RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKHA - BAB 4
4
ZULAIKA membelek-belek novel pertamanya yang telah diterbitkan oleh
sebuah syarikat penerbitan terkenal. Novel yang mengisahkan tentang
pengalaman hidupnya sendiri sebagai anak yatim piatu yang menumpang
kasih dengan ibu tiri tanpa diduga sama sekali telah melonjakkan namanya
di persada penulisan tanah air. Itu adalah satu kejayaan yang tak
pernah diimpi-impikannya. Dia hanya seorang gadis desa yang diperas
keringatnya oleh ibu tiri dengan dipaksa bekerja di warung tanpa cuti
mahupun gaji. Di warung itulah untuk pertama kalinya dia bersua muka
dengan lelaki bernama Yusuf Hakimi yang kebetulan atas urusan kerja,
telah ditakdirkan singgah makan di situ.
Kemudian dia menjejakkan
kakinya ke kotaraya untuk bekerja di sektor industri. Di Kuala Lumpur,
dia dan Yusuf Hakimi ditakdirkan bertemu semula. Dalam usia sembilan
belas tahun dia telah menjadi seorang isteri. Mungkin perjalanan
jodohnya ditentukan begitu.
Dia yang dahulunya pernah hidup susah
dan melarat ketika berada di ceruk kampung, tak menyangka sama sekali
akan tinggal di sebuah kawasan elit dan di dalam rumah yang lengkap
serba-serbi. Segala kebajikannya cukup dijaga oleh suaminya.
Walaupun novel sulungnya itu menceritakan tentang pengalaman sebenarnya,
tetapi atas nasihat editor, nama-nama watak dan tempat yang terlibat
telah ditukar. Kini dia sedang sibuk menyiapkan novel keduanya. Dia
berharap agar sambutan untuk novel keduanya ini akan menandingi jualan
novel sulungnya itu.
Seorang penulis terpaksa menjadi manusia yang
serba tahu. Zulaika terpaksa menyelami kesemua watak yang diilhamkan di
dalam manuskripnya, sama ada watak protagonis mahupun antagonis. Itu
membuatkan dia yang dahulunya jarang memerah otak untuk berfikir, kini
lebih suka tenggelam dalam dunia pemikirannya. Ilham kadangkala amat
sukar untuk menjelma. Dan tatkala ia menjelma pula, tak menentu masanya.
Yusuf Hakimi pernah memberikan pendapat agar dia menghasilkan
novel berasaskan kisah-kisah benar. Tapi untuk menghasilkan novel begitu
juga ada cabarannya. Dia harus melakukan kajian seperti membuat
temuramah dengan orang-orang yang terbabit. Masalahnya dia masih kurang
kenalan dan pergaulannya juga terbatas.
Oleh kerana keterbatasan
itu, buat sementara waktu ini dia hanya mengusahakan sebuah novel remaja
yang sederhana plotnya. Mungkin suatu hari nanti dia akan mampu
menyiapkan sebuah novel berat yang memerlukan dia membuat kajian seperti
novel-novel yang dihasilkan oleh penulis pujaannya, A. Samad Said.
Ketika dia sedang rancak mengetuk papan kekunci, telefon bimbitnya
tiba-tiba berbunyi. Dia menoleh ke skrin dan nama Taufik tertera.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Ika apa khabar?” suara Taufik kedengaran ceria.
“Sihat.”
“Macam mana? Dah ada mana-mana gadis yang sesuai untuk diperkenalkan dengan Taufik ke?”
Zulaika tergelak kecil dengan telatah Taufik yang seolah-olah sudah tak sabar-sabar lagi hendak menamatkan zaman bujangnya.
“Kalau iya pun sabar sikitlah!”
“Mana boleh sabar?”
“Sabar tu kan separuh daripada iman. Sabar tu manis buahnya.”
“Ika ni main sorong tarik pulak dengan Taufik. Cepatlah cakap, dah ada
satu nama ke untuk dipahatkan di hati ni?” desak jejaka itu.
“Ada!
Tapi nampaknya dia masih belum bersedia untuk menerima kemunculan orang
baru dalam hidupnya. Kena ambil sedikit masalah nampaknya.”
“Siapa namanya? Dia masih gadis lagi kan?”
“Tentulah seorang gadis.”
“Namanya?” Taufik terus-terusan mendesak. Zulaika mengekel dengan sikap kurang sabar jejaka di hujung talian.
“Atika Ayuni.”
“Wow! Manis sungguh nama tu. Mungkin orangnya secantik namanya kan, Ika? Dia baru putus cinta ke?”
“Ya, kekasihnya main kayu tiga. Orangnya memang manis, tapi Ika tak
taulah sama ada dia menepati citarasa Taufik ataupun tak...”
“Nak tau senang aje, Taufik kena jumpa dia dulu. Bagilah nombor telefonnya.”
“Isy, kalau iya pun sabarlah. Ika kena minta kebenaran dia dulu...”
setelah mendengar keluhan Taufik, Zulaika menyambung, “kan Ika dah kata,
sabar tu separuh daripada iman!” dan, dia ketawa lagi.
“Kalau Ika yang pilih, Taufik mesti berkenan punyalah. Beruntung Yusuf dapat isteri macam Ika. Hmm... Ika...”
“Ya?”
“Taufik dah beli novel sulung Ika tu, tapi belum sempat baca lagi.
Sibuk sikitlah dengan kerja kebelakangan ni. Ada masa lapang nanti
Taufik akan baca. Ika jangan marah pula kalau Taufik komen nanti ya.”
“Ika tak kisah.” Sahutnya sambil tersenyum.
“Okeylah, Ika. Ingat janji kita dulu tau, sebelum Taufik serius dengan
gadis yang Ika pilih ni, Ika kena rahsiakan rancangan kita ni daripada
sesiapa terutamanya suami Ika.”
“Ika ingat. Tapi kenapa nak berahsia sangat dengan Abang Yusuf?”
“Taufik malulah dengan dia. Dulu semasa kat U, Taufik adalah jagoan
dalam hal pikat-memikat gadis ni, sedangkan suami Ika tu pula ulat buku.
Dah tua-tua macam ni terpaksa pula meminta pertolongan daripada
isterinya untuk carikan calon, tak ke malu Taufik?”
“Okeylah, Taufik. Ika akan rahsiakan hal ni daripada dia.” Zulaika berjanji.
“Terima kasih, Ika. Bye.”
“Bye.” Zulaika meletakkan telefon bimbitnya di atas meja dan cuba menumpukan perhatian ke dada laptopnya.
FATIMAH memandang lurus ke arah Fatin Adiba yang asyik duduk di
hadapan peti televisyen. Itulah sahaja kerjanya saban hari sejak
berhenti kerja tiga bulan lalu. Apabila disuruh membantunya di warung,
dia menolak dengan pelbagai alasan. Naik semak pula mata memandangnya.
Nasib baiklah Fatin Adiba itu anak kandungnya sendiri. Kalau anak tiri
ataupun anak orang lain, tentu teruk dikerjakannya.
Masalah anak
sendiri yang malas bekerja membuatkan ingatannya menerawang ke arah anak
tirinya, Zulaika, yang kini sudah hidup senang-lenang di Kuala Lumpur
bersama suaminya. Ketika masih di kampung dahulu keringat Zulaikalah
yang diperahnya untuk membantu di warung makanan yang diusahakannya di
hadapan rumah. Anak gadis arwah Abdul Mutallib itu dilayan seperti hamba
abdi. Tidak cukup dengan maki hamun, tubuh Zulaika juga lali dengan
penampar dan cubitannya.
Ternyata takdir Zulaika amat baik kerana
bertemu jodoh dengan Yusuf Hakimi, anak muda yang pernah singgah makan
tengah hari di warung buruknya tiga tahun lalu. Setelah bersuami dan
hidup senang di Kuala Lumpur sana, Zulaika yang baik budi pekerti itu
tidak pernah melupakan mereka berdua. Walaupun mereka selayaknya dibenci
kerana penyeksaan yang pernah dilakukan terhadapnya, namun Zulaika
lebih rela untuk menabur kemaafan untuknya dan Fatin Adiba.
Kadangkala dia juga sering memasang angan-angan agar Fatin Adiba juga
seperti kakak tirinya, akan bertemu jodoh dengan seorang pemuda yang
berharta serta tampan seperti Yusuf Hakimi. Namun Fatimah sedar, budi
pekerti dan paras rupa anak gadisnya tidak dapat menandingi apa yang
dimiliki oleh Zulaika – kesabarannya, kemuliaan budi pekerti, pegangan
agama dan sebagainya.
Dua tiga hari lalu anak gadisnya pernah
menyebut hendak ke Kuala Lumpur, ke rumah kakak tirinya itu. Dia mahu
mencuba nasib di sana. Pada mulanya Fatimah membantah. Dia takut
kalau-kalau Zulaika tidak dapat mengawal Fatin Adiba yang agak liar itu.
Tetapi sampai bila dia hendak memerap Fatin Adiba di rumah? Semakin
lama, semakin sakit mata memandangnya!
Mungkin sikap buruk anaknya
itu akan berubah kalau dia beralih angin ke Kuala Lumpur kelak, siapa
tahu, desis hatinya dengan penuh harapan. Dia menoleh ke arah Fatin
Adiba yang asyik mengangkang di depan peti televisyen.
“Fatin, mak nak tanya kau sikit ni...”
Mata Fatin Adiba menoleh ke arahnya.
“Apa dia, mak?”
“Betul ke kau nak bekerja di Kuala Lumpur?”
“Kenapa? Mak nak benarkan Fatin ke sana ke? Memang Fatin nak cari kerja
kat sana mak. Manalah tau kalau-kalau Abang Yusuf boleh carikan kerja
untuk Fatin. Takkan selamanya Fatin nak duduk celah ketiak mak,
benarkanlah Fatin ke sana, mak.” Fatin Adiba bersuara.
“Aku tak kisah kalau kau nak ke sana, tapi kau kena bekerja betul-betul. Jangan jadi bohsia pulak kat sana nanti!”
“Isy, mak ni! Takkanlah Fatin nak buat kerja tak senonoh tu!”
“Boleh percaya ke aku dengan cakap kau ni?”
“Percayalah, mak! Fatin sebenarnya bosan bekerja kat kilang kain tu.
Lagipun sejak bekerja kat sana, Fatin asyik kena batuk dan demam aje.
Manalah tau kalau-kalau kat KL nanti Abang Yusuf boleh carikan Fatin
kerja kerani ke, atau apa-apa kerja yang sesuai dengan kelulusan Fatin.
Kalau dapat kerja yang baik nanti mestilah Fatin akan bekerja
bersungguh-sungguh.” Anak gadis itu berjanji.
“Kerja apa yang kau
boleh buat dengan sijil SPM pangkat tiga kau tu? Tulah dulu aku suruh
kau belajar rajin-rajin, kau tak mahu!” Fatimah memulangkan paku buah
kerasnya. Wajah Fatin Adiba yang tadinya kelihatan ceria dan bersemangat
tiba-tiba sahaja berubah mendung.
“Baiklah, sebab kau anak aku dan
aku sayangkan kau, aku bagi kau peluang. Lepas Maghrib nanti aku akan
telefon Ika dan bagitahu dia tentang rancangan kau nak cuba nasib di
Kuala Lumpur ni. Tapi kau kena ingat, Fatin, bila dah sampai di sana
nanti kau kena kerja betul-betul dan jangan pulak susahkan kakak tiri
kau tu!”
“Yalah, mak! Fatin janji. Fatin tak akan hampakan mak. Jadi mak benarkanlah Fatin ke sana ni?”
Fatimah mengangguk.
“Yaa bedaa bedooo!” jeritnya sambil segera bangkit dan memeluk tubuh ibunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan