Bab 9
“CANTIKNYA lukisan ni, Encik Yusuf.” Itulah pujian yang
meluncur keluar dari bibir Nur Ain sebaik saja masuk ke bilik bosnya.
“Nak gantung di dinding ke?”
Yusuf Hakimi menggeleng.
“Lukisan ni untuk isteri saya, Ain.” Dia memberitahu.
Setiausaha muda itu segera meletakkan beberapa buah fail di atas meja
bosnya sebelum mendekati lukisan tersebut. Dia seolah-olah terpegun
dengannya.
“Hadiah ulang tahun perkahwinan ke?”
“Taklah, tapi hadiah harijadinya yang kedua puluh satu.”
Nur Ain senyum. Dia kenal benar dengan isteri bosnya itu. Orangnya
cantik dan berbudi bahasa. Namun dia merasakan Zulaika agak pendiam dan
sukar dihampiri. Kadangkala dia cemburukan Zulaika kerana dalam usia
yang begitu muda dia berjaya duduk di sisi lelaki seperti Yusuf Hakimi
sebagai surinya. Sedangkan dirinya yang sudah menjangkau usia dua puluh
lima tahun itu masih teraba-raba mencari siapakah lelaki yang bakal
bergelar teman hidupnya.
Ah, aku masih terlalu muda kalau hendak
dibandingkan dengan Intan Juliana, desis hatinya sambil membayangkan
mengapakah perempuan kota yang cantik dan elegan itu gagal untuk
menakluki hati Yusuf Hakimi. Kadangkala dia sebagai orang luar selalu
membandingkan di antara keduanya – Intan Juliana dan juga Zulaika, dan
merasakan bahawa orang yang paling layak untuk bosnya yang kacak dan
segak itu adalah Intan Juliana.
Baginya, Zulaika agak ketinggalan
zaman. Atau dalam kata jolokan yang agak kasar, kolot. Sementelahan lagi
usianya yang masih terlalu muda untuk bergelar seorang isteri.
Setelah puas memerhatikan lukisan tersebut, Nur Ain menoleh ke arah
bosnya yang sedang menyemak butiran di atas fail yang baru dihantarnya
seketika tadi. Ringan saja mulutnya hendak bertanya mengapakah bukan
Intan Juliana yang menjadi pilihan hati Yusuf Hakimi. Tetapi dia khuatir
kalau-kalau lelaki itu tidak senang pula dengan pertanyaannya.
“Saya keluar dulu, Encik Yusuf.” Katanya sambil melangkah ke pintu.
“Ain!” panggilan itu membuatkan langkahnya terhenti. “Selain daripada lukisan, agaknya apa hadiah yang disukai oleh perempuan?”
“Emm... perempuan memang tak dapat dipisahkan dengan bunga. Saya rasa
sejambak bunga juga adalah hadiah yang lebih murah dan cukup sesuai
untuk dihadiahkan pada harijadi orang tersayang.” Ujarnya sebelum
menutup daun pintu.
Yusuf Hakimi sengih. Nur Ain tidak tahu bahawa lukisan tersebut diperolehinya secara percuma daripada seorang teman baik.
WALAUPUN masih sedih dengan kata-kata kesat yang dilemparkan oleh ibu
mentuanya, Zulaika malas hendak melayan perasaannya. Dia menyibukkan
dirinya dengan melakukan kerja-kerja rumah sehingga badannya terasa
letih. Itu adalah lebih baik daripada melayan emosi yang tercalar.
Dia tidak masak tengah hari itu. Perut yang keroncong cukup kalau
sekadar dialas dengan oats segera. Jimat masa dan mengenyangkan juga.
Kalau bercita-cita nak jadi penulis yang prolofik seperti Norhayati
Berahim ataupun Liana Afiera Malik tu, masa janganlah dihabiskan di
dapur saja.
Walaupun kadangkala terasa bosan kerana seharian suntuk
terpaksa berkurung di rumah, tanpa teman untuk bergosip, namun semua
itu ada juga baiknya. Rutinnya tidak seperti orang lain yang bekerja
tetap, mengejar masa saban pagi untuk ke pejabat dan hanya pulang
setelah jam menunjukkan ke pukul lima ataupun enam petang. Kadangkala
terperangkap di dalam kereta, bas ataupun teksi di dalam kesesakan lalu
lintas yang panjang, seperti yang selalu disungutkan oleh suaminya.
Dia pula bebas memilih masa untuk berkarya. Kalau ilham itu datang awal
pagi, maka di awal pagilah dia akan berada di depan laptopnya. Kalau
benda yang dikatakan ilham itu tibanya pada waktu tengah hari, maka pada
waktu itulah dia akan berteleku mengetuk papan kekunci. Dia boleh
memilih masa yang paling sesuai untuk melakukan kerja-kerjanya. Tetapi
sebagai seorang suri rumah tangga, dia tidak pernah membiarkan rumah
yang didiaminya dengan suaminya ini dibiarkan tidak berkemas. Begitu
juga dengan pakaian serta makan minum suaminya, semuanya dijaga dengan
baik. Dia tidak mahu mendengar rungutan keluar daripada bibir Yusuf
Hakimi.
Hati dan deria suami kena jaga, beb! Apatah lagi kalau
mempunyai suami yang kacak dan ganteng seperti Yusuf Hakimi. Lagipun dia
tidak tahu siapakah yang ditemui oleh suaminya di luar sana sedangkan
dia hanya terperuk seharian suntuk di rumah.
Hati isteri mana yang
mampu tenteram kalau mempunyai lelaki kacak sebagai suami. Ditambah lagi
dengan kerjaya mantap yang dimiliki oleh Yusuf Hakimi. Tidak dinafikan
kadangkala hatinya diamuk cemburu dan syak wasangka setiap kali suaminya
melangkah keluar dari rumah untuk ke tempat kerja. Namun dia tahu yang
dia harus memberikan sepenuh kepercayaan pada suaminya.
Hmmm... kau
pun satu Ika, takkan nak diperam aje Si Yusuf kesayangan kau tu di
rumah? Kau harus melepaskan juga dia keluar bekerja. Kalau dia tak
bekerja apakah yang hendak disuapnya ke mulut kau? Hatinya bermonolog.
Dia telah hanyut dibawa oleh khayalannya sehingga menggangu tumpuannya
pada kerja-kerja mengarang. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk
menutup laptopnya dan duduk di depan televisyen pula.
Ketika itulah dia mendapat satu panggilan telefon...
“Assalamualaikum, Ika. Buat apa tu? Menulis ke?”
Dia mengekel.
“Tak adalah, Kak Ju. Ika tengah tengok tv ni.”
“Wah, seronoknya! Masih sempat nak menonton.”
“Kenapa Kak Ju call ni?”
“Tak ada apa-apa. Cuma nak tahu kat mana Ika gantungkan lukisan yang dihadiahkan oleh Yusuf sempena harijadi Ika tu?”
“Lukisan apa Kak Ju?” soalnya yang keliru dengan pertanyaan wanita di hujung talian.
“Eh, bukan ke semalam harijadi Ika? Yusuf ada minta Kak Ju buat satu
lukisan untuk dihadiahkan pada Ika sempena harijadi Ika yang kedua puluh
satu. Ika belum dapat ke lukisan tu?”
“Err... belum. Sebenarnya harijadi Ika dua hari lagi.” Dia memberitahu.
“Oh, ya ke? Err... Kak Ju minta maaf, Ika! Kak Ju betul-betul ingatkan
semalam harijadi Ika.” Nada suara Intan Juliana sarat dengan rasa
bersalah.
Zulaika ketawa.
“Tak apalah, Kak Ju. Kadangkala
manusia buat silap.” Tingkahnya sambil terus meletakkan telefon ke
gagang tanpa peduli untuk mengucapkan selamat tinggal.
Zulaika tidak
menyalahkan Intan Juliana yang secara tidak sengaja telah membuka
kejutan yang sedang dirahsiakan oleh suaminya. Tapi rasa kurang senang
galak menyentuh sanubari. Mengapakah hadiah harijadinya perlu ada kaitan
dengan Intan Juliana, wanita yang dicemburuinya? Kenapa suaminya tidak
menempah lukisan itu daripada orang lain sahaja? Dan, bilakah masanya
dia bersua dengan Intan Juliana untuk menyuruhnya membuat satu lukisan
bagi dihadiahkan padanya? Apakah mereka sekdar berbual di corong
telefon? Ataupun, bertemu secara sulit di mana-mana?
Dihenyak rasa
cemburu yang mencengkam, membuatkan dia tidak senang duduk jadinya.
Wajah Intan Juliana yang jelita itu terbayang-bayang di ruang mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan