Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 4 Januari 2014

ULASAN NOVEL DENDAM RATU ULAR



Gambar: Buku Prima
Catatan: Asmah Hashim


TAJUK : DENDAM RATU ULAR
PENULIS:  ANNUR SHANANA
TERBITAN: 2013
PENERBIT: BUKU PRIMA ( GRUP BUKU KARANGKRAF)

                DENDAM RATU ULAR mengisahkan Kaira  yang tinggal bersama neneknya sejak ayahnya meninggal akibat kemalangan dan ibunya menghilangkan diri.  Kaira sering dihina oleh penduduk kampung kerana  kecacatannya.  Dia dibenci oleh semua penduduk kampung  kecuali Sofea yang langsung tidak memandang benci atau serong kepadanya.
                Kalsom ibu tiri Sofea begitu membenci  Kaira sekeluarga.  Sehingga dia bertindak di luar batas kemanusiaan dengan pertolongan Daud, dendamnya  terbalas.  Namun hatinya tidak pernah tenteram.  Kaira terselamat dalam kejadian yang telah meragut nyawa neneknya.  Dia membawa diri sehingga berjumpa dengan perigi buta.  Di situlah dia tercampak sehingga menjadi mangsa Raja Ular.  Kaira telah dipaksa membuat perjanjian.  Api dendam yang utuh di hatinya telah membuatkan dia menjadi hamba  Raja Ular.
                Kaira telah menjadi cantik, dia  kembali semula ke kampung dan bertemu dengan Kalsum.  Dia pura-pura hilang ingatan.  Dia menjadi anak angkat Kalsom.  Pada masa yang sama hati perempuannya telah jatuh hati dengan seorang lelaki Rafli, namun dia tidak boleh bersama dengan lelaki tersebut lantaran perjanjian yang telah dia buat dengan Raja Ular.  Hidupnya terus dihimpit duka apabila kehadirannya telah menyebabkan ramai anak gadis di kampung tersebut memandang serong kepadanya.  Para teruna pula jatuh hati dengan kecantikkannya.  Daud dan Rafli berebut hendak mendapatkan Kaira. 
                Kaira begitu menyayangi Sofea, dia merasakan hanya  wanita itu yang baik dengannya.  Atas sebab itu jugalah dia menyamar dan mendekati Kalsom yang kesunyian lantaran tinggal sendiri.   Sofea tidak mengetahui siapa Hanum yang sebenarnya.  Hubungan mereka rapat sehingga Sofea bercadang mengajak Hanum/Kaira tinggal bersama-sama untuk menjaga anaknya yang masih kecil. 
                Kaira/Hanum sentiasa menjaga keselamatan Sofea.  Dia tidak mahu hati wanita itu diganggu gugat sehinggalah dia sanggup membunuh sesiapa sahaja yang menyakiti hati wanita itu.  Maria dan Wani menjadi mangsa Kaira/Hanum.
                Pertemuan yang tidak disangka telah membuka rahsia sehingga menyebabkan Kaira/Hanum dipandang hina dan hodoh.  Kaira/Hanum juga tidak menyangka akan bertemu semula dengan ibu kandungnya yang sudah lama menghilangkan diri.  Pertemuan itu telah membuka  lebaran baru dalam hidup Kaira/Hanum.
                Apakah perjanjian antara Kaira dan Raja Ular sehingga mengubah rupa Kaira menjadi  cantik?  Ada perjanjian yang sama telah dibuat oleh ibu Kaira dengan Raja Ular, apakah perjanjian tersebut? Kenapa Kaira sanggup membunuh  Maria dan Wani?  Apa hubungan mereka?  Siapa pula Muaz?  Antara Daud dan Rafli siapa pilihan hati Kaira.  Mahukah Rafli dan Daud menerima Hanum jika mereka mengetahui siapa sebenarnya Hanum?  Bagaimana dendam Kaira terhadap Kalsom, terbalaskan dendam itu?   Mahukan Kaira menerima semula kehadiran ibu kandungnya yang telah membuang dan membencinya?  Terbalaskah dendam Kaira terhadap orang kampung?   Kaira ingin menjadi cantik, tercapaikah impiannya itu?  Apa terjadi dengan hubungan Kaira dan Raja Ular.  Mampukah Raja Ular dihapuskan? Semuanya akan terjawab jika membaca karya DENDAM RATU ULAR.
                Jalan cerita yang menarik, genre Seram/Thriller.  Ini buku kedua penulis ini.  Gaya bahasa  menarik dan santai.  Kepada peminat cerita seram bolehlah dapatkan novel ini.  Tidak menghampakan.  Bagaimana pengakhiran ceritanya kenalah baca sendiri.  Tahniah kepada penulis dan pihak penerbit.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan