BAB 3
“Berhenti
sekolah? SPM beberapa bulan sahaja lagi
Haikal. Habiskan dahulu pelajaran
awak. Lepas tu baru awak fikirkan
tindakan seterusnya. Jangan bagi alasan
apa-apa pada saya. Saya faham masalah
awak. Awak ramai adik beradik. Kehilangan kedua orang tua dalam waktu yang
sama tentu merupakan tamparan besar dan dugaan yang paling mencabar bagi awak
adik beradik. Saya akan cuba berbincang
dengan pihak sekolah dan pihak PIBG. Apa
yang mereka boleh bantu. Awak bukan
pelajar yang lemah. Sekurang-kurangnya
ada SPM awak boleh dapatkan pekerjaan
yang baik di luar sana. Jangan putus
asa, ya.” Nasihat Cikgu Borhan Penolong
Kanan Hal Ehwal pelajar sekolahnya.
Haikal terdiam. Dia tidak tahu apa yang harus dia katakan lagi. Memang benar kata cikgunya itu tetapi dia
harus juga memikirkan tentang adik-adiknya.
Kalau dia pergi sekolah siapa pula yang akan menjaga Haris, Hani dan
Maisarah yang masih kecil dan belum bersekolah.
Haris tahun hadapan baru hendak masuk tadika. Hani baru empat tahun. Maisarah setahun.
“Saya
akan ambil periksa. Tetapi saya tidak
boleh datang sekolah cikgu. Tiga orang
adik saya masih belum bersekolah. Kalau
saya datang ke sekolah siapa pula yang akan menjaga mereka,” cerita Haikal. Cikgu Borhan mengeluh.
“Haikal
jangan risau. Biar cikgu sama-sama
bantu Haikal selesaikan masalah yang
ada. Cikgu mahu Haikal belajar. Selesaikan dahulu SPM awak tu, faham,” kata Cikgu Borhan tegas.
“Cikgu,
maafkan saya kerana menyusahkan pihak sekolah,”
Haikal menunduk. Cikgu Borhan
tersenyum.
“Ini
tanggungjawab masyarakat, bukan tanggungjawab saya seorang. Haikal bertenang, jaga diri baik-baik. Apa yang cikgu mahu Haikal tetap ambil SPM,
jangan tidak-tidak. Demi masa depan
Haikal dan adik-adik Haikal sendiri.”
Cikgu Borhan menepuk belakang Haikal memberi semangat. Haikal mengangguk.
Haikal
termenung jauh. Kata-kata cikgu Borhan
ada benarnya. Haikal memandang ke laman
rumah. Haris dan Hani sedang leka bermain.
Maisarah pula masih tidur setelah puas menangis tadi. Mungkin rindukan emak mereka. Halim dan Haida belum lagi balik dari sekolah. Mungkin ada kelas tambahan. Halim akan ambil PMR tahun ini. Haida pula UPSR. Ya, ALLAH ketiga-tiga mereka akan mengambil
peperiksaan penting. Laman rumah sudah
lama tidak dibersihkan. Rumput sudah
mula memanjang. Sampah-sarap sudah
memenuhi laman rumah. Selalunya setiap
hujung minggu mereka sekeluarga akan membersihkan kawasan tersebut. Entah kenapa dia bagaikan hilang semangat
untuk membersihkannya. Hilang rasa,
hilang keinginan lantaran ketiadaan orang tersayang.
“Haris,
Hani, mari naik dah tengahari ni. Along
nak masak.” Panggil Haikal. Haris dan Hani menoleh. Kemudian memandang sesama sendiri. Wajah mereka cemberut. Haikal menggelengkan kepala. Tentu mereka masih belum puas bermain.
“Naiklah
dulu, petang sikit baru main. Jangan
berjemur panas nanti demam along juga yang susah,” Haikal melambai memanggil mereka naik. Akhirnya mereka akur. Haikal tersenyum.
Hari
itu Haikal menjamu adik-adiknya dengan ikan masak kicap dan sayur sawi goreng
sahaja. Cukuplah asalkan dapat melapik
perut yang lapar. Dia perlu berjimat
cermat. Asalkan boleh makan sudahlah. Jangan kelaparan sudah.
Halim
dan Haida sibuk mengulangkaji
pelajaran. Haris dan Hani leka menonton
televisyen. Maisarah sedang
menyusu.
“Assalamualaikum…” seseorang memberi salam. Haikal menjengah ke luar.
“Waalaikumsalam,
Tok ketua, jemput naik.” Pelawa Haikal
menyambut kedatangan ketua kampung.
Bukan tok ketua seorang tetapi
ada seorang lelaki dan seorang perempuan
turut bersama. Haikal cuak. Siapa pula mereka. Mereka bertiga melangkah masuk ke dalam rumah. Hari semakin menjengah ke petang.
“Sila
duduk tok ketua,” Haikal duduk di
lantai. Kedua tetamu duduk di kusyen
rotan yagn memang sedia ada di dalam rumah itu.
“Bersih
rumah ini,” kata perempuan itu. Haikal
tersenyum.
“Haikal,
ini Encik Rahim dan isterinya Puan Fauziah.
Mereka tinggal di Kuala Lumpur.
Mereka datang ini sebab ada hajat.
Mereka sudah lama berkahwin tetapi belum dikurniakan anak. Jadi mereka bercadang hendak ambil Maisarah
sebagai anak angkat,” kata tok ketua berterus terang.
Haikal,
Halim dan Haida terlopong mendengarnya.
Mereka bertiga saling berpandangan.
“Maksud
tok?” Haikal kebingungan. Tok ketua mengeluh.
“Tujuan
kami datang adalah hendak mengambil Maisarah, adik bongsu awak sebagai anak
angkat kami. Kami tahu adik sedang susah
sekarang ini, kan? Jadi kami ingin
meringankan beban adik dengan menjaga dan membela Maisarah.” Sampuk perempuan itu. Dahi Haikal berkerut. Wajah tok ketua ditenung lama. Minggu lepas tok ketua ada datang ke
rumahnya bertanyakan adik-adiknya adakah mereka hendak duduk di rumah anak
yatim piatu. Dia tidak akan
benarkan perkara itu terjadi. Dia masih boleh menjaga mereka.
“Maaf, saya masih mampu menjaga adik-beradik
saya. Saya masih kuat, saya masih
muda. Saya masih boleh bekerja,” kata
Haikal tegas. Tok ketua memandang wajah
Haikal dengan perasaan marah. Degil dan
keras kepala.
“Haikal,
cubalah bawa bertenang. Kau nak ke
sekolah, adik-adik beradik kau ramai.
Macam mana kau nak jaga?” tempelak tok ketua. Haikal memandang wajah tok ketua tajam.
“Tok
jangan risau. Tahulah saya menguruskan
adik beradik saya sendiri. Ini ketentuan untuk saya. Biar saya sahaja yang menjaga dan membesarkan
mereka. Biar bagaimana susah sekali pun,
saya sama sekali tidak akan berpisah dengan mereka. Maaf pak cik dan mak cik. Saya tidak akan
serahkan adik-adik saya pada orang lain.
Keputusan saya muktamad!” kata Haikal tegas. Tok ketua mencuka. Kedua tetamu turut kecewa.
“Jangan
sampai kau hancurkan masa depan adik-adik kau dengan kedegilan kau sudahlah Haikal,”
marah tok ketua. Haikal diam. Dia tidak mahu melawan. Apa yang mereka tahu tentang
perasaannya. Dia tidak akan tergamak
berpisah dengan adik-beradiknya.
“Insya-ALLAH
tok, saya akan jaga adik-adik saya seperti nyawa saya sendiri.” Haikal tetap bertegas. Dia tidak akan sesekali menyerahkan
adik-adiknya pada orang lain. Biarlah
susah senang mereka bersama. Biarlah
mereka kekal bersama sehingga ke akhir hayat.
“Maafkan
saya Encik Rahim, Puan Fauziah. Budak
ini memang degil!” Tok ketua menjeling
tajam. Haikal menunduk.
“Tidak
mengapa tok. Hendak buat macam
mana? Mungkin bukan rezeki kami,” kata
perempuan bernama Fauziah itu. Dia
membuka beg tangannya. Sejumlah wang
diletakkan di atas meja.
“Ini
sumbangan dari mak cik. Mak cik faham perasaan
awak. Baguslah awak bersemangat hendak
menjaga adik-adik awak. Tetapi pastikan
awak dapat melaksanakannya,” kata Puan Fauziah.
Haikal mengangguk perlahan.
“Kalau
macam tu kami minta diri dulu, terima kasih tok. Kami akan cuba cari ditempat lain pula,” Encik Rahim bingkas bangun bersalaman dengan
Haikal dan Halim. Haida bersalam dengan
Puan Fauziah. Tok ketua mencuka.
“Orang
kampung sudah tidak suka kau orang adik-beradik tinggal di sini, kedua orang
tua kalian penjenayah. Jangan nak berlagak
sombong pula,” kata tok ketua.
“Tok,
tok pemimpin di kampung ini. Arwah ayah
saya anak jati kampung ini. Rasanya tok
kenal arwah ayah sejak kecil lagi.
Sampai hati tok tuduh kedua orang tua saya. Biarlah orang kampung membenci kami
adik-beradik asalkan ALLAH sentiasa ada bersama kami,” Haikal mengetap bibir. Kecewa dia dengan sikap ketua kampungnya
itu. Sepatutnya mereka membantu dia adik
beradik bukannya menghina.
“Padanlah
pak long kalian benci sangat dengan kalian.
Memang degil dan keras kepala,”
menonong tok ketua meninggalkan rumah itu. Haikal menggelengkan kepala. Inikah sikap seorang pemimpin. Mudah menuduh orang tanpa bukti yang
sah. Hanya cakap-cakap dari pihak polis
sahaja belum ada kesahihannya lagi.
Pihak pasaraya pun masih belum dapat membuktikan orang tuanya yang
merompak pasaraya tersebut. Walaupun ada
cctv namun tidak berapa jelas.
“Along,
alang takutlah. Kalau tok ketua mengadu
dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
macam mana?” Haida mengeluh. Haikal memandang ke luar rumah. Halim
termenung jauh.
Bunyi kokokan ayam membuatkan dia terjaga
dari tidur. Sudah hampir masuk waktu
subuh. Haikal melangkah bangun. Dia
mengejutkan Halim dan Haida. Mereka
harus ke sekolah. Dia tidak ke sekolah.
Nota-nota pelajaran akan diberi oleh cikgu-cikgu yang mengajarnya. Hanya dengan cara itu mereka membantu
dia. Pihak PIBG juga telah menubuhkan
tabung khas untuk mengutip sumbangan untuknya sekeluarga. Dia benar-benar terharu. Jiran sekampung pula tidak semua membenci
keluarganya. Ada juga yang sudi
membantu. Menghulurkan bantuan sekadar
yang mereka mampu. Dia benar-benar
berterima kasih dan bersyukur dengan pertolongan ALLAH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan