BAB 5
Haida
singgah di kedai runcit sebelum balik ke
rumah. Pagi tadi abang longnya
ada pesan supaya membeli beberapa barang dapur yang sudah habis. Penat juga berjalan kaki hampir satu
kilometer dari sekolah hendak ke rumah.
Sebelum ini arwah ayahnya yang menghantarnya ke sekolah. Kini arwah ayahnya sudah tiada. Hendak naik bas sekolah tentulah tambangnya
tidak mampu disediakan oleh abang longnya.
Dia harus berkorban, sama seperti abang longnya juga. Kalau mereka sanggup berkorban kenapa tidak dia. Biarlah penat sedikit sekurang-kurangnya satu
senaman baginya. Sihat sikit badan dan
kepala otaknya. Haida tersenyum sendiri.
Haida
melangkah masuk ke dalam kedai runcit
yang terdapat di dalam kampungnya. Dia
mengambil dua bungkus gula, dua bungkus tepung, sebungkus biskut. Garam dan serbuk teh. Dia membawa barang-barang tersebut dan meletakkannya
di atas meja di hadapan tuan punya kedai.
Pak Kasim.
“Haida,
banyak beli barang?” tanya Pak Kasim.
Haida hanya tersenyum.
“Hai,
Pak Kasim, tidak takut ke duit Pak Kasim pula dirompak? Jaga-jaga budak-budak sekarang ini pun pandai
mencuri.” Sindir seseorang. Haida menoleh. Rupanya Pak Long Karimnya.
“Karim,
kenapa kau cakap macam itu. Inikan anak
buah kau?” Pak Kasim menggelengkan
kepala.
“Anak
buah saya? Saya mana ada saudara mara
perompak Pak Kasim. Kami adik beradik
dari keluarga yang mulia dan terhormat.
Bukan pengemis macam mereka. Itu
sebab ayah mereka merompak. Sebab hidup
susah. Arwah adik saya hanya menjadi
mangsa ayah merekalah,” Pak Long Karim mengetap bibir. Sakit benar hatinya.
“Haida,
ambil barang-barang ini. Pak Kasim sedekah pada kalian. Pergi balik.
Jangan didengar kata-kata pak long kau tu. Jangan ambil hati ya. Dia tu sudah nyanyuk,” Pak Kasim memasukkan barang-barang tersebut
ke dalam plastik beg. Dia menyerahkannya
pada Haida. Tidak berkutik Haida
mendengar kata-kata sindiran Pak longnya sendiri. Darah dagingnya sendiri. Hampir gugur air matanya menahan rasa pilu
yang teramat sangat. Sudahlah tidak
membantu mereka adik beradik, siap hina pula
arwah kedua orang tuanya. Haida
melangkah laju meninggalkan kedai runcit tersebut.
“Kau
memang sudah gila agaknya Karim? Mereka
itu anak yatim piatu? Tiada sedikit pun
rasa belas ehsan kau pada mereka.
Sudahlah demikian. Kau api-apikan pula orang kampung agar membenci
mereka. Sampai hati kau Karim. Polis pun belum dapat membuktikan yang arwah Hafiz dan Halimah itu
merompak. Aku yakin bukan mereka yang
melakukannya.” Pak Kasim memandang wajah Pak Long Karim dengan geram. Tiada siapa yang sudi menolong Haikal
sekeluarga lantaran Pak longnya sendiri yang membuat fitnah.
“Pak
Kasim jangan hendak berleter dengan saya.
Saya kenal siapa arwah Hafiz itu.
Memang dasar pengemis tetap pengemis sekarang ini perompak pula,” Pak Long Karim mencampak biskut yang
diambilnya tadi di atas meja. Dia
berlalu pergi. Pak Kasim memandang
langkah Pak Long Karim dengan perasaan kecewa.
Sepanjang
perjalanan pulang Haida menangis sayu.
Biar dia menangis puas-puas di luar rumah. Dia tidak mahu menangis di hadapan
abang-abang serta adik-adiknya. Dia
tidak mahu mereka melihat dia bersedih.
Tergamak pak longnya menghina dirinya dan menghina kedua orang
tuanya. Apa dosanya? Apa salah dia? Haida keliru.
Kenapa pak longnya benci sangat dengan dia adik beradik. Seingat dia, belum pernah lagi dia adik
beradik menyusahkan keluarga pak longnya.
Kawan-kawan di sekolah ada juga yang telah meminggirkannya. Mereka tidak mahu berkawan dengan anak penjenayah. Ada juga cikgu-cikgu yang memandang sinis
padanya. Dia yakin arwah orang tuanya
bukan penjenayah seperti yang mereka katakan.
Semua ini fitnah. Orang tuanya
difitnah. Hatinya kecewa. Jiwanya hancur. Kalau diikutkan hati tentu sahaja dia tidak
mahu pergi ke sekolah lagi. Biarlah dia
duduk di rumah sahaja. Haida berhenti
seketika di hadapan pokok rambutan tidak jauh dari rumahnya. Dia mengesat air mata yang berbaki. Kenapa masyarakat suka mencari salah. Tetapi tidak mahu memperbaiki keadaan. Haida membersihkan wajahnya dari kesan air
mata. Dia tidak mahu bersoal jawab
dengan abang longnya. Dia tidak mahu
menambah beban abang sulongnya itu.
Kasihan dia melihat abang longnya yang terpaksa bertungkus lumus menjaga
ketiga-tiga adiknya yang masih kecil.
Malam pula terpaksa mengulangkaji pelajaran. Kalau dia dan abang ngahnya tidak membantu
tentulah semakin bertimbun kerja-kerja rumah yang terpaksa dilakukan oleh abang
longnya. Sudahlah tidak boleh ke
sekolah. Haida mengeluh kepenatan. Penat
fizikal dan mental. Susahnya jadi anak
yatim piatu, rungutnya sendiri.
Barang-barang
yang dibeli tadi dibawa masuk ke dapur.
Haida terus menyusun barang-barang tersebut. Dia melangkah masuk ke dalam bilik arwah
orang tuanya yang kini menjadi biliknya.
Rumah papan itu ada tiga bilik semuanya.
Walaupun tidak sebesar mana namun selesa. Cuma sudah agak tua.
“Ini
duit lebihan belanja sekolah bang, dan duit barang-barang tadi. Pak Kasim tidak
mahu ambil duit. Dia sedekah pada kita,”
Haida menyerahkan duit belanja sekolah dan duit barang tadi pada Haikal.
“Haida
tidak makan ke di sekolah? Along hanya
bagi Haida RM1.00 sahaja. Ini berbaki lima puluh sen?” wajah adik ketiganya ditenung. Haida tersenyum.
“Ada
kawan belanja,” Haida berbohong. Dia
hanya minum air. Perutnya masih mampu
menahan lapar. Sebelum ini arwah emak
berinya RM2.00. RM1.00 apalah yang dia
boleh beli melainkan sebiji kuih. Air
sahaja sudah lima puluh sen. Lagi pun
pagi-pagi dia sudah bersarapan.
“Pergi
mandi, solat dan lepas itu boleh makan.”
Haikal tersenyum. Haida
mengangguk. Dia perlu bersihkan
diri. Berjalan kaki dari sekolah ke
rumah membuatkan tubuh badannya melekit disimbah pancaran mentari yang terik. Haikal gelisah. Hampir petang, bayang Halim masih tidak kelihatan. Banyak sangatkah kerja sekolah atau ada
aktiviti di sekolah. Sudah sebulan dia
tidak menghadirkan diri di sekolah. Dia
sudah pun meminta kebenaran dari pihak sekolah.
Cikgu-cikgu amat memahami dan dia diberi cuti. Dia hanya perlu hadir ketika hari peperiksaan
sahaja nanti. Haikal boleh menarik nafas
lega. Cuma dia perlu cari kerja
untuk menampung belanja dapur dan
sekolah adik-adiknya. Duit yang ada
semakin hari semakin susut. Bagaikan
bukit setiap hari ditara lama-lama rata juga.
“Halim
ke mana? Sudah hampir senja baru sampai rumah?
Ada masalah ke di sekolah?” tanya
Haikal bertalu-talu. Halim hanya
membisu. Dia benar-benar penat. Penat fikiran, penat fizikal.
“Halim
letihlah long.” Halim berlalu masuk ke
dalam bilik air. Haikal mengeluh. Dia
menyandar di dinding. Dia faham perasaan
adik-adiknya. Mereka tentu rindukan
arwah kedua orang tua mereka. Tetapi
apalah dayanya. Dia sendiri cuba
menyesuaikan diri. Sudah sebulan orang
tuanya meninggal. Tiada kenduri
kendara. Hanya doa dia dan adik-adiknya
untuk arwah kedua orang tuanya. Hanya
itu yang mereka mampu lakukan. Semoga
roh kedua orang tua mereka berada di dalam keadaan aman dan tenteram dan di
tempatkan bersama orang-orang yang beriman dan bertakwa.
Hari
ini Haris, Hani pula mengamuk bertanyakan emak dan ayah mereka. Puas dia memujuk dan menerangkan kepada
adik-adiknya itu. Mahu luruh jantungnya
mendengar tangisan mereka. Begitu juga
Maisarah. Haikal mengeluh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan