Hidupnya kais pagi pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hidup di kampung serba kekurangan. Anak-anak seramai 5 orang, semuanya masih
bersekolah. Suami sudah dua tahun
meninggal dunia, tiada pencen, tiada harta.
Hanya sebuah motosikal buruk menjadi milik mereka. Menumpang buat rumahpun di atas tanah
orang. Untung tidak dikenakan sewa,
simpati insan yang berhati mulia.
Nasi sudah dimasak, di letakkan di
atas meja yang sudah terkopak- terkopek papannya. Kerusi sudah bercampur aduk warna dan
rupanya. Anak ikan selayang dimasak
sambal diletakkan di atas meja. Sayur
kangkung masak kicap menjadi kuahnya.
Menunggu anak-anak pulang dari sekolah untuk santap bersama.
Pagi-pagi lagi dia sudah ke kedai Ah
Tat yang terletak di simpang empat masuk ke kampungnya. Riuh rendah suara orang kampung kerana
tiba-tiba harga barang-barang mahal. Naik melambung-lambung. Terkebil-kebil dia mendengar mereka bercakap
sesama sendiri. Pasal minyak naik, barang-barang lain juga naik. Terkedu dia seketika. Dia mana tahu apa-apa, sekolahpun setakat
tahu membaca dan menulis sahaja.
Kemiskinan yang menghambat telah menyebabkan dia terpaksa berhenti
sekolah. Bolehlah dia mengira, menulis
dan membaca, tetapi apa yang hendak dikira, jika pendapatannya hanya boleh
dikira dengan jari sahaja. Apa yang
hendak ditulis lantaran kertas ju tidak mampu dibeli. Apa yang hendak dibaca, sedangkan suratkhabar
harian yang ditatap hanya muka hadapan
sahaja. Curi-curi baca di kedai Ah Tat.
Kak Jah membimbit bakul sayur yang sudah
pudar warnanya. Ada tempat yang sudahpun
patah dan tersengih sahaja. Biar buruk
namun masih berguna kepadanya. Dia
menghayun langkah keluar daripada kedai Ah Tat dengan kata berkaca. Setiap hari dia memperuntukan RM10.00 untuk
belanja dapur sehari. Jangan ditanya
bagaimana dia berbelanja. Cukup atau
tidak pandai-pandailah dia menguruskannya.
Gajinya hanya RM20.00 sehari sebagai upah mengemas dan membasuh baju
jiran tetangga yang berada dan mampu mengajikan dirinya. Duit berbaki untuk belanja sekolah anak dan
disimpan sedikit demi sedikit untuk membayar bil air dan eletrik. Orang miskin sepertinya perlu
berjimat-cermat. Tidak boleh membazir
walaupun 5 sen, tetap berharga. Dengan
jumlah duit sebanyak itu dia mampu
membeli setengah kilo anak ikan selayang yang hampir pecah perutnya. 10 biji
telur dan sepotong kecil sayur kobis yang tidak sampaipun RM2.00 harganya. Itulah lauk yang mampu dibeli untuk
anak-anaknya menjamu selera.
Namun
hari itu dia hanya mampu membeli beras
sekilo, sepuluh biji telur dan sepotong
sayur kobis. Duit berbaki beberapa ringgit sahaja, tidak cukup untuk
membeli anak ikan selayang yang sebelum ini murah sahaja. Tetapi naik berlipat kali ganda lantaran
kenaikan harga minyak. Apa kena mengena
minyak dengan harga ikan? Dia tidak
faham. Dia bukan pandai. Sekadar menjadi pengikut dan pak turut. Terasa hendak menangis sahaja. Tidak dapatlah anak-anaknya makan ikan hari
ini. Kalau tidak dibeli telur, tiada
pula lauk untuk sarapan pagi nanti.
Mereka bawa bekal ke sekolah nasi goreng kosong dan telur dadar yang
dipotong seorang separuh sahaja. Sebiji
dibahagi dua. Jimat, kena berjimat. Waktu rezeki ada lebih, jangan membazir, kena
simpan ketika susah nanti.
“Kenapa
ikan mahal hari ini Tat? Apa anak-anak
aku nak makan? Manalah aku mampu?” kata
Kak Jah dengan mata yang berkaca.
Hari
itu dia membawa balik sekilo beras dan sepuluh biji telur sahaja. Duitnya hanya berbaki beberapa ringgit. Mana
mungkin membeli setengah kilo ikan yang tiba-tiba naik harga berlipat kali
ganda hatta yang sudah pecah perutnya.
“Kenapa
ikan mahal Ah Tat? Apa anak aku nak
makan? Manalah aku mampu?” kata Kak Jah dengan mata berkaca. Hiba pula menyinggah. Keluhan rasa tidak terlepas, tersekat di
kerongkong. Terpandang wajah anak-anak
yang kelaparan selepas balik sekolah. Bertambah
parah rasa di hati.
“Saya
nak buat macam mana Kak Jah? Minyak
sudah mahallah. Saya belipun harga sudah
agak tinggi. Tidak mungkinlah saya jual
murah. Tak pulang modal pula.” Keluh Ah
Tat pula. Kak Jah terdiam. Apa yang mampu dia katakan. Takkan nak suruh Ah Tat pergi tangkap ikan di
laut untuk dapatkan harga ikan yang murah.
“Kau sengajakan Ah Tat?” tuduh Kak Jah.
Ah
Tat menepuk dahi. Orang macam inipun
ada, detik hati kecilnya. Dia
menggelengkan kepala.
Kak
Jah berlalu pergi. Hatinya berbunga
sayu. Terasa hendak menangis, namun ditahankannya. Rasa tidak sanggup hidup susah begini. Bertambah harga barang-barang dapur semuanya melambung
naik. Hendak minum milo tidak mampu,
hanya teh o panas setiap pagi. Itupun teh o
yang nipis dan manis-manis buah sahaja.
Gula pun dia kena berjimat
cermat. Pendek kata semua kena jimat
cermat. Begitu juga beras. Harga beras yang elok sikit hampir RM30.00 ke
atas. Dia beli beras yang paling murah. Beras usang dan hampir hancur menjadi
santapan mereka anak beranak. Sudahlah
susah, bertambah-tambah susah.
Ada
juga kawan-kawan mencadangkan dia meminta bantuan, bukan dia tidak pergi. Sudah berkali-kali, entah berapa kali borang
diisi, namun masih belum dapat kelulusan lagi.
Sampai naik bosan. Hendak ke sana
memerlukan tambang lagi. Mana nak cekau
duit setiap hari.
Dahi
Kak Jah berkerut melihat di tali air
berhampiran rumahnya kangkung tumbuh meliar, gemuk-gemuk belaka. Pucuknya muda-muda belia. Sedap direbut
dan dicicah sambal belacan. Dia
mendekati tali air yang tenang itu. Dia
melemparkan senyuman. Berasa gembira
melihat pucuk-pucuk kangkung tumbuh meliar.
Percuma, tidak perlu beli. Kalau
dikedai Ah Tat sekilo mahu beberapa
ringgit. Di situ tidak perlu bayar,
petik sahaja. Terbongkok-bongkok Kak Jah
mengutip kangkung yang tumbuh melata di tali air yang jernih airnya. Puas hatinya, sampai ke esok bekalan sayur
ada. Jadilah, rezeki ALLAH jangan
ditolak.
Tidak
perlulah dia membeli sayur kangkung lagi.
Kalau di kampung dapat percuma sahaja.
Orang Bandar terpaksa membeli, tentulah mahal. Kalau hendak kangkung segar datanglah ke
kampung. Tidak perlu duitpun, kutip
sahaja ditali-tali air sepanjang kampung.
Semakin melebar senyuman Kak Jah.
Kalau dia menjualnya bagaimana? Di
pekan berhampiran kampung. Dengar kata
harga sayur kangkung naik melambung tinggi lantaran kenaikan minyak
petrol. Tetapi hendak ke bandar dengan
apa? Motosikal buruk arwah suaminya itu?
Tidak mampu sampai sehingga ke bandar, sampai di kampung sebelah terus
enjinnya mati. Minyak petrol lagi. Mati terus ideanya. Dicantas oleh
kehidupannya sendiri. Biarlah dia
makan sahaja, asalkan anak-anak tidak berlapar dan ada lauknya, cukuplah
sekadar mengalas perut agar tidak sakit.
***
Wajah anak-anak kelat . Setiap hari dijamu sayur kangkung dan telur goreng. Mereka saling berpandangan sesama sendiri. Kelmarin sayur kangkung masak kicap, semalam kangkung masak cili. Hari ini kangkung masak tumis air. Seminggu ini hanya sayur kangkung menjadi menu harian mereka.
Wajah anak-anak kelat . Setiap hari dijamu sayur kangkung dan telur goreng. Mereka saling berpandangan sesama sendiri. Kelmarin sayur kangkung masak kicap, semalam kangkung masak cili. Hari ini kangkung masak tumis air. Seminggu ini hanya sayur kangkung menjadi menu harian mereka.
“Mak, Taukeh Ah Tat, jual sayur kangkung
sahajakah? Sebelum ini ada juga sawi,
atau kobis? Sudah tidak tertelan dek
tekak kami!” rungut anak sulongnya.
“Ha ah! Kata Ah Tat, sayur kangkung sudah turun harga, itu
sebab murah. Itu sahaja yang emak mampu
beli. Barang-barang yang lain
mahal-mahal belaka. Sabar ya anak-anak
emak. Belajar bersungguh-sungguh, nanti
sudah bekerja macam-macam sayur boleh makan,” pujuk Kak Jah untuk menyedapkan
hatinya dan hati anak-anak. Kalaulah
mereka tahu apa yang tersimpan jauh di lubuk hatinya pasti mereka akan turut
merasa sedih. Bukan dia tidak sedih
menjamu anak-anak dengan menu yang sama.
Demi mengumpul duit untuk membayar yuran sekolah awal tahun nanti,
terpaksalah makan apa yang ada. Asalkan
percuma, dia ambil sahaja. Pucuk ubi
belakang rumah juga menjadi habuan mereka tetapi tidaklah boleh ambil selalu
tidak sempat berpucuk semula.
Orang Bandar terpaksa membeli sayur
kangkung, orang kampung kutip sahaja di tali air. Dia tidak boleh merungut inilah hakikat kehidupan orang kampung
seperti dirinya. Orang kampung boleh
menanam sendiri sayur-sayur kampung, orang bandar membayar dengan harga yang
mahal demi mendapatkan khasiat sayur-sayur tersebut. Kak Jah tidak mahu berpeluk tubuh
sahaja. Dia membuat pancing sendiri.. Asalkan anak-anak dapat makan ikan, tidak
kiralah ikan sungaikah atau ikan laut.
Khasiatnya sama sahaja. Di tali
air itu juga banyak ikan. Semoga ada
rezeki anak-anaknya makan ikan seminggu sekali.
Tidak bolehlah dia duduk memancing setiap hari, siapa pula hendak
memasak untuk mereka? Waktu kerjanya
juga panjang. Mana mungkin dia bersantai di tali air sambil
memancing. Ah! Terpaksa memikirkan
berbagai cara untuk meneruskan kehidupan ini.
Anak-anak perlu baju, kasut, beg dan buku sekolah
baharu. Sudah dua tahun mereka
menggunakan pakaian yang sama, sudah lusuhpun.
Baju putih sudah kuning warnanya.
Entah berapa kali dia letak nila untuk mencantikkan kembali baju
tersebut. Setiap kali melihat wajah
anak-anak menitis air matanya.
Tentu mereka hendak makan ayam,
sayur campur seperti dalam buku sekolah mereka. Makanan berkhasiat kata anak
sulongnya. Maafkan mak, nak.
Mak tak mampu.
“Kalau anak-anak emak hendak makan
sedap-sedap, belajarlah bersungguh-sungguh ya.
Jangan malas. Bila sudah berjaya
dalam pelajaran, anak-anak emak akan dapat pekerjaan yang baik. Ketika itu
bolehlah anak-anak emak makan apa sahaja.
Boleh kan?” terus memujuk setiap
hari anak-anak bertanya makanan yang enak-enak untuk mengalas perut. Hidup serba kekurangan jangan meminta
lebih. Semoga apa yang dicakapnya
memberi semangat untuk anak-anaknya terus belajar dan mencapai segala impian
mereka. Tidak henti-henti dia berdoa
agar anak-anaknya berjaya dalam pelajaran dunia dan akhirat.
Kak Jah merenung jauh. Renungan seorang ibu menyimpan jutaan harapan
untuk anak-anaknya berjaya di dunia dan akhirat. Makanan yang enak bukan bukti boleh berjaya. Apa yang penting keingin untuk berjaya dalam
hidup tidak kenal kaya atau miskin.
Dengan pelajaran kehidupan boleh berubah. Kalau malas belajar yang kayapun boleh jatuh
papa kedana. Dia terus berazam untuk
melihat anak-anaknya berjaya. Biarlah
sayur kangkung menjadi lauk untuk mereka sekeluarga sepanjang tahun. Di kampung kangkung tidak perlu dibeli, dipetik
di tepi rumah sahaja. Kak Jah tersenyum
sendiri membaca suratkhabar di tangan tentang harga kangkung turun harga.
Dia menggelengkan kepala.
Kalaulah minyak yang turun pasti kehidupannya anak beranak tidak
terhimpit begini. Harga barang tidak
naik, orang susah tidak bertambah susah.
Apa daya dirinya hendak mengubah keadaan. Dia hanya rakyat yang tidak mampu bersuara,
hanya mampu menghadapi apa sahaja yang disajikan tanpa perlu berkata apa-apa,
merungut pun jangan, nanti dikatakan tidak bersyukur pula. Tabah dan sabar sahaja. Kuasa bukan di tangannya. Kak Jah mencampak keratan akhbar itu ke dalam
rimbunan api, biar terbakar hangus seperti terbakar hatinya ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan