12
ZULAIKA memandang wajah Atika Ayuni yang ayu di sebalik
tudungnya. Gadis itu sebenarnya baru sahaja bertudung. Entah apa yang
membuka pintu hatinya untuk menutup rambut hitam lebatnya itu daripada
pandangan lelaki ajnabi.
“Kat mana Ayu beli tudung ni? Cantiklah,” pujinya.
Atika Ayuni ketawa kecil.
“Ala, Ayu beli kat Jalan Masjid India aje. Ada berlambak tudung sepesen
ni.” Tukasnya sambil menguis mi goreng mamak di pinggan yang agak
berapi pedasnya. Berpeluh-peluh dia hendak menghabiskan sepinggan mi
itu.
“Macam mana? Ayu dah puas berfikir ke? Orang yang di sana tu
sedang tertunggu-tunggu jawapan Ayu, sama ada negatif atau positif.”
Atika Ayuni kerut kening.
“Kenapa Ika tergerak hati pula nak tolong dia? Ika tak takut ke
kalau-kalau hubungan kami tak menjadi nanti Ayu ataupun Taufik akan
salahkan Ika?”
“Kenap perlu takut? Kan Ika dah kata dulu, Ika hanya
memperkenalkan Ayu dengan dia aje, selebihnya terpulanglah pada kau
orang berdua untuk mencorakkan hubungan ni. Tak ada paksaan di sini.
Lagipun apalah salahnya kalau Ayu berkenalan dulu dengan Taufik tu. Pada
pandangan Ika, dia baik orangnya.” Zulaika terus-terusan melobi Taufik.
“Ayu dapat bayangkan tak kalau Ayu betul-betul ada jodoh dengannya?
Kita mesti lebih kerap bertemu sebab Taufik tu kawan rapat suami Ika
masa kat U dulu.”
Atika Ayuni menyengih. Akhirnya dia mengangguk perlahan.
“Bila Ika nak atur pertemuan kami berdua?”
“Esok birthday Ika. Ika dah janji nak keluar makan malam dengan Abang Yusuf. Ika akan bawa Ayu bersama.”
“Hey, Ayu tak naklah! Nanti laki kau kata Ayu ni kacau daun pulak.” Sanggahnya.
“Apa pulak kacau daunnya. Kat restoran tu nanti, Taufik dah sedia
menunggu ketibaan kita. Lepas berborak-borak kejap, kau orang berdua
pindahlah ke meja lain. Jangan risaulah, Ayu. Semuanya ditanggung
beres.” Zulaika ligat merancang. “Macam mana?”
Atika Ayuni terdiam
seketika sebelum mengangguk tanda setuju dengan rancangan tersebut.
Zulaika tersenyum. Dia menyedut sirap yang merah menyelerakan sehingga
ke dasar gelas dan meninggalkan beberapa ketul ais.
Atika Ayuni sudah tidak tahan kepedasan. Dia menolak pinggan minya ke tepi dan mencapai fresh orangenya.
“Pedas sangat mi ni! Agaknya cili tertumpah.” Komennya dengan wajah
berpeluh. Zulaika hanya ketawa. “Apa yang Abang Yusuf hadiahkan untuk
harijadi kau, Ika?”
Soalan itu membuatkan senyuman di bibirnya padam.
“Kenapa, Ika? Tak ada sebarang hadiah ke?”
“Ada, tapi aku berapa berkenanlah.”
“Kau ni, kalau laki dah hadiahkan tu, ambil ajelah. Ada orang yang tak
pernah dapat hadiah harilahir walaupun dan berpuluh tahun kahwin tau!”
komen Atika Ayuni. “Sejak hidup kau dah senang ni, pandai demand pulak
dah!” tempelaknya.
Sindiran teman di hadapannya itu memang terasa pedasnya. Tetapi Zulaika hanya bersabar.
“Ada sebabnya mengapa Ika tak berkenan dengan hadiah tu, Ayu...”
“Apa yang Abang Yusuf hadiahkan untuk Ika?”
“Sebuah lukisan! Ika sukakan lukisan tu, tapi Ika tak sukakan pelukisnya.”
Atika Ayuni kerut dahi sehingga keningnya yang lebat itu hampir bertaut.
“Peliklah kau ni, Ika!”
“Entahlah, Ayu. Mungkin Ika cemburu dengan pelukisnya.” Dia akhirnya
menceritakan rasa kurang senangnya terhadap hubungan yang terjalin di
antara suaminya dengan Intan Juliana, pelukis tersebut.
“Cantik ke orangnya?” Atika Ayuni ingin tahu.
“Cantik dan juga kaya. Abang Yusuf pun nampaknya terlalu rapat dengan dia.”
“Agaknya memang betul mereka hanya kawan biasa. Dahlah, Ika, jangan
terbawa-bawa dengan perasaan cemburu kau tu, nanti merosakkan hubungan
kau dengan suami kau aje. Apa nasib lukisan tu?”
Zulaika hanya mampu
jongket bahu. Yang pastinya lukisan yang menggambarkan dua ekor angsa
itu tidak akan tergantung di mana-mana sudut dalam rumahnya.
“Apa citer Fatin Adiba? Jadi ke dia nak cari kerja di sini?”
“Ni yang Ika nak cakap dengan Ayu ni. Mungkin hari Ahad ni dia akan
sampai ke mari. Abang Yusuf dah dapatkan kerja untuk dia di syarikat
kawannya. Untuk sementara waktu ni dia akan tinggal dengan kami.”
Zulaika membuka cerita tentang kedatangan adik tirinya ke Kuala Lumpur.
“Kau sengaja cari penyakit, Ika. Bukan kau tak tahu perangai Fatin yang
bermasalah tu. Tak pernahnya Ayu tengok dia kekal di sesebuah tempat
kerja.” Atika Ayuni meluahkan rasa kurang senangnya dengan sikap adik
tiri Zulaika.
“Manusia boleh berubah, Ayu. Ika sentiasa doakan yang terbaik aje.”
“Emak tiri kau tu macam nak lepas tangan aje. Tulah sebabnya dia suruh
Fatin ke Kuala Lumpur sebab kau ada di sini untuk ambil alih pening
kepala dia.” Tuduhnya.
Zulaika hanya mendiamkan diri tatkala
mendengar luahan rasa daripada teman di hadapannya itu. Tiada gunanya
memanjangkan cerita, desis hatinya dan menyerahkan segala-galanya kepada
Allah Taala. Namun dia tetap percaya bahawa setiap manusia itu jika
diberi peluang boleh berubah sikap.
YUSUF HAKIMI tidak
mengendahkan renungan yang dilemparkan oleh Nur Ain di muka pintu ketika
dia mengepit lukisan tersebut masuk ke biliknya. Pasti gadis itu pelik
melihat dia membawa semula ke pejabat lukisan tersebut sedangkan semalam
dia yang beria-ia memberitahu bahawa dia ingin membawanya untuk
dihadiahkan pada isterinya.
Kalau lukisan ini mengganggu ketenangan
emosi isteriku di rumah tak salah kiranya aku gantungkan di ruang
kerjaku, desis hatinya ketika memaku dinding untuk menggantung lukisan
tersebut. Cantik juga hasil tangan Intan Juliana ni, sejuk mata
memandang, hatinya memuji.
Tanpa dia memintanya, wajah Intan Juliana
hadir ke benak. Mungkin gadis itu kini telah mendarat di Tanah Ratu.
Dia berharap agar ibu temannya itu akan sembuh dengan segera dan dapat
menjalani kehidupan seperti biasa.
Selepas wajah Intan Juliana,
muncul pula wajah isterinya, Zulaika, yang dinikahinya dalam usia yang
terlalu muda iaitu sembilan belas tahun. Diam tak diam telah dua tahun
mereka mendirikan rumah tangga. Kini isterinya telahpun berusia dua
puluh satu tahun. Sewaktu dia menyuarakan hajat untuk menikahi gadis
yatim piatu itu dahulu, dia mendapat reaksi yang berbagai-bagai daripada
teman-temannya.
“Wah, beruntung kau, Suf. Dapat pucuk muda sebagai
isteri. Cantik pulak tu!” komen Jefri, juru ukur bahan yang dalam usia
tiga puluh tiga tahun masih lagi tercari-cari wanita yang sesuai untuk
dijadikan isterinya.
“Kau biar betul, Suf! Kau nak menikah dengan
budak baru habis sekolah? Entah-entah nasi pun dia tak tahu masak!”
kata-kata yang dilemparkan oleh Husni itu memang agak pedas dan kasar
tetapi Yusuf Hakimi tidak kecil hati. Hanya dia yang mengenali bakal
isterinya dan dia tahu kehandalan gadis itu di dapur.
Dia tidak
kisah dengan komen-komen negatif yang dilontarkan oleh teman-teman dan
masyarakat sekeliling terhadap pilihan hatinya – hati dah berkenan, beb,
kau nak kata apapun, katalah... aku tetap akan kahwin juga dengan Ika,
tapi yang merisaukannya ialah penerimaan mamanya sendiri. Sejak mula
lagi Puan Kalsom telah menunjukkan penentangan terhadap bakal isterinya
itu. Berhari-hari dia memujuk, meyakinkan mamanya agar masuk meminang
Zulaika.
“Kau nak jadikan budak hingusan tu sebagai bini kau, Suf?
Mama tak setuju! Sanggup kau putuskan hubungan kau yang dah lama
terjalin dengan Suzi semata-mata kau mabuk kepayang dengan perempuan
kampung yang entah macam mana asal keturunannya tu.” Hentam Puan Kalsom
dengan nada yang meninggi.
“Heei, tak ingin mama meminang budak tu
bagi pihak kau. Kalau betul kau dah tak sukakan Suzi tu, carilah
perempuan lain yang lebih sesuai untuk dijadikan isteri, Suf, asal
jangan budak tu. Mama tak suka! Mama tak setuju!” suaranya yang
berkeriau di ruang tamu membuatkan hati Yusuf Hakimi benar-benar
tertekan.
“Ma, hati Yusuf dah bulat untuk Ika aje, ma. Yusuf tak
boleh kahwin dengan perempuan lain... hanya Ika yang Yusuf sayang, Ika
yang Yusuf cinta, ma! Mama kena terima dia kerana kasih sayang Yusuf ni
dah terlalu mendalam terhadap dia, ma.” Dia merayu-rayu. Kalau terpaksa
sujud di kaki mamanya pun dia sanggup lakukan. Asalkan mamanya mengikut
kehendaknya untuk masuk meminang Zulaika.
“Entah-entah duit engkau yang dikejar dek betina tu, Suf! Dia tahu kau ni macam lombong emas.”
Yusuf Hakimi menggelengkan kepalanya.
“Tak, ma! Percayalah Ika bukan perempuan yang mengejar kemewahan hidup.” Dia membela kekasih hatinya.
“Kalau dah mabuk kepayang, memang susah! Cakap apapun tak satunya masuk
ke dalam otak kau tu.” Dengus Puan Kalsom. Yusuf Hakimi mengambil
keputusan untuk mendiamkan dirinya, membatu macam orang bodoh. Dan dia
sanggup berlagak tolol di hadapan mamanya dengan harapan agar hajatnya
untuk mempersuntingkan Zulaika akan tercapai.
Mungkin hati semua
wanita yang bergelar ibu seumpama kerak nasi. Jika disiram air akhirnya
akan lembut juga. Begitulah halnya dengan Puan Kalsom, walaupun
berapi-api penentangannya tetap akur dengan pilihan hati Yusuf Hakimi.
Tetapi perjalanannya untuk mempersuntingkan Zulaika tidaklah semudah yang dijangka...
“Huh! Tujuh ribu? Hey, Cik Timah... awak ni dah gila ke, apa? Zulaika
tu belajar pun setakat tingkatan lima aje, sanggup awak minta hantaran
sebanyak tujuh ribu?” suara Puan Kalsom yang bagaikan letupan bom mortar
itu membuatkan semua mata yang berada di ruang tamu rumah papan
tersebut, mencorong ke arahnya.
Yusuf Hakimi mula panas punggung.
“Walaupun dia belajar setakat tingkatan lima, tapi orangnya cantik dan
pandai menguruskan rumah tangga. Lagipun awak fikirlah sikit Cik Kalsom
oi, sekarang ni zaman inflasi, barang-barang semua dah naik harga, harga
sepot susu pun RM2.50 sen tau. Beras, bawang, daging... sayur, semua
dah naik harga. Kalau nak buat kenduri kahwin, tiga empat ribu tak
cukup!” balas perempuan berbadan gempal itu dengan suara yang bagaikan
guruh berdentum di langit.
“Ma, kita terima jelah syarat mereka tu!” dia segera berbisik ke telinga mamanya.
“Awak ni nak jual anak ke apa, Cik Timah.” Tempelak Puan Kalsom yang masih tidak berpuas hati.
“Cik Som, saya yang besarkan Si Ika tu sejak ayah dia meninggal dunia
tau. Ayah dia tak tinggalkan sedikit pun wang untuk kami kecuali tanah
dan rumah buruk ni. Saya yang bagi dia pelajaran walaupun setakat
tingkatan lima aje. Jadi salahkah saya minta sedikit sebagai balasan
saya membesarkan dia dulu?”
“Kalau awak rasa dia tak berpelajaran
tinggi dan tak sesuai dengan anak awak, awak boleh balik sekarang juga.
Saya tak kisah! Saya boleh carikan Ika seorang lelaki yang lebih kaya
dan berada daripada anak awak tu untuk dijadikan suami dia.” Fatimah
bertempik.
“Kurang ajar betul betina gemuk ni. Kita balik ajelah,
Suf. Batalkan aje hasrat kau untuk berbinikan Si Ika tu!” desis Puan
Kalsom ke arahnya. Yusuf Hakimi menggelengkan kepalanya.
“Ma,
tolonglah! Yusuf rayu mama agar setuju aje dengan syarat mereka tu.
Yusuf tak boleh berpisah dengan Ika, ma. Yusuf hanya nak kahwin dengan
Ika. Kalau tak jadi dengan dia, Yusuf takkan kahwin sampai bila-bila!”
dia merayu dalam keadaan yang terdesak. Puan Kalsom mengeluh. Walaupun
tidak puas hati dia akhirnya mengalah dan bersetuju dengan jumlah wang
hantaran yang telah ditetapkan oleh pihak perempuan.
Setelah
menempuh berbagai-bagai halangan, Zulaika berjaya juga disunting sebagai
isteri. Dia tidak rugi satu sen pun memperisterikan gadis yatim piatu
dari ceruk kampung yang ditemuinya secara tidak sengaja sewaktu singgah
makan di warung usang bawah pokok ketapang itu dahulu. Gadis naif
berpakaian usang yang badannya berbau belacan tapi masih suci dari
debu-debu kota. Gadis kurus kering kerana setiap titis keringatnya
diperas oleh ibu tiri untuk membantunya menguruskan warung tersebut.
Dia tidak menyesal mengambil gadis itu sebagai isterinya kerana
siapakah pasangan yang paling sesuai untuk Yusuf selain daripada
Zulaika?
“Masuk!” tingkahnya ketika mendengar ketukan di luar pintu
biliknya. Nur Ain melangkah masuk bersama dua buah fail tebal untuk
disemak.
“Kenapa Encik Yusuf gantung lukisan tu di bilik ni? Semalam
kata nak bawa pulang untuk isteri?” soal gadis itu sambil melirik
lukisan angsa yang tergantung di dinding.
Yusuf Hakimi tergelak kecil.
“Awak ni, Ain, kalau tak tanya tak boleh ke?”
“Sorry, Encik Yusuf. Saya sekadar nak tahu aje.”
“Entahlah, Ain! Kadangkala orang lelaki macam saya ni sukar nak
memahami hati orang perempuan walaupun orang tu adalah isteri saya
sendiri. Semalam saya dah bawa balik lukisan ni ke rumah tapi isteri
saya macam terganggu. Saya tak nak kacau emosinya kalau letakkan juga
lukisan itik ni kat rumah, jadi baik saya gantungkan kat bilik pejabat
saya yang kosong ni, betul tak? Sekurang-kurangnya bilik ni berseri
sikit,” sahut Yusuf Hakimi sambil menghalakan pandangannya ke arah
lukisan di dinding.
“Memang betul cakap Encik Yusuf tu, sejuk mata memandang lukisan ni.” Nur Ain memuji.
Dia ingin bertanya apakah yang menyebabkan Zulaika berasa terganggu
dengan kewujudan lukisan tersebut tetapi tidak elok rasanya jika dia
ambil tahu urusan rumah tangga orang lain, apatah lagi rumah tangga
bosnya. Dia hanya mendiamkan diri dan setelah urusannya di bilik itu
selesai, dia segera melangkah keluar.
Nak... nak lagi... nak lagi....!!! ^_^
BalasPadam