Bab 39
HUJAN yang turun bagaikan mutiara,
berkilau bersinar berkerdipan,
Subur menghijau bumi terbentang dan bayu berpuput lembut...
Selembut hujan bercurahan begitulah cinta ini
Semesra bumi yang disirami, begitulah hati ini...
Alunan lagu Hujan yang dinyanyikan oleh arwahyarham Sudirman Haji
Arshad kedengaran mendayu-dayu dari corong radio. Kebetulan pula
rintik-rintik hujan yang sejak tadi menyirami bumi masih belum ada
tanda-tanda hendak berhenti walaupun condong ke Barat, matahari sudah
mula menyinar. Rintik-rintik hujan itu juga bagaikan menyirami sekepal
hatinya sehingga kebasahan.
“Ju, betul ke tak nak ikut uncle ke
bandar?” satu suara garau menyapanya dari belakang. Dia menoleh ke arah
lelaki yang sudah berpakaian kemas itu lalu menggelengkan kepalanya.
“Selain daripada barang-barang yang Ju dah senaraikan tadi, ada lagi tak
barang-barang yang Ju nak pesan?”
Intan Juliana geleng kepala.
Uncle Johannya tidak banyak cakap. Dia mencapai kunci keretanya yang
tergeletak di atas meja, dan setelah menutup radio, segera beredar dari
situ. Seketika kemudian enjin keretanya kedengaran menderum meninggalkan
perkarangan rumah. Dan ketika bunyi enjin kereta itu tak lagi hinggap
ke telinganya, alam kembali sunyi sepi kecuali bunyi rintik-rintik hujan
yang menimpa dedaunan serta desahan angin yang sesekali menyapa.
Telah hampir dua bulan dia melarikan dirinya ke daerah yang jauh dari
hiruk-pikuk kota itu untuk mencari ketenangan di jiwa. Tapi walau ke
daerah mana pun dia melangkah, erti tenang bagaikan telah meninggalkan
seluruh dirinya. Jiwa wanitanya kosong dan kesepian.
“Zack, kenapa
you masih ganggu I, huh? You tak reti bahasa ke? Kan I dah katakan yang I
tak sudi, kenapa you nak paksa-paksa I? Dah kering ke perempuan lain di
kota besar ni, Zack?” dia sudah muak berlembut dengan lelaki bermata
merah itu. Apakah Zackhary Iskandar tidak dapat menerima kenyataan
bahawa dia lansung tak mencintainya? Dan cintanya tak boleh dipaksa.
“Siapa lelaki yang dah potong jalan I tu, Ju? Katakan pada I!
Katakan!!!” jerit jantan yang sudah dikuasai oleh minuman yang
memabukkan itu. Intan Juliana semakin meluat. Kalau diikutkan hati mahu
saja dia menolak keluar jantan tak guna itu dari ruang galerinya.
“Zack, I rasa baik you keluar dari sini sebelum I telefon polis.
Keluarlah, Zack! Keluar!” suaranya melengking di ruang galeri. Loceng
yang berbunyi di luar pintu galeri menjadi penyelamat. Dia menarik nafas
lega kerana Zackhary Iskandar melangkah meninggalkan tempat itu setelah
melihat kehadiran dua orang pelancong Inggeris.
Dia melayan dua
orang pengunjung yang menjadi penyelamatnya itu dengan mesra. Pun begitu
hatinya masih dipagut bimbang dengan sikap Zackhary Iskandar yang kerap
mendesak agar dia menerima cintanya. Masakan mungkin aku menerima cinta
yang kau hulurkan Zack, sedangkan hatiku ini dipenuhi oleh wajah insan
lain.
Setelah kedua orang pengunjung itu meninggalkan ruang galeri,
dia duduk sambil merenung lukisan yang kaku dan beku. Ketika itulah satu
wajah muncul di jiwanya – Yusuf Hakimi. Sejak peristiwa dia bersemuka
dengan Zulaika, lelaki itu semakin jarang menghubungi ataupun bertemu
dengannya. Dia faham dan dapat menerima kenyataan bahawa Yusuf Hakimi
tak boleh diganggu dan harus dibiarkan membina bahagia bersama isteri
tercinta. Dia tak mahu dikatakan sebagai perosak rumah tangga orang
walaupun hatinya basah dengan cinta terhadap lelaki itu.
Yusuf
Hakimi sudah lama menjadi sahabat baiknya. Hubungan mereka terjalin
dengan cara yang agak unik kerana ketika dia mengenalinya, Yusuf Hakimi
kebetulan adalah kekasih adik tirinya, Suziana, daripada perkahwinan
ayahnya dengan isteri pertama. Ketika hubungan cinta lelaki itu dengan
Suziana putus, hubungannya dengan Yusuf Hakimi semakin mesra sehinggalah
munculnya gadis bernama Zulaika.
“You takkan percaya wajah Ika yang
I mula-mula lihat di warung buruk tu. Dia comot dan badannya kurus
kering. Bajunya hapak dengan bau belacan. Paling menyedihkan kudrat
mudanya diperas oleh ibu tirinya. Ya, sewaktu mula-mula terpandangkan
dia dulu, I kesiankan dia... anak yatim piatu yang diseksa oleh ibu
tirinya.”
“Ada sesuatu yang istimewa dalam dirinya yang buatkan I
sering singgah untuk makan di warung bawah pokok ketapang tu dulu.
Mungkin nilah yang dinamakan jodoh. Mula-mula I memang tak perasan
bilakah munculnya rasa kasih terhadap dia sehinggalah dia berhenti kerja
di warung tu untuk berhijrah ke bandar dan kerja kilang di Bandar
Sunway. I ingatkan I takkan jumpa dia lagi tapi you ingat tak dia muncul
di meja kita sewaktu kita sedang menikmati makan malam dia sebuah gerai
di Kampung Baru? You ingat lagi tak, Ju?” tekan Yusuf Hakimi. Dia
mengangguk dan imbasan peristiwa lebih dua tahun lampau itu masih
melekat teguh dalam ruang ingatannya.
Ketika itu dia baru saja
menyiapkan potret Yusuf Hakimi. Apabila lelaki itu bertanyakan berapakah
harga potret yang dilukisnya dia terus meminta lelaki itu belanja makan
malam kerana dia ingin membicarakan sesuatu hal yang mustahak. Yusuf
Hakimi terus bersetuju tanpa mengetahui bahawa dia ingin meluahkan rasa
hatinya yang mula menyukai lelaki itu. Dia ingin memberitahu Yusuf
Hakimi bahawa bayaran untuk potret yang dilukisnya akan langsai kalau
cintanya terhadap lelaki itu berbalas.
Mereka menikmati makan malam
di sebuah gerai. Dia cuba untuk kelihatan berselera menjamah hidangan
di hadapan lelaki itu sedangkan hakikatnya, seleranya tertutup dek
debaran yang menggerutup di jiwa. Malang sekali, sebelum dia dapat
meluahkan isi hatinya yang terpendam sejak sekian lama, tiba-tiba muncul
seorang gadis berbaju kurung lalu berdiri tanpa bergerak-gerak di bucu
meja mereka. Dan ketika melihat bagaimana keduanya saling
renung-merenung antara satu sama lain, dia sedar bahawa isi hati yang
dipendam tak mungkin diluahkan!
Intan Juliana mengeluh. Dia menoleh
jam di lengannya. Jarum jam menunjukkan tepat ke pukul sembilan tiga
puluh minit malam. Dia segera berkemas untuk pulang ke rumah besarnya
yang sunyi sepi kerana Siti Asiah masih belum pulang dari kampung
halamannya. Menyesal pula rasanya dia menjual kondominiumnya di Cheras
dahulu untuk berpindah ke banglo mewah yang terletak persiaran Tasik
Titiwangsa itu. Malah Uncle Johannya juga pernah menasihatinya agar
jangan meleburkan wang untuk membeli hartanah di kawasan itu sedangkan
dia tinggal sendirian.
Dia membunyikan hon keretanya. Pak Kadir,
bekas tentera yang bertugas menjadi pengawal banglo segera
menghampirinya sebaik saja pintu pagar terbuka.
“Cik Ju dah makan ke?” dia menyoal.
Intan Juliana menyengih.
“Kenapa? Kalau belum, Pak Kadir nak belanja ke?”
Pak Kadir kembali ke pondok pengawalnya lalu menghulurkan mangkuk tingkat ke arahnya.
“Ni, orang rumah Pak Kadir bekalkan untuk Cik Ju sebab dia tahu Cik
Siti Asiah bercuti.” Kata lelaki itu. Intan Juliana menjadi terharu.
“Ada nasi, sambal ikan keli dan gulai ayam aje, Cik Ju.”
“Terima
kasih, Pak Kadir. Ju pun sebenarnya tengah lapar ni.” Katanya. Dia
menghalakan kereta mewahnya ke porch dan melangkah masuk ke banglo yang
sunyi dan sepi tanpa mengetahui bahawa setiap pergerakan di sekitar
banglo itu sedang diperhatikan.
“ALLAH!” terluah perkataan itu
dari mulut Pak Kadir apabila tusukan pisau belati itu dihunjamkan tepat
ke dadanya. Darah merah membuak-buak lalu membasahi lantai simen. Dia
menggelupur bagaikan ayam yang disembelih sebelum badannya kaku tak
bergerak. Nyawa telah keluar dari badannya.
Perasaan belas kasihan
bagaikan telah terhakis dari diri dua orang penyerangnya yang bertopeng
serta berpakaian serba hitam itu. Malah salah seorang daripadanya sempat
menendang dan meludah tubuh kaku itu sebelum melangkah ke arah banglo
yang tersergam itu.
Di dalam kesamaran cahaya lampu yang sengaja
dibiarkan terpasang, mereka melangkah mendaki tangga menuju ke salah
sebuah bilik. Mereka berbicara kaku dengan memberikan isyarat tangan.
Salah seorang daripadanya menendang pintu bilik yang terkunci dari dalam
sehingga pecah. Jeritan seorang wanita kedengaran ketika kedua orang
penyamun itu menyerbu masuk.
“Lu diam! Diam!!! Kalau tak gue bunuh
lu!” salah seorang penyamun itu meluru ke arah Intan Juliana lalu
mencekak lehernya sehingga tak dapat bernafas sementara yang seorang
lagi sibuk menggeledah laci dan almari untuk mencari barangan berharga.
“Wah... wah! Orang kaya seperti lu ni siap dengan peti besi sekali.
Mana kuncinya?” soal lelaki itu dengan loghat Indonesis yang pekat.
Intan Juliana menggeleng-gelengkan kepalanya. “Cakap! Kalau tak...”
Dia terus menggelengkan kepalanya membuatkan penyamun itu bertambah
geram lalu menampar pipinya beberapa kali. Sekutunya yang menjumpai peti
besi tersebut hanya memandang ke arah Intan Juliana yang menjerit
kesakitan.
“Hey nyonya manis... lu dengar sini ya, mana lebih
penting? Harta lu dalam peti besi tu ataupun harta lu di sini...?”
tangan kanannya dengan pantas menyingkap gaun tidurnya lalu memegang
mahkota kegadisannya. Kebetulan malam itu dia tidak memakai seluar
dalam.
Intan Juliana kaget lalu melayangkan penampar ke wajah
penyerangnya. Terkejut dengan tindakan agresifnya, penyerang tersebut
melayangkan penumbuk tepat ke rahangnya membuatkan darah merah menyembur
keluar dari mulutnya. Pandangannya berpinar-pinar lalu akhirnya menjadi
gelap gelita. Dia tidak ingat apa-apa lagi sehinggalah mendapati
dirinya terbaring di katil hospital keesokan harinya.
Dia meratapi
nasibnya yang malang. Penyamunnya telah melarikan sejumlah wang dan
barang-barang berharga dari rumahnya. Tapi yang paling malang bagi
seorang gadis sepertinya ialah pemeriksaan doktor mendapati bahawa
dirinya telah dirogol. Dia telah diberikan pil cegah hamil untuk
mengelakkan benih perogolnya daripada melekat di rahimnya dan juga
rawatan untuk mengelakkan dirinya daripada dijangkiti oleh penyakit
kelamin.
Dia cukup malang kerana kegadisannya telah hilang di malam
jahanam itu. Tapi dia tahu ada orang yang lebih malang nasibnya iaitu
balu Pak Kadir yang terpaksa menerima hakikat kematian suaminya.
Mengenangkan itu dia menjadi teramat marah. Namun dia tak tahu pada
siapa dia harus melampiaskan kemarahannya – pada penyamun yang telah
membunuh Pak Kadir, pada perogol yang telah meragut kegadisannya atau
pada takdir malang yang membelit dirinya sejak sekian lama.
Uncle
Johannya berada di sisi sepanjang masa. Dia telah meminta lelaki itu
agar merahsiakan keadaannya daripada teman baiknya, Yusuf Hakimi, kerana
dia tak mahu menagih simpati lelaki itu lagi. Biarlah lelaki itu
bahagia di sisi isterinya.
Hari demi hari berlalu. Dia menanti dalam debar yang menyakitkan.
“Bagaimana saya boleh hamil, doktor? Sedangkan doktor juga yang
beritahu saya bahawa rawatan dan pil yang doktor bagi semasa kes rogol
tu, memang terbukti berkesan?” dia menyoal dengan bertalu-talu sehingga
doktor yang merawatnya menjadi serba-salah.
“Mungkin ni kuasa Tuhan,
Cik Juliana. Selalunya pil elak hamil yang diberikan untuk mangsa rogol
memang berkesan. Tapi kalau Cik Juliana mahu kandungan tu digugurkan...
masih belum terlambat.”
“Aaahhhh!!!” dia menjerit kuat dan jatuh pengsan di bilik rawatan.
DIA meraba perutnya. Walaupun bonjolan itu masih belum kelihatan tapi
dia tahu satu nyawa sedang berdegup dalam dirinya. Dia keliru sama ada
hendak membenci atau menyayangi nyawa tak diingini yang sedang berdegup
dalam badannya itu. Tetapi dia yang tegas menolak cadangan doktor
tersebut agar menggugurkan kandungannya yang baru hendak berputik itu.
Kini usia kandungannya telah mencapai tiga bulan.
Nasibnya sungguh
malang. Dia dirogol entah oleh siapa. Dia dirogol dan disamun. Nasib
anak dalam kandungannya juga malang kerana tak akan mengenali wajah
lelaki yang telah membenihkannya mungkin sampai bila-bila.
Mengenangkan binatang yang menyamun dan merogolnya masih bebas
berkeliaran di luar sana, dia sering dihantui ketakutan. Dia dan
pembantunya, Siti Asiah, menumpang di banglo Uncle Johannya untuk
sementara waktu. Banglonya yang tersergam di persiaran Tasik Titiwangsa
itu sedang dalam proses untuk dijual. Mujurlah ada Uncle Johan yang
sering di sisinya dan memberikan kekuatan padanya untuk berhadapan
dengan musibah itu.
“Uncle tak kisah. Semuanya tepulang pada Ju.
Kalau Ju nak gugurkan kandungan tu, uncle takkan halang. Tapi kalau Ju
nak terima juga kehadirannya, uncle tetap akan menyayanginya kerana
nyawa yang sedang berdegup dalam badan Ju sebenarnya tak bersalah.
Lelaki kejam yang dah merogol Ju tu yang wajar terima segala
pembalasannya.” Ucap Uncle Johannya memberikan semangat.
“Ju dah buat keputusan, uncle. Ju akan lahirkan bayi ni.” Tingkahnya dengan berani.
“Uncle sokong keputusan Ju tu!” sahut Uncle Johannya. Intan Juliana
tahu tanpa lelaki itu di sisinya, sukar untuk dia menjalani kehidupannya
yang sudah tak lagi normal. Kenapa bukan Johan yang dipilih oleh ibunya
sebagai suami sedangkan arwah ibu cukup tahu bahawa lelaki itu
mencintai dirinya? Kenapa perlu memilih lelaki yang telah beristeri?
Akibatnya ibu dibiarkan terkontang-kanting kerana perkahwinan itu tak
direstui oleh isteri pertama ayahnya. Ibu menderita dan membawa diri ke
luar negara. Dan sepanjang masa itu, Uncle Johanlah yang menjadi teman
baiknya.
Argh... hakikat percintaan memang pelik. Dia tak mungkin
menyalahkan ibunya kerana masih menyimpan cebis-cebis cintanya untuk
seorang lelaki yang tak bertanggung jawab seperti Datuk Kamarul kerana
dia juga kini sedang sarat mencintai Yusuf Hakimi yang juga suami
seorang wanita bernama Zulaika!
Argh! Dia meraba perutnya. Alangkah
bahagianya hidup kalau benih yang aku kandungkan ini adalah benih lelaki
yang aku cintai, desis hatinya dan tanpa disedarinya dia tertidur di
kerusi malas tersebut tatkala hujan semakin reda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan