Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 7 Januari 2014

BAHAGIA MILIK KITA - 4



BAB 4
            Halim menghabiskan kerja sekolahnya.  Dia tidak mahu buatnya di rumah.  Di rumah banyak kerja yang perlu dilakukan.  Hanya jika tidak sempat menyiapkan di sekolah barulah dia bawa pulang ke rumah.  Halim mengeluh.  Dia benar-benar rindukan kedua orang tuanya.  Hidupnya benar-benar sunyi.  Terasa kosong.  PMR hanya tinggal dua bulan sahaja lagi.  Fikirannya pula kosong.  Dia benar-benar patah hati untuk berusaha gigih.  Untuk apa dia mendapat keputusan cemerlang?  Pada siapa dia hendak tunjukkan keputusan tersebut?   Emak sudah tiada, ayah begitu juga. 
            Halim duduk di bawah pokok ketapang di hadapan sekolah.  Kalau ikutkan hati malas dia hendak pulang ke rumah.  Terlalu banyak kenangan di rumah itu.  Buat hatinya sakit dan kecewa.  Kenapa ALLAH ambil kedua orang tuanya terlalu cepat.  Tidak bolehkah menunggu sehingga dia cukup dewasa.  Tidak bolehkah tunggu sehingga orang tua mereka tua dahulu.  Halim membaling ketulan batu kecil ke dalam longkang. 
            “Hoi, anak penjenayah,”  panggil seseorang.  Halim menoleh, dahinya berkerut.  Tiga  rakan sekolahnya datang mendekati.  Badul, Zaki dan Raju.  Halim mendengus kasar. 
            “Masih bersedih ke?”  usik Raju sambil ketawa terbahak-bahak.  Halim membatukan diri.  Mereka bertiga budak nakal di sekolah itu.  Bukan boleh dilayan.  Lagi dilayan makin menjadi-jadi nanti.
            “Hei, Halim.  Buat apa kau bersedih, berduka.  Masuk kumpulan kita orang, kau mesti dapat banyak duit.  Hidup pun senang.  Aku tahu kau tentu perlukan duitkan?  Abang kau bukan bekerja pun.  Adik-adik kau pasti perlukan makanan.  Kalau kau hendak senang ikut kumpulan kami,” pelawa Badul.  Halim tetap membisu.
            “Buat apa jadi orang baik Halim, semua orang tahu orang tua kau mati ditembak sebab merompak!  Kau anak perompak! Tak payahlah nak jadi baik.  Rugi tau.  Jadi orang baik hidup takkan senang punyalah,”  sambung Zaki pula.  Tiga kutu rayau ini memang memualkan.
            “Kau orang bertiga tidak ganggu aku, boleh tak?”  Halim mengetap bibir.   Badul, Zaki dan Raju ketawa.
            “Kami bukan ganggulah.  Kami mahu tolong kaulah Halim,”  Raju memeluk belakang Halim.  Ditolak dengan kasar oleh Halim.
            “Terima kasih sahajalah.”  Halim bingkas bangun.  Dia ingin segera beredar dari situ. 
            “Sombongnya anak perompak ini,”  sindir Zaki.  Halim mengenggam penumbuk.  Arwah orang tuanya bukan perompak!! Detik hati kecilnya.
            “Mulut kau tu baik-baik sikit ya Zaki.  Orang tua aku bukan perompak!!” jerit Halim agak kuat.  Beberapa pelajar yang berada tidak jauh dari situ menoleh ke arah mereka.
            “Huh, marah ke?” usik Badul.  Mereka ketawa lagi.
            “Hey, Halim.  Hidup perlukan duit tahu.  Buat apa kau belajar pandai-pandai?  Kau bukan ada emak dan ayah pun?  Kami yang ada emak dan ayah pun tidak perlu bertungkus lumus belajar.  Inikan pula kau yang sudah kematian mereka.  Kita belajar kerana orang tua kita suruh, kan?’ Badul menyengih.
            “Kau orang fikir emak dan ayah kau orang tidak akan mati ke?  Kau orang fikir nasib kau orang tidak akan jadi macam aku ke?” tempelak Halim.  Itulah selalu sangat ponteng sekolah.  Selalu sangat kelibat mereka tidak ada dalam kelas.  Rakan sekelasnya itu selalu ponteng sekolah.  Bila dipanggil orang tua mereka berjumpa, tiada yang hadir.  Berbagai alasan diberi  Mungkin mereka tidak memikirkan tentang masa depan anak-anak mereka agaknya.  Apa yang mereka pentingkan adalah mencari duit untuk memberi kesenangan hidup pada anak-anak mereka. 
            “Emak dan ayah aku sihat dan muda lagi!”  Zaki ketawa.  Raju tersenyum.  Badul mengangguk.
            “Kau ingat orang tua sahaja ke mati?”  Halim mencebik. 
            “Lantaklah.  Ini aku nak tanya.  Kau nak masuk tak kumpulan aku?  Kau senang dunia dan akhirat. Duit banyak tau,”  Badul mengumpan.  Halim tersenyum sinis.
            “Senang dunia dan akhirat?  Amboi! Buat kerja apa tu Badul?  Mencuri? Menjual vcd haram? Atau kau jadi keldai dadah?”  teka Halim.  Zaki, Badul dan Raju saling berpandangan.
            “Kau tak percaya ke kami boleh senang selama-lamanya.  Ribuan ringgit tahu masuk dalam poket kami setiap bulan,”  kata Raju penuh yakin.
            “Duit haram, aku tak mahu!  Biarlah susah hidup aku adik beradik namun bagi mereka  makan duit haram, tak mungkin aku lakukan.  Kau orang sedarlah sikit.  Anak-anak bangsa lain berlumba-lumba cari ilmu, bekerja cari rezeki yang halal walaupun mereka bukan beragama Islam.  Kau Badul, Zaki beragama Islam, berbangsa melayu tetapi sanggup kau orang mencuri, jual vcd lucah pada budak-budak sekolah ini.  Kau orang tak sedar ke?  Kau orang merosakkan anak bangsa sendiri.  Kau orang terang-terang merosakkan mereka,” leter Halim.  Badul dan Zaki menggaru kepala. 
            “Tidak usahlah hendak jadi ustaz pula,”sindir Badul.
            “Itulah, bila nasihat sikit sahaja, cakap hendak jadi ustaz.  Kau orang kawan aku, sekolah sama dan sekelas pula tu.  Kau orang tidak kasihan ke dengan orang tua kalian yang bertungkus lumus cari duit, besarkan kalian.  Beri kesenangan.  Apa balasan kalian?”
            “Ewah, ewah, ewah, menjadi-jadi pula dia,” Badul menumbuk-numbuk tangan kirinya.
            “Aku cakap benda yang benar.  Hargailah orang tua kalian sewaktu mereka masih  hidup.  Bila sudah kehilangan seperti aku baru kalian tahu betapa berharganya orang tua kita.  Apa kau orang dapat dengan jadi jahat, ponteng sekolah, ganggu pelajar lain?  Gembirakah hidup kalian melihat kehancuran bangsa sendiri?  Gembirakah kalian melihat ramai kawan-kawan kita terpengaruh dengan perangai kalian?  Aku tidak mahu jadi seperti kalian.  Aku  sudah cukup menderita kehilangan orang tua, aku tidak mahu kehilangan diri aku sendiri pula.” Kata Halim panjang lebar.  Terlopong mulut Badul, Zaki dan Raju mendengarnya,
            “Kau Raju, sudahlah susah, tidak pandai, selalu ponteng sekolah.  Cikgu-cikgu tidak suka.  Walaupun kau orang banyak duit, duit itu tersimpankah? Mana duit yang ribuan ringgit yang kalian dapat setiap bulan? Tidak ada, kan? Sebab apa?  Sebab kalian buat kerja haram dan  pendapatan itu tidak berkat, itu sebab tidak pernah cukup.  Keluarga kau sayang sama kau ke Raju bila kau bagi mereka duit?”  Halim menggelengkan kepala. Dia mahu kawan-kawannya itu berfikir apa sahaja yang mereka lakukan adalah perbuatan yang sia-sia. Tidak berfaedah.  Apatah lagi ponteng sekolah. 
            “Eee… tidak sesuai langsung.  Menyesal aku datang ke sini,”  Badul mengetap bibir.
            “Aku tidak panggil pun!”  Halim menjeling. 
            “Jom berambuslah, buang masa sahaja,”   kata Zaki pula.  Dia menarik tangan Badul dan Raju.
            “Hey, kawan.  Kalau hendak jadi manusia yang kaya.  Binalah kekayaan dengan hasil yang halal.  Supaya tubuh kita tetap sihat dan bersih waktu  mati nanti.  Kalau hendak berlagak pandai, isilah dengan ilmu bukan dengan otak yang kosong” sindir Halim.  Badul menunjuk penumbuk.  Halim ketawa.  Bukanlah kuat mana pun.  Hanya berani bila ramai.  Halim termenung kembali.  Dia mengeluh. Dia bingkas bangun.  Dia harus segera pulang.  Tentu bang longnya susah hati jika dia pulang lewat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan