Bab 8
PAGI menyapa dengan tenang dan aman. Suasana di luar agak
dingin kerana hujan rintik-rintik yang turun sejak Subuh tadi lagi.
Suasana sekitar agak berkabus.
Setelah selesai mengerjakan solat
Subuh berjemaah, Zulaika segera melangkah ke dapur dan tidak
mengeluarkan pakaian ke pejabat untuk Yusuf Hakimi seperti kebiasaannya.
Yusuf Hakimi tidak menegur perbuatannya itu kerana dia tahu hati isteri
yang masih panas pada dirinya.
Semuanya gara-gara Fatimah dan
Fatin Adiba, gerutunya sambil menyarung kemeja biru berjalur putih dan
slack hitam ke tubuh. Belum apa-apa lagi mereka berdua ni dah buat aku
serta Zulaika bermasam muka. Entah macam mana agaknya hubungan kami
berdua jika ditakdirkan budak nakal itu menumpang di rumah ni kelak?
Setelah berpakaian kemas dia melangkah turun ke ruang makan. Dalam
keadaan perang dingin itupun isterinya tetap menyediakan sarapan pagi
berupa sandwich tuna dan kopi pekat untuknya. Kalau perempuan lainlah
agaknya tentu si suami menapak keluar dari rumah dengan perut keroncong.
“Tak minum sekali?” soalnya pada isteri yang duduk tegak bagaikan
patung di depannya. Zulaika tetap setia menemaninya menyudahkan sarapan
pagi walaupun dia tahu hati isteri yang mendongkol terhadap dirinya.
Zulaika sekadar geleng kepala.
“Marilah minum sama. Ika marah kat abang lagi ke?”
Geleng lagi.
“Ika tak minum kopi kan? Biar abang buatkan Ika Milo ya...” dia
pura-pura hendak bangkit dari kerusinya tapi tangan Zulaika segera
menahannya.
“Tak apalah, bang. Ika belum rasa nak minum lagi. Abang habiskanlah sarapan abang tu.” Zulaika bersuara lembut.
“Okey, tapi abang nak tengok Ika senyum dulu.”
“Ika boleh senyum, tapi ada syaratnya...”
Isy, Ika ni... dah pandai main sorong tarik dengan aku pulak dah, desis hati Yusuf Hakimi.
“Abang minta maaf kalau malam tadi abang ada terkasar bahasa dengan Ika.” tukas Yusuf Hakimi.
Zulaika segera angguk.
“Ika maafkan. Tapi bukan tu syarat Ika kalau abang memang nak tengok
Ika senyum.” Sahut Zulaika pantas. Matanya bulat merenung Yusuf Hakimi.
“Ika mahu abang carikan kerja untuk Fatin kan? Abang dah cuba tanyakan
pada kawan-kawan abang, Ika, tapi jawapannya masih negatif. Macam nilah,
kita tunggu tiga empat hari lagi, okey?”
“Abang ikhlas ke nak tolong Ika ni?”
Kalau diikutkan hati memang tak ikhlas. Tapi untuk sedapkan hati isteri
dan dek kemaruk nak melihat senyuman yang ayu itu terpahat semula di
bibirnya, hai... apa lagi, angguk jelah!
Sekelip mata senyuman yang
indah terukir di bibir Zulaika. Yusuf Hakimi segera meletakkan jari
telunjuk di pipinya tanda mahu dicium di situ. Dan Zulaika dengan senang
hati merapati suaminya lalu melayangkan ciuman hangat ke pipinya.
Dada Yusuf Hakimi berdebar dengan ciuman dan kehangatan tubuh isterinya.
Dia terus menarik Zulaika ke dalam pelukannya lalu memagut bibirnya.
Bibir mereka berdua bercantum dengan agak lama dan situasi itu semakin
meresahkan apatah lagi kerana malam tadi tiada adegan romantik yang
berlangsung di kamar tidur.
Untuk seketika Yusuf Hakimi membayangkan
kemungkinan adegan seperti itu tidak akan berlaku lagi di antara mereka
berdua di ruang makan ini jika benarlah Fatin Adiba akan menumpang di
situ kelak. Ah, lain kali ajelah fikirkan pasal tu, desis hatinya sambil
mencempung tubuh isterinya untuk dibawa ke kamar tidur.
Dan pagi itu, Yusuf Hakimi terlambat selama sejam untuk ke pejabat...
BUNYI loceng pintu yang ditekan berkali-kali membuatkan dia membuka
matanya. Kelelahan melayan keinginan suami yang tiba-tiba mengingini
dirinya di awal pagi begitu diatmbah lagi dengan pendingin hawa yang
terpasang membuatkan dia tertidur dengan lena sehinggalah bunyi loceng
di pintu itu menyapa telinganya.
Dia tergesa-gesa menguis gebar
tebal sehingga bergumpal di bawah katil. Hmm... siapalah agaknya yang
datang pada waktu-waktu macam ni, dengus hatinya sambil mencapai t-shirt
dan seluar panjang untuk menyaluti sekujur tubuhnya yang terdedah.
Sebelum dia melangkah keluar dari kamar tidur, dia masih sempat
menyarung tudung ke kepalanya.
Dia terkejut besar apabila mendapati siapa yang sedang berdiri di hadapannya.
“Mama!” luahnya seolah-olah kurang percaya dengan apa yang dilihatnya.
Puan Kalsom mendengus.
“Kau ke mana, huh, naik lenguh tangan aku tekan loceng ni!” terjahnya
sambil melangkah masuk ke ruang tamu tanpa peduli untuk menyambut salam
yang dihulurkan oleh menantunya.
“Errr... Ika... Ika...”
Puan
Kalsom berpaling lalu memandang tepat ke arahnya. Ada sinar benci
bertapak di wajahnya. Memang sejak mula dia tak pernah menyukai menantu
yatim piatu yang berasal dari kampung terpencil itu. Tiada suatu apapun
yang boleh dibanggakan terhadap diri Zulaika selain daripada wajahnya
yang cantik itu. Tiada! Kalau orang lain mempunyai menantu yang
berpelajaran tinggi dan mempunyai kerjaya yang bagus serta berpendapatan
lumayan, Zulaika tiada semua itu. Kalau belajar pun setakat tingkatan
lima apalah yang hendak dibanggakan.
Dia hairan entah apalah ilmu
yang telah digunakan oleh Zulaika sehingga Yusuf Hakimi sanggup
meninggalkan kekasihnya, pramugari MAS itu dahulu. Bekas kekasih Yusuf
Hakimi bukan calang-calang gadis. Selain memperolehi pendapatan lumayan
kerana kerjayanya sebagai pramugari, Suziana adalah anak kepada lelaki
berpangkat Datuk. Dia yang ketika itu sudah berangan-angan hendak
berbesan orang berpangkat akhirnya terpaksa menjilat bibir setelah
hubungan yang begitu lama terjalin di antara anak terunanya dengan
Suziana tiba-tiba terputus di pertengahan jalan. Dan dia terpaksa
menulikan telinganya daripada sindiran pedas teman-teman serta jiran
tertangga yang mempersoalkan bagaimana anaknya yang berpelajaran tinggi
serta berpangkat akhirnya memilih gadis yatim piatu yang tak punya
apa-apa selain daripada paras rupanya yang canti itu untuk dijadikan
isteri!
Malu! Ya, bukan berminggu atau berbulan dia terpaksa menelan
hakikat tersebut. Tapi hingga kini dia masih berbulu dengan Zulaika.
Disebabkan oleh perempuan kolot itulah dia kempunan berbesankan Datuk
serta Datin!
Dia bertekad hendak melihat sejauh manakah ampuhnya
rumah tangga yang dibina oleh Yusuf Hakimi dengan Zulaika. Kalau mereka
bercerai lagi bagus, desis hatinya sedikit kejam. Apa nak ditakutkan
sekiranya perceraian berlaku? Anak lelakinya pasti akan mendapat jodoh
yang sekufu dengannya walaupun tanpa Zulaika.
“Betul, Som! Mata aku
ni belum rabun lagilah. Aku memang nampak anak kau dengan sorang
perempuan cantik sedang makan kat sebuah restoran.” Begitulah kata
Saleha Bibi jirannya selang tiga buah rumah.
“Entah-entah menantu aku, kut?”
Perempuan gemuk itu geleng kepala.
“Bukan, Som! Bukan menantu kaulah sebab perempuan yang aku nampak ni
tak bertudung. Gayanya pun macam perempuan bandar. Aku perhatikan aje
mereka berdua ni, mesra sungguh nampaknya, ketawa-ketawa macam pasangan
kekasih. Bila nak balik aku nampak perempuan tu pandu kereta Merce warna
biru gelap.” Beria-ia benar Saleha Bibi bercerita.
Hai, Yusuf...
Yusuf! Bukankah aku dah kata dulu jangan terburu-buru nak kahwin dengan
perempuan kolot tu, nilah padahnya. Belum apa-apa lagi kau dah ada
girlfriend baru. Dia tersenyum sumbing sambil melabuhkan punggung ke
kusyen tenggelam punggung. Beruntung sungguh kau, Zulaika, daripada
seorang gadis miskin yang tinggal ceruk kampung, kau menghuni sebuah
rumah besar yang dilengkapi serba-serbi ini. Kau bilanglah rezeki kau ni
kerana tak lama lagi aku akan pasti rumah tangga kau dengan anak aku
akan berkecai!
“Ika! Mari sini kejap!” laungan ibu mentuanya
membuatkan Zulaika yang sedang membancuh minuman di dapur terkejut lalu
segera mlangkah ke ruang tamu.
“Kenapa, mama?”
“Kau tak nampak ke jam dah pukul berapa tu, hah?” soal Puan Kalsom dengan wajah jengkel.
Zulaika terkebil-kebil merenung jarum jam.
“Pukul sebelas pagi, mama.” Sahutnya.
“Hah, taupun! Tapi tengoklah meja makan ni, tak berkemas langsung. Apa
yang kau buat sepanjang hari kat rumah ni, hah, Ika? Kalau perempuan
yang keluar kerja pejabat tu, bolehlah dimaafkan tapi kau yang jadi suri
rumah sepenuh masa macam nipun tak boleh nak mengemas?” Puan Kalsom
membebel.
Zulaika hanya mendiamkan diri.
“Kau baru bangun tidur,
ya?” sergahnya lagi. “Kau ni dah mandi ke belum, hah? Heh, apalah nasib
anak aku dapat bini macam kau ni, Ika, dah kolot, tak berpelajaran...
pemalas pulak tu!”
Air mata Zulaika mula menubir. Dia segera menyapu air hangat yang meleleh keluar dengan hujung lengan baju.
Puan Kalsom juih bibir.
“Tak boleh ditegur, asyik-asyik menangis! Hey, budak kampung, jangan
kau ingat air mata kau tu akan melembutkan hati akulah. Sekali aku
bencikan seseorang tu, aku akan benci sampai bila-bila!”
“Kenapa
mama bencikan Ika? Kenapa mama tak dapat terima Ika sebagai menantu?
Adakah sebab Ika ni berasal dari kampung dan tak berpelajaran tinggi?
Apakah sebab Ika ni anak yatim piatu?” soalnya dalam esak tangis yang
panjang. “Tapi Ika ni pun manusia juga, ma...”
“O... dah pandai kau
menjawab sekarang, ya! Hey, betina kolot, sebelum kau datang dalam hidup
anak aku dulu aku pernah ada impian nak berbesan dengan orang
berpangkat, tau tak. Tapi kau dah rosakkan segala rancangan aku. Kau
ingat aku boleh maafkan kau?” suara ibu mentuanya melengking.
“Tapi mama harus percaya dengan kadak dan kadar. Dah jodoh Ika dengan abang...”
“Kau jangan nak berkhutbah dengan aku pulak. Dahlah... aku naik muak
tengok air mata kau tu.” Puan Kalsom menyentak lengan kanan Zulaika.
“Hey, kalau kau berani mengadu dengan Yusuf, taulah nasib kau nanti.”
Katanya seolah-olah mengugut.
“Mama tak nak minum dulu ke?” soal Zulaika apabila melihat ibu mentuanya menonong ke pintu dengan wajah masamnya.
“Tak payah! Aku lebih suka minum kat kedai daripada minum air yang kau bancuh.” Sahut Puan Kalsom dengan sombong.
Zulaika terduduk di atas kusyen dan melihat saja ibu mentuanya
meninggalkan perkarangan rumah. Sejak dari mula lagi dia sudah dibenci
oleh ibu mentuanya. Puan Kalsom hanya berpura-pura mesra dengannya di
hadapan Yusuf Hakimi. Tetapi sebaik saja mereka ditinggalkan
berdua-duaan, sikap baik yang ditunjukkan akan berubah pada kebencian
yang mendalam.
Dia tahu mengapa ibu mentuanya membenci dirinya. Dia
dibenci kerana dia berasal dari kampung, tak berpelajaran tinggi dan
miskin pula. Pun begitu dia tetap menghormati kerana sebagai ibu mentua,
wanita itu sewajarnya dihormati. Dia berharap suatu hari kelak dirinya
akan diterima dengan baik oleh Puan Kalsom. Itulah harapannya. Itulah
impiannya.
Dia tidak kisah kalau dimaki dan dicaci oleh wanita itu.
Sewaktu di kampung dulu dia juga pernah menadah maki hamun ibu tirinya,
tapi dia mampu menghadapi semuanya. Berkat kesabarannya, hubungan mereka
kini semakin baik. Dia berharap agar hubungannya dengan Puan Kalsom
juga akan mendapat kesudahan yang baik. Amin!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan