentikan kerja oleh Encik Fauzan, Fatin Adiba terpaksa mencari kerja yang lain pula. Dengan kelulusannya yang tidaklah setinggi mana, bukannya senang untuk dia memburu kerja di kota metropolitan ini. Sedangkan mereka yang berkelulusan universiti pun sukar hendak memperolehi pekerjaan, inikan pula adik tirinya yang mempunyai kelulusan setakat SPM sahaja.
Keputusan Yusuf Hakimi yang bertegas mahu dia keluar dari rumah mereka juga membuatkan Zulaika semakin bimbang. Di manakah adik tirinya itu akan tinggal selepas ini? Kalau dia tinggal bersendirian di luar sana, dia mungkin akan sebebas helang di angkasa. Dia cukup takut kalau-kalau Fatin Adiba akan terus hanyut dan tidak menjumpai jalan pulang lagi!
Bagaimana hendak aku terangkan hal ni pada mak cik, desis hatinya dengan penuh kerisauan.

FATIN ADIBA tidak mampu angkat muka. Penyesalan yang bertamu bolehlah dikatakan sebagai telah terlewat. Walau seribu kali dia menuturkan kata-kata maaf, namun tatkala kepercayaan yang diberikan dikhianati, tak mustahil hati lelaki itu menjadi keras seperti batu. Tiada maaf bagimu, begitulah keputusan Encik Fauzan. Dia tidak mahu tertipu lagi dengan sandiwara yang dipersembahkan oleh Fatin Adiba di hadapannya. Dengan linangan air mata dia melangkah keluar dari bilik Encik Fauzan.
“Kenapa kau kena berhenti 24 jam, Fatin? Apa yang kau dah buat sampai Encik Fauzan marah sangat dengan kau?” soalan teman sekerjanya, Saerah, tidak mendapat jawapan daripadanya.
Setelah mengemaskan barang-barangnya, dia melangkah meninggalkan ruang pejabat itu tanpa peduli untuk mengucapkan selamat tinggal.

ONAR yang dicipta oleh Fatin Adiba betul-betul membuatkan Yusuf Hakimi bengang. Untuk pertama kali dalam sejarah perkahwinannya perselisihan faham telah berlaku di antaranya dengan Zulaika. Walaupun kecil namun impaknya tetap terasa.
Pagi tadi isterinya tidak mengejutkannya untuk bersembahyang Subuh seperti kebiasaannya. Dia kesiangan tapi masih dapat mengerjakan Subuh gajah. Di meja makan pula Zulaika kelihatan dingin dan tidak sehangat selalu. Mujurlah Nescafe yang disediakannya tetap hangat seperti biasa.
“Kenapa ni, Ika? Muncung aje?” soalnya ketika wanita itu menghantarnya ke muka pintu.
“Tak ada apa-apalah!”
“Ika marahkan abang ya?” soalnya.
“Taklah!”
“Abang tahu Ika marahkan abang. Tak ada faedahnya kita bergaduh disebabkan oleh adik tiri Ika yang tak bermaruah tu!”
“Abang!” tanpa diduganya Zulaika mengherdiknya. Rupa-rupanya wanita yang selama ini tak pernah meninggikan suara di hadapannya itu tega mengherdiknya gara-gara Fatin Adiba. “Maafkan Ika, bang, tapi kata-kata abang tadi betul-betul dah menyakitkan hati Ika. Abang tak patut cakap macam tu terhadap Fatin.”
“Habis abang nak cakap macam mana? Cuba Ika terangkan apa kata-kata yang sesuai untuk dihamburkan terhadap perempuan seperti Fatin tu?”
Zulaika menundukkan wajahnya.
“Dahlah, bang. Kalau abang nak pergi kerja, pergilah. Jangan cemarkan pagi abang macam ni.” Dan tanpa sepatah kata Zulaika berpaling lalu meninggalkannya terkulat-kulat di tepi keretanya.
Dia sudah nekad. Walaupun mendapat tentangan hebat daripada isterinya, Fatin Adiba tetap akan melangkah keluar dari rumah mereka hujung bulan itu.
Matanya melekap pada lukisan di dinding – lukisan yang pernah direject oleh isterinya. Untuk seketika masalah yang dicipta oleh Fatin Adiba bagaikan hilang ditelan oleh kedamaian yang dipaparkan dek lukisan tersebut. Sejuk mata memandang. Sesungguhnya imaginasi seorang pelukis bisa memberikan impak yang mendalam pada orang yang tahu menghargainya. Patutlah ada orang sanggup menghabiskan wang ringgit yang banyak sekadar untuk memiliki sebuah hasil seni yang diminati oleh mereka.
Deringan telefon di mejanya mengganggu konsentrasi terhadap lukisan di dinding juga wajah pelukisnya yang tiba-tiba bermain-main di mata. Dia segera memekapkan telefon itu ke telinga. Encik Fauzan yang menelefon untuk memberitahunya bahawa dia telah memberikan notis berhenti kerja serta-merta pada Fatin Adiba.
“Aku terpaksa lakukannya, Suf. Aku harap kau dan Ika tak marah.” Kata lelaki itu.
“Tak, aku tak salahkan kau, Fauzan. Kadangkala ketegasan memang perlu. Aku harap dia akan dapat pengajarannya.”
“Okeylah, Yusuf. Aku telefon kau ni sebab tu aje.” Sahut Encik Fauzan pantas.
“Okeylah, Fauzan. Bye.” Tingkahnya sambil terus meletakkan telefon ke gagangnya semula.
Dia menoleh jam di lengannya. Jarum jam menunjukkan tepat ke pukul satu tengah hari. Dia mencapai kunci keretanya lalu melangkah keluar dari biliknya.
Setengah jam kemudian dia sedang melangkah ke sebuah galeri lukisan. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu ke sana. Tetapi kalau sebuah lukisan di dinding pejabatnya mampu memberikan secebis ketenangan di jiwa, mungkin dia perlu memiliki sebuah dua lukisan lagi.
Ruang galeri itu lengang. Walaupun pintunya dibiarkan tidak berkunci, tapi tiada seorang manusia pun kelihatan di situ. Mungkin pemiliknya ke bilik air, getus hatinya sambil memerhatikan deretan lukisan yang dipamerkan.
Dia berdiri dalam kekaguman. Sesungguhnya pelukis tersebut adalah seorang pelukis yang berbakat besar. Kalau seorang penulis mencurahkan segala isi hatinya dalam bentuk penulisan, pelukis ini pula mencurahkannya melalui lakaran, lorekan dan padanan warnanya yang berwarna-warni. Isterinya adalah seorang penulis, tapi dia tak pernah menghayati hasil kerjanya kerana kurang minat membaca novel. Dia lebih cenderung membaca buku-buku motivasi. Sebaliknya dia lebih mudah menghayati hasil seni yang dipamerkan di dinding galeri itu sekarang.
“Ehem!” bunyi deheman itu membuatkan dia berpaling. Intan Juliana tersenyum manis ke arahnya. “Dah lama sampai?”
“Adalah dalam lima minit. You ke mana?”
“Bilik air, natures call.” Intan Juliana menyengih.
Yusuf Hakimi geleng kepala. “Kalau iya pun janganlah biarkan pintu galeri tak berkunci macam tu!” marahnya.
“Concern jugak you pada I ya!” desisnya.
“Orang perempuan memang selalu macam ni, cuai!” tingkah Yusuf Hakimi.
Intan Juliana tergelak kecil. Dia tidak marah dengan komen yang baru saja dilemparkan oleh lelaki itu. Sekurang-kurangnya dia tahu bahawa Yusuf Hakimi mengambil berat terhadap dirinya, ambil kisah tentang keselamatannya. Sesungguhnya lelaki itu adalah seorang lelaki yang baik, pujinya dalam hati. Dan perempuan yang menjadi isterinya sungguh beruntung.
“Jangan risau. Buat masa sekarang I masih selamat.” Luah Intan Juliana membuatkan Yusuf Hakimi hanya mampu menggeleng. “Hmm... apa tujuan you datang ke galeri I tengah hari ni, Suf?”
“Nak tengok lukisan.”
Intan Juliana ketawa. “Sejak bila you berminat dengan lukisan pulak ni?”
“Dah lama minat. Cuma tak minat nak beli aje sebab harganya mahal.”
“Jangan ingat I nak bagi you lukisan percuma lagi tau. Lukisan yang dulu tu pun I buat khas untuk Ika.” Sahut Intan Juliana pantas. Yusuf Hakimi tergelak.
“Taklah! You ingat I ni sengkek sangat ke, asyik nak benda free aje?” balasnya.
“Manalah tau...”
“Hey, kawan... tengok koceklah.” Sahut Yusuf Hakimi. Intan Juliana menghampirinya dan cuba menyelukkan tangan ke dalam kocek seluarnya membuatkan Yusuf Hakimi bertindak pantas dengan memegang pergelangan tangannya.
Mata mereka bertentangan. Yusuf Hakimi menggelengkan kepalanya. Intan Juliana tersenyum lebar.
“You tak nak lepaskan tangan I ke?” soal si gadis membuatkan Yusuf Hakimi segera tersedar.
“Sorry.” Tukasnya sambil melepaskan tangan si gadis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan