Bab 23
YUSUF HAKIMI renung wajah cantik di depannya. Intan Juliana sedang enak-enak meratah ayam goreng.
“Suf, you dah makan?”
“Belum. Kenapa, you nak belanja ke?”
“Kalau you tak sibuk apa salahnya.”
“Okey. Seronok ada geng perempuan kaya macam you ni, hari-hari boleh
makan percuma.” Perbualan itulah yang membawa kepada pertemuan mereka di
tengah hari yang membahang ini. Dan dia pun sememangnya menunggu-nunggu
peluang untuk bersemuka dengan wanita itu untuk bertanya dengan lebih
lanjut tentang siapa jejaka pan-asian yang menemaninya makan di restoran
malam tadi. Dia tidak tahu mengapa tapi dia harus mendengarnya dari
mulut Intan Juliana sendiri.
“Ada-ada ajelah you ni!” sergah Intan
Juliana. “Eh, malam tadi pukul berapa you dan Ika balik? I tak perasan
pun. Aleh-aleh korang berdua dah tak ada kat meja.”
“Yelah, manalah nak perasan. Kan kat depan tu ada jejaka handsome... sama namanya... Zack?” usik Yusuf Hakimi.
Intan Juliana mengekel.
“Kalau ya pun nak balik, lambai-lambailah kat kita orang atau say goodbye dulu!”
“I dan Ika tak ganggu privacy you dengan buah hati you tu.” Tingkah Yusuf Hakimi.
“Buah hati?” dan Intan Juliana gelak lagi.
“Kalau bukan buah hati, siapa? Bukan main mesra lagi I tengok?”
“Kenapa? You jealous ke? You dan Ika apa kurangnya?”
Yusuf Hakimi tergelak. “ I dan Ika lain. Kami suami isteri dah tentulah mesra. Tapi you dan Zack?”
“Just friends.”
“Boleh percaya ke ni?”
“Kenapa? Kalau lebih daripada tu... you jealous?” Intan Juliana sedar
yang dirinya sedang bermain dengan api tapi dia tak mampu berhenti.
Yusuf Hakimi geleng kepala.
“Tak... untuk apa I jealous? I harus gembira kalau dengar berita tu.”
Tingkahnya dengan tenang. Intan Juliana hanya tersenyum. “I nakkan
kepastian... siapa sebenarnya Zack tu dengan you?” soalnya sedikit
mendesak. Telefon bimbitnya yang berbunyi tiba-tiba mengganggu perbualan
mereka. Yusuf Hakimi pantas memekapkannya ke telinga.
“Suf, aku
ni... Fauzan.” Suara Encik Fauzan kedengaran di hujung talian. Yusuf
Hakimi berdebar. Mengapa lelaki itu menelefonnya? Adakah apa-apa yang
tidak baik berlaku pada Fatin Adiba?
Wajah adik tiri isterinya itu
menerbak ke jiwa. Pagi tadi Fatin Adiba seperti biasa menumpang
keretanya untuk ke pejabat. Dia berbaju kurung walaupun hari itu
bukanlah hari Jumaat.
“Bang, Fatin minta maaf sebab hal petang
semalam. Ika kata abang marah sebab Fatin masuk rumah tak ketuk pintu.”
Tingkah Fatin Adiba.
“Ah, tak ada apa-apalah! Lain kali jangan lupa
tekan loceng atau ketuk pintu dulu, okey?” dia mengingatkan. Fatin Adiba
menyengih. Dia kemudiannya mendiamkan diri sepanjang perjalanan ke
pejabatnya.
“Ya, kenapa Fauzan?” soalnya dengan nada bimbang.
“Ada hal sikitlah, Suf. Aku rasa aku kena jumpa kau.” Tingkah Encik Fauzan. “Kau ada kat pejabat ke petang ni?”
“Aku tengah makan tengah hari dengan kawan ni.” Dia menoleh ke arah
Intan Juliana. “Dalam pukul dua setengah nanti aku ada kat ofis. Apa hal
sebenarnya ni?”
“Nantilah aku cerita.” Tingkah lelaki itu sambil meletakkan telefon.
“Kenapa?” soal Intan Juliana. Yusuf Hakimi hanya mampu jongket bahu.
FATIN ADIBA tidak mengendahkan renungan benci yang dilemparkan oleh Aini ke arahnya.
“Apa urusan kau nak jumpa Encik Fauzan?” tengking Aini. Hatinya masih
bengkak kerana perempuan gatal yang baru datang dari kampung itu telah
merampas kekasihnya.
“Kenapa kau nak tau?”
“Hey, betina! Dia tu bos aku, tahu tak! Aku ni setiausaha dia bukannya batang pisang kat luar ni!” sembur Aini.
Fatin Adiba rasa terhina dengan gelaran ‘betina’ yang meluncur keluar
dari mulut Aini, tapi dia tak cepat melatah. Agenda utamanya menapat ke
situ ialah untuk bersemuka dengan Encik Fauzan.
“Hey, betina! Berani
kau masuk...” sebelum sempat dia berbuat apa-apa Fatin Adiba telah
memulas combol pintu bilik Encik Fauzan dan meluru masuk. Aini turut
mengejarnya dari belakang.
Lelaki yang duduk di belakang meja besar
itu terkejut mendengar suasana kecoh tersebut. Dia tidak hairan melihat
siapa yang muncul di depannya.
“Encik Fauzan, saya dah cuba tahan dia...”
“Tak apa, Aini. Awak keluar dulu.” Kata Encik Fauzan. Aini melangkah
keluar sambil menutup daun pintu di belakangnya. “Berani awak tunjuk
muka depan saya setelah apa yang awak buat semalam ya!” sergahnya dengan
tangan yang menggigil kerana marah.
Fatin Adiba tunduk. Hanya airmatanya sahaja yang melurut dan membasahi pipinya.
“Awak tahu tak kenapa saya ambil awak kerja kat sini, Fatin? Abang ipar
awak, Yusuf Hakimi tu kawan saya. Saya percayakan dia barulah saya
ambil awak kerja kat sini. Tapi awak kerja belum pun confirm lagi dah
buat hal. Yang buat hati saya sakit tu, awak langsung tak hormatkan
bilik saya ni!” dia meluahkan kemarahannya.
“Maafkanlah saya, Encik
Fauzan. Saya tahu saya dah buat salah. Tapi kalau bukan Ray yang bawa
saya kemari, Encik Fauzan fikir saya berani ke masuk ke bilik ni?” Fatin
Adiba menjawab dalam sedu sedannya.
Wajah anak lelakinya, Rayzal,
menerpa ke jiwa. Malam tadi Rayzal telah dimarahinya cukup-cukup dan
tidak dibenarkan lagi menapak ke pejabatnya. Kepada Aini juga telah
diingatkan supaya merahsiakan apa yang dilihatnya pada tengah hari
jahanam itu.
“Kalau awak jaga tingkah laku awak, takkan semudah tu
awak mengekor dia naik ke bilik ni, Fatin. Awak tu perempuan. Tak ada
maruah ke?”
“Saya mengaku kesalahan saya, Encik Fauzan. Tapi
tolonglah bagi saya satu lagi peluang. Saya janji akan berubah sikap.
Saya minta sangat-sangat agar Encik Fauzan maafkan saya dan tak
berhentikan saya kerja. Saya juga minta belas kasihan encik untuk
rahsiakan hal ni daripada Abang Yusuf.” Airmatanya mengalir bagaikan
paip yang pecah. “Tolonglah bagi saya satu lagi peluang, Encik Fauzan.”
Rayunya.
“Betul ke awak nak berubah ni, Fatin? Atau hanya omong kosong aje?”
Fatin Adiba mengangguk dengan bersungguh-sungguh.
“Sumpah, Encik Fauzan. Bagilah saya peluang. Saya akan berubah sikap.” Janjinya dengan sesungguh-sungguh janji.
“Saya nak awak lupakan anak saya. Kalau saya dengar desas-desus yang awak dengan dia bertemu kat mana-mana...”
“Kalau tu yang Encik Fauzan nak, saya sanggup. Tapi tolonglah maafkan saya!” rayunya lagi.
Lelaki itu mengeluh perlahan. Dia serba salah sama ada hendak
mempercayai ataupun tidak kata-kata Fatin Adiba itu. Wajah Yusuf Hakimi
terbayang di matanya. Kalau benarlah Fatin Adiba berpegang pada
janjinya, dia juga tak sanggup hendak mendedahkan kejelikan yang berlaku
itu pada Yusuf Hakimi dan isterinya.
“Baiklah, saya bagi awak satu
lagi peluang. Tapi ingat, Fatin, jangan sekali-kali awak tersilap
langkah. Dan jangan sekali-kali awak jumpa Ray, faham?”
Fatin Adiba angguk dengan sesungguh-sungguh angguk.
Setelah mengucapkan terima kasih dan mengulangi permohonan maafnya, dia
melangkah keluar dari bilik itu dengan hati yang lapang.
Sekurang-kurangnya satu masalah telah selesai. Dia hanya menyengih ke
arah Aini yang merenungnya bagaikan singa yang hendak menerkam
mangsanya.
Huh, nampaknya Encik Fauzan hanya menyalahkan aku
seorang. Mentang-mentanglah aku perempuan. Kesilapan yang dilakukan oleh
orang perempuan mudah sangat dilihat orang. Kalau lelaki yang gatal,
tak mengapa. Mereka akan terlepas dengan mudah. Orang akan kata, huh...
biasalah, orang jantan memang macam tu! Dan kesalahannya akan dilupakan
orang bagaikan angin yang berlalu. Tapi kalau perempuan, macam-macam
tuduhan akan dilemparkan dan stigmanya mengekori walau ke mana dia
pergi.
Huh... kalau aku jumpa Ray secara sembunyi-sembunyi bukannya Encik Fauzan tahu, getus hatinya.
ENCIK FAUZAN singgah juga ke pejabat Yusuf Hakimi. Seperti biasa mereka berjabat tangan dengan mesra.
“Wah, cantik dah ofis kau ni, Suf! Sejak bila pula kau berminat dengan
lukisan ni?” pujinya sambil meneliti lukisan yang tergantung di dinding.
Yusuf Hakimi ketawa.
“Lukisan tu kawan aku yang lukis.” Dia memberitahu.
Encik Fauzan angguk. “Sejuk mata memandang. Kat luar tadi panas
membahang, bila aku masuk aje bilik kau ni dan tengok pula lukisan macam
ni, terasa nyamanlah.”
Yusuf Hakimi tersenyum senang dengan pujian
itu. Dia rasa bangga kerana telah menggantung lukisan tersebut di
dinding pejabatnya. Tangannya lincah menekan interkom dan tidak lama
kemudian setiausahanya muncul di muka pintu.
“Ya, Encik Yusuf?”
“Ain, bawakan dua cawan kopi untuk kami ya.”
“Baiklah, Encik Yusuf.” Sahut Nur Ain sambil menutup kembali daun pintu dengan perlahan.
“Isteri kau apa khabar, Suf? Lama dah aku tak jumpa dia.”
“Ika sihat. Dia sibuk mengerjakan novel terbarunya sekarang ni. Emmm...
apa tujuan kau nak jumpa aku ni, Fauzan?” Yusuf Hakimi bertanya.
Lelaki di hadapannya terdiam seketika. Tanpa diketahui oleh Yusuf
Hakimi, Encik Fauzan sedang membayangkan wajah Fatin Adiba; tentang
maruahnya yang terselak murah di ruang biliknya sendiri dan tangisan
penyesalan yang muncul di akhir peristiwa itu. Dia pelik kenapa Fatin
Adiba yang datang dari kampung terpencil boleh begitu berani sikapnya,
mengalahkan sikap anak jati kota yang terdedah dengan segala macam
gejala sosial. Gadis itu masih baru bekerja dengannya, dan masih lagi
belum disahkan jawatannya tapi kelakuannya, isy, kalau nak diluahkan
hanya maki hamun dan carut-mencarut aje yang akan terkeluar, beb!
Betulkah gadis itu benar-benar sudah insaf di atas keterlanjuran yang
berlaku? apakah yang mengalir dari jurang matanya tengah hari tadi lahir
daripada hati yang tulus suci ataupun sekadar untuk menagih simpatinya?
Apapun dia telah berjanji dengan Fatin Adiba untuk memberinya peluang
kedua dan dia harus berpegang pada janji tersebut.
“Saja aje nak
jumpa kau. Lagipun aku dah lama tak singgah kat ofis kau ni, Suf.”
Sahutnya pantas untuk mengelakkan rasa curiga daripada bertapak di hati
Yusuf Hakimi.
Yusuf Hakimi tergelak kecil. Ketukan di pintu
kedengaran dan Nur Ain melangkah masuk dengan menatang seteko kopi pekat
serta sepinggan karipap. Setelah meletakkan dulang itu di atas meja
kaca dia minta diri untuk keluar.
“Macam mana prestasi kerja Fatin?” soal Yusuf Hakimi sambil mencapai sekeping karipap.
“Err... tak ada masalah. Ala, kerja kat bahagian reception tu bukannya
susar mana pun. Dulu adik ipar kau tu, pernah kerja kilang kan, Suf?
Kenapa dia berhenti?”
“Aku pun tak tahulah, Fauzan. Ala...
budak-budak sekarang ni semuanya nak bekerja kat tempat yang selesa dan
ada pendingin hawa. Lagipun kerja kat kilang tu gajinya murah dan masa
kerjanya pula panjang.” Tingkah Yusuf Hakimi. “Fauzan, kalau dia
timbulkan masalah kat pejabat, kau jangan segan-segan bagitau aku ya.”
“Kenapa kau cakap macam tu?”
“Yelah, mana tahu! Aku nak kau tahu walaupun aku recommendkan dia kerja
kat pejabat kau tapi kalau dia buat perangai, aku takkan lindungi dia.
Kau sebagai bosnya ada hak untuk ambil tindakan pada dia.” Yusuf Hakimi
menepuk bahu temannya itu. Encik Fauzan tersenyum. Lega hatinya
mendengar kata-kata Yusuf Hakimi itu.
“Sedaplah kopi yang setiausaha kau buat ni, Suf!” pujinya. Yusuf Hakimi tergelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan