Bab 11
HUJAN RINTIK-RINTIK turun membasahi bumi. Yusuf Hakimi
berdiri di balkoni sambil memerhatikan hujan yang turun. Zulaika masih
berteleku di atas sejadah, sedang berusaha menghabiskan surah al-Waqiah.
Telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Dia segera memekapkannya ke telinga. Suara Intan Juliana kedengaran memberi salam.
“Waalaikumussalam. You kata mana ni, Ju?”
“On the way to KLIA. Flight I malam ni.” Intan Juliana memberitahu tentang keberangkatannya ke kota London.
“Iye ke? I doakan kesihatan mother you. Bila you akan balik ke sini?”
“Belum tahu lagilah, Suf. I kena tengok keadaan mother I dulu. Apa-apapun I akan inform you balik.” Tingkah Intan Juliana.
“I ada hal nak bagitau you ni...”
“Apa dia, Ju?”
“I tak tahu macam mana nak cakap. I takut kalau-kalau you marah. Tapi I
kena cakap jugalah. I rasa lukisan yang I buat untuk Ika tu dah hilang
surprisenya.”
“Kenapa you cakap macam tu?”
“I sebenarnya
ingat-ingat lupa bila sebenarnya tarikh harijadi Ika. Pagi tadi I call
dia dan tanya sama ada dia dah dapat lukisan tu dan sama ada dia
sukakannya ataupun tak. I minta maaf.” Wanita itu berterus-terang
tentang kesilapannya.
“You ni kan, memang perosak program Ilah!” dia pura-pura marah.
“Suf, you marahkan I ke? I am so sorry.” Intan Juliana meluahkan penyesalannya.
Yusuf Hakimi ketawa kecil.
“Taklah, Ju... I tak marah. I acah aje tadi. Ala, perkara kecik aje tu.
I rasa Ika pasti akan teruja bila tengok lukisan tu nanti.”
“Terima kasih, Suf. Hmmm... kat mana you nak gantung lukisan tu ya?”
“You nak I gantung kat mana?”
“Eh, manalah I tau!”
“I pun tak tahu juga. Semuanya terpulanglah pada wife I untuk memikirkannya.” Tingkah Yusuf Hakimi.
“Ya, betul tu!”
Mereka berkongsi tawa.
“Ju, I doakan perjalanan you ke sana selamat. Dan sampaikan salam I
pada mother you. I doakan agar dia cepat sembuh.” Ujar Yusuf Hakimi
tanpa menyedari bahawa isterinya sedang menelinga perbualannya dengan
wanita itu.
Deheman di belakangnya membuatkan dia menoleh. Zulaika tercegat memandang.
“Abang berbual dengan siapa? Bukan main asyik lagi Ika tengok?”
“Err... dengan kawan abang, Fareez.” Entah mengapa satu lagi pembohongan terkeluar dari bibirnya.
“Ika bukannya nak intip perbualan abang, tapi secara tak sengaja Ika
terdengar macam ada orang yang sedang sakit. Siapa yang sakit, bang?”
“Emak Fareezlah.” Sahutnya dengan rasa bersalah dan berharap agar isterinya tidak akan bertanya apa-apa lagi.
Zulaika senyum.
“Walau apapun sakitnya emak kawan abang tu, Ika pun harap agar dia
cepat sembuh.” Kata Zulaika walaupun dia dapat meneka yang suaminya
berbohong padanya. “Bang, jom kita turun makan. Malam ni Ika buat ikan
pari masak asam pedas.”
“Mesti sedap.” Tingkah Yusuf Hakimi sambil memeluk pinggang isterinya yang ramping. “Isteri abang kan pandai masak.”
“Ala... masak ala kampung Ika tahulah. Lainlah Kak Ju tu, western...
chinese, semuanya dia tahu masak.” Ada nada cemburu dalam kata-katanya.
“Jangan samakan kebolehan sayang dengan orang lain. Lagipun apalah
istimewanya masakan omputih tu? Kita ni kan orang Melayu, harus
berbangga dengan hidangan Melayu kita.” Yusuf Hakimi memujuk.
“Yelah, tu...” sahut Zulaika sambil bergegas menghidangkan makanan
sementara suaminya mengambil kesempatan itu untuk menonton siaran
Buletin Utama di televisyen.
FATIN ADIBA terlentang di atas
katil sambil memeluk patung beruang teddy sebesar budak berusia dua
tahun hadiah daripada buah hati pengarang jantungnya, Amir. Matanya
terkebil-kebil merenung siling yang sudah tidak lagi berapa putih,
merenung seekor anak cicak yang merayap-rayap di situ.
Dia
membayangkan wajah Amir dan keseronokan tatkala tangan anak muda itu
merayap-rayap di tubuhnya. Amir sentiasa cuba mengambil kesempatan untuk
melakukan adegan yang ringan-ringan ke atas dirinya ketika berada di
panggung wayang yang gelap gelita.
“Ala yang, apa salahnya? Setakat
yang ringan-ringan je.” Pujuk Amir setiap kali dia membantah tatkala
Amir mula menggatal. Sekali tepis, dua kali tepis... akhirnya dia
mengalah setelah penat menepis berkali-kali.
Dan, Amir akan keluar
dari panggung wayang dengan senyuman yang lebar di bibirnya. Dia tahu
lelaki seperti Amir adalah lelaki yang tidak bertanggung jawab. Kalau
apa-apa terjadi pada dirinya, pasti Amir akan lepas tangan. Lebih-lebih
lagi dia masih belum mempunyai kerja tetap dan makan minumnya pun masih
ditanggung oleh orang tuanya.
Oleh sebab itulah Fatin Adiba
mengambil segala langkah berjaga-jaga agar tidak terperangkap dengan
kehendak dan pujuk rayu Amir yang sentiasa mahu apa yang dimahukan oleh
setiap lelaki yang bergelar jantan terhadap seorang gadis sepertinya.
Memang dia mengaku yang dirinya seronok dengan Amir. Tetapi kalau
hendak mencari calon suami, lelaki begitu bukanlah pilihannya. Silap
haribulan dia pula yang terpaksa menganggung biawak hidup. Dia
sebenarnya cemburu dengan tuah kakak tirinya, Zulaika.
Zulaika
memang sentiasa bernasib baik. Dia menjadi impian ramai lelaki baik
semasa berada di kampung itu dahulu. Walaupun badannya kurus kering dan
berbau belacan kerana asyik terperuk di dapur, dia tetap menjadi
perhatian. Dan kemuncaknya ialah ketika seorang lelaki kacak dari Kuala
Lumpur bernama Yusuf Hakimi sanggup mempersuntingkannya sebagai isteri.
“Kau tengok Ika tu, Fatin. Dah hidup senang dengan suaminya. Kau nanti
kalau nak cari laki, cari macam Abang Yusuf kau tu, ada rupa dan harta.
Mak tak suka kau asyik ke hulu ke hilir dengan Si Amir yang tak ada masa
depan tu!” omelan Fatimah menerpa ke benaknya.
Dia membayangkan
wajah Amir dan membanding-bandingkannya pula dengan wajah Yusuf Hakimi.
Memang betul kata ibunya, Yusuf Hakimi bukan saja kacak tetapi adalah
seorang lelaki yang bertanggungjawab dan berharta.
Zulaika memang beruntung, desis hatinya dengan selaut rasa cemburu yang menggunung.
“Ah, tak lama lagi aku akan ke Kuala Lumpur. Mana tahu di sana nanti
aku akan bertemu dengan seorang lelaki seperti Abang Yusuf,” desis
hatinya sambil tersenyum mengulum. Dan Fatin Adiba sudah tidak
sabar-sabar hendak menjejakkan kaki ke kota metropolitan itu.
ZULAIKA memerhatikan suaminya. Yusuf Hakimi keluar ke keretanya dan
masuk semula tidak lama kemudian dengan sebuah lukisan yang telah siap
diframekan.
O... nilah rupanya lukisan tu, desis hati Zulaika.
Yusuf Hakimi menghampirinya.
“Ika, walaupun harijadi Ika dua hari lagi tapi abang nak berikan
hadiahnya sekarang.” Tingkah Yusuf Hakimi. “Lukisan ni abang suruh Kak
Ju yang lukiskan khas untuk Ika. Dua ekor angsa ni, lambang cinta kita
berdua. Ika suka tak dengan lukisan ni?”
Zulaika memang tertarik dengan lukisan itu kalau pelukisnya bukan Intan Juliana.
“Kenapa sayang abang diam je ni? Ika tak suka ke?”
“Memang Ika tak suka dengan lukisan ni!” nada suara yang meninggi
secara tiba-tiba itu membuatkan Yusuf Hakimi terkejut. “Tak ada orang
lain ke yang boleh abang suruh untuk buat lukisan selain daripada Kak
Ju?”
“Ika, kenapa ni?”
Zulaika menyeka air mata yang menubir. Yusuf Hakimi meletakkan lukisan itu ke lantai dan segera menghampiri isterinya.
“Abang ni masih tak faham hati Ika, kan?”
Yusuf Hakimi terdiam.
“Biarlah Ika berterus terang aje dengan abang, Ika sebenarnya cemburukan Kak Ju tu.”
Yusuf Hakimi memeluk tubuh isterinya.
“Ika tak perlu cemburukan dia. Abang dengan dia hanya kawan biasa, dah
berapa kali abang jelaskan hal ni pada Ika kan. Tapi kalau Ika tak
senang dengan lukisan ni, abang akan pulanglkan balik pada dia.”
Zulaika merenung suaminya.
“Betul ke, bang?” soalnya. Yusuf Hakimi mengangguk. “Tapi Kak Ju tentu
akan terasa hati kalau abang pulangkan semula lukisan ni.”
“Tu semua
tak penting, Ika. Yang penting ialah hati isteri kesayangan abang tak
akan sedih lagi dengan kehadiran lukisan ni.” Pujuk Yusuf Hakimi.
Zulaika membalas pelukan suaminya.
“Maafkan Ika, bang. Ika terikut-ikut dengan perasaan.” Desisnya sambil
membiarkan wajahnya yang polos dicium bertalu-talu oleh suaminya.
“Apa hadiah yang Ika inginkan untuk harijadi Ika nanti?” lelaki itu menyoal.
“Ika tak inginkan apa-apa, bang. Cukuplah kasih sayang abang pada Ika
selama ni.” Ujarnya dengan jujur membuatkan Yusuf Hakimi memeluknya
dengan lebih erat lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan