Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 11 Februari 2014

RINDU YUSUF-CINTA ZULAIKA- BAB 22

Bab 22

“MACAM MANA kerja hari ni, Fatin?” soal Zulaika ketika mereka berada di dapur. Dia telah menjerang nasi dan sedang menyediakan rencah untuk buat daging masak kicap.
“Kenapa kau tanya?” soal Fatin Adiba dengan dada yang berdebar kencang. Dia khuatir apa yang berlaku di pejabatnya awal petang tadi telah sampai ke pengetahuan Zulaika serta Yusuf Hakimi.
Zulaika ketawa kecil.
“Kau ni, takkan nak tanya pun tak boleh?”
“Ala, macam biasa ajelah. Tadi kau kata nak keluar makan dengan Abang Yusuf. Yang sibuk masak ni kenapa?”
“Aku masakkan untuk kaulah. Aku tahu, kau penat sebab baru balik kerjakan.” Tingkah Zulaika dengan rasa senang hati. Setelah suami dan adik tirinya berada di hadapan mata barulah hatinya yang sejak awal pagi tadi gelisah semacam menjadi tenang dan ceria.
“Susah-susah aje engkau ni! Tapi terima kasih daun keladi. Aku pun dari tengah hari tadi tak makan ni...” dia terlepas cakap.
Zulaika menoleh ke arahnya.
“Sejak tengah hari tadi kau tak makan? Kenapa?”
“Err...” dia tergagap-gagap. Peristiwa tengah hari tadi menerpa semula ke ruang fikirannya di mana Rayzal melangkah masuk dan terus merapatinya di meja penyambut tetamu. Ketika itu hanya dia yang berada di situ kerana Saerah telah keluar makan. Senyuman yang dilemparkan oleh Rayzal mencairkan hatinya. Kata-kata Rayzal yang penuh pujuk rayu juga melemahkan imannya dan tanpa segan silu dia mengekori jejaka itu ke bilik Pengarah Urusan yang tidak masuk ke pejabat sejak pagi tadi.
Di bilik itulah mereka bertukar bicara cinta. Dan keadaan menjadi tidak terkawal apabila Rayzal semakin nakal. Kalaulah Encik Fauzan tidak menyerbu masuk...
“Hey, yang engkau termenung jauh ni, kenapa?” sergah Zulaika.
“Aku banyak kerjalah sampai tak ada masa nak keluar makan.” Desisnya dengan perasaan bimbang. Dia punya banyak sebab untuk bimbang. Pertama sekali dia takut kalau-kalau akan dibuang kerja oleh Encik Fauzan kerana berkelakuan sumbang di pejabat. Mungkin dia akan mencipta nama sebagai pekerja yang tugasnya paling singat di pejabat itu kelak. Dan yang keduanya, dia takut kalau-kalau kelakuan sumbang itu sampai ke telinga Zulaika serta suaminya dan mereka akan menyampaikannya pula pada emaknya di kampung.
Hui, susah hati memikirkannya, beb!
Kenapa aku begitu cuai? Kenapa? Semuanya salah Rayzal. Dia yang menggoda aku dan mengajak aku ke bilik ayahnya. Kalau tidak semua ni takkan berlaku!
“Sibuk sampai macam tu sekali?” sergah Zulaika. Fatin Adiba segera mencapai kerusi lalu melabuhkan punggungnya. “Teruk juga kerja sebagai penyambut tetamu ni, ya?”
Fatin Adiba tidak berkutik.
“Heh, Ika... kalau aku lambat balik tadi entah apa yang berlaku kat atas kusyen kat ruang tamu tu ya?” dia segera mengalih topik.
“Hesy!”
Fatin Adiba mengekel.
“Kau ni pun, Ika... kalau nak buat projek, buatlah kat dalam bilik. Macamlah tak ada bilik kat rumah ni!” hempuknya. Zulaika terkulat-kulat.

“ABANG masih marah lagi ke?” soal Zulaika pada Yusuf Hakimi. Wajah suaminya masih lagi kelat dengan insiden di ruang tamu lewat petang tadi.
“Kalau ikutkan hati malam ni juga abang nak halau dia keluar dari rumah kita tu!”
Zulaika menggelengkan kepalanya. Mungkin kebencian suaminya terhadap adik serta ibu tirinya menyamai kebencian Puan Kalsom terhadap dirinya.
“Jangan cakap macam tu, bang. Tak baik.” Tegurnya dengan lembut. “Ika dah marahkan dia tadi dan nasihatkan dia supaya tekan loceng atau ketuk pintu dulu sebelum masuk ke rumah.”
Mata Yusuf Hakimi mencorong ke arahnya.
“Kita carikan dia rumah sewa aje nak?” cadangnya tiba-tiba. Mata Zulaika terbeliak.
“Bang! Dia baru aje kat sini. Belum sampai sebulan pun dia kerja kat pejabat kawan abang tu, belas kasihanlah sikit.” Bantah Zulaika.
“Okeylah, abang minta maaf. Kita lupakanlah hal petang tadi tu untuk sementara waktu ya.” Yusuf Hakimi kendur suaranya. “Depan rezeki tak baik bertengkar.” Dia menyambung sambil mencapai jari-jemari isterinya.
Mata mereka bertentangan. Zulaika rasa amat bahagia. Senyumnya melebar.
“Hai, romantisnya pasangan ni!” teguran itu membuatkan kedua-duanya tersentak lalu menoleh.
Intan Juliana menyeringai. “Harap I tak ganggu you.” Tingkahnya.
Wajah Zulaika berubah setelah melihat siapa yang berdiri di hadapannya itu. Dia segera menarik jari-jemarinya daripada genggaman suaminya. perasaannya ketika itu mungkin sama dengan perasaan Yusuf Hakimi sewaktu kemunculan Fatin Adiba yang secara tiba-tiba di ruang tamu rumah mereka lewat petang tadi.
“Ju! What a surprise!” luah Yusuf Hakimi sambil menoleh jejaka kacak berwajah pan-asian di sisi gadis itu.
“Yusuf... Ika, kenalkan ni kawan I, Zackhary Iskandar. Zack, ni Encik Yusuf dan yang ni isterinya, Ika.” Ramah dia memperkenalkan temannya pada pasangan tersebut.
Yusuf Hakimi bersalaman dengan pemuda bernama Zackhary Iskandar itu dan tertanya-tanya dalam hati apakah hubungan sebenar di antara mereka berdua.
“Come, join us.” Pelawanya.
“Tak apalah. I dan Zack takkan ganggu privacy you dan wife. Lagipun kitorang dah tempah meja awal.” Sahut Intan Juliana. “Come, Zack...” dia menghulurkan tangannya dan spontan jejaka kacak itu memautnya. Mereka berlalu ke sebuah meja lain. Setelah pasangan itu menjauh barulah Yusuf Hakimi perasan wajah isterinya yang kelat.
Kemunculan yang tidak disangka-sangka itu membuatkan hati Zulaika tidak keruan. Dia cemburukan Intan Juliana kerana wanita itu wajar dicembururi. Tapi kemunculannya bersama seorang jejaka kacak bernama Zackhary Iskandar itu sedikit-sebanyak membuatkan hatinya lega. Mungkinkah jejaka itu kekasihnya? Mereka kelihatannya amat mesra sekali.
Dia menoleh ke arah suaminya. Yusuf Hakimi kelihatan selamba saja walaupun sesekali matanya akan melirik ke meja yang dikongsi oleh Intan Juliana dan temannya itu. Dia tidak tahu dan tidak mahu tahu apa yang bersipongang dalam fikiran suaminya tatkala melihat kemesraan mereka itu.
“Tu boyfriend Kak Ju ke, bang?” soalnya. Yusuf Hakimi jongket bahu.
“Tadi kenapa Ika tak tanya?”
“Isy, malulah!”
“Ika tanya abang, manalah abang tahu.”
“Yelah, abang kan baik dengan Kak Ju. Mana tahu kut-kut abang kenal dengan lelaki tu. Dia memang sesuai dengan Kak Ju kan, bang?”
“Kalau abang baik dengan dia pun takkan semua hal peribadi dia nak ceritakan pada abang. Sayang, nampaknya hari ni semua orang bagaikan cemburu dengan kita kan? Kat rumah tadi masa kita nak mesra-mesra sikit, Fatin tu kacau daun. Kat sini pula, Ju dan Zack!” Yusuf Hakimi tergelak kecil.
Zulaika hanya tersenyum mengulum.
“Tapi tengah malam ni nanti abang akan pastikan tak ada sesiapa pun yang akan mengganggu privacy kita, okey sayang. Abang akan pastikan Ika jadi milik abang!”
“Gatallah abang ni!” Zulaika mengutil lengan suaminya.
Yusuf Hakimi ketawa riang.

DIA seharusnya tidak mencemburui kemesraan di antara Yusuf Hakimi dengan isterinya. Seharusnya sebagai teman, dia turut gembira dengan kemesraan yang dipaparkan itu. Tapi ternyata api cemburu mercik di jiwanya tatkala melihat senyuman di bibir Zulaika mahupun Yusuf Hakimi. Kenapakah bukan aku yang berada di tempat Zulaika? Mengapakah bukan aku yang dilihat oleh Yusuf Hakimi di warung bawah pokok ketapang itu dahulu?
Mengapa?
“Ju... kenapa ni? You look so sad?” soal pemuda kacak di hadapannya.
“Err... nothing! Sorry buat you risau, Zack.”
Zackhary Iskandar meraih jari-jemarinya. “I tahu you risaukan ibu you, kan?” soalnya. “Doakanlah dia, Ju. Insya-Allah dia akan selamat.” Halus bahasanya memujuk.
Intan Juliana menyengih. Betul kata jejaka di hadapannya itu; seharusnya sebagai anak dia patut risau dan sedih tentang keadaan ibunya yang sedang berjuang melawan penyakit barah di negara empat musim sana. Sebaliknya dia sedih tatkala melihat bagaimana intimnya hubungan suami isteri di antara Yusuf Hakimi dengan Zulaika.
“Zack...” Zackhary Iskandar menoleh ketika namanya dipanggil oleh Intan Juliana. “Thanks kerana memahami.”
“You are welcome. You tahukan I akan berada di sisi you kalau you perlukan I. Just call my name and I’ll be there.”
Intan Juliana tergelak kecil. Pemuda itu memang terlalu baik dengannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan