Cari Blog Ini
Isnin, 3 Februari 2014
RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 18
“TAHNIAH, Cik Fatin. Sekarang awak dah jadi salah seorang ahli di FNR Engineering Sendirian Berhad.” Fauzan berjabat tangan dengan gadis itu. Fatin Adiba kelihatan amat gembira. Itu jelas kelihatan daripada air mukanya.
“Saya ni sebenarnya amat memilih ketika mencari pekerja baru. Orang muda sekarang ni mudah sangat bertukar-tukar kerja. Kadang-kadang tu tak sampai tiga empat bulan dah pindah ke tempat kerja lain. Tapi sebab Yusuf Hakimi tu kenalan lama saya, maka saya terima awak kerja di sini tanpa banyak soal. Saya harap awak bekerja di sini dengan penuh dedikasi. Insya-Allah kalau awak menunjukkan prestasi dalam kerja awak, peluang untuk dinaikkan pangkat ataupun gaji tu terbuka luas.”
Fatin Adiba mengangguk.
“Terima kasih kerana terima saya kerja kat sini, Encik Fauzan. Insya-Allah saya akan bekerja dengan rajin.” Janjinya.
Fauzan memanggil setiausahanya yang bernama Aini, masuk ke bilik. Beberapa minit kemudian Fatin Adiba telah berada di bahagian pentadbiran untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pembayaran gajinya kelak. Selepas itu dia terus dibawa turun ke tempat menyambut tetamu.
“Saerah, kenalkan dengan pembantu baru awak, Fatin Adiba.” Kata Aini memperkenalkannya pada gadis penyambut tetamu bernama Saerah. Kedua orang gadis itu berjabat tangan. “Tunjukkan Fatin cara-cara menjalankan tugasnya.” Sambung Aini sebelum berlalu dari situ.
“Sebelum ni awak kerja kat mana?” soal Saerah setelah menunjukkan serba ringkas kerja-kerja yang perlu dilakukan oleh Fatin Adiba sebagai telefonis dan penyambut tetamu di situ.
“Kerja kilang kat kampung.” Fatin Adiba memberitahu.
“Saya dengar awak adik ipar Encik Yusuf, ya?” soal Saerah. Fatin Adiba hanya mengangguk.
Mereka mula sibuk menjalankan kerja sehingga tidak menyedari yang waktu makan tengah hari telah tiba. Saerah menyuruh Fatin Adiba keluar makan dahulu kerana dia tidak mahu membiarkan meja penyambut tetamu itu kosong. Fatin Adiba tidak banyak cakap walaupun dia sebenarnya keberatan untuk keluar makan sendirian di tempat yang masih agak asing bagi dirinya.
“Bawa purse aje. Tinggalkan beg tangan kau tu kat sini.” Kata Saerah yang sudah mesra dengannya. “Ingat tau, pukul satu empat puluh lima nanti kau kena gantikan tempat aku kat sini. Aku pun dah lapar ni.”
“Okey!” sahutnya. Ketika dia hendak melangkah keluar dari ruang pejabat itulah seorang anak muda kacak melangkah masuk. Pandangan mereka berlaga seketika. Hanya seketika kerana Fatin Adiba terpaksa berkejar dengan masa.
“Siapa tu?” soal Rayzal pada Saerah.
“Fatin Adiba, penyambut tetamu baru kat sini.” Saerah memberitahu. “Kenapa, kau berminat ke?”
“Nantilah... aku fikirkan dulu!” sahut Rayzal sambil tergelak dengan nada sumbang.
“Kau jangan, Ray. Mengamuk Aini dengan kau nanti.” Saerah mengingatkan.
“Berapa kali aku nak beritahu, aku dengan Aini hanya kawan biasa aje. Aku bebas nak berkawan dengan mana-mana perempuan lain. Kalau kau berminat pun boleh juga!” mata Rayzal galak memandang gadis tersebut.
“Sudahlah, engkau! Bukan aku tak tahu engkau tu buaya darat.” Hempuk Saerah yang cukup arif dengan sikap Rayzal. Tapi dia pelik kerana Aini masih juga mahu rapat dengan jejaka itu.
“Papa ada kat atas?”
“Ada! Kau ni nak jumpa papa kau ke, ataupun Aini?” perli Saerah.
“Semuanya aku nak jumpa, termasuklah kau!” tingkah Rayzal, galak. Saerah hanya mengekel. Dia tahu jejaka seperti Rayzal memang handal mengayat perempuan.
Rayzal hanya singgah beberapa minit sahaja di bilik Fauzan yang kebetulan adalah papanya. Dia juga sempat mengusik Aini yang semakin rapat dengannya itu.
“Malam ni kita jumpa lagi, okey.” Bisiknya ke telinga Aini membuatkan gadis itu tersenyum lebar sampai ke telinga.
Kebiasaannya dia menghabiskan masa selama setengah jam atau lebih di bilik papanya. Tapi tengah hari itu dia ada agenda yang lebih penting untuk difikirkan. Pandangan mata yang berlaga dengan Fatin Adiba ketika dia berada di pintu masuk pejabat seketika tadi mula mengasak ruang fikirnya.
Cantik juga ayam kampung tu, desis hatinya ketika dalam perjalanan turun dari bilik papanya.
Dia tidak menghiraukan Saerah yang berkeriau bertanya mengapa dia cepat-cepat hendak pulang. Dia segera mencapai motosikal berkuasa tingginya dan memecut ke arah deretan gerai di seberang jalan. Dia pasti gadis yang dicarinya berada di salah sebuah gerai di situ.
Dia tersenyum senang apabila melihat Fatin Adiba sedang duduk seorang diri di gerai Singgah Selalu. Dia menghampiri gadis yang sedang berbual dengan seseorang melalui telefon bimbitnya.
“Terima kasih kerana telefon Fatin, bang. Ya, Fatin baru aje nak makan ni. Abang dah makan? Ye ke... okeylah bang, bye!” ujar Fatin Adiba. Dia terkejut kerana Yusuf Hakimi sanggup bersusah-payah menelefonnya sekadar untuk bertanya apakah dia sudah makan tengah hari dan dengan siapa. Selama ini dia cukup tahu bahawa suami kakak tirinya itu tidak pernah menyukainya mahupun ibunya.
“Hai, Fatin!”
Terkejut beruk dia apabila tiba-tiba disapa oleh seseorang ketika sedang mengangankan wajah Yusuf Hakimi. Dia segera mendongak dan mendapati pemuda yang bertembung dengannya di pintu masuk pejabat seketika tadi kini berada di hadapannya. Tanpa dipelawa, Rayzal terus duduk.
“Awak tentu terkejut, kan? Saya, Rayzal.” Anak muda itu memperkenalkan dirinya tanpa rasa canggung sedikit pun.
Fatin Adiba tersenyum ramah. Memang seronok bekerja di Kuala Lumpur ni, ramai jejaka handsome, bisik hatinya.
“Apa khabar, Rayzal?”
“Baik. Kesian... makan sorang-sorang aje ya? Tak apa, biar saya temankan.”
“Terima kasih.” Tukas Fatin Adiba. Tatkala mata mereka berlaga, Rayzal segera memberikan senyuman mautnya untuk Fatin Adiba.
Mereka makan bersama sambil bertukar-tukar cerita. Fatin Adiba terkejut apabila mendapati dirinya sedang makan tengah hari bersama-sama anak lelaki bosnya. Rasa bangga mula menguasai dirinya. Ternyata kedatangannya ke kota Metropolitan itu bukanlah kedatangan yang sia-sia. Rayzal nyata lebih kacak dan bergaya daripada Amir, lelaki rosak akhlak yang telah ditinggalkan nun jauh di ceruk kampung sana.
Hatinya bernyanyi-nyanyi riang!
LEPAS waktu Zohor, Fatimah membawa dirinya ke bilik untuk berehat. Kesempatan itu diambil olehnya untuk mengadap laptopnya. Niat di hati hendak menyambung ke bab yang seterusnya.
Ketika dia berhadapan dengan laptopnya, dia sentiasa menyalurkan ke hati bahawa setiap sesuatu yang hendak dilakukan itu perlulah ikhlas. Bekerja tanpa niat yang ikhlas untuk mencari nafkah yang halal seterusnya mendapatkan keredaan Allah Taala akan membuatkan seseorang itu cepat bosan dalam setiap apa yang dilakukannya. Arwah ayahnya pernah menasihatinya agar meluruskan niat untuk pastikan kejayaan digenggam.
Ada orang bekerja kerana dorongan wang. Memang prinsip itu tidak ada salahnya. Wang memang diperlukan terutamanya untuk melunaskan tuntutan di zaman moden yang serba mencabar ini. Wang perlu untuk membayar segala macam bil dan mempastikan keperluan perut sentiasa terisi. Bagi yang ada anak, wang perlu untuk mempastikan pelajarannya tidak terabai. Malah, untuk beramal ibadat juga faktor wang tak boleh dinafikan. Bagaimana seseorang hendak membayar zakat dan mengerjakan amal ibadat di Tanah Suci Mekah kalau poketnya kering kontang tanpa Ringgit Malaysia?
Namun bekerja atas dorongan wang sering membuat manusia lupa kepada perintah Allah. Sedangkan Allahlah yang menurunkan rezeki pada mereka. Kerana terlalu asyik mengejar wang, waktu solat ditinggalkan, amal ibadat ditolak ke tepi. Kerana dorongan wang juga, seseorang itu sanggup meminta dan menghulur apa yang dinamakan rasuah. Malah, yang lebih teruk lagi ada orang sanggup mencari jalan singkat untuk mengejar wang dan kemewahan hidup yang hanya sementara dengan melakukan pekerjaan yang menyeleweng seperti merompak, menyeludup dadah ataupun menjual maruah diri sebagai wanita penghibur di malam hari hatta pelacur sekalipun!
Tapi jika manusia bekerja mencari rezeki dengan niat untuk mendapatkan redha Allah Taala, pasti dia akan meninggalkan semua pekerjaan yang menyeleweng ini.
Setiap daripada kita telah ditentukan rezekinya oleh Allah Taala. Namun kita terpaksa berusaha, berdoa dan bertawakkal. Yang rugi ialah orang yang bekerja sekadar untuk mencukupkan kantongnya agar dapat membayar bil-bil setiap hujung bulan dan mempastikan kelangsungan hidupnya dapat diteruskan. Si dia ini akan bangun setiap pagi dengan rasa malas, menuju ke tempat kerja dengan rasa tidak ikhlas dan sentiasa menunggu-nunggu masa untuk pulang semula ke rumah. Begitulah rutin hariannya.
Bagaimanakah agaknya produkitivi orang sebegini? Setiap kerja yang dilakukan tanpa keikhlasan, hasilnya pasti kurang memuaskan. Tapi berbeza dengan orang yang ikhlas ketika bekerja dengan niat di hatinya untuk membawa rezeki yang halal pulang ke rumah demi anak-anak dan keluarga tercinta. Walaupun rezeki yang dibawa pulang itu sedikit, hatinya tetap bahagia.
Begitulah halnya dengan Zulaika. Dia ikhlas ketika membantu ibu tirinya mengusahakan warung bawah pokok ketapang dahulu. Walaupun imbuhan yang diterimanya tidak setimpal dengan jerih-perih dan keringat yang keluar dari tubuhnya, dia tetap pulang ke rumah dengan hati yang gembira. Dia hanya bersedih ketika Fatimah dan Fatin Adiba melayannya bagaikan babu yang tidak punya hati dan perasaan. Selebihnya, dia menyerahkan untung nasibnya pada Allah.
Banyak kebaikan yang diperolehinya ketika bekerja di warung dahulu. Kerana tak henti-henti bekerja, tulangnya menjadi kuat. Dia juga pandai memasak dan ini terbukti setelah suaminya kerap memujinya.
Kini, dia tidak lagi perlu membanting tulang di warung ibu tirinya. Dia menumpukan perhatian pula pada pekerjaan barunya sebagai suri rumah tangga dan juga penulis bebas. Dia melakukan pekerjaan itu dengan hati yang gembira. Dunia penulisan juga mampu meluaskan pemikirannya. Dia semakin banyak membaca buku-buku. Dia juga semakin banyak berfikir. Dia mahu menghasilkan novel-novel yang berkualiti, yang walaupun mungkin tidak setanding dengan novel-novel nukilan Sasterawan Negara, tapi penuh dengan harapan agar secebis daripada pemikirannya mampu mengubah seseorang.
Oleh sebab itulah dia banyak menyelitkan nilai-nilai murni untuk memotivasikan pada pembacanya dengan harapan agar mereka di luar sana yang mungkin sedang menderita tidak akan mudah menyerah kalah.
Walaupun terkadangkala dia dihimpit rasa bosan kerana dengan bekerja di rumah, dia jarang bertemu orang ramai, tapi dia tidak menyesal. Kerana dia tahu menulis adalah juga pekerjaan yang murni. Kerana dia tahu yang dia mampu menyalurkan seluruh fikiran dan pandangannya untuk dikongsi dengan khalayak pembaca.
Apa hinanya bekerja di rumah? Dia tidak perlu memikirkan tentang pakaian apa yang perlu disarung ke tubuhnya untuk ke pejabata keesokan harinya. Malah, kehormatan dirinya juga terjaga. Dia hanya bersolek dan berdandan untuk suaminya. Hanya suaminya yang melihat kecantikannya dan secara tidak langsung dia telah mendapat pahala percuma. Dia terselamat daripada apa yang dinamakan pergaulan bebas di tempat kerja.
Zulaika cukup bersyukur dengan kehidupan yang sedang dilaluinya sekarang. Dia hanya berdoa untuk hidup tenang dan aman di sisi suaminya... dan mungkin anak-anaknya dengan Yusuf Hakimi.
Tangannya yang lincah mengetuk papan kekunci tiba-tiba sahaja terhenti. Persoalan zuriat ini kadangkala mengganggu emosinya, menggugat ketenangannya. Fatimah juga awal pagi tadi telah mempersoalkan kenapa benih Yusuf Hakimi masih belum melekat di rahimnya sedangkan mereka telah dua tahun berumah tangga. Kenapa?
Dia meraba perutnya. Alangkah indahnya dunia kalau Kau kurniakan aku dengan anak-anak yang mewarnai dunia cintaku dengan suamiku, ya Rabbi, desis hatinya dengan segunung harapan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan