Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 22 Januari 2014

BAHAGIA MILIK KITA - BAB 11



BAB 11
            Halim tidak terkejut apabila  sekolah digemparkan dengan berita tertangkapnya Zaki, Badul dan Raju kerana mencuri motosikal.  Mereka mungkin dihantar ke sekolah budak-budak nakal.  Semoga mereka insaf dan bertaubat dengan apa yang terjadi pada mereka.  Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.  Tidak selamanya boleh menongkat langit. 
            “Kenapa termenung angah?”  Haikal menepuk belakang Halim. 
            “Bukan termenung along, tetapi memikirkan nasib kawan-kawan angah yang kena tangkap kerana mencuri, mereka mungkin di tempatkan di sekolah budak-budak jahat,”  cerita Halim.  Haikal mengangguk.  Dia juga ada dengar berita tersebut.  Budak-budak yang kena tangkap itu adalah anak kampung itu juga.  Kecil-kecil sudah hendak jadi samseng.  Bila ditangkap yang malu keluarga sendiri juga.
            “Semoga kita tidak terjebak dengan anasir-anasir tidak sihat itu ya angah,”  Haikal menjunamkan matanya ke wajah Halim.  Wajah yang kelihatan penat dan letih.
            “Sudah ulangkaji pelajaran?”  tanya Haikal.
            “Sudah long, itu yang rehat sekejap ini.  Letih sangat rasanya,”  Halim mengurut lehernya yang terasa lenguh.  Haikal tersenyum.  Dia tahu adiknya itu rajin belajar.
            “Semoga angah lulus cemerlang.”
            “Amin,”  Halim tersenyum.
            “Along juga jangan lupa buat ulangkaji,”  usik Halim.
            “Insya-ALLAH, hanya pelajaran sahaja yang mampu mengubah nasib hidup kita adik beradik angah.  Along tidak akan benarkan ada antara adik-adik along berhenti sekolah.  Biar susah bagaimana sekali pun, along akan pastikan angah dan adik-adik yang lain berjaya sampai ke universiti.  Jangan mengalah dengan dugaan yang datang.  Mungkin apa yang terjadi ada hikmah terbaik buat kita.  Kita tidak tahu, kan.  ALLAH yang menentukan takdir hidup kita, angah.  Jadi kita sama-samalah berusaha, berdoa dan bertawakal semoga ALLAH memberi kita jalan untuk meneruskan hidup ini sehingga berjaya, bukan sahaja berjaya di dunia, juga berjaya di akhirat,” nasihat Haikal.
            “Insya-ALLAH along,”  Halim tersenyum.  Semoga abang sulongnya itu kuat untuk menjaga dia dan adik-adiknya.
            Haida mencium pipi Maisarah yang telah siap dimandikan.  Mengekek gelak adik bongsunya itu.  Hani dan Haris sudah pun dimandikan awal tadi.  Setelah siap mandi terus keluar bermain.  Dalam riuh rendah suara adik-adiknya dia tetap rindukan arwah kedua orang tuanya.  Sesekali dia menangis mengenangkan mereka.  Baru beberapa bulan ditinggalkan sudah bertimpa-timpa masalah terpaksa mereka adik-beradik hadapi.  Kawan-kawan ramai yang tidak sudi berkawan dengannya.  Jiran tetangga tidak sudi membantu.  Bapa saudara tidak mengaku mereka  saudara.  Kini mereka terpaksa meninggalkan pula rumah yang menjadi tempat tinggal mereka selama ini.  Dia tekad di dalam hati akan belajar bersungguh-sungguh.  Dia ingin bersekolah di sekolah berasrama penuh.  Dia ingin mengubah nasib hidupnya sekeluarga.  Biarlah susah sekarang.  Biarlah derita sekarang.  Asalkan ada bahagia di masa hadapan.  Berakit-rakit dahulu, bersenang-senang kemudian, biarlah bersakit-sakit dahulu tetapi senang dikemudian hari.    Maisarah mencuit pipi Haida dan ketawa.  Haida membalas senyuman adik bongsunya.  Masih kecil sudah kehilangan kasih kedua orang tua mereka.   Maisarah terus ditarik dalam pelukan.  Biarlah dia menjadi ‘ibu’ Maisarah.  Hiba terus menyucuk hatinya. 
            Dengan bantuan Cikgu Borhan Haikal telah memindahkan barang-barang rumah yang masih baik ke stor sekolah.  Rumahnya dikosongkan.  Dia tidak mahu Pak Long Ridzuan menghalau dia dan adik-adiknya keluar.  Rumah yang penuh kenangan indah mereka adik beradik waktu bersama kedua orang tua mereka akan hilang  dari pandangan.  Dia tahu tanah itu akan dijual oleh Pak Long Ridzuannya.    Mungkin benar tanah itu bukan hak mereka adik-beradik.  Biarlah jika itu kehendak takdir hidup mereka.
            Baju dan beberapa barang keperluan dibawa ke rumah Pak Su Rashid. Setelah menghantar Haikal adik beradik, Cikgu Borhan terus pulang ke rumah.  Pak Su Rashid pula tiada di rumah.  Mak Su Tijah menyambut mereka dengan wajah riang.  Haikal tersenyum lega.  Biarlah rumah itu kecil namun jika dialu-alukan pasti mampu mengembirakan adik-adiknya.
            “Kau orang adik-beradik, tidur di ruang sana tu, dekat dengan dapur.  Rumah mak su ini kecil sahaja.  Jangan nak minta lebih pula.  Dapat menumpang tidur sudah cukup baikkan,”  Mak Su Tijah menjeling.  Haikal terdiam.
            “Kalau boleh biarlah Haida, Hani dan Maisarah tidur di dalam bilik, mak su.  Kami tidur di situ tak mengapalah,”  kata Haikal.  Mak Su Tijah mencekak pinggang.
            “Banyak cantik muka kalian?  Semua tidur di bahagian yang mak su cakapkan tadi.  Jangan nak mengada-ngada,” tempelak Mak Su Tijah.  Haikal terkedu.
            “Ta…”  Halim cuba bersuara tetapi dihalang oleh Haikal.
            “Tak apa mak su, Haikal faham,”  Haikal menarik tangan Halim.  Haida memeluk Maisara, Haris dan Hani tidak ada reaksi apa-apa.
            “Kalau hendak makan dan minum tanya mak su dahulu, jangan pandai-pandai hendak ambil sendiri, emak dan ayah kalian bukan ada tinggal harta berkepuk pada kami,”  Mak Su Tijah mencuka.  Dia menjeling tajam.  Haikal terdiam tidak terkata.  Dia fikirkan Mak Su Tijah ikhlas membenarkan mereka menumpang.  Rupanya terpaksa sahaja.
            “Baik mak su,”  Haikal menjawab bagi pihak adik-adiknya. Halima menunduk.  Derita apa pula yang menanti mereka di rumah itu.  Haida tetap memeluk Maisarah. Hani dan Haris sudah hilang di laman rumah.
            “Haida, kau jangan nak duduk goyang kaki ya, kemas dapur dan basuh kain baju dalam bilik air itu. Mak su tahu semuanya siap sebelum waktu zohor,” perintah Mak Su Tijah.
            “Kau Haikal dan Halim pergi kemas laman rumah.  Jangan ingat kau orang duduk sini boleh makan tidur sahaja, ya.  Kalau tidak mampu bayar dengan duit, bayarlah dengan tenaga kalian,”  Mak Su Tijah menyengih.  Haikal mengangguk.  Setelah  memberi tugasan masing-masing, Mak Su Tijah menghilang dalam bilik.  Haikal mengeluh.  Halim hanya memandang kosong ke arah Haikal.  Haida terus berlalu ke dalam bilik air dengan membawa Maisarah bersama. 
            “Long, macam mana ini?”  Halim memandang wajah Haikal.
            “Kalau sudah menumpang, kenalah buat seperti menumpang angah.  Buat sahajalah kerja yang disuruh.   Jangan membantah.”  Haikal mengambil pencakar sampah dan mula membersihkan laman rumah.   Halim turut membantu.  Haris dan Hani diajak bersama.  Tidaklah boleh membiarkan mereka bermain sahaja.  Walaupun masih kecil, kerja-kerja rumah yang ringan boleh juga mereka bantu melakukannya.  Haikal akur kehendak takdir diri dan adik-adiknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan