Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 4 Januari 2014

BAHAGIA MILIK KITA







BAB 1
            Langkahnya semakin lemah.  Bibirnya tidak mampu mengucapkan apa-apa.  Lidahnya kelu untuk  berkata.  Air matanya juga tidak mengalir keluar.  Sedangkan hatinya ketika dan saat itu cukup hiba dan dia sedang berduka.  Mungkinkah dia cuba mengawal diri dari menangis.  Dia tidak mahu adik-adik melihat air matanya.  Dia perlu kuat.  Wajah enam adik-adiknya dipandang sayu.  Dia baru sahaja berumur 17 tahun.  Kenapa dia diuji sebegini?  Apakah dia sudah cukup kuat menghadapinya?  Mahu sahaja jatuh jantungnya apabila diberitahu kedua orang tuanya terbunuh dalam kejadian rompakan di sebuah pasaraya di bandar tempat tinggal mereka sendiri.  Meninggal satu perkara yang lain tetapi  apabila ditembak kerana merompak adalah suatu perkara yang tidak pernah disangka sama sekali. 
            Dia masih tidak tahu, sama ada kedua orang tuanya perompak atau pun menjadi mangsa peluru sesat pihak yang terlibat, sama ada pihak polis atau yang merompak.  Pada siapa dia ingin bertanya, dia sendiri tidak pasti.  Masih tercari-cari jawapannya.  Adik bongsunya baru berumur setahun.  Ya, ALLAH bagaimana mungkin dia menjaga mereka semua? Kenapa begitu berat bebanan yang terpaksa ditanggungnya sendiri.  Apa yang harus dia lakukan untuk menjaga dan menguruskan adik-adiknya. 
            Rumah papan yang terletak di atas tanah pusaka itu hanya menunggu masa untuk rebah menyembah bumi.  Kedua orang tuanya bukanlah orang senang.  Kehidupan mereka adik-beradik sebelum ini tidaklah sesenang mana.  Sekadarnya sahaja.  Arwah ayahnya hanya bekerja kampung.  Arwah emaknya pula bekerja sebagai jurujual di pasaraya berhampiran tempat tinggal mereka. Di tempat di mana kedua orang tuanya ditembak mati.
            Duit simpanan juga tiada.  Kehidupan mereka yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi tidak mampu untuk orang tuanya menyimpan.  Gaji yang diterima akan habis bila tiba masanya.  Banyak perkara yang perlu diselesaikan, perlu dibayar.  Kepada siapa dia harus mengadu.  Kepada keluarga sebelah arwah ayah atau sebelah arwah emaknya? Dia sendiri tidak tahu.
            “Siapa yang hendak bela anak penjenayah?  Tergamak merompak tempat kerja sendiri!” leter Pak Long, abang arwah emaknya.   Terlopong dan terkejut dia mendengarnya. Arwah emak dan ayah merompak?  Tidak mungkin?  Dia tidak percaya. Waktu itu mereka masih lagi di tanah perkuburan.  Beberapa jiran yang datang turut mendengar, kebetulan ada beberapa orang anggota polis turut berada bersama.  Panas telinga Haikal mendengarnya.  Memang benar arwah emak dan ayahnya meninggal di hadapan pasaraya tempat arwah emaknya bekerja.  Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menuduh kedua orang tuanya.  Pak Long Karim memang kejam.   Haikal bukan tidak tahu pak longnya memang membenci arwah ayahnya.  Sebab apa dan kenapa tidak pula pernah dia bertanya.  Urusan orang tua, dia tidak harus masuk campur.  Tuduhan Pak Long Karim memang keterlaluan.  Ini melibatkan maruah orang tuanya walaupun mereka sudah meninggal dunia.  Dia yakin ini semuanya hanya salah faham.
            “Pak long jangan nak tuduh arwah emak dan ayah,”  Haikal tidak percaya.  Pak Long Karim tersenyum.  Wajah Haikal yang polos ditenung seketika.
            “Pihak polis sendiri yang bagi tahu.  Cctv di pasaraya itu juga membuktikan kedua orang tua Haikal memang berniat untuk merompak pasaraya tersebut,”  Pak Long Karim masih mengatakan kedua orang tuanya perompak.
            “Mungkin pihak polis tersilap kut pak long,”  Haikal tidak percaya, sambil matanya memandang sekilas ke arah beberapa orang anggota polis yang turut berada di tanah perkuburan tersebut.  Tidak mungkin kedua orang tuanya tergamak buat kerja seperti itu. 
            “Haikal, arwah ayah kau mana ada kerja?  Buat kerja kampung berapa sen sangatlah gajinya?  Itu sebab dia jadi perompak, pencuri!” lengking suara Pak Long Karim.  Hampir gugur air mata Haikal mendengarnya. Tergamak Pak Long Karim menghina ayahnya. Dia tahulah mereka orang miskin tetapi taklah sampai kedua orang tuanya sanggup merompak.  Tidak mungkin! Dia tidak percaya.
            “Pak long jangan nak tuduh tanpa bukti?”  marah Haikal.  Pak Long Karim mencekak pinggang. 
            “Kau jangan hendak kurang ajar!  Kalau dah bapa perompak, anaknya apa lagilah.  Huh!  Hiduplah kau orang adik beradik sendirian,”  Pak Long Karim mengetap bibir.  Dia memang tidak suka dengan keluarga arwah adiknya itu.  Perkahwinan adiknya dahulu pun tidak direstui oleh kedua orang tuanya.  Arwah adik iparnya hanya bekerja kampung.  Tidak ada kelulusan.  Namun arwah adiknya degil, mahu juga berkahwin dengan pemuda miskin seperti arwah adik iparnya.  Sejak berkahwin sampailah meninggal kehidupan tidak pernah berubah.   Itu sebab agaknya sampai sanggup mencuri dan merompak. 
            “Kami mampu hidup sendiri pak long.  Tanpa bantuan pak long, Haikal akan bela adik-adik sendiri,”  Haikal memeluk adik bongsunya erat.  Dadanya  terasa sakit menahan sedih, menahan rasa marah dengan sikap pak longnya yang tidak berhati perut itu. 
            “Belalah kalau kau boleh.  Jangan aku jumpa kau adik beradik mengemis di jalanan sudahlah ya,”  Pak Long Karim mendengus kasar.  Dia melangkah meninggalkan tanah perkuburan itu.  Hatinya terbakar dengan kelincahan mulut anak buahnya itu.  Sudah lama dia pendam marah dengan arwah adik iparnya itu.  Puas hatinya sekarang.  Padan dengan muka. 
            “Bang long, macam mana bang long nak bela kami semua?  Bang long  bukannya bekerja?  Bang long pun macam kami masih sekolah?”  tanya Halim, anak kedua.  Haikal memandang wajah adik keduanya.  Dia mengeluh. 
            “Bang long akan fikirkan nanti, angah jangan bimbang ya,”  Haikal tersenyum, namun dia tahu senyumannya itu hambar, tiada nyawa, tiada rasa.  Hanya ALLAH sahaja yang tahu apa yang sedang dia rasakan ketika ini.  Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia mati bersama-sama kedua orang tuanya agar dia tidak menghadapi masalah ini.  Apa yang harus dia lakukan.  Apa yang perlu dibuat untuk membela dan membesarkan adik-adiknya.  Bukan seorang tetapi lima orang.  Dia masih sekolah, masih muda.  Pekerjaan apa yang boleh dia lakukan?  Ya  ALLAH Engkau berilah aku kekuatan, doa Haikal dalam hati.  Kubur kedua orang tuanya yang baru sahaja selesai dikebumikan ditenung lama.  Kenapa emak dan ayah tinggalkan kami semua terlalu cepat, tanya Haikal dalam hati.  Tiada siapa mampu menjawabnya. Inilah ketentuan Ilahi padanya sekeluarga.   Mahu atau tidak terpaksa dia melaluinya juga.
            Wajah adik-adiknya yang kecil  bermain riang bagaikan tidak mengetahui apa-apa ditenung lama.  Apalah yang mereka tahu tentang apa yang berlaku.  Adik yang kecil masih menyusu, boleh gila jadinya kalau dia terus memikirkan masalah yang ada.  Dia kena bertenang.  Fikirannya tidak boleh berserabut.  Dia tidak boleh berfikir yang bukan-bukan.  Sekarang ini dia menjadi ketua keluarga.  Dia bertanggungjawab kepada semua adik-beradiknya.  Mereka dibawah tanggungannya.  Hanya angah dan adik perempuannya yang ketiga duduk termenung memandang kubur orang tua mereka.  Alang, adik perempuan sulong, sesekali terlihat dia menyeka air mata dengan hujung baju.  Bila sahaja dia perasan dirinya diperhatikan, cepat-cepat dia bermuka selamba.  Ya  ALLAH, Engkau berilah kekuatan kepada adik-adikku, agar mereka tabah menghadapi ujian ini.  Hampir dua jam mereka berteleku di tanah perkuburan itu.  Selamat tinggal emak, ayah, bersemadilah dengan aman dan tenanglah bertemu dengan ALLAH, detik hati kecil Haikal sebelum mereka berlalu meninggalkan tanah perkuburan tersebut.  Duit pemberian jiran tetangga yang bersimpati disimpan kemas dalam beg kecil disandangkan dibahu sambil mendukung adik bongsunya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan