40
JOHAN tergelak kecil melihat Intan Juliana terkial-kial
menarik kailnya yang dipagut ikan. Dia bersyukur kerana gadis itu sudah
mula menerima hakikat kehidupannya walaupun hakikat itu amat perit untuk
ditelan. Perempuan mana yang dapat menerima hakikat bahawa dirinya
sedang mengandungkan benih perogolnya? Perempuan lain mungkin akan
mengikut nasihat doktor supaya kandungan itu digugurkan. Tapi Intan
Juliana pula mengambil keputusan untuk melahirkan benih perogolnya yang
masih bebas. Jelaslah bahawa Intan Juliana bukan sembarangan perempuan.
Dia juga seperti ibunya, lambang seorang wanita yang kuat dan tabah!
Telah hampir sebulan setengah Intan Juliana dan pembantunya yang setia,
Siti Asiah, menumpang di rumah rehatnya yang terletak di sebuah kampung
berhampiran Tasik Chini walaupun mendapat tentangan keras daripada
isterinya sendiri. Memang sejak dahulu Sahara mencemburui hubungan
baiknya dengan arwah Nuraini. Kini setelah kematiannya, cemburu itu
beralih pula pada anak perempuannya, Intan Juliana. Nyata sekali,
perempuan dan perasaan cemburu memang tak boleh dipisahkan walaupun dia
menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia ada menaruh hati pada anak bekas
kekasihnya itu.
Dia telah menganggap Intan Juliana bagaikan anaknya
sendiri. Lebih-lebih lagi setelah dia dan Sahara tidak dikurniakan anak
perempuan. Setelah insiden di malam jahanam itu, dia tak akan
mengabaikan Intan Juliana walau bagaimana hebatnya halangan dan larangan
isterinya. Perempuan itu kini telah menjadi tanggung jawabnya. Alangkah
baiknya kalau Sahara dapat berbaik-baik dengan Intan Juliana, desis
hatinya sambil segera menghampiri Intan Juliana yang masih terkial-kial
hendak menarik mata kailnya.
“Ikan haruan ni kalau dibuat gulai
darat memang sedap.” Kata Siti Asiah apabila Intan Juliana menayangkan
dengan bangga hasil tangkapannya.
“Masak ajelah apa-apapun, Kak
Siti. Asalkan sedap sudahlah, betul tak uncle?” soalnya dengan manja ke
arah Uncle Johannya. Lelaki itu angguk sambil tergelak kecil.
“Ju, sampai bila Ju nak berada di sini?” soal Johan setelah Siti Asiah berlalu.
“Kenapa? Uncle tak suka Ju kat sini?”
“Bukan macam tu. Ju jangan salah faham.”
Intan Juliana merenung jauh. “Ju rasa tenang berada di sini, uncle.
Jauh dari hiruk-pikuk kota dan jauh daripada manusia-manusia yang
ganas.”
“Tapi bagaimana dengan kerjaya Ju? Bagaimana dengan galeri
lukisan Ju di KL tu? Uncle tak kisah selama mana pun Ju nak tinggal di
sini tapi suatu ketika nanti Ju kena juga tinggalkan tempat ni dan
berdepan dengan realiti. Kerja Ju... client dan kawan-kawan Ju selalu
tanya tentang Ju. Yusuf pun selalu call uncle tanya tentang Ju.” Terang
Johan.
Intan Juliana menoleh ke arahnya. Nama yang baru saja meluncur keluar dari mulut lelaki itu nyata menyentak emosinya.
“Yusuf?”
“Ya, Yusuf Hakimi. Dia benar-benar risau tentang Ju.”
“Uncle tak cerita apa-apa pun tentang kejadian yang menimpa Ju tu pada dia kan, uncle?” soalnya dengan gusar.
“Tak! Kan uncle dah janji nak tutup mulut pasal tu.”
“Ju tak mahu dia jatuh kesian dengan Ju. Ju tak mahu susahkan hatinya,
uncle.” Rintih Intan Juliana. Dada Johan turut sebak. Dia tahu hanya
Yusuf Hakimi saja kunci keceriaan perempuan itu. Malangnya, lelaki itu
telah berpunya. Alangkah baiknya kalau dinyahkan saja perempuan bernama
Zulaika daripada muka bumi ni, hatinya mendesis.
“Tapi dia kan kawan baik Ju. Apa salahnya berkongsi masalah? What’s friends are for?”
“No!!!” jeritan Intan Juliana benar-benar mengejutkan Johan.
“Okey... okey! Uncle minta maaf. Uncle faham dan hormat pendirian Ju.
Selain daripada Yusuf ada sorang lagi lelaki yang sangat kerap
menghubungi uncle untuk tanyakan tentang Ju...”
“Siapa?”
“Zack.”
“Zackhary?” soalnya. Johan mengangguk.
“Dia betul-betul risau tentang Ju. Malah dia sering merayu untuk bercakap dengan Ju.”
“No... no... no, uncle! Ju tak nak bercakap dengan sesiapa pun baik
dengan Yusuf mahupun Zackhary. Ju mahu dibiarkan bersendirian.” Tingkah
Intan Juliana dengan tegas. Johan hanya mampu mengangguk sahaja.
UNTUK KESEKIAN KALINYA dia berdiri di hadapan galeri yang bukan saja
berkunci malah siap bermangga. Dia hairan kemanalah pemilik galeri itu
pergi sedemikian lama. Bukan perangai Intan Juliana untuk meninggalkan
kerjanya begitu saja.
Pasti ada yang tak kena, desis hatinya dengan perasaan risau.
Tidak cukup menziarahi galeri lukisan yang terketak di Bangsar, dia
juga menjejaki Intan Juliana sehingga ke banglonya yang tersergam di
Persiaran Tasik Titiwangsa. Hairan bin ajaib, pintu pagar dan rumah juga
berkunci. Malah papan tanda ‘UNTUK DIJUAL’ yang terpampang besar juga
semakin menambah tanda soal di hatinya.
Pelbagai cara digunakannya
untuk mencari teman baiknya itu tapi semuanya gagal. Mula-mula dahulu
dia dapat menghubungi Johan untuk bertanyakan tentang Intan Juliana dan
jawapan yang diterimanya ialah gadis itu sedang bercuti rehat dan tak
mahu diganggu. Lama-kelamaan Johan juga sudah malas hendak menjawab
setiap kali dia menelefon ke talian bimbitnya.
Ke mana kau, Intan? Apa yang terjadi pada dirimu?
Bam! Tiba-tiba tubuhnya berlanggar dengan seorang lelaki.
“Sorry!” ucapnya dan mata keduanya bertentangan. Serasa macam pernah
lihat lelaki ni, desis hatinya dan tiba-tiba dia teringat bahawa lelaki
itulah yang pernah keluar makan malam dengan Intan Juliana di sebuah
restoran mewah lama dahulu.
“Err... tak apa!” lelaki itu juga seolah-olah mengenalinya. “Macam pernah jumpa.”
“Saya... Yusuf Hakimi.”
“Saya Zack... Zackhary Iskandar.”
Mereka bersalaman. “Ya, saya pun rasa memang kita pernah jumpa. Saudara
ni kawan pada Intan Juliana, pemilik galeri ni kan?” soal Yusuf Hakimi.
“Ya.” Sahut pemuda itu.
“Saudara tahu tak dia di mana
sekarang? Saya... saya ada order sebuah lukisan dari dia, tapi dah
hampir dua bulan dia tak datang kerja. Dia juga tak dapat dihubungi.”
Yusuf Hakimi mencipta alasan yang dirasakan lojik untuk dipersembahkan
pada jejaka kacak yang kelihatan gelisah di depannya itu.
“Err...
saya pun sebenarnya sedang cari dia ni. Saya pun tak tahu di mana dia
berada. Saya minta maaf kerana tak dapat menolong.”
Yusuf Hakimi mengeluh mendengar jawapan pemuda itu. Dia benar-benar kecewa.
“FATIN bunting pelamin.” Kata-kata Fatimah itu benar-benar mengganggu
emosinya. “Kawin aje terus lekat. Dah sebulan setengah usia
kandungannya. Dia mabuk teruk terutamanya waktu pagi. Mengidam asam boi
aje. Hari-hari Fauzan belikan dia air asam boi.” Begitu ceria suara
Fatimah di corong telefon. Ceria seorang ibu apabila mengetahui bahawa
anaknya yang suatu ketika dulu adalah seorang anak gadis bermasalah,
kini sedang berbahagia di sisi suami yang dapat mengawal dan menjaganya.
Zulaika tergelak. Nyata dibuat-buat.
“Ika pun tumpang gembira. Bila mak cik nak datang sini pula?”
“Nampaknya sekarang ni belum boleh lagilah, Ika. Mak cik kena jaga
Fatin yang masih mabuk tu. Bila kandungannya dan nak masuk ke tiga atau
empat bulan nanti mungkin baru mabuknya akan kurang.” Fatimah beralasan.
“Kau jangan kecil hati pula ya!”
“Taklah, mak cik. Sampaikan salam Ika pada Fatin ya.”
“Eh, ni Si Fatin nak bercakap dengan kau.” Kata Fatimah sebelum sempat dia meletakkan telefon.
“Ika! Ni akulah, Fatin.” Suara Fatin Adiba kedengaran di corong talian.
“Ya, Fatin! Aku dengar cerita kau mengidam asam boi, betul ke?”
Fatin Adiba mengekel. “Aku suka benda-benda masamlah, Ika. Kalau pekena
nasi aje rasa nak muntah. Kau tak tengok lagi badan aku ni, dah jadi
kurus macam batang mancis.”
“Lebih kurus daripada aku semasa kat
kampung dulu?” soal Zulaika membayangkan masa silamnya ketika tenaga
mudanya diperas di warung Fatimah.
“Ala, kau ni! Janganlah sebut lagi peristiwa yang dah lalu tu.”
“Aku minta maaf.”
“Tak apa! Eh, kau dengan Abang Yusuf bila lagi? Tak teringin ke timang cahayamata?”
“Err... belum rezeki kami. Apa-apapun aku ucapkan tahniah pada kau, Fatin.”
“Yelah, Ika! Kalau difikir-fikirkan... lucu jugak. Aku dengan Abang
Fauzan macam ekspres rakyat, laju je. Nikah tergesa-gesa lepas tu terus
melekat.” Tutur Fatin Adiba dengan ceria.
Mereka ketawa. Lebat!
“Yelah, kau tu ekspres rakyat. Aku dengan Abang Yusuf macam kereta lembu.” Sahut Zulaika selepas tawa mereka reda.
“Dah belum rezeki korang berdua, apa nak buat? Sabar jelah!” tukas
Fatin Adiba sebelum menamatkan perbualan mereka lewat petang itu.
Dia dibungkus oleh kesunyian yang mencengkam. Suaminya masih belum
pulang walaupun jam hampir menuding ke pukul enam setengah petang. Dia
meraba-raba perutnya yang masih kosong dan tertanya-tanya bilakah benih
cinta suaminya akan melekat di situ.
Apa yang tak kena dengan aku
ni, hatinya menyoal. Dia pernah mendesak suaminya agar mereka bertemu
dengan doktor untuk mengetahui apa masalah sebenarnya tapi Yusuf Hakimi
yang kurang bersetuju.
“Kenapa perlu tergesa-gesa nak jumpa doktor,
Ika? Usia perkahwinan kita pun belum sampai lima tahun. Abang tak mahu
pertemuan demi pertemuan kita dengan doktor nanti buat kita tertekan.
Lagipun abang sekarang ni sedang sibuk memajukan syarikat abang. Abang
rasa Ika pun sekarang ni sangat sibuk menyiapkan projek buku kanak-kanak
dengan syarikat penerbitan tu kan?” kata-kata Yusuf Hakimi yang sarat
dengan kebenaran itu membuatkan Zulaika terdiam.
“Ika percaya bahawa anak itu rezeki Allah Taala, tak?”
Zulaika angguk. “Ika percaya, bang.”
“Kita terus berusaha dan berdoa. Abang pasti suatu hari nanti doa kita
akan dimakbulkan Tuhan.” Yusuf Hakimi memberi semangat padanya.
Dia
meraba perutnya lagi. Mungkin ada hikmah di sebalik kelewatannya dan
suami memiliki cahayamata sendiri, desisnya dan hati menjadi tenang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan