Bab 29
HUJUNG MINGGU ITU Yusuf Hakimi mengikut isterinya pulang
ke kampung halamannya untuk menghadiri majlis pertunangan Atika Ayuni
dengan Taufik. Sebaik saja isterinya melangkah turun dari kereta senja
itu, dia memecut meninggalkan perkarangan rumah Fatimah.
“Abang boleh temankan Ika balik kampung, tapi dengan satu syarat...”
“Syarat? Syarat apa, bang.”
“Abang tak akan tidur di rumah mak cik, tapi abang tak halang kalau Ika
nak bermalam di sana. Abang akan tempah sebuah bilik di hotel
terdekat.” Putus Yusuf Hakimi dan Zulaika hanya mampu berdiam diri.
“Assalamualaikum!” seru Zulaika. Beberapa ketika kemudian pintu terkuak dan wajah Fatimah tersembul.
“Eh, Ika! Tak sedar mak cik Ika dah sampai. Naiklah!” Kata Fatimah. “Yusuf mana? Dia tak datang ke?”
“Err... dia yang hantar Ika tadi, mak cik, tapi dia... dia dah balik hotel.” Ujar Zulaika dengan serba-salah.
Sejak peristiwa hitam yang dicipta oleh Fatin Adiba, suaminya bagaikan
telah menjadi orang asing. Dia tahu sejak dulu lagi Yusuf Hakimi tidak
pernah menyenangi ibu tiri serta adik tirinya itu tetapi dia cuba sedaya
upaya untuk mencari kejernihan. Lama-kelamaan Yusuf Hakimi semakin
lembut terhadap mereka sehinggalah kes Fatin Adiba mencalarkan
segala-galanya. Ianya bagaikan mencantas tunas yang baru hendak
menjulur! Dan Zulaika cukup kecewa dengan situasi itu.
“Benci benar dia agaknya dengan mak cik.” Fatimah seolah berjauh hati.
Zulaika sedar tentang perasaan ibu tirinya yang terguris tapi buat masa
ini dia masih belum mampu meredakan kemarahan suaminya. Dia juga turut
menerima tempiasnya. Dia tahu dirinya dipersalahkan oleh Yusuf Hakimi
kerana dia yang beria-ia memujuk lelaki itu agar mencarikan kerja untuk
adik tirinya dan menumpangkannya di rumah mereka. Dia sendiri tak
menyangka Fatin Adiba akan mencipta onar sebegitu rupa.
“Ala, sabar ajelah mak cik. Lama-lama nanti lembutlah hati abang tu.” Tukas Zulaika. Dia juga mahu memujuk hatinya sendiri.
“Maghrib dah nak masuk ni. Kau bawalah beg kau masuk ke bilik, Ika. Lepas Maghrib nanti kita sambung borak.”
“Pukul berapa kita nak ke rumah Ayu, mak cik.”
“Ala... lepas-lepas Isyak nanti kita pergilah jenguk mereka. Majlis
bertunangnya esok.” Cadang Fatimah. Zulaika hanya mengangguk.
DIA tahu tindakannya sejak akhir-akhir ini banyak melukakan hati
isterinya. Patutkah dia terus menyalah-nyalahkan Zulaika dek onar yang
dicipta oleh Fatin Adiba? Gadis tak bermaruah itu telah pun berambus
keluar dari rumahnya. Malah sebelum adik tiri isterinya itu melangkah
keluar dia sempat memberikan amaran padanya agar jangan sesekali pijak
tangga rumahnya lagi. Kepada Zulaika juga amaran turut diberikan agar
jangan membenarkan Fatin Adiba menapak ke rumah mereka lagi.
Melampau sangatkah perbuatannya? Tidak, bukan dia yang melampau tapi Fatin Adiba! Kesalahan itu harus dipupukkan ke bahunya.
“Kalau ya pun abang dah benci sangat dengan Fatin, kenapa nak dikaitkan
dengan Mak Cik Timah pula?” selar isterinya ketika mereka berada di
dalam kereta tadi. “Yalah, Ika tahu rumah mak cik tu buruk. Tu sebabnya
abang malas nak tidur kat situ.”
“Jangan paksa abang buat benda yang
abang tak sukalah, Ika.” getusnya dengan nada perlahan tapi cukup
tegas. “Ni abang ikut Ika balik kampung pun dah cukup baik tau.”
Zulaika terdiam. Memang sejak hari pertama mereka berkahwin, dia tak
pernah menyukai keluarga tiri isterinya itu. Bukannya apa, sikap mereka
juga yang dahulunya pernah mendera Zulaika secara fizikal dan mental.
Malah sikap Fatimah yang pernah meletakkan harga tinggi sebagai mahar
perkahwinan membuatkan dia semakin meluat dengan kerenah mereka.
“Tulah kau, dari dulu lagi mama dah kata kita tak tahu asal usul mereka,
tapi kau yang tega nak ambil Zulaika tu sebagai isteri. Sekarang, apa
yang kau dapat selain daripada malu? Adik tirinya tak bermaruah, isteri
kau tu pula entah macam mana!” hentak mamanya sebaik saja mendapat tahu
tentang berita Fatin Adiba ditangkap khalwat.
“Ma, janganlah tuduh isteri saya macam tu. Yang bawa petaka tu, adik tirinya.” Dia cuba membela isterinya.
Puan Kalsom menyengih. Sinis. “Sayang betul kau pada bini ya, Suf! Suka
hati kaulah kalau dah lebih sayang bini daripada ibu sendiri.” Dia mula
merajuk.
Semua itu sebenarnya cukup membebankan jiwa Yusuf Hakimi.
Dia tak pernah menyenangi keluarga tiri isterinya sementara mamanya pula
tak pernah menerima kehadiran Zulaika dalam hidupnya. Situasi yang
cukup memeningkan kepala, desis hatinya.
Dia terduduk di birai katil
di hotel tak berbintang yang kebetulan berada di pekan kecil tersebut.
Mujurlah ada hotel itu. Kalau tidak dia mungkin terpaksa bermalam di
masjid mana-mana.
“DAH siap ke, Ika?” panggil Fatimah. Seketika
kemudian Zulaika yang sudah siap berbaju kurung kuning melangkah keluar
dari bilik. Wajahnya kelihatan semakin berseri-seri tatkala mengenakan
kurung kuning itu. “Kalau dah siap, marilah kita pergi.” Kata Fatimah.
Zulaika melangkah rapat-rapat di sisi ibu tirinya. Mereka kelihatan
mesra. Kedua-duanya bagaikan telah melupakan suatu fasa di mana Fatimah
dahulu pernah membenci Zulaika. Kehadiran anak tirinya itu dianggap
membebankan. Walaupun besar dosanya pada Zulaika, dia tetap mendapat
kemaafannya.
Mereka menyusuri malam yang diterangi cahaya bulan
purnama. Kampung terpencil itu sudah mula nampak perubahannya. Kalau
dahulu jalan yang mereka susuri itu hanyalah jalan tanah merah yang
berlubang di sana-sini yang akan berselut setiap kali tibanya musim
hujan, tapi kini jalan tersebut telah dilebar dan ditarkan.
Tidak
sampai sepuluh minit berjalan kaki sampailah mereka ke tempat yang
dituju. Rumah sekerat batu sekerat papan itu kelihatan meriah. Cahaya
lampu menerangi persekitaran. Kanak-kanak berlari-lari ke sana kemari
dengan penuh kegirangan.
Senyum girang Atika Ayuni menyambut ketibaan Zulaika. Mereka berpelukan seketika.
“Ayu nampak cantik.” Puji Zulaika. Atika Ayuni tersenyum manis.
“Ika pun apa kurangnya. Berseri macam mak datin!” sahutnya. Mereka tergelak kecil. “Eh, Abang Yusuf tak datang ke?”
“Datang, tapi biasalah dia tu...” Zulaika tidak dapat meneruskan kata-katanya.
“Apa maksud kau?”
“Hmmm... tak ada apa-apalah, Ayu. Pukul berapa keluarga Taufik akan sampai esok?”
“Tengah hari, dalam pukul dua belas macam tulah. Mereka sekarang ni menginap di hotel kat pekan.”
“Iya? “ Zulaika agak terkejut kerana suaminya juga menginap di hotel yang sama dengan ahli rombongan bakal tunang Atika Ayuni.
“Ika, Abang Zahid ada tanya Ayu tentang kau. Nampaknya dia masih tak lupakan kau walaupun kau sekarang dah bersuami.”
“Isy, Ayu ni! Abang Zahid tupun dah beristeri juga kan.” Tukasnya dengan rasa kurang senang.
“Dia kirim salam pada kau.” Beritahu Atika Ayuni sambil tersenyum lebar.
“Waalaikumussalam. Dia sekarang tinggal di mana?”
“Ayu ingatkan Ika dah tak minat nak ambil tahu tentang dia lagi,
rupa-rupanya tak ya? Sekarang ni dia tinggal di Seremban dengan
isterinya.” Tingkah gadis itu. Zulaika hanya mengangguk.
Untuk
seketika kenangan bersama Zahid yang pernah bekerja sebagai pembantu di
warung Mak Cik Fatimahnya dahulu menerpa ke hati. Jejaka itu banyak
membantunya. Malah Zahid sering cuba melindunginya apabila dimarahi atau
dikasari oleh Fatimah mahupun Fatin Adiba.
Kini, mereka telah
membawa haluan masing-masing. Zahid kini bahagia bersama isteri dan dua
anaknya di Seremban. Dia pula telah menjadi isteri Yusuf Hakimi.
KETIKA isterinya berada di rumah Atika Ayuni, Yusuf Hakimi melangkah
turun dari blik hotelnya dan menuju ke gerai yang terletak bertentangan
dengan hotel tersebut. Suasana di situ juga agak meriah. Deretan gerai
itu dipenuhi oleh para pengunjung.
Tiba-tiba dia terlihat satu wajah
yang dikenalinya – Taufik! Dia tidak menyangka jejaka itu turut berada
di sana. Dia segera menghampiri Taufik yang dikelilingi oleh ahli
keluarganya.
“Eh, Suf!” Taufik juga kelihatan terkejut melihat dia tersengih-sengih di hadapannya.
“Engkau ni dah tak sabar sangat nak tengok bakal tunang ke?”
“Apa salahnya aku ikut sama? Kau balik juga ke kampung ya? Ika mana?”
“Mana lagi, di rumah Ayulah agaknya.”
Mereka ketawa.
Yusuf Hakimi melabuhkan punggungnya di sisi Taufik. Tidak perlulah dia
makan sendirian malam itu. Mereka menikmati hidangan makan malam sambil
berbual-bual. Yusuf Hakimi mengusik temannya yang akan menamatkan zaman
bujangnya tak lama lagi.
“Umur aku ni semakin meningkat, Suf. Tak
sabar rasanya aku nak menimang cahaya mata.” Tingkah Taufik dengan mata
yang bersinar-sinar seolah-olah membayangkan kebahagiaan yang bakal
dikecapinya.
Yusuf Hakimi tersenyum nispis. Anak? Ya, setiap
pasangan yang telah berumah tangga pasti dambakan kehadiran cahayamata
yang akan memberikan sinar dalam hidup berkeluarga. Dalam usia yang
hampir mencecah ke angka tiga puluh enam, dia juga mahukan kehadiran
anak-anak kecil yang memeriahkan lagi dunianya. Tapi nampaknya dia dan
Zulaika belum ada rezeki.
Ah, apa yang nak dirisaukan sangat? Aku
dan Ika baru aje dua tahun kahwin, desis hatinya. Zulaika pula baru
berusia dua puluh satu tahun, masih banyak masa lagi untuk mereka
berdua. Tapi yang membosankannya ialah desakan yang keterlaluan daripada
mamanya yang mahu melihat dia dan Zulaika menimang cahayamata dalam
jangkamasa terdekat, macamlah seorang bayi itu boleh dibeli di pasar
malam.
“Aku doakan semoga cita-cita kau tu akan cepat tercapai.” Tingkah Yusuf Hakimi sambil mencapai Nescafe panasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan