Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 10 Januari 2014

BAHAGIA MILIK KITA - BAB 6



BAB 6
            Usai waktu sekolah .  Halim segera pulang ke rumah.  Dia ingin mengikut abang longnya ke balai polis.  Selepas itu mereka akan ke pasaraya tempat kedua orang tua mereka menemui ajal.  Mereka ingin tahu cerita sebenar.  Mereka sudah tidak tahan asyik disindir dan dihina oleh kawan-kawan, jiran-jiran dan saudara mara yang tidak mahu cuba memahami masalah yang sedang mereka hadapi ketika itu.  Mereka bukan mahu membantu malah mengusutkan lagi keadaan.  Hatinya berdebar-debar.  Dalam hati dia berdoa, semoga segala tuduhan yang dikatakan tentang arwah orang tuanya hanya satu fitnah atau omongan kosong sahaja.
            “Alang tengok adik-adik ya, along dengan angah hendak ke balai polis dan pasaraya tempat arwah ayah dan emak bekerja, along akan cuba pulang cepat,”  Haikal memandang wajah adik ketiganya.  Haida mengangguk.  Maisarah didukung kemas. 
            “Along…  along percayakah ayah seorang perompak?  Pak Long Karim tidak sudah-sudah menjaja pasal arwah orang tua kita pada orang kampung, ada yang tidak percaya.  Tidak kurang juga yang termakan dengan kata-kata pak long.  Kenapa pak long benci sangat dengan arwah ayah?”  Halim memandang wajah Haikal yang dibasahi peluh.  Mereka berjalan kaki menuju ke jalan besar yang jaraknya satu kilometer. 
            “Jangan percaya cakap pak long, angah.  Ayah tidak akan merompak hak orang lain.  Kita kenal ayah, kan.  Ayah selalu ingatkan kita  jangan buat perkara yang tidak baik.  Takkan ayah nak mencuri pula? Along tak percaya,”  Haikal mengetap bibir.  Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dia menyerang pak longnya yang tidak berhati perut itu.  Kenapa benci sangat pak longnya pada dia sekeluarga. 
            “Angah pun tak percaya, long.  Tetapi cakap-cakap orang benar-benar memalukan arwah orang tua kita.  Maruah mereka dikotak katikkan.  Sedih long,”  Halim menunduk.  Haikal menepuk bahu adik keduanya.  Dia faham perasaan adiknya itu.  Dia juga turut merasa sedih.  Arwah orang tuanya jarang bergaul dengan penduduk kampung lantaran kesibukan mencari duit untuk menyara mereka sekeluarga.  Kenduri-kendara pun jarang pergi, malu pun ada.  Kadang-kala hanya arwah ayahnya sahaja yang pergi.  Arwah emaknya tidak mahu mereka kelihatan bagaikan pengemis meminta makan walaupun hanya kenduri.  Mata orang yang memandang pada mereka sekeluarga begitu hina sekali.  Salahkah menjadi miskin? Kehendak merekakah?  Haikal mengeluh kasar.  Manusia tidak pernah cuba memahami bahawa rezeki itu adalah datangnya dari ALLAH.  Bukan orang tuanya tidak berusaha, bekerja.  Bukan berpeluk tubuh, duduk di rumah.  Sekarang ini pula sedap sahaja mereka menuduh arwah orang tuanya perompak.  Mentang-mentanglah mereka miskin.  Orang kaya merompak tidak pula mereka pandang hina?  Orang kaya tidak pernah merompak?  Rasuah itu bukankah bagaikan perompak juga tetapi dengan cara yang terhormat dan tidak diketahui oleh orang lain.  Haikal mengeluh lagi.
            “Peperiksaan PMR semakin dekat?  Bagaimana dengan persiapan angah?  Rasa-rasa boleh dapat keputusan yang baik tak?”  Haikal beralih ke topik yang lain.  Bukan tidak suka membincangkan perkara yang berkaitan dengan orang tua mereka tetapi biarlah.  Dia tidak mahu mengenangkan perkara yang menyakitkan hati itu.  Biarlah orang tuanya duduk aman di sana.  Semoga ALLAH mengampunkan segala dosa-dosa kedua orang tuanya, amin.
            “Insya-ALLAH along.  Doakan angah lulus cemerlang.”  Halim tersenyum.  Haikal menepuk belakang adik keduanya.  Mereka sama-sama tersenyum.  Senyuman mampu terukir tetapi hati yang sentiasa menangis hanya ALLAH jua yang tahu.
            Wajah Inspektor  Rizal yang bertugas sebagai pegawai penyiasat berkerut.  Dia meneliti dokumen kes kejadian rompakan di pasaraya tempat arwah orang tua Haikal dan Halim bekerja.  Dia mengeluh kemudian membaca semula.  Dia menyandar di kerusi.  Wajah kedua beradik itu ditenung lama.  Haikal dan Halim saling berpandangan.
            “Kes masih dalam siasatan. Saya  harap adik berdua bersabar, ya,”  kata Inspektor Rizal. 
            “Kami perlu tahu cerita sebenar tuan.  Kami mahu bersihkan nama kedua orang tua kami.  Sudahlah menemui ajal kerana terkena peluru sesat, malah dituduh sebagai perompak.  Sedih kami  tuan,”  Haikal menunduk.  Inspektor Rizal mengangguk.  Cuba memahami keadaan kedua beradik itu.
            “Jangan bimbang, pihak polis tidak akan menganiaya sesiapa.   Kami akan siasat sehingga selesai.  Kalau kedua orang tua adik-adik tidak terlibat, tidak usah bimbang.  Sabar ya,”   nasihat Inspektor Rizal. 
            “Terima kasih tuan.  Tolonglah bersihkan nama kedua orang tua kami.  Biarlah mereka  berdua aman di alam barzakh.  Dan kami adik-beradik akan meneruskan hidup kami dengan aman dan tenteram.”  Haikal memandang wajah Inspektor Rizal meminta simpati. 
            “Insya-ALLAH, saya dan anggota saya akan cuba membantu mana yang terdaya.”
            “Terima kasih tuan,”  Haikal bingkas bangun dan bersalaman dengan Inspektor Rizal.  Mereka berlalu dari balai polis tersebut setelah hampir setengah jam berada di situ.  Haikal dan Halim duduk menyandar di hentian bas berhampiran balai polis.
            “Along, kita hendak ke pasaraya itu juga ke?”  Halim kurang selesa.
            “Kita singgah sekejap sahaja, tengok bagaimana?”  Haikal harus mendapatkan maklumat tentang kes tersebut dari pihak pasaraya juga.  Kenapa arwah orang tua mereka yang dituduh?  Kalau benar tidak mengapa, bagaimana jika perkara itu tidak benar.  Haikal sedih, dadanya sebak. 
            Pengurus Taufik menunduk.  Dia sendiri tidak mampu berkata apa-apa.  Kes itu masih dalam siasatan polis.  Dia tidak boleh  pecahkan rahsia tentang hasil siasatan.  Biarlah sehingga semuanya selesai. Barulah boleh diberitahu kepada umum. 
            “Tolonglah tuan, bersihkanlah nama  arwah emak dan ayah saya.  Saya yakin mereka bukan perompak yang dimaksudkan,”  Haikal mengetap bibir.  Halim hanya membisu.
            “Haikal dan Halim jangan bimbang.  Kalau memang arwah ayah dan emak tidak bersalah, Insya-ALLAH namanya akan bersih.  Macam mana dengan kehidupan kalian?  Makan, minum, siapa yang sara?”  tanya Pengurus Taufik penuh simpati.
            “Setakat ini duit pemberian orang ramai masih ada, tuan.  Di masa hadapan tidak tahulah pula.  Saya perlu bekerja, tetapi selepas saya habis SPM dahulu.  Kalau saya bekerja sekarang tentulah sukar untuk saya ambil periksa dan mengulangkaji pelajaran.  Lagi pun masih ada adik kecil yang masih belum bersekolah.  Tiada siapa yang mahu menjaganya.”  Cerita Haikal.
            “Keluarga sebelah arwah ayah dan emak kalian tidak datang ke?”  tanya Pengurus Taufik lagi.  Haikal menggelengkan kepala.  Mereka bagaikan tidak suka ambil tahu masalah mereka adik-beradik.  Malas dia hendak memikirkan masalah tersebut.  Kalau mereka tidak sudi, biarlah dia sendiri yang berusaha menjaga adik-beradiknya.
            “Macam inilah Haikal.  Kejap lagi ikut saya ke bawah.  Pihak pasaraya akan memberi sumbangan barangan mentah setiap bulan pada keluarga awak.  Setiap bulan datang jumpa saya, ya,”  Pengurus Taufik melemparkan senyuman.  Arwah Halimah, emak  budak-budak ini seorang yang rajin, amanah dan jujur.  Tuduhan dari pihak polis dan beberapa orang staf pasaraya tersebut memang tidak boleh diterima.  Malah dia yakin orang yang merompak pasarayanya itu sempat melarikan diri dan meninggalkan beg berisi wang di dalam bekas motosikal Harun dan Halimah, sewaktu Harun meletakkan motosikalnya tidak jauh dari pintu pasaraya. 
            “Eh, Tuan Taufik.  Kami datang bukan hendak minta duit atau apa.  Kami hanya ingin bertanyakan tentang kes kedua orang tua kami sahaja.”  Haikal benar-benar serba salah.
            “Jangan rasa malu Haikal.  Ini sahaja yang mampu pihak pasaraya membantu anak-anak bekas staf syarikat ini.  Lagi pun kalian semua anak yatim piatu. Wajib dibantu,”  Pengurus Taufik melangkah bangun dan mengajak kedua beradik itu mengikutnya ke tingkat bawah. 
            Haikal tersenyum riang mendapat barangan dapur yang banyak. Malah mereka dihantar pulang oleh Pengurus Taufik.  Haikal bersyukur masih ada hamba ALLAH yang sudi membantunya adik-beradik.  Jimatlah belanja dapur bulan itu.  Ikan, daging dan ayam serta sayur-sayuran turut diberi oleh pihak pasaraya.  Haikal menarik nafas lega. 
            Halim turut gembira.  Tidak henti-henti bibirnya mengucapkan syukur dengan nikmat yang ALLAH SWT kurniakan pada mereka adik-beradik.  Walaupun suka tidaklah sampai mereka lupa diri.   Semoga rezeki adik beradiknya murah dan dipermudahkan.    Mereka akhinya saling tersenyum.  Susu untuk adik mereka Maisarah juga diberi serta lampin pakai buang, walaupun telah ditolak, namun Pengurus Taufik tetap memberinya.  Kebanyakkan barang-barang itu sudah biasa dibeli oleh arwah emaknya di pasaraya tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan