Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 23 Januari 2014

BAHAGIA MILIK KITA- BAB 12



 BAB 12
            Luluh hati Haikal melihat lauk yang dihidangkan kepada adik-adiknya   Ikan goreng berkuah kicap.  Hanya renungan sayu berkata di matanya.  Adik-adiknya makan tanpa bersuara.  Perut yang lapar minta diisi.  Duduk menumpang harus  sedar diri.  Setitis air jernih menitik di pipi, cepat-cepat diseka dengan hujung jari.  Kenapalah hidup mereka menjadi kebencian orang lain.  Bukan dia meminta diberi kemewahan, cukuplah sekadar tempat berteduh dari hujan dan panas. Sabarlah wahai adik-adik, along akan usaha agar hidup kita tidak lagi terseksa, bisik hati kecilnya.  Jauh di sudut hati berbau kecewa dan hampa.    Nasi yang berbaki di pinggan disuapkan ke mulut adiknya yang kecil.  Ya ALLAH, hanya Engkau yang mengetahui hati ini.
            “Kenapa Haikal?  Tak sedap?  Itu sahaja yang mampu mak su bagi.  Kami bukan orang senang.  Lagipun kau bukan ada bayar apa-apa?  Selayaknya kalian makan lauk itu sahaja.”  Mak Su Tijah mencebik.
            “Tidak mengapalah mak su.  Inipun sudah cukup baik buat kami,” kata Haikal bagi menyedapkan hati.
            “Tapikan mak su, waktu ke mari Haikal bawa banyak barang-barang dapur.”
            “Kalau banyakpun, kau ingat di rumah ini tidak perlukan barang-barang itu semua?”  lengking suara Mak Su Tijah.  Marah disentuh tentang barang-barang dapur yang dibawa oleh Haikal waktu ke rumahnya.  Biskut dan makanan ringan sudah habis dijamah oleh anak-anaknya.
             “Adik-adik suka makan biskut sebelum tidur, mak su.  Kalau ada berilah mereka sedikit,” pinta Haikal. 
            Mak Su Tijah mencekak pinggang.  Matanya dijegilkan memandang wajah Haikal. “Ewah, kau ingat kau duduk sini, percumakah?  Untung mak su tidak ambil sewa tahu?  Mak su sudah bagi makan, rasanya sudah cukup baik daripada biarkan kalian kelaparan!”  Mak Su Tijah mencebik dan berlalu meninggalkan Haikal dan adik-adiknya  di ruangan dapur.   
  Hanya keluhan yang dilepaskan dari bibirnya.  Sayu terus mencengkam diri.  Kekecewaan merantai di hati.  Inilah nasib insan sepertinya, menjadi mangsa keadaan mereka yang hanya tahu berpura-pura.
            “Long,”  Halim memanggil perlahan.  Wajah abang sulongnya yang murah sudah tahu hati abangnya itu kecewa.  Tiada daya, tiada upaya lantaran kemampuan yang tidak membolehkan mereka berbuat apa-apa. 
            “Susu Maisarah pun tak ada long,” beritahu Halim.  Maisarah yang sedang bermain dengan Haida dipandang seketika. 
            “Mak su bagi anak kecil dia minum susu Maisarah.  Bila  Haida minta, mak su tak bagi, adik nak minum apa long?”  Haida mencium pipi Maisarah yang ketawa bila diagah.
            Haikal mengeluh.  Pengurus pasaraya tempat arwah orangtua mereka bekerja telah memberi bekalan makanan cukup untuk sebulan,  Begitu juga susu adiknya.   Kenapa kejam sangat manusia walaupun saudara mara sendiri? 
            “Sabarlah Halim, Haida,”  kata Haikal. 
            “Kami mungkin boleh bersabar long, tapi bagaimana dengan Hani, Haris dan Maisarah?”  Haida mengusap lembut rambut Maisarah yang ikal mayang itu.  Dia pula tiada ruang untuk berehat.    Balik sahaja dari sekolah sudah menunggu tugasan yang perlu dilakukan.  Membasuh kain baju, memasak dan mengemas rumah.  Bila malam terpaksa menjaga adik-adik. Badan pula sudah  keletihan, tiada langsung ruang masa untuk dia mengulangkaji pelajaran. 
            “Long, kita balik tinggal di rumah lama kita, tak bolehkah?”  Halim mengerutkan dahi.  Rindu dengan rumah lama mereka.  Biarlah buruk mereka bahagia tinggal di situ.  Terlalu banyak kenangan bersama kedua orangtua mereka. 
            “Tak boleh Halim, rumah itu sudahpun dijual oleh abang arwah emak.  Kita sudah tiada tempat tinggal lagi dik.  Di sinilah kita menumpang buat sementara waktu.”  Halim menyandar di dinding rumah.  Di ruangan dapur itulah mereka adik-beradik, berkumpul setiap malam.  Seminggu tinggal di rumah itu terasa bagaikan setahun.  Mak sunya asyik marah-marah.  Kadang-kadang Haris dan Hani dipukul  hanya kerana membuat bising atau berebut barang mainan dengan anak-anaknya.  Haikal dan Halim pula terpaksa mengemas laman rumah setiap hari.  Haikal tidak pernah kisah jika mereka terpaksa melakuka semua kerja-kerja itu.  Saling membantu tiada salahnya.  Tetapi mereka diperlakukan persis pembantu rumah.
            Adik-adik tidur hanya berlapikkan kain pelekat dan kain batik milik arwah orangtua mereka.   Untung bawa bantal dari rumah jika tidak sudah pasti tidur mereka beralaskan lengan.  Tiada langsung ruang untuk mereka mengulangkaji pelajaran.  Haikal terpaksa menjaga adiknya Maisarah sewaktu Haida berada di sekolah.  Mak sunya pula asyik menyuruhnya menjaga anak-anaknya yang lain.
            Haikal berkira-kira hendak bekerja.  Dia tidak boleh duduk berpeluk tubuh sahaja.   Kasihan adik-adik yang hanya makan sehari dua kali sahaja, itupun lauk yang sama, ikan goreng berkuah kicap.  Tidak berani membantah pasti mulut laser mak sunya akan menembak.  Tidak tahan terus dihina dan dicaci, baiklah dia redha sahaja dengan apa yang terjadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan