BAB 10
Cikgu Borhan memandang dengan hati yang sayu,
terkedu tanpa suara. Kenapalah tergamak
bapa saudara Haikal menghalau anak saudara mereka yang yatim piatu ini. Tiada langsungkah rasa simpati dan belas
kasihan. Ke mana budak-budak ini hendak
pergi? Pening kepalanya. Perkara ini harus dibawa ke tengah. Dia perlu meminta bantuan PIBG dan pihak
sekolah. Mungkin mereka boleh
membantu. Ketua kampung tempat Haikal
adik beradik tinggal juga tidak mahu membantu kerana bagi penduduk kampung anak
perompak perlu keluar dari kampung mereka. Itu cuma tuduhan belum terbukti lagi.
“Haikal,
nanti cikgu cuba cari jalan untuk bantu kalian adik beradik. Bersabar ya,”
pujuk Cikgu Borhan. Haikal
mengangguk perlahan. Dia sudah buntu
memikirkan masalah yang mendatang. Dia
hanya perlukan masa sehingga adik-adiknya habis periksa. Jika dia tidak berkesempatan untuk ambil SPM
pun tidak mengapa. Apa yang dia fikirkan
sekarang ini adalah masa depan
adik-adiknya sahaja.
Haikal
melangkah masuk ke dalam rumah. Maisarah
masih tidur. Haida sibuk mengemas dapur. Halim masih di sekolah. Hani dan Haris masih bermain-main. Tiada
kerisaun di wajah kecil itu. Fikiran Haikal berserabut memikirkan hujung
bulan yang semakin mendekat. Bimbang
bersarang di dada. Kerisauan tertanam di
jiwa. Asyik termenung pun bukan boleh
menyelesaikan masalahnya. Ke mana dia
hendak pergi? Siapa yang sudi membantu
dia dan adik-adiknya? Masih adakah belas
ehsan masyarakat di luar sana? Haikal menangis.
Hanya itu yang dapat menenangkan hatinya. Melepaskan rasa gundah gulana di hati. Cuba mencari ketenangan di jiwa. Wajah adik-adiknya terbayang diruangan
mata. Merekalah penguat dirinya
sekarang. Tanpa mereka sudah lama dia
jatuh terjelepok tanpa mampu bangun semula.
Cikgu
Borhan duduk mengadap Pak Long Karim.
Wajah orang tua yang tidak pernah senyum itu dipandang lama. Dia datang ke rumah Pak Long Karim dengan
beberapa orang AJK PIBG sekolah serta beberapa orang guru lagi.
“Budak-budak
itukan anak saudara Pak Karim, sampai hati Pak Karim buat mereka macam
itu,” Cikgu Borhan bersuara. Pak Long Karim tersenyum sinis.
“Mereka
bukan anak saudara aku, mereka anak perompak!”
kata Pak Long Karim tanpa rasa segan silu. Cikgu Borhan menggelengkan kepala.
“Kes
itu masih dalam siasatan polis, belum sabit kesalahan lagi Pak Karim,” sampuk salah seorang yang turut berada di
situ.
“Jangan
nak mengajar aku. Bersalah atau tidak,
mereka tetap perompak!” tempelak Pak
Long Karim.
“Kami
minta belas ehsan Pak Karim menempatkan budak-budak itu di rumah ini. Mereka sudah dihalau keluar dari rumah
mereka. Kami berharap Pak Karim boleh
membantu mereka,” kata Cikgu Borhan
lagi.
“Maafkan
saya cikgu, baiklah cikgu balik sahaja.
Saya tidak akan membantu keluarga itu.
Muktamad, sampai mati pun mereka bukan ahli keluarga saya.” Pak Long Karim menjegil. Cikgu Borhan dan tetamu yang datang bersama
saling berpandangan. Mereka benar-benar terkejut dengan kenyataan
Pak Long Karim. Cikgu Borhan mengeluh,
sedih pun ada. Padanlah Haikal tidak
tahu berbuat apa-apa. Orang yang diharapkan membantu, tidak mahu membantu. Kalau dia jadi Haikal pun pasti buntu
fikirannya. Cikgu Borhan terus
berfikir. Dia perlu berbincang dengan
Haikal.
“Macam
mana ini Cikgu Borhan? Kasihan budak-budak itu.
Siapa lagi yang hendak membantu mereka?
Kalau boleh ditumpangkan sampai mereka habis peperiksaan yang akan
mereka duduki.” Kata salah seorang wakil
PIBG. Cikgu Borhan memandang ke arah
jalan raya di hadapan rumah Pak Long Karim.
Dia terus mendekati keretanya.
“Kita
pulang dahulu, nanti kita fikirkan jalan yang lain pula,” Cikgu Borhan menoleh memandang rumah Pak Long
Karim. Dia kesal dengan sikap bapa
saudara Haikal yang tidak berhati perut itu. Kenapalah orang tua itu tidak
memikirkan nasib anak-anak saudaranya sendiri.
“Tidak
usah difikirkan lagi cikgu, tidak kena dengan batang hidung sendiri, itulah
jadinya. Kita ikhtiar cara lain.” Kata seorang lagi. Cikgu Borhan mengangguk. Kereta dipandu perlahan meninggalkan kawasan
rumah itu.
Pak
Su Rashid terkejut mendengar kata-kata Cikgu Borhan. Kenapa Haikal tidak datang berjumpa
dengannya? Dahinya berkerut. Wajah muram Cikgu Borhan dipandang lama.
“Budak-budak
itu ada di mana sekarang ini cikgu?”
“Masih
di rumah mereka bang, saya harap sangat dapat tumpangkan mereka sehingga saya
buat permohonan tempatkan mereka di rumah anak-anak yatim yang berdekatan
sini. Haikal akan ambil SPM, Halim PMR
dan Haida UPSR. Sayang bang, kalau
mereka tidak selesaikan peperiksaan yang akan mereka duduki.” Cikgu Borhan memandang wajah Pak Su Rashid
penuh mengharap. Dia datang sendiri ke
rumah bapa saudara bongsu Haikal. Rumah
papan yang semakin dimamah usia itu masih teguh berdiri. Cikgu Borhan tahu Pak Su Rashid bukanlah
seorang yang senang. Anak-anaknya pun
ramai, malah ada yang sebaya adik-beradik Haikal.
“Kami
bukan tidak mahu membantu cikgu, tetapi cikgu tengoklah sendiri keadaan kami
sekeluarga,” sampuk Mak Su Tijah. Pak Su
Rashid menoleh memandang wajah isterinya.
Cikgu Borhan dapat rasakan Haikal
dan adik-adiknya juga tidak boleh menumpang di rumah itu.
“Jangan
cakap macam itu Tijah, mereka anak buah abang,”
Pak Su Rashid kurang selesa dengan kata-kata isterinya. Dia bertanggungjawab menjaga kebajikan anak
–anak buahnya itu.
“Kita
bukan orang senang bang, kenapa Abang Long Karim tidak membantu mereka? Abang Long Ridzuan tiba-tiba pula muncul
minta hak dia? Selama ini tidak pernah
pun dia ambil peduli?” Mak Su Tijah
menjeling. Cikgu Borhan serba
salah. Ya ALLAH, KAU bantulah anak-anak
yatim piatu itu.
“Sementara
saja kak, bukan selamanya.” Pohon Cikgu
Borhan.
“Yalah,
Tijah. Kita bagi mereka tumpang sebulan
dua sahaja,” pujuk Pak Su Rashid. Mak Su Tijah mengeluh. Dia menjeling tajam ke arah Pak Su
Rashid. Anak-anaknya seramai lapan
orang. Anak-anak buah suaminya enam
orang. Rumahnya bukan besar mana
pun. Hanya ada tiga bilik sahaja. Kalau tambah enam orang pasti penuh sampai ke
dapur. Mak Su Tijah berfikir
seketika. Dia tersenyum.
“Okey,
Tijah benarkan tetapi sebulan dua sahaja tahu.
Tidak lebih dari itu. Sampai
mereka dapat tempat di rumah anak-anak yatim,”
Mak Su Tijah mengerling suaminya.
Pak su Rashid tersenyum. Dia
jarang ada di rumah. Sebagai pemandu
lori dia sentiasa berada di luar rumah.
Isterinyalah yang menguruskan rumah tangga dan perbelanjaan rumah. Dia menarik nafas lega kerana isterinys sudi
menjaga anak-anak buahnya.
Cikgu
Borhan turut tersenyum. Dia menarik
nafas lega. Sekurang-kurangnya Haikal
adik beradik ada tempat berteduh. Soal
belanja dia akan cuba usahakan. Dia tahu
Pak Su Rashid bukan orang senang. Kerja
sebagai pemandu lori bukanlah banyak sangat.
Setelah bersalaman dengan Pak Su Rashid, Cikgu Borhan terus ke rumah
Haikal.
Haikal
memandang wajah Halim dan Haida. Mereka
turut tidak mampu berkata apa-apa. Rumah
Pak Su Rashid bukan besar mana pun.
Anak-anak pula ramai. Haikal mengeluh.
Dari tiada baiklah ada.
“Terima
kasih cikgu. Minggu depan kami kena
kosongkan rumah ini. Kami hanya bawa
barang-barang penting sahaja. Yang lain
terpaksa ditinggalkan. Di mana kami
hendak letak dan simpan. Rumah Pak Su
Rashid bukan besar sangat.
“Barang-barang
yang masih elok, kita simpan sahaja di stor sekolah Haikal. Kalau Haikal hendak guna nanti ambil
sahajalah,” cadang Cikgu Borhan. Haikal mengangguk laju. Dia amat berterima kasih dengan Cikgu Borhan
yang tidak jemu-jemu membantunya. Ada
saudara mara bukan hendak membantu malah menyusahkan lagi hidup mereka adik-beradik.
“Kalau
begitu hujung minggu ini kita pindah ke rumah Pak Su Rashid. Nanti cikgu bagi
tahu pada dia.” Cikgu Borhan
tersenyum. Dia menarik nafas lega.
Sekurang-kurangnya masalah Haikal adik beradik sudah dapat diselesaikan. Awal bulan september Haida akan duduki
peperiksaan UPSR. Haida budak pintar,
semoga dia akan lulus cemerlang. Dia
akan bantu keluarga itu sehingga mereka selesai dan mendapat tempat yang selesa
untuk tinggal dan mereka mampu sambung belajar ke peringkat yang lebih
tinggi. Dia tidak mahu mereka patah
semangat lantaran kesusahan dan keperitan hidup yang mereka alami waktu
ini. Semoga mereka terus cekal dan sabar
menjalani hidup mereka yang telah ditentukan ALLAH SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan