UNTUK menebus rasa bersalahnya kerana berbohong pada isteri, Yusuf
Hakimi pulang dengan sebiji kek blueberi comel kegemaran Zulaika.
Hatinya yang resah terubat ketika melihat senyuman manis yang
tersungging di bibir wanita itu. Dia melontarkan rasa berdosanya
jauh-jauh ke ufuk. Di hatinya, Intan Juliana hanyalah seorang teman
biasa. Sekepal hatinya hanya dihuni oleh Zulaika... mungkin sejak dulu,
kini dan selamanya. Bukankah Zulaika adalah pasangan Yusuf?
Zulaika
terasa malu apabila menyedari dirinya sedang direnung rakus oleh
suaminya. Jilatan di jari terhenti. Sepasang mata dihalakan ke arah
suaminya yang hanya tersengih memandang.
“Sedap kek tu?” soal Yusuf Hakimi yang masih berada di meja makan.
Dia beruntung kerana isterinya memang pakar dalam bab menyediakan
juadah-juadah enak yang membuka selera. Pun begitu dia tetap
berhati-hati dengan kuantiti makanan yang disumbatkan ke perut walau
sesedap manapun juadah yang dihidangkan di hadapannya. Perut bukanlah
tong yang boleh disumbat sesuka hati. Walaupun isterinya memang handal
di dapur, tapi itu tak bermakna dia harus menggemukkan badannya.
Penampilan kena jaga, beb.
“Sedap!” sahut isterinya.
“Yelah, abang tengok sampai menjilat jari. Kalau tak sedap, tak tahulah nak cakap.” Usik Yusuf Hakimi. Zulaika senyum mengulum.
“Kenapa abang baik hati sangat dengan Ika malam ni? Ada apa-apa ke?”
“Dah malam macam ni, suami mana yang tak nak berbaik-baik dengan
isteri?” desis Yusuf Hakimi. Dalam maknanya! Dia memerhatikan wajah
isterinya dan hatinya bersorak melihat Zulaika tertunduk malu.
“Ada-ada aje abang ni!”
“Isy, tak betul ke cakap abang?” dia tidak putus-putus mengusik.
“Malam ni tak boleh...”
“Kenapa?”
“Bendera merah.” Sahut Zulaika pantas.
“Alamak!” Yusuf Hakimi mendengus, kemudian ketawa besar. “Tak apalah!
Kalau yang berat-berat tak boleh, ringan-ringan pun cukuplah.”
“Abang ni gatallah!” hempuk Zulaika.
“Kalau tak menggatal dengan isteri, nak menggatal dengan siapa lagi?”
Zulaika geleng kepala. Yusuf Hakimi, kalau dilayan semakin
menjadi-jadi. Dia segera mengalihkan perhatiannya ke dada televisyen
yang sedang memaparkan berita tentang kes perbicaraan wanita warga
Mongolia, Altantuya Syaribuu, yang telah ditembak dan mayatnya
diletupkan. Pembunuhan kejam itu menjadi isu hangat yang ingin diketahui
oleh semua orang termasuklah dirinya. Pelbagai teka-teki bermain-main
di benaknya tentang siapakah sebenarnya pembunuh wanita itu. Kenapakah
sekejam itu dia diperlakukan? Dan, apakah kesudahan kes itu kelak?
Hmmm... persoalan cinta memang sukar hendak ditafsirkan, desis hatinya.
Telefon yang berdering di ruang tamu membuatkan dia menoleh ke arah meja
makan tetapi Yusuf Hakimi telah tiada di situ. Mungkin telah beredar ke
bilik untuk menunaikan solat Isyak tanpa disedarinya.
Dia bergegas ke ruang tamu untuk menyambut panggilan tersebut.
“Assalamualaikum.” Ujarnya lembut pada si pemanggil.
“Waalaikumussalam. Ika, mak cik ni!”
“O... mak cik! Apa khabar?”
“Sihat. Kau macam mana?”
“Ika sihat. Fatin dah dapat kerja ke, mak cik?” dia menyoal Fatimah.
“Belum lagi. Sebab nilah mak cik telefon kau, Ika. Fatin nak cuba nasib
di Kuala Lumpur. Mak cik harap benarlah kau dan Yusuf dapat tolong dia
cari kerja di sana.”
“Err...”
“Kenapa, Ika? Kau keberatan ke?”
“Err... Ika kena tanya Abang Yusuf dulu, mak cik. Ika tak boleh bagi
keputusan sekarang. Abang Yusuf tengah solat kat bilik tu. Macam nilah
ya, esok Ika akan telefon mak cik balik.”
“Mak cik benar-benar
harap kau dapat tolong Fatin tu, Ika. Carikan ajelah apa-apa kerja pun
asalkan halal. Tapi kalau boleh kau carikanlah dia kerja yang elok-elok
sikit.” Fatimah merayu.
“Baiklah, mak cik. Biar Ika bincangkan hal ni dengan Abang Yusuf, ya.” Janjinya sebelum meletakkan telefon.
“Siapa yang call tu, Ika?” soal Yusuf Hakimi yang baru keluar dari bilik.
“Mak Cik Timah, bang.”
“Apa halnya?”
Dia memandang wajah suaminya dengan rasa serba salah. Dia tahu yang
Yusuf Hakimi tidak berapa menyenangi sikap Fatimah suatu ketika dahulu.
“Mak Cik Timah minta kita tolong carikan kerja yang sesuai untuk Fatin.” Dia memberanikan dirinya untuk bersuara.
Yusuf Hakimi kerut kening.
“Kerja apa yang dia boleh buat dengan sijil SPM pangkat tiganya tu?”
terjahnya dengan nada kasar. Dia juga tidak menyenangi sikap adik tiri
isterinya yang agak liar, manja dan mengada-ada itu.
Zulaika jongket bahu.
“Tapi kita kenalah usahakan, bang. Kalau kita tak berusaha carikan
kerja untuk dia, mana kita tahu sama ada sijilnya tu berguna ataupun
tak.” Zulaika kadangkala pandai juga menjawab cakap suaminya.
“Tak
ada ke kerja yang elok-elok kat kampung tu? Dah kerja kilang, berhenti!
Nanti kalau dia buat hal yang sama kat sini, abang yang malu tau, Ika.
Ingat senang ke nak recommendkan orang kerja ni?” Yusuf Hakimi keberatan
untuk menghulurkan bantuannya.
“Bang, Ika tau perangai Fatin tu
agak buruk sikit. Tapi tak boleh ke kita cuba bentuk dia supaya jadi
orang yang bertanggung jawab dan berguna suatu hari nanti? Mana tahu
kalau dia tinggal dengan kita, sikapnya yang pemalas dan liar tu akan
berubah.” Hujahnya.
“Bercakap memang senang, Ika. Tapi praktikalnya
tak semudah yang disangka. Ika ingat senang ke nak ubah sikap
seseorang?” tempelak Yusuf Hakimi.
“Macam mana nak tahu kalau kita
dah angkat tangan, menyerah kalah sebelum mencuba?” desis Zulaika. “Jadi
abang memang tak nak tolong merekalah ya?”
Yusuf Hakimi tahu yang hati isterinya telah terbakar.
“Okeylah, abang akan cuba tengok-tengokkan apa yang boleh abang tolong.
Tapi buat sementara waktu ni, Ika suruhlah mereka berdua sabar dulu
ya.” Dia memujuk.
Seulas senyuman terukir di bibir isterinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan