Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 20 Januari 2014

BAHAGIA MILIK KITA - BAB 9



 BAB 9
            Kedukaan yang terpancar di wajahnya semakin parah.  Apa sahaja yang bermain di kepala bagaikan beku bak ais.  Wajah Pak Long Karim dan  wajah adik arwah ayahnya Ridzuan dipandang lama.  Sudah lama Pak Long Ridzuan tidak pulang ke kampung.  Kenapa tiba-tiba muncul dan meminta hak pada tanah pusaka itu.  Bukankah tanah itu sudah diberikan kepada arwah ayahnya.  Pak Long Karim menyengih.  Pak Long Ridzuan memandangnya dengan perasaan marah.  Kenapa perlu marah?  Pada hal mereka tidak pernah berjumpa.  Hari ini tiba-tiba muncul dan menuntut hak ke atas tanah yang menjadi tempat mereka adik beradik berteduh.
            “Arwah ayah kalian, tiada adik beradik lain, jadi tanah ini menjadi hak pak long.  Pak long hendak kalin kosongkan tanah ini sebelum akhir bulan ini.” Pak Long Ridzuan memandang wajah anak-anak arwah adiknya seorang demi seorang.  Tanah itu berharga dan sekarang harganya sudah menjadi berlipat ganda lantaran akan diambil untuk dijadikan lebuhraya.  Dia berhak mendapatkan tanah itu.  Itu tanah pusaka.  Tiada penama di geran asal.  Oleh kerana  tiada siapa yang mahu menjaga kedua orang tuanya waktu mereka masih hidup, maka Harun menawarkan diri sebab hanya dia seorang yang duduk di kampung itu.  Jadi tanah itu diserahkan pada Harun.  Sehinggalah arwah orang tua mereka meninggal dunia.  Harun terus duduk di tanah itu.  Sekarang Harun juga sudah tiada.  Dia berhak mengambil semula tanah tersebut.
            “Kalau kami dihalau dari sini, ke mana kami hendak pergi pak long?”  Haikal memandang wajah kedua-dua bapa saudaranya.  Nama sahaja anak sulong tetapi tidak bertanggungjawab malah sanggup menghalau anak buah sendiri.
            “Hish!  Itu bukan masalah pak long.  Pandai-pandailah kalian hendak hidup,”  tiada sedikit pun rasa simpati di hati.  Hanya duit sahaja yang nampak di mata.  Pak Long Karim yang paling gembira.  Pak Long Ridzuan perlu menjual tanah itu untuk menambah modal perniagaannya.
            “Kasihanlah kami pak long, adik-adik hendak periksa tidak lama lagi, Maisarah masih kecil, janganlah buat kami seperti ini.  Ini sahajalah tempat tinggal kami.”  Rayu Haikal.  Wajah adik-adiknya dipandang sayu.  Hancur hatinya.  Kenapa mereka kejam sangat.  Sudah hilangkah perasaan kasih sayang sesama manusia walaupun pada darah daging sendiri.
            “Pergilah duduk di rumah kebajikan, itu sahaja tempat yang layak buat kalian,”  Pak Long Karim mencebik.  Haikal memandang wajah Pak Long Karim.  Manusia jenis apakah  ini, detik hati kecilnya.
            “Sanggup pak long buat kami seperti ini?  Apa salah kami pada pak long berdua?”  Haikal sebak.  Hampir sahaja air matanya mengalir keluar.  Kalau tidak kerana adik-adik dia tidak akan merayu.  Dia mampu ke mana sahaja.  Dia boleh pergi ke mana sahaja tetapi bagaimana dengan adik-adiknya.  Halim akan ambil PMR, Haida UPSR, tiga lagi masih kecil tidak akan faham apa-apa.  Dia hendak ke mana?  Dia tidak bekerja? Ya, ALLAH bantulah hambaMu yang hina ini, doa Haikal dalam hati.
            “Jangan nak merayu dan buat drama pula.  Hujung bulan ini tolong kosongkan rumah ini!”  kata Pak Long Ridzuan muktamad.  Pak Long Karim hanya menyengih, suka dengan apa yang berlaku.  Memang dinanti-nantikan.  Kalau boleh biar budak-budak itu keluar terus dari kampung ini.  Biar tiada lagi di hadapan matanya. Tidak lagi dengar tentang mereka di telinganya. Pendek kata biar dia tidak tahu di mana mereka berada.  Sampai bila-bila dia tidak akan mengaku mereka ahli keluarganya.
            “Pak long!”  Haikal memohon simpati.  Namun wajah kedua lelaki yang ego dan sombong itu tidak ada langsung rasa simpati dan belas ehsan.  Haikal mengeluh kesal.   Sudah tercabutkah perasaan itu dalam hati manusia seperti bapa saudaranya itu. 
            “Dengar sini Haikal.  Pak long mahu kau adik beradik tiada lagi di rumah ini hujung bulan ini.  Jika masih ada pak long tidak akan teragak-agak halau kalian semua,” tegas.  Haikal terkedu.  Halim memandang wajah Haikal.  Dia sendiri cuba menahan tangis.  Haida memeluk adik-adiknya yang lain.  Air mata sudah mula mengalir di pipinya. 
            Haikal terduduk di kaki tangga.  Dia memandang sayu langkah kedua bapa saudaranya itu.  Mereka bukan manusia.  Mereka memang kejam.
            “Long,”  Halim memeluk belakang Haikal.
            “Sabar Halim.  Nanti kita sama-sama fikirkan jalannya.”  Haikal menepuk lengan Halim.  Haida menangis memeluk Maisarah.  Dia sendiri tidak mampu berfikir dengan matang.  Dia sendiri tidak tahu harus ke mana?
            “Orang-orang kampung  ramai yang tidak suka dengan keluarga kita long, mana kita hendak pergi.  Pak Long Karim tidak sudah-sudah tabur fitnah.  Pasal buah mempelam yang Halim tidak curi itu juga dijajanya,  long.  Malu Halim digelar pencuri,”  Halim menangis.  Haikal mengetap bibir.  Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia membawa adik-adiknya keluar dari kampung tersebut.  Mereka tidak habis-habis dimalukan oleh saudara sendiri.  Dia harus bawa adik-adiknya ke mana?  Saudara mara sebelah arwah emak dan ayahnya, tidak semua mereka kenal.  Mereka jarang berkunjung ke rumah mereka.  Arwah emak dan ayahnya tidak pernah kenalkan mereka dengan saudara mara.  Mungkin bukan semua membenci mereka.  Mungkin ada yang sudi membantu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan