Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 5 Januari 2014

BAHAGIA MILIK KITA- BAB 2





BAB 2
            Nasi dan lauk ikan goreng yang terhidang hanya dijamah oleh adik-adik yang kecil sahaja.  Adik-adiknya yang besar bagaikan hilang selera makan.  Mungkin lauk tidak sedap, mungkin masih bersedih dengan apa yang terjadi.  Hanya mereka sahaja yang tahu.  Susu untuk adik bongsunya masih berbaki satu tin.  Minta-minta cukup sehingga dia dapat mencari kerja.  Dia akan berhenti sekolah demi adik-adiknya.  Biarlah dia berkorban demi masa depan mereka.  Selama arwah emaknya ada, dia tidak pernah ambil peduli tentang makan minum adik-adiknya.  Balik sekolah sahaja lauk pauk sudah terhidang.  Dia hanya perlu makan sahaja.  Sekarang semuanya berubah.  Awal pagi lagi dia terpaksa bangun menyediakan sarapan.  Tengok adik-adik yang hendak ke sekolah.  Banterasa gunkan mereka solat subuh.  Ya ALLAH mampukah dia melakukannya.  Kadang-kadang hendak menjerit sahaja, biar lepas segala beban yang ditanggungnya kini. 
            Adik beradik arwah emaknya hanya pak sunya sahaja yang datang membantu.  Dia tahu pak sunya juga bukan orang senang.  Adik beradik sebelah arwah ayahnya langsung tidak nampak muka.  Kalau ada yang datang pun hanya bertanyakan tentang tanah pusaka itu.  Dia sendiri tidak tahu di mana arwah ayahnya simpan geran tanah tersebut.  Malas hendak memikirkan perkara yang bukan berkaitan.   Petang itu pak su adik arwah emaknya datang ziarah pula.
            “Pak su nak bantu banyak, pak su tak mampu.  Hanya sekadar yang mampu sahaja.  Kalau Haikal nak kerja, bagi tahu pak su.  Tempat pak su ada kerja kosong,”  kata Pak Su Nan padanya, waktu datang menziarahi dia adik beradik.  Walaupun hanya beras dan beberapa kilo gula yang diberi, itu sudah lebih dari cukup buatnya adik-beradik.  Bahan-bahan mentah yang lain dia akan beli di kedai berhampiran. Duit sumbangan orang ramai masih berbaki.  Cukuplah sampai hujung bulan ini yang tinggal beberapa minggu lagi.  Dia perlu berjimat cermat.
            “Baik pak su, terima kasih sudi jengah kami,”  Haikal melemparkan senyuman.
            “Sabarlah ya, Haikal.  Haikal perlu kuat demi adik-adik.  Pak su yakin emak dan ayah bukan perompak seperti yang disangka oleh pihak polis.  Mungkin kebetulan mereka berada di situ waktu kejadian.”  Pujuk Pak Su Nan.  Haikal mengangguk.  Jiran tetangga ada yang terhasut dengan laporan tersebut.  Kes tersebut masih dalam siasatan.  Setahunya waktu itu arwah ayahnya pergi mengambil arwah emaknya di tempat kerja.  Tidak mungkin kedua orang tuanya terlibat dalam rompakan tersebut.  Ini semua fitnah semata-mata.  Arwah ayah dan emaknya seorang yang taat pada agama.  Solat tidak pernah tinggal.  Tidak pernah mengeluh dengan keadaan kemiskinan yang mereka hadapi, sentiasa mengucapkan syukur dengan rezeki yang ALLAH berikan pada mereka sekeluarga.  Bukan arwah ayahnya seorang yang pemalas.  Apa sahaja kerja yang diberi oleh orang kampung tidak pernah ditolak.  Malah terpaksa pula bersaing dengan warga asing yang bekerja di ladang kelapa sawit sebelah.
            Dia masih memikirkan bagaimana dia hendak bekerja?  Kalau di awal pagi siapa yang akan menjaga adik-adiknya.  Dia hanya boleh pergi kerja di sebelah petang, apabila adik-adiknya  yang sudah besar balik sekolah.  Adik bongsunya masih perlu dijaga.
            Usai makan malam dia memanggil adik-adiknya yang besar, kedua dan ketiga yang sudah boleh diharap membantunya.  Dia berharap sangat mereka mampu meringankan bebannya.  Dia perlu bekerja.  Baru sehari  mereka kehilangan kedua orang tua tetapi rasanya seperti sudah bertahun-tahun.  Hampir bingung jadinya.
            “Along panggil angah dan alang adalah untuk membincangkan tentang kehidupan kita selepas ketiadaan orang tua kita.  Along akan berhenti sekolah.  Along juga akan cari kerja.” Kata Haikal memulakan bicara.
            “Kenapa nak berhenti sekolah along?  Hanya ada beberapa bulan sahaja lagi, along akan ambil SPM.  Sayanglah.  Along harus habiskan sekolah along,”  Halim kurang setuju.
            “Betul long, tinggal beberapa bulan sahaja lagi.  Along habiskan sekolah along sampai ambil SPM ya, lagi pun waktu tu cuti sekolah.  Biar kami sahaja yang jaga adik-adik waktu along ambil periksa,” cadang  alang.
            “Nantilah along fikirkan, yang penting kalian berdua kenalah tolong along jaga adik-adik yang lain terutama Maisarah. Adik bongsu kita tu masih kecil, perlukan perhatian dan kasih sayang kita.  Nasib baik dia tidak menangis bertanyakan emak.  Mungkin kerana sudah biasa ditinggalkan waktu emak pergi kerja,”  Haikal memandang ke arah adik bongsunya yang lena tidurnya.  Dia harap tiada adik-adiknya yang buat perangai dan bertanyakan kedua orang tua mereka. 
            “Long…  kita sama-sama jaga keluarga kita ya.  Angah tak mahu kita berpisah adik-beradik.  Biar apa pun terjadi.  Kita sama-sama bersatu hati jaga adik-adik kita.  Angah tahu selama ini angah hanya menyusahkan arwah emak dan ayah.  Biar pun angah nakal tetapi angah tidak pernah buat jahat.   Sekarang mereka  sudah tiada, siapa hendak jaga kita long?”  Angah mula menangis. 
            “Angah, jangan menangislah.  Angah tu lelaki.  Kena kuat.”  Pujuk Haikal. 
            “Alang akan bantu mengemas dan memasak, along jangan bimbang ya.  Walaupun alang taklah secekap emak tapi bolehlah juga masak lauk yang mudah,”  Haida memandang wajah muram abang sulongnya, dan abang keduanya yang masih lagi menangis.  Siapalah yang tidak sedih.  Mereka hilang tempat bergantung.  Mereka sudah jadi anak yatim piatu.  Tiada siapa yang akan menjaga mereka.  Selama ini mereka hidup pun hanya dengan orang tua mereka.  Siapalah yang hendak bergaul dengan keluarganya yang serba kekurangan.  Kini mereka kehilangan orang yang mereka sayang.  Kehilangan tempat mereka mengadu dan bermanja.  Tiada lagi kasih sayang dari kedua orang tua mereka.  Tiada lagi teguran dan nasihat dari mereka.  Tiada lagi kedengaran suara hilai tawa mereka.  Rumah itu sunyi dan sepi.
            “Terima kasih dik.  Along sendiri pening memikirkan apa yang harus along lakukan.  Haris, Hani dan Maisarah perlukan kasih sayang kita semua.  Mereka masih kecil untuk memahami keadaan yang sedang kita hadapi.  Along tak nak angan dan alang sebut pasal emak dan ayah di hadapan mereka.  Biarlah mereka beranggapan ayah dan emak pergi kerja.  Bila sudah selesai kerja baru mereka pulang,”  Haikal memejamkan matanya seketika. Halim dan Haida saling berpandangan.  Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.  Sebagai anak sulong tentu berat bebanan yang terpaksa ditanggung oleh abang mereka itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan