Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 3 Januari 2014

MENGAPAI IMPIAN







Gambar : Keluarga-google
Nukilan:  Asmah Hashim




                Matanya berkaca. Wajah ibu dipandang sekali imbas.  Sampai hati ibu.  Apakah keputusan ibu muktamad?  Wajah ibu serius sahaja.  Dia menunduk.  Mencari kata-kata yang mampu dilontarkan kepada ibu.  Apakah ibu tidak tahu, pelajaran mampu mengubah nasib hidup seseorang.  Atau ibu sengaja tidak mahu tahu?   Adik-adik yang sedang menulis dan membaca, dilihat sekali imbas.  Semakin menanar hatinya.
                Ayah pula duduk di anjung rumah, fikiranya merawang entah ke mana.  Semakin pedih perasaannya.  Tiada siapa yang menyokong.  Tiada siapa yang kisah.  Mahu sahaja dia menjerit, meraung dan memberitahu ibu dan ayah, keputusannya muktamad.  Dia akan berusaha sendiri mencari duit.  Ibu dan ayah tidak perlu susah-susah.   Ah, siapa yang hendak memberinya kerja?  Itu semua rezeki.  Tahulah dia mengaturkannya.  Dia tidak akan sama sekali  menurut kehendak kedua orangtuanya.  Bukan hendak menjadi anak durhaka, jauh sekali berniat begitu.  Ini melibatkan masa hadapannya.  Biarlah dia hanya seorang perempuan.  Apakah perempuan tidak perlu berilmu, tidak perlu berpelajaran tinggi?  Kenapa cetik sangat pemikiran ayah dan ibu?  Hanya kerana mereka tidak mampu menyekolahkannya, mereka mudah sahaja mengambil keputusan.  Bagaimana impian dan cita-citanya?    Tidakkah terfikir akan perasaannya?
                “Ibu bukan apa, Tati…  ibu hanya fikirkan masa hadapan adik-adik.  Cukuplah kau pandai membaca, menulis dan mengira.  Ibu nak kau berhenti sahaja.  Lagipun yuran peperiksaan SPM itu mahal, mana ayah hendak cari duit?  Yuran sekolah adik-adikpun belum lagi dijelaskan.  Duit yang ada  sudah digunakan beli keperluan sekolah mereka.  Berkorbanlah ya! Kau itu perempuan, kalau belajar  tinggi-tinggipun akhirnya ke dapur juga.”  Kata ibu sambil tangannya pantas menganyam tikar mengkuang.  Aku mendengus kasar.
                “Duduk sahaja di rumah, bantu ibu di dapur.  Kalau orang masuk meminang, kahwin terus.  Kalau belajar tinggi-tinggi…  takut tidak laku pula. Takut orang hendak meminang sebab terlalu pandai,” sampuk ayah di anjung rumah.  Semakin berkerut dahinya.  Ya ALLAH kenapa ayah dan ibu berfikiran begitu.  Sungguh cetik sekali. 
                “Ibu, ayah…  sekurang-kurangnya biarlah sampai SPM!”  Tati bersuara.  Ibu menjegilkan mata.
                “Jangan hendak membantah!  Mulai esok tidak perlu ke sekolah!” kata ayah tegas.   Mengalir laju air matanya.  Tiada kata yang mampu dia ucapkan. Ayah sudah terkenal dengan ketegasannya.  Ketegasan kepada tempat yang tidak kena.  Ibu tukang pak turut, tidak langsung membantah.
                “Ibu kau tak perlu sekolah tinggi, pandai sahaja menguruskan rumah tangga?”  sambung ayah.   Tati mengerling.  Itu sebab ibu hanya tahu jadi pak turut, langsung tidak mahu memberi idea.
                “Tapi ibu, ayah…  setahun sahaja lagi.  Tidak mengapalah jika ayah dan ibu tidak mahu membayar yuran peperiksaan dan sekolah Tati.  Biar Tati bekerja sambil belajar,”  pinta Tati. 
                “Jangan degil!  Duduk sahaja di rumah!” lengking ayah.  Tati terdiam.  Kenapa sikap ayah begitu sekali? 
                Tati menuju ke rumah Datin Halimah.  Jiran dan kawan baik ibunya.  Dia ingin minta sesuatu.  Semoga Datin Halimah mampu menolongnya.  Dia perlu buat sesuatu.  Dia tidak akan berhenti sekolah.  Biar ayah dan ibunya hendak mengamuk sekalipun.  Dia tetap dengan keputusannya.  Langkahnya semakin laju mendekati rumah orang kaya di kampungnya itu.  Mungkin Datin Halimah mampu membantunya.  Tati memberi salam.
                “Waalaikumsalam, Tati! Dari mana hendak ke mana?” tanya Datin Halimah lembut dan mesra.  Tati mendekati anjung rumah banglo itu.
                “Tati dengar, mak cik memerlukan pembantu rumah.  Benarkah?” wajah mulus itu dipandang.  Mata mereka saling bertembung.
                “Kenapa?  Tati ada calonnyakah?”  Datin Halimah menarik tangan Tati masuk ke dalam rumah.  Berminat juga hendak mendengar cerita gadis tersebut.  Kebetulan dia memang memerlukan pembantu rumah.
                “Kalau Tati kata ada calonnya, apakah sudi mak cik menerima biarpun orang itu masih muda tetapi kuat dan mampu bekerja?”
                “Kalau sesuai, kenapa tidak.  Bukan mak cik memilih sangat.  Asalkan tenaganya kuat, rajin dan jujur, pintu rumah mak cik terbuka luas untuknya.”
                “Kalau begitu, sudilah kiranya mak cik menerima Tati bekerja di rumah mak cik ini.  Tati amat memerlukan pekerjaan ini, mak cik.  Cita-cita dan impian Tati berada bersama-samanya,” kata Tati.  Datin Halimah semakin mendekat.  Wajah polos gadis itu ditatap lama.  Mencari jawapan jujur di wajah gadis manis yang masih muda persis anaknya.
                “Kenapa sampai hendak bekerja? Bukankah Tati masih bersekolah?”  Datin Halimah cuba menyelami hati suci gadis itu.  Tati menunduk.  Matanya mula berkaca.  Bukan, malah tiada langsung niat untuk menjatuhkan maruah keluarganya.  Namun kehendak batin yang memenjara di dalam diri.  Keinginan  bergelar manusia berjaya membuang rasa segan dan malu.  Salahkah dia?
                “Ibu dan ayah ingin Tati berhenti sekolah, lantaran ketidaksanggupan mereka menanggung pelajaran Tati.  Itu sebab Tati ingin bekerja.  Biarlah Tati tanggung sendiri keperluan persekolahan Tati.  Bolehlah mak cik.  Tati janji akan bekerja bersungguh-sungguh.  Tati tidak mahu hidup susah seperti ibu dan ayah.  Tati ingin ubah nasib hidup kami dari kais pagi makan pagi, kais petang  makan petang.  Bolehkan mak cik?”  sayu hatinya, pilu rasanya.  Bukan mengemis.  Jauh sekali meminta sedekah. Dia ingin bekerja, membanting tulang empat keratnya.  Tidak sesekali meminta simpati.
                “Kenapa sampai begitu sekali?  Hendak  mak cik cakapkan dengan ibu dan ayah?”
                “Jangan mak cik, tentu mereka marah! Nanti mereka ingat Tati ingin menjatuhkan maruah mereka.  Biarlah Tati bekerja tanpa pengetahuan mereka, dan anggap sahaja mak cik meminta pertolongan Tati.  Bolehkan mak cik.  Cuma  Tati ingin minta tolong, pinjamkan Tati duit bagi membayar yuran peperiksaan dan yuran sekolah yang sudah hampir tamat tempohnya.”
                “Ya ALLAH, Tati.  Mak cik akan bantu.”
                “Nanti potong dari gaji Tati ya, mak cik.”
                “Baiklah Tati.”  Datin Halimah tersenyum bangga.  Anak gadis itu bercita-cita tinggi.  Impian menggunung ke langit.  Jika hati sudah berkehendak tiada  siapa yang mampu menghalangnya.  Jiwa besar tentu besar juga pengorbanannya.
                Hidup Tati bagaikan tiada ruang untuk berehat.  Pagi   menuntut ilmu, tengahari membanting tulang. Malam pula mentelaah pelajaran sambil membantu ibu di dapur.  Itulah rutin harian Tati.  Dia tidak pernah putus asa.  Kata-kata ayah dibiar sepi.  Setiap hari menyindir dan bagaikan melemahkan semangat dan mematahkan cita-citanya.
                “Degil benar kau ya?  Ayah suruh berhenti sekolah, namun kau tetap bertegas hendak belajar!” kata ayah waktu sedang menikmati makan malam.  Tati tidak berkutik.  Menjawab satu dosa, biarlah dia membisu.  Ayah berhak berkata apa sahaja.   Biar sakit di telinga, asalkan dia mendapat apa yang dia inginkan.
                “Ayah tidak akan membayar yuran peperiksaan kau!” lengking ayah. Nasi di pinggang bertaburan dihentak ayah.  Ibu terdiam tidak berani bersuara.  Adik-adik tunduk membisu, wajah ayah yang mencuka tiada siapa berani memandang.  Hatinya diheret pilu.  Kenapa sakit benar hati ayah?  Salahkah dia bersekolah? 
                “Sudahlah bang… kalau dia  Tati tidak mahu berhenti, apa kita boleh buat.  Biarlah dia bersekolah.”  Kata ibu akhirnya.  Mata ayah membuntang.    Ibu memandang ke arah lain.  Tidak pasal-pasal ditelan ayah.
                “Kau cakap senanglah! Yang menangungnya aku! anak-anak yang lain macam mana?  mereka perlukan duit  untuk belanja!  Kalau Tati sekolah, beban semakin besar!”  marah ayah.  Air mataku tanpa disedari mengalir lagi.  Ayah, kenapa engkau tidak mahu memahami? Detik hati kecilnya. 
                “Menangis!  Yang tahu menangis! Kawan-kawan kau ada yang sudah berhenti sekolah, mereka suka sahaja?  Kenapa kau degil?”  ayah merenungnya tajam.  Memang ada kawan sebaya yang sudah berhenti sekolah.  Bukan kerana dipaksa tetapi mereka sudah tidak minat lagi belajar.  Bagi mereka belajar hanya membuang masa. Tidak bagi dirinya.  Belajar itu jambatan ilmu.  Bukan hendak jadi pandai, tetapi hendak jadi manusia berilmu dan cerdik, tidak lagi ditipu dan tertipu.  Salahkah dia?
                “Sudahlah bang!  Tidak baik di hadapan rezeki, abang  membebel memarahi anak-anak.  Biar mereka makan dengan tenang.  Abang itu bawalah bersabar.  Semoga jalan yang dipilih adalah terbaik untuk dirinya.”  Kata ibu. 
                “Terbaik apanya?  Menyusahkan sahaja adalah!”  Ayah  berlalu pergi.  Ibu menggelengkan kepala.   Adik-adik memandang ke arahnya.  Tuti mengesat air mata . Dia akan buktikan kepada ayah dan ibu, dia mampu berjaya. 
                Datin Halimah memerhati Tati mengemas dapur.  Bersih dan kemas.  Rajin sungguh gadis itu.  Tidak tahu erti penat.  Jika tiada kerja dia akan mentelaah dan membuat kerja sekolah.  Buku sentiasa di sisi. Tekun sungguh anak ini.  Sepatutnya kedua orangtua gadis ini bangga mempunyai anak seperti ini.  Rajin dan tidak pernah kenal erti putus asa.
                “Tati, tidak penatkah bekerja sambil belajar?”  Datin Halimah ingin menyelami perasaan gadis itu lagi.  Ingin bersembang dan bertanya, mengetahui kematangan berfikir di luar kelompuk usianya.
                “Siapa kata tidak penat mak cik?  tentulah penat.  Tapi demi mengejar impian Tati, apa salahnya.  Biarlah Tati berkorban, demi masa hadapan  Tati dan keluarga.  Mungkin sekarang ayah tidak nampak, ibu tidak melihat.  Tati percaya suatu hari nanti pasti  kedua orangtua Tati  akan membuka mata bahawa pelajaran itu penting untuk membentuk generasi akan datang.  Jika Tati ingin menjadi ibu, biarlah ibu yang berpelajaran,  agar anak Tati nanti boleh berjaya di dunia dan akhirat.    Mungkin selepas SPM Tati ingin bekerja dahulu, kumpul duit, lepas itu baharulah  Tati sambung belajar ke peringkat lebih tinggi.  Tati tidak mahu menyusahkan orangtua Tati.  Harap mak cik sudi menerima Tati bekerja di sini, ya?”
                “Sungguh besar cita-citamu, Tati.  Mak cik doakan Tati berjaya mencapai apa yang Tati inginkan.”  Datin Halimah tersenyum.  Dia perlu buat sesuatu.
                “Mak cik, bulan hadapan peperiksaan sudah bermula.  Boleh tak Tati ambil cuti?  Hujung minggu sahaja Tati ke mari?”  pinta Tati. Datin Halimah tersenyum kembali.
                “Sudah tentu Tati, ini ada hadiah dari mak cik. Petang kelmarin mak cik ke kedai buku, terjumpa buku rujukan ini.  Semoga berguna untuk Tati,”  Bungkusan itu bertukar tangan.  Tati memandang wajah Datin  Halimah.  Wanita itu banyak membantu dalam diam.  Wang yang dipinjam untuk membayar yuran peperiksaan dan sekolah tidak diambil semula.  Malah duit gaji juga digandakan.  Itu sebab dia bekerja bersungguh-sungguh, tidak mahu hasil titik peluhnya ditanyakan ALLAH di akhirat kelak. 
                Keputusan sudah berada di tangan.  Air mata gembira mengalir laju.    Ayah dan ibu memandangnya tidak berkelip.  Slip bertukar tangan.  Ibu menjunamkan pandangan ke atas slip itu.  Tiada kata yang mampu dia luahkan.  Tati telah membuktikan dia mampu berjaya.   Dia melihat kesungguhan anaknya belajar.  Dia tahu anaknya bekerja di rumah Datin Halimah.    Ayah pula masih dengan egonya.  Slip itu diberi kembali.  Ayah berlalu pergi, meninggalkan dia dan ibu sendiri. 
                “Ayah bangga dengan pencapaian Tati, percayalah.” Pujuk ibu.  Tati mengukirkan senyuman.  Dia tahu ayahnya bangga dengan dirinya.
                “Ibu…  Datin Halimah akan tanggung  Tati belajar sampai selesai!  Ibu tidak gembirakah?  Ibu dan ayah jangan bimbang tentang perbelanjaan Tati.  PTPTN juga Tati layak terima.   Doakan kejayaan Tati, ya ibu!”  Tati memegang tangan ibunya.  Ibu menangis.  Tati dipeluk erat.
                “Maafkan ibu dan ayah ya, Tati!”  kata ibu sayu.  Tati menangis.  Ibu dan ayah tetap di hati.  Doa ayah dan ibu amat bererti buat diri ini. 
                “Maafkan Tati juga, ya.  Tati degil dan tidak mendengar kata.  Apa yang Tati lakukan demi kelangsungan hidup kita ibu, Tati tidak mahu selamanya kita hidup begini.  Tati ingin mengubah nasib hidup kita.”  Kata Tati.  Ibu mengangguk tanda mengerti.  Pelukannya semakin erat.  Kalaulah Tati mengikut dan mendengar kata-katanya tentulah dia sudah menghancurkan harapan anak gadisnya itu.  Dia tersenyum bangga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan