Bab 38
“SEMUA orang dah bercakap yang kau ada perempuan lain.
Malah ada kenalan mama yang nampak kau dengan perempuan tu. Kau nak
nafikan lagi, Suf?” suara mamanya melengking di ruang tamu.
“Ma,
agaknya mereka tu dah silap. Memanglah pekerjaan saya ni memerlukan saya
bertemu dengan orang ramai, tak terkecuali perempuan.” Yusuf Hakimi
menyahut.
Puan Kalsom menyengih. “Alah, kalau dah makan siang dan makan malam dengan perempuan yang sama...”
“Memandai ajelah mama ni!”
“Kau masih nak nafikannya lagi dengan mama, Suf. Kalau tak silap mama nama perempuan tu, Intan Juliana kan?”
Jantung Yusuf Hakimi bagaikan hendak tercabut. Entah daripada siapalah
mamanya mendapat maklumat sehingga nama Intan Juliana muncul dari
bibirnya.
“O... dia! memanglah mama dan penyampai maklumat tu dah salah orang. Yusuf dengan dia hanya kawan, ma. Kawan biasa!”
“Ya ke?” mamanya tergelak kecil. “Yusuf... Yusuf... janganlah kau nak
berlagak baik depan mama. Isteri kau yang lurus bendul tu bolehlah kau
perbodohkan, tapi tak mama, Suf. Mama tahu perempuan tu siapa, Suf, anak
Datuk Kamarul dengan isteri keduanya kan? Mulanya mama macam tak
percaya dengar cerita ni. Alhamklumlah kau berkawan dengan adik tiri
bekas tunang kau. Tapi tak kisahlah tu. Mama akan jadi penyokong kuat
kau kalau betul kau nak tambah cawangan.”
“Mama! Sanggup mama cakap
macam tu. Mama tak kesian ke dengan Ika? Dia muda lagi, ma, takkan
semudah tu saya nak tambah cawangan?” Yusuf Hakimi terkejut beruk
mendengar luahan mamanya. Cukup tak masuk dek akal kata-kata begitu
terkeluar dari bibir Puan Kalsom.
“Apa salahnya kalau kau kahwin satu lagi, Suf? Kau tak nak timang zuriat ke? Bini kau tu mandul, tahu tak!”
“Ma, sampai hati mama tuduh isteri saya macam tu.” Luah Yusuf Hakimi dengan perasaan kesal.
“Perempuan muda macam isteri kau tu sepatutnya dah timang anak sekarang
ni, tau. Ni tanda-tanda nak hamil pun tak nampak. Takkan kau sanggup
tunggu sepuluh atau dua puluh tahun lagi untuk timang anak, Suf?” tekan
Puan Kalsom. Tiada secebis simpati pun terhadap menantu malangnya itu.
Yusuf Hakimi mengeluh perlahan lalu bangkit dari sofa. Puan Kalsom
menjelingnya dengan ekor mata. Dia cukup tahu anaknya sudah panas
punggung mendengar bebelannya terutamanya yang berkaitan dengan Zulaika.
“Hmmm... dah nak baliklah tu! Langsung kita tak boleh sentuh pasal isterinya yang muda belia tu.”
Yusuf Hakimi tidak mengendahkan kata-kata mamanya. Dia menghulurkan
tangan untuk bersalaman dengan mamanya. Selepas itu dia mencium pipi
kiri dan kanan Puan Kalsom sebelum melangkah meninggalkan rumah.
Pasangan mana yang tak mahukan anak? Bukankah cahayamata itu anugerah
Allah untuk hamba-Nya? Dan dia juga seperti pasangan suami-isteri
lainnya yang cukup bahagia kalau dikurniakan zuriat yang kelak akan
memeriahkan lagi kehidupan berkeluarga. Tapi dia bukanlah cukup terdesak
untuk menimang zuriat. Dia juga tidak mahu memberikan tekanan pada
isterinya. Baginya zuriat adalah rezeki daripada Allah. Kalau
dikurniakan kepadanya dan juga isteri, dia akan bersyukur.
Dia percaya suatu hari kelak dia dan Zulaika akan dikurniakan dengan zuriat. Hanya menunggu masa dan ketikanya sahaja.
DIA memandu keretanya menuju ke Tasik Titiwangsa. Tasik buatan yang
menjadi pelarian warga kota untuk mencari secebis ketenangan di jiwa itu
telah ramai pengunjungnya. Dia menyusuri siarkaki dan menikmati
hembusan bayu petang yang nyaman. Ketika dia melintasi kawasan permainan
kanak-kanak, dia terhenti sebentar dan merenung ke arah beberapa orang
kanak-kanak yang kelihatan begitu riang bermain buaian dan bergayut pada
palang-palang besi.
Siapa yang tak mahukan anak, ma? Seorang anak
yang akan memeriahkan kehidupan? Anak mama ini cukup pasti yang menantu
mama juga begitu. Zulaika juga mengidamkan kehadiran seorang cahayamata
dalam rumah tangga kami yang kini sunyi sepi. Tapi sudahkah mama lupa
bahawa anak itu adalah anugerah dari Allah Taala?
Dan kenapa mama
begitu membenci Zulaika? Apakah kerana statusnya sebagai anak yatim
piatu maka dia perlu dibenci dan dihina sebegitu rupa? Atau apakah hanya
kerana dia tak berpelajaran tinggi dan berasal dari ceruk kampung maka
mama malu untuk bermenantukannya?
Dia melabuhkan punggungnya di atas
bangku batu yang menghala ke arah tasik. Angin petang yang bertiup
menerbitkan alunan lembut pada dada tasik. Seperti biasa di kala
bersendirian begitu wajah dua orang wanita yang kini cukup penting dalam
hidupnya muncul di ruang fikir – yang seorang isteri dan seorang lagi
adalah teman baiknya.
Wajah mulus seorang isteri yang setia
kelihatan melemparkan senyuman ke arahnya. Zulaika masih muda dan cukup
cantik. Dia juga adalah seorang isteri yang cukup setia. Selama menjadi
isterinya, dia tak pernah memberikan masalah padanya kecuali hal yang
berkaitan dengan adik tirinya, Fatin Adiba dahulu.
Kemudian muncul
pula wajah Intan Juliana, teman baiknya sehingga kini. Dia senang dengan
gadis itu; selesa berada di sisinya. Intan Juliana adalah seorang
perempuan yang cukup bijak dan berbakat besar. Tapi entah mengapa sejak
akhir-akhir ini sekepal hati lelakinya sering berdebar-debar tatkala
Intan Juliana berada hampir di sisinya. Dia seolah-olah terpesona dengan
kehangatan tubuh perempuan yang hanyalah teman baiknya.
Kenapa?
Kenapa dia perlu berperasaan sebegitu terhadap Intan Juliana? Dan sejak
bilakah perasaan sebegitu mula terbit di hatinya? Ya Tuhan, apakah
hatiku sudah terbahagi dua? Apakah cinta Yusuf yang selama ini padat
untuk Zulaika telah mula hilang kepadatannya?
Kenapa? Apakah salah Zulaika sehingga hati ini mula bercabang-cabang? Tidak cukup cantikkah dia? Tidak cukup sempurnakah dia?
“Aku tahu aku memang jahat suatu masa dulu, Suf. Aku akui aku memang
suka dengan perempuan. Aku mainkah hati perempuan dan tak rasa
apa-apapun tatkala memutuskan hubungan dengan mereka. Aku tahu ramai
lelaki cukup benci denganku kerana kekasih pernah mempedayakan kekadih
mereka untuk masuk ke dalam perangkap citaku. Tapi tu kisah dulu-dulu,
kisah aku semasa bujang. Kini aku dah bosan dan dah puas memperolokkan
cinta, Suf. Yang aku dambakan adalah hubungan suci suami isteri dan
insya-Allah aku tak akan persiakan wanita yang aku pilih untuk aku
jadikan isteriku!” itulah ungkapan yang pernah dilontarkan oleh Taufik,
bekas kasanova, yang kini telah menjadi tunangan teman baik Zulaika,
Atika Ayuni.
Dia tahu bahawa Taufik akan mengotakan ikrarnya itu.
Taufik akan membahagiakan Atika Ayuni sedangkan dia yang bukankah
termasuk dalam kategori lelaki kasanova, kini setelah mempunyai seorang
wanita di sisinya sebagai isteri pula telah bercabang hatinya!
Tidak! Sungguh tidak beretika kalau ditakdirkan seorang suami yang
mempunyai isteri yang tiada cacat celanya dengan begitu mudah jatuh
cinta pada perempuan lain.
Tidak! Apa dosa Zulaika sehingga dia
perlu mencambah harapan ke daerah lain? Kenapa hati lelaki begitu mudah
bercabang? Seolah-olah seorang peladang yang merasakan bahawa padang
ragut di sebelah ladangnya adalah lebih hijau rumputnya!
Hakikatnya manusia memang tak pernah puas dengan apa yang menjadi miliknya.
Tidak! Zulaika ibarat seorang perempuan tanpa dosa. Dia tak akan
mempersiakan cinta mereka yang hangat membara itu. Bukankah Yusuf hanya
untuk Zulaika... dulu, kini dan selamanya?
Awal senja itu dia sampai
ke rumah tatkala muazzin mula mengalunkan azan. Dia bersyukur kerana
isterinya masih menunggunya di muka pintu dengan senyuman bersira madu.
Dia tahu hati isterinya terguris – terasa dengan keintiman yang
ditonjolkan terhadap sahabat baiknya, Intan Juliana, sejak akhir-akhir
ini. Dia bertekad untuk mencantas bibit-bibit perasaan yang baru muncul
terhadap perempuan itu – bibit perasaan yang entah muncul dari mana dan
entah muncul bila ketikanya!
Dengan mesra dia memeluk pinggang
ramping Zulaika lalu menghadiahkan ciuman yang hangat di pipinya.
Mulutnya turut menjalar ke telinga lalu membisikkan kata; aku sayang
padamu! Dia mahu menjernihkan segala keruh yang pernah muncul di antara
mereka.
“Kenapa abang ni?” soal Zulaika sambil menolak dadanya.
“Kenapa? Salah ke kalau abang cakap yang abang sayangkan Ika, isteri abang sendiri?”
“Tak... tak salah. Tapi...” Zulaika menuding jari telunjuknya ke ruang
tamu. Yusuf Hakimi terkejut melihat tiga orang tetamu yang tak diundang
berada di ruang tamu rumahnya.
“SAPA yang tak terkejut, Fauzan?
Segala-galanya berlaku secara tiba-tiba!” desis Yusuf Hakimi ketika dia
dan Fauzan berehat di ruang tamu selepas selesai makan malam. “Kalau
dengan perempuan lain, aku tak kisah. Tapi...”
“Aku tahu kau kurang
senang sebab aku pilih Fatin Adiba sebagai calon isteri. Aku ada alasan
aku sendiri, Suf. Walaupun kau tu kawan baik aku tapi aku rasa tak
payahlah kau tahu alasan aku ni kerana ianya agak peribadi.” Tingkah
Fauzan sambil menyisip kopi pekat yang masih berasap.
Yusuf Hakimi mengangguk. Dari arah dapur kedengaran suara isterinya dan Fatin Adiba tergelak riang.
“Tak kisahlah, tu. Walau apapun aku ucapkan tahniah pada kau dan
insya-Allah aku serta isteri akan pulang ke kampung menghadiri majlis
akad nikah kau dan Fatin nanti. Tapi kau tak terfikir ke perasaan anak
kau, Rayzal, Fauzan? Bukankah dia dan Fatin dulu pernah jatuh cinta? Ray
dah tahu ke yang kau nak kahwin dengan bekas kekasihnya ni?”
“Ni
yang memeningkan kepala aku, Suf.” Fauzan menarik nafasnya dalam-dalam
dan kemudian menghembusnya perlahan-lahan. “Aku memang belum bagitau dia
lagi tentang hal ni. Aku rasa biarlah ianya jadi rahsia dulu. Bila
Fatin dah sah jadi isteri aku nanti, aku akan jelaskan hal ni pada dia.”
Yusuf Hakimi menggeleng-gelengkan kepalanya. “Ni hal kau, Fauzan. Pandai-pandai kaulah.”
“Ray masih muda. Aku yakin dia akan jumpa perempuan yang lebih sesuai
untuk dijadikan pasangan hidupnya suatu hari nanti.” Kata Fauzan
seolah-olah hendak menyedapkan hatinya sendiri.
“Fatin macam mana?”
“Kalau dia tak setuju nak jadi isteri aku, takkan aku, dia dan emaknya berada di rumah kau malam ni, Suf?”
Yusuf Hakimi mengangguk. Dia berharap agar Fauzan akan berjaya mendidik Fatin Adiba, adik tiri isterinya yang agak liar itu.
“TAK sangkakan, bang? Akhirnya Fatin akan bergelar isteri pada Fauzan
selepas segala peristiwa yang pernah mereka lalui tu?” tutur Zulaika
ketika mereka sedang berehat di kamar tidur.
Yusuf Hakimi mengangguk.
“Kalau difikir-fikirkan... rasa gelihati pulak.”
“Kenapa?”
“Selama ni Ika panggil Fauzan tu ‘encik’, kadang-kadang panggil dia
‘abang’. Tapi lepas ni nampaknya dia yang kena panggil Ika ‘kakak’
pulak!”
Yusuf Hakimi tergelak kecil. Dia menarik tubuh isterinya rapat ke dalam dakapannya.
“Dah ditakdirkan jodoh Fatin dengan Fauzan agaknya. Kita doakan ajelah agar mereka bahagia, Ika.”
“Rumah tangga kita pula, macam mana, bang?”
“Kenapa Ika tanya macam tu? Rumah tangga kita akan sentiasa bahagia.
Tulah janji abang pada Ika. Sorry kalau ada salah silap abang pada Ika
selama ni. Sorry kalau ada sikap abang yang dah lukakan hati Ika. Abang
janji... abang akan jadi budak baik lepas ni...”
“Kenapa abang cakap macam tu? Selama ni abang budak jahat ke?”
Yusuf Hakimi mengekel. Pelukannya ke tubuh Zulaika semakin kuat. Wajah
Intan Juliana yang cuba mencuri masuk ke ruang fikirnya semakin malap
dan akhirnya menghilang entah ke mana. Malam itu adalah untuk dia dan
isterinya, dan wajah perempuan mana pun diharamkan untuk mencelah di
antara mereka berdua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan