Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 28 Januari 2014

SISA-SISA DOSA- BAB 3



BAB 3
            Julia menunggu dengan sabar di hadapan sekolah.  Pelajar-pelajar yang  mengikuti kem ibadat sudahpun memenuhi kawasan itu.  Ramai juga yang mengikut program tersebut.  Mereka kehairanan memandang ke arah Julia yang berada di hadapan kawasan sekolah.
            “Kau ikut kem ibadat ke, Ju?”  Hairi kawan  sekelasnya melihat dia dengan wajah yang kehairanan.  Setahunya Julia langsung tidak berminat.  Buat apa menunggu di sini?
            Julia mencebik.
            “Tidak ada maknanya, aku hendak ikut kem yang membosankan itu!”  jawab Julia kasar. 
            Hairi mencebik.
            “Itu sebab, aku hairan kenapa kau ada di sini?  Berubahlah jadi manusia yang membanggakan kedua orangtua kau, jadilah anak yang solehah,”  Nasihat Hairi.
            “Kau, kalau tidak menyindir aku tak boleh ke, Hairi?  Pergilah masuk.  Tak payah  hendak menasihati aku.  Kubur lain-lain.  Tidak payah jadi ustaz yang tidak bertauliah.  Mak bapa aku tidak sibukpun.  Yang kau menyibuk buat apa?”  marah Julia.  Hairi menggelengkan kepala.
            “Kau itu kawan sekelas aku, sebangsa dan seagama pula.  Kau janganlah ikut perangai Eton, dia itu sudah teruk.  Jauh menyimpang.  Aku pula kenal orangtua kau, sedar dirilah sikit!”  Hairi mengeluh.
            “Berambuslah kau dari sini!  Meluat aku tengok mukakau.  Rasa hendak termuntah, tahu tak?” jerkah Julia. 
            Hairi beristighfar berkali-kali.  Terkejut mendengar kata-kata kasar yang keluar dari mulut Julia.
            “Jangan sia-siakan usia muda dengan buat kerja  tak berfaedah Ju.  Jangan undang murka ALLAH, nanti tidak tertanggung dek tubuh sendiri!”  Hairi masih tidak berputus asa menasihati kawannya itu.
            “Hey, kau tak perlu berceramah dengan aku! Diri aku, ikut suka akulah.  Kau siapa hendak menyibuk?  ALLAH murka atau tidak, itu bukan hal aku.  Hairi, baik kau berambus sebelum aku tumbuk mukaku!”  lengking suara Julia.  Pantang dia ditegur seperti itu. Sakit hati, sakit telinga.  Kalau sudah terasa diri itu alim sangat, ibadatlah sendiri, buat apa menyibuk ajak orang lain. Julia memalingkan muka, langsung tidak mahu memandang wajah Hairi.
            Eton yang baharu sampai terpinga-pinga  melihat Julia bagaikan orang kena rasuk memarahi Hairi.
            “Kenapa Hairi?”  Eton memandang wajah Hairi tidak berkelip. 
            “Berapa ramai lagi kawan-kawan kita yang kau hendak rosakkan, Eton?  Kalsom dan Zetty sudah kau  pengaruhi, sekarang Julia pula. Kau memang iblis!”  Hairi mengeluh kesal.  Sebagai kawan sepatutnya Eton mengajar perkara yang baik-baik sahaja, bukan mengajak ke arah kemungkaran.
            “Jaga mulut kau baik-baik sikit! Kau pun belum tentu lagi tahu.   Entah-entah kau tu lebih iblis daripada aku!  Jangan  nak pandai-pandai menilai orang lain.  Berambuslah!  Buat hati aku sakit aje!”  Eton menolak Hairi dengan kasar.
            Hairi menggelengkan kepala.    Mereka berdua ini perempuankah apa?  Puas dinasihati namun tiada satupun mereka terima.  Malah sering dia bertengkar dengan  keempat-empat rakan sekelasnya itu.
            “Aku hanya menasihati mana yang aku mampu.  Tidak mahu dengar apa yang aku boleh buat?   Harap kau orang akan sedar, jalan yang kau orang pilih ini adalah salah!”  Hairi berlalu dengan rasa sebal dan  kecewa dengan sikap kawan-kawannya yang tidak makan  nasihat.  Dalam hati dia sempat juga berdoa semoga ALLAH membuka pintu hati mereka untuk kembali ke  jalan yang benar.
            “Eee! Buat hati aku panas aje!”  Eton menjerit dengan kuat. 
Julia menampar tangan Eton.  Mengharapkan kawannya itu  memperlahankan suara.  Nanti didengari pula oleh kawan-kawan yang lain serta  para ibu bapa yang hadir menghantar anak masing-masing.
“Sudahlah tu, jom kita ke jalan besar.  Zetty dan Kalsom sudah tunggu di sana.  Kawan akupun sudah ada di situ.  Aku malas ajak mereka kemari.  Nanti cikgu-cikgu nampak, lain pula ceritanya.”    Eton menarik tangan Julia meninggalkan kawasan sekolah yang  terletak di atas bukit.  Mereka menuruni bukit itu sambil berlari-lari anak.
Julia terpaksa menunggu di hadapan sekolah kerana ayahnya sendiri yang menghantar. Hari Ahad petang  baharulah kem ibadat itu berakhir.  Itulah yang diberitahu kepada kedua orangtuanya.
            “Kau ada bawa baju untuk aku tak?  Kau pakai macam ini aje ke?” Julia membelek baju yang dipakai oleh Eton. 
Kawannya itu menyengih menampakkan barisan giginya putih bersih.  Pandai pula jaga kebersihan diri.
“Nanti kita tukarlah di dalam tandas kelab tersebut.  Tidak gempaklah pakai seperti ini!” Eton memeluk bahu Julia.  Mereka ketawa serentak.
Zetty dan Kalsom sudahpun menunggu mereka berdua.  Sebuah kereta pacuan empat roda sedia menunggu kehadiran mereka.  Sebaik mereka melangkah ke dalam perut kereta, kenderaan itu bergerak laju meninggalkan kawasan tersebut.  Mereka bersorak riang.
“Ju, ini aku kenalkan…  Mansor.  Teman lelaki aku!”  Eton memperkenalkan lelaki yang memandu kenderaan tersebut sebagai teman lelakinya. 
Julia menutup mulut, terkejut.  Eton sudah ada teman lelaki?  Kenapa dia tidak tahu.  Pandai sahabatnya itu menyembunyikan hal tersebut dari pengetahuannya.   Julia hanya menganggukkan kepala.
“Selamat  berkenalan,”  Julia berbasa-basi.  Mansor hanya mengangguk.  Tumpuan diberikan sepenuhnya ke arah jalanraya.  Mereka berlima bernyanyi-nyanyi riang mengikut lagu yang sedang berkumandang di corong radio kereta.  Jelas terpancar kegembiraan di wajah  mereka.  Julia pula tidak sabar-sabar ingin melihat sendiri suasana di dalam kelab malam yang sering diceritakan oleh  Eton dan kawan-kawan yang lain.  Pertama kali menuju ke destinasi syurga dunia, itulah kata kawan-kawannya.
“Tangankau sejuklah, Ju!”  Kalsom memegang jari jemari Julia. 
Julia hanya menyengih.  Terlalu takut, teruja dan tidak sabar.  Perasaan yang berbagai-bagai.  Mulutnya  bagaikan terkunci kerana terlalu seronok dan hatinya berdebar-debar tidak terkira.
“Bertenanglah, biasa sahaja!”  Zetty mententeramkan perasaan Julia.
Julia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Jantungnya berdegup kencang.  Mungkin terlalu teruja dan tidak sabar menikmati dunia  yang baharu baginya.  Bagaikan impian menjadi kenyataan.  Sesi persekolahannya akan tamat tidak lama lagi  usai SPM dia akan bebas sepenuhnya.  Rasanya sudah cukuplah dia belajar dan menuntut ilmu.  Bosan menghadap buku setiap hari.  Dia ingin mencuba sesuatu yang lain pula.   Dia tidak mahu menjadi seperti kak longnya, usai SPM  sahaja terus berkahwin.    Tidak sempat menikmati hidup ketika usia muda.
Kereta diparkir di tempat letak kenderaan yang tidak berapa jauh dari kelab malam yang akan menjadi destinasi mereka.  Mereka melangkah dengan hati yang  riang.   Saling berbual dan bergelak ketawa.   Sampai di kelab tersebut, Julia dan  Eton terus ke bilik air perempuan.  Mereka menukar pakaian. 
Julia gembira dengan penampilan dirinya.  Soal baju itu sesuai dengan dirinya masih belajar tidak harus difikirkan.  Hari ini dia benar-benar ingin menikmati hidup.    Peperiksaan, pelajaran  dan keluarga sudah ditinggalkan dipintu kelab tersebut.  Dia ingin berseronok sepuas-puasnya.
“Wah, ramainya orang.” Jerit Julia.  Alunan muzik yang kuat hampir menenggelamkan suaranya walaupun dia bercakap sudah separuh menjerit. 
Kalsom dan Zetty sudah menggoyangkan badan masing-masing.  Menari-nari mengikut rentak lagu  yang sedang berkumandang.  Eton pula sudah menghilang entah ke mana.
“Jom!” Kalsom menarik tangan Julia ke tengah-tengah ruang menari itu.  Julia mula menunjukan kepandainnya. Dia mampu menari dengan berbagai gaya mengikut rentah dan irama yang sedang dimainkan.
            “Hebatlah kau Ju!”  Zetty mengangkat ibu jari tanda bagus. 
            Julia tersengih dan terus menari, menari dan menari tanpa henti.  Dari lagu ke satu lagu, irama yang tidak putus.  Semakin lincah dia menggoyangkan kaki dan badannya.  Pasangannya bertukar ganti, tidak kira siapa, dia mengikut sahaja.  Janji kepuasan di hati terpenuhi.  Bukan selalu begini. 
            Kalsom menggelengkan kepala.  Orang sedang berseronok, biarkan sahaja.  Dia sendiri menari dengan pasangan entah dari mana datangnya. 
            Zetty menyengih.  Kaki melangkah ikut rentah lagu.  Pinggul dan badan digoyang tanpa rasa segan dan malu.  Terloncat-loncat kegirangan. 
            Eton dengan dunianya sendiri.  Membiarkan sahaja kawan-kawan bersukaria, sedangkan dia hanyut dalam dunia yang dicipta dalam mencari keseronokkan dunia.
            “Fuh! Penat betul!”  Julia mengelap peluh di dahi, muka dan leher dengan telapak tangan. Badannya masih berliuk lentuk mengikut irama lagu.  Julia meneguk air coca-cola  dengan rakus sekali.  Kehausan menggamit diri, lantaran berpeluh yang tidak berhenti.  Dia benar-benar dahaga.  Segelas air  itu tidak mampu menghilangkan dahaga.  Hendak memesan minuman lagi harganya berkali-kali ganda  dari harga beli di luar kelab itu.
            “Pukul berapa hendak balik?”  Zetty memandang Kalsom. 
            Julia mengangkat bahu.  Dia tidak kisah.  Tidak balik langsungpun boleh. 
            Eton yang duduk bersama teman lelakinya hanya tersenyum.  Tubuh lelaki itu ditolak.  Dia duduk seperti biasa.  Wajah rakan-rakannya dipandang seorang demi seorang.
            “Baru pukul 12.00 tengah malam.  Satu jam lagi, pergilah menari!”  Eton mengenyitkan mata.  Alang-alang sudah berada di situ, baiklah berlama sedikit.  Bukan murah bayaran yang dikenakan.  Kalau setakat sejam dunia memang tidak berbaloi.
            Kawan-kawan yang lain bersorak riang.  Julia tersenyum gembira.  Dia menarik tangan Kalsom yang masih terhenjut-henjut mengikut irama muzik yang sedang berkumandang. 
            Zetty  mengangkat kedua belah tangan, menandakan tidak sanggup.  Akhirnya hanya Julia dan Kalsom yang  masih tidak mahu berhenti.  Kepenatan langsung tidak terasa.  Terlalu gembira dan seronok menikmati alunan lagu yang berkumandang, membuat jiwa dan raga turut menari  gembira.
            “Tidak penat  ke?  Sudah empat jam menari?”  Zetty menggelengkan kepala.  Matanya melekat ke arah Julia dan Kalsom yang menari berdua.  Mereka bergelak ketawa.  Berpusing dan berputar, mengoyangkan badan dan punggung sesuai dengan irama yang sedang dimainkan.
            “Biarlah, Juliakan pertama kali datang.  Memanglah macam itu.  Selepas berminggu, bulan, dan makan tahun, nanti datang sini takkan menari lagi.  Dia pula tengok orang menari,”  Eton memeluk lengan Mansor erat.
            Zetty mencebik.  Untunglah Eton ada teman lelaki.  Dia masih sendiri.  Tiada sesiapa di Kelab itu yang menarik hati untuk dibuat teman.  Untuk bersukaria diwaktu yang singkat bolehlah.  Dia menghabiskan minumannya yang masih berbaki.
            “Man, bawalah kawan-kawan awak sekali, bolehlah belanja kita orang berempat.  Pakai duit sendiri  masuk kelab, lama-lama pokailah kami.  Kami masih sekolah, mana ada duit!”   Eton memujuk.
            “Boleh, tiada masalah,”  Mansor memeluk bahu Eton. 
            Zetty sudah menyengih.  Dia terpaksa ikat perut selama seminggu untuk megumpulkan duit bagi membayar duit minuman dan  membeli tiket masuk ke kelab itu.  Lain kelab lain pula caranya.  Dia berharap sangat jika ada orang yang sudi belanja.  Lepas duit masuk dan duit minumanpun sudah cukup baik baginya.   Matanya melekap ke arah Julia dan Kalsom yang masih menggelinjang di lantai tari. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan