BAB 9
Pak Long Karim duduk di anjung rumah dengan
hati yang marah. Bencinya pada anak-anak
buahnya tidak dapat dibendung lagi. Dia
benci arwah ayah mereka, dia tidak boleh suka anak-anak arwah adik iparnya
itu. Dendamnya masih berbaki walaupun
perkara itu sudah lama berlalu.
Karim
mengetap bibir. Geram bercampur
marah. Geram dia dengan sikap degil adik
perempuannya itu. Marah kerana adiknya
tidak mahu mendengar nasihatnya. Wajah
Halimah yang mencuka dipandang dengan hati yang berapi. Kalau gunung berapi sudah lama meletup.
“Kau
hendak kahwin juga dengan lelaki miskin itu?
Kenapa kau suka sangat menolak tuah Halimah? Kahwin sahajalah dengan anak Haji Omar
itu. Kau akan hidup senang,” pujuk Karim.
“Limah
cintakan Harun bang, biarlah dia miskin tetapi hatinya baik, bertanggungjawab
dan jujur.” Cerita Halimah tentang lelaki yang menjadi pilihannya.
“Kau
memang bodoh!” marah Karim.
“Kenapa
dengan abang ini? Emak dan ayah tidak membantah pun? Abang pula beriya-iya membantah pilihan
Limah?” Halimah pelik dengan sikap abang
sulongnya itu.
“Aku
hendak tengok engkau hidup senang, Mokhtar itu berkelulusan tinggi, bergaji
besar, keluarga dia juga kaya,” masih
memujuk Halimah.
“Harta
dan kesenangan hidup boleh dicari bang,”
Halimah memandang wajah Karim.
“Maafkan
Limah bang, hati Limah hanya ada Harun seorang.
Biarlah Halimah hidup dengan Harun, walaupun susah namun Limah yakin dia
mampu bahagiakan Limah.” Halimah menolak kehendak abang sulongnya itu. Bukan dia sengaja. Dia tahu niat baik abangnya tetapi hatinya
sudah pun diserahkan pada orang lain.
“Sudahlah
Karim, restu sahajalah hubungan adik kau dengan Harun. Dia budak yang baik juga. Ayah dan emak tidak kisah. Asalkan Harun itu rajin bekerja dan sanggup
jaga adik kau ini,” kata Haji Ali. Karim mencebir. Orang tuanya juga tidak beri kerjasama. Bukan memudahkan kerjanya malah menyusahkan
lagi.
Mokhtar
menghentak meja. Hatinya terbakar
mendengar kata-kata Karim. Lelaki itu telah menipunya. Duitnya sudah berpuluh ribu dihabiskan pada
Karim, melabur dalam perniagaan Karim. Untungnya sahaja belum diperolehi. Karim berjanji akan kahwinkan dia dengan
Halimah namun gagal. Halimah sudah pun
bertunang dengan lelaki lain.
“Kau
kena bayar semua hutang kau pada aku!
Aku beri tempoh sebulan. Kalau
engkau tidak bayar aku ambil balik syarikat kau. Itu semua duit aku, tahukan,” Mokhtar mengenggam penumbuk. Karim
terkedu. Ini semua salah Harun, sejak
itu dia amat membenci Harun. Syarikatnya
yang baru hendak naik dirampas oleh Mokhtar.
Itu sebab dia masih duduk di kampung ini. Masih hidup sederhana. Syarikatnya itu sudah nampak hasilnya
sekarang. Mokhtar itu sudah bergelar
dato’ dan sudah jadi jutawan. Dia masih
seperti ini, masih hidup sederhana semuanya kerana Harun. Kalau Harun tidak berkahwin dengan adiknya
pasti sekarang ini dia sudah bergelar dato’ dan menjadi jutawan. Itu sebab dia benci teramat sangat dengan
arwah adik iparnya itu, sehingga ke hari ini, walaupun adik iparnya sudah
meninggal dunia. Dia tidak akan benarkan
anak-anak adik iparnya hidup senang.
“Ayah,
berapa lama Kadir harus menyorok di dalam rumah?” Kadir memandang wajah ayahnya. Pak Long Karim mendengus kasar. Ini satu lagi masalah yang terpaksa
ditanggung. Anak yang tidak sedar
diri. Pak Long Karim mengetap
bibir. Anak sulongnya memang
menyusahkannya. Sudahlah tidak
berpelajaran, pemalas malah sanggup jadi perompak. Untung kesalahan itu dilepaskan pada arwah
adik dan adik iparnya jika tidak pasti anaknya itu akan merengkok dalam
penjara.
“Berkurunglah
kau dalam rumah seumur hidup! Selagi
polis tidak tutup kes, selagi itulah kau tidak dibenarkan keluar. Kau hendak duduk dalam penjara ke?” herdik Pak Long Karim. Kadir menunduk.
“Jangan
macam itu ayah. Apa kata ayah bagi Kadir
duit. Kadir pergi dari sini, keluar
negeri ke?” cadang Kadir. Pak Long Karim
mencebir.
“Siapa
suruh kau merompak? Tempat kerja kau sendiri pula?” marah Pak Long Karim.
“Kadir
hendak duit, ayah. Ayah bukan hendak
bagi. Gaji Kadir kecil, mana cukup
hendak sara hidup Kadir setiap bulan,”
Kadir mencebik pula. Pak Long
Karim menggelengkan kepala.
“Kalau
sudah gaji sedikit jangan berbelanja macam orang bergaji besar!” marah Pak Long Karim. Tidak pasal-pasal menyusahkan dirinya.
“Kadir
tidak kira, hujung bulan ini, Kadir hendak larikan diri ke Thailand. Tidak sanggup berkurung dalam rumah seperti
ini. Rimaslah ayah,” Kadir mencuka.
“Ikut
suka kau. Duit, ayah tidak akan
beri. Kalau engkau tertangkap nanti,
engkau selesaikanlah sendiri,” Pak Long
Karim berlalu meninggalkan Kadir di ruang tamu sendirian. Kadir mengetap
bibir. Dia duduk di sofa sambil
berfikir. Kenapa pihak polis masih tidak
menutup kes sedangkan orang yang menjadi kambing hitam sudah pun meninggal
dunia. Duit rompakan sudah pun mereka
perolehi kembali.
Di
sebalik pintu Mak Long Mariam hampir menangis mendengan setiap butiran bicara
kedua anak beranak itu. Hancur luluh
hatinya. Terasa perit rahimnya yang
telah mengandung dan melahirkan Kadir ke dunia ini. Dia tidak dapat berbuat apa-apa sewaktu
anaknya malas bersekolah. Tidak mahu
belajar. Asyik keluar berpeleseran di
bandar. Apabila cukup umur tujuh belas
tahun mendapat pekerjaan di pasaraya.
Itu pun atas bantuan Halimah.
Anaknya bekerja sebagai pengawal keselamatan. Dia tidak pernah berkira soal gaji atau
pekerjaan anaknya, asalkan halal.
Sebagai
seorang ibu tentulah dia inginkan anak yang baik, bertanggungjawab, berjaya
dalam pelajaran. Ada pekerjaan yang
baik. Jika semua itu tiada, cukuplah anaknya
menjadi anak yang baik dan taat. Rajin
solat dan mendengar nasihat orang tua.
Tetapi itu semua tidak ada pada anaknya itu. Sudahlah hanya itu sahaja zuriat yang dia
ada. Kenapa? Di mana salah dan silapnya. Mak Long Mariam mengesat air mata yang
mengalir. Kecewa seorang ibu dan
isteri. Sikap suaminya juga tidak pernah
berubah. Berdendam dengan ahli keluarga sendiri. Entah apa manfaat yang diperolehi oleh
suaminya sehingga sanggup menfitnah darah daging sendiri. Sampai bila perkara ini akan berakhir. Dia perlu buat sesuatu. Nama baik arwah adik iparnya harus
dibersihkan. Orang kampung memandang
serong pada anak-anak buah suaminya. Ini
semua berlaku kerana suaminya sendiri.
Dia tidak menyangka anaknya sendiri yang menjadi perompak. Darah dagingnya sendiri. Suaminya pula tahu dan menyembunyikan perkara
ini. Padanlah anaknya itu asyik
berkurung dalam rumah. Tidak lagi bekerja. Bila ditanya tiada jawapan yang diperolehi.
Mak Long Mariam meraung dalam hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan