Bab 10
YUSUF HAKIMI menghentikan keretanya di hadapan rumah
Puan Kalsom. Dia nampak langsir biru di ruang tamu, diselak. Mungkin
Puan Kalsom sudah menyedari kehadirannya petang itu kerana tidak lama
kemudian ibunya sudah tercegat di muka pintu.
“Apa khabar, ma?” soalnya sambil menyalami dan mencium tangan Puan Kalsom.
“Mama sihat. Kau macam mana?”
Yusuf Hakimi tergelak kecil.
“Jangan risaukan saya, ma. Saya sihat. Lebih-lebih lagi sekarang ni
hidup saya makin teratur dengan adanya Ika yang jaga makan pakai saya
kat rumah.”
Nama yang baru sahaja meluncur keluar dari bibir anak lelakinya itu sebentar tadi membuatkan wajahnya berubah tiba-tiba.
“Apa penganan petang ni, ma?” soalnya tanpa mempedulikan wajah ibunya
yang tiba-tiba sahaja cemberut. Dia tahu yang wanita itu tidak pernah
menyukai isterinya.
“Kau pergilah tengok sendiri kat dapur tu.” Tingkah Puan Kalsom.
“Eh, mama nak ke mana tu?” soal Yusuf Hakimi melihatkan ibunya seolah-olah hendak berlalu dari situ.
“Mama nak masuk bilik kejap, belum sembahyang Asar lagi. Dalam termos
merah kat dapur tu ada kopi. Kau carilah sendiri, ya.” Tingkahnya sambil
segera beredar.
Yusuf Hakimi melangkah ke dapur sambil
mempersoalkan mengapakah seorang wanita yang taat mengerjakan suruhan
Tuhan seperti solat lima waktu, puasa dan zakat itu masih menyimpan
sikap buruk seorang pembenci di dalam dirinya. Dia tak kisah kalau yang
dibenci oleh mamanya adalah orang lain; tapi mengapa Zulaika, menantunya
sendiri? Apakah kerana isterinya itu bukanlah sesiapa di mata mamanya?
Apakah hanya kerana Zulaika berasal dari ceruk kampung, tak berpelajaran
tinggi, miskin harta dan anak yatim piatu maka dia seharusnya dibenci?
“Cinta pandang pertama?” suara mamanya pernah menggegarkan ruang tamu
rumah itu suatu ketika dahulu iaitu ketika dia menyuarakan hasratnya
untuk menyunting Zulaika sebagai isterinya. “Cuba kau ulang apa yang kau
cakap tadi, Suf?”
“Ya, ma! Entah mengapa hati saya seolah-olah
terikat dengannya sejak pertama kali saya melihat dia di warung bawah
pokok ketapang tu dulu. Saya tak pernah melupai raut wajahnya, ma,
sehinggalah suatu hari kami ditakdirkan bertemu semula di KL. Sejak
tulah kami semakin rapat dan saya mula menyayanginya.”
Puan Kalsom geleng kepala.
“Kau sanggup tinggalkan Suziana kerana angaukan budak belasan tahun tu?
Yusuf... Yusuf... entah apa ilmu guna-guna yang dikenakannya pada kau,
agaknya, sampaikan kau jadi macam ni.” Sungutnya sambil mulutnya
mengeluarkan bunyi berdecit-decit, kesal sungguh dengan keputusan
drastik yang telah dibuat oleh anak lelakinya itu.
“Saya tahu bahawa
inilah cinta sejati yang dah ditakdirkan untuk saya, ma. Dan saya pasti
Ika takkan buat benda-benda syirik macam tu. Dia juga ikhlas cintakan
saya.” Yusuf Hakimi bertegas juga. Akhirnya, Puan Kalsom tidak mampu
membantah kehendak anak lelakinya itu walaupun hatinya berkepuk dengan
rasa benci terhadap gadis kuno dari ceruk kampung itu.
Dia tahu
ibunya menyimpan kebencian terhadap isterinya. Zulaika juga sedar yang
dirinya adalah menantu bukan pilihan. Yang termampu dilakukannya ialah
menadah tangan kepada Ilahi agar dilembutkan hati keras Puan Kalsom
supaya terbuka untuk menerima kehadiran Zulaika dalam keluarga mereka.
Dia menuang air kopi dari termos ke dalam cawan. Selepas itu duduk
sambil mengunyah karipap putar yang masih lagi panas. Tidak lama
kemudian ibunya yang sudah selesai mengerjakan solat Asar, menyertainya
di meja makan.
“Semalam mama ada berborak dengan Datin Kamariah,
mamanya bekas kekasih kau dulu, Suf...” Puan Kalsom membuka cerita
sambil merenung wajah anaknya.
“Apa cerita mereka, ma?”
“Suziana dah bertunang dengan pilot.”
Yusuf Hakimi sengih. “Baguslah! Nampaknya Suzi dapat lelaki yang lebih
baik daripada saya sebagai bakal suaminya, kan, ma? Nilah yang dinamakan
jodoh agaknya.”
“Dia memang bertuah sebab dapat pilot sebagai bakal
suami. Kau yang sengaja menolak tuah. Kalau kau pandai jaga hati Suzi
dulu, taklah dia minta putus. Dan kau sekarang ni dah jadi suami dia
agaknya.”
“Nak buat macam mana, ma? Dah bukan jodoh saya dengannya.”
Yusuf Hakimi membela diri. “Apa kurangnya Ika tu, ma? Dia cantik, boleh
uruskan makan pakai saya dengan sempurna dan budi pekertinya juga
bagus. Kalau saya kahwin dengan Suzi yang sibuk terbang ke sana ke mari
tu, mama rasa mampu ke dia jaga saya sesempurna Ika menjaga saya?”
terjahnya.
“Baru-baru kahwin... semuanya indah, Suf. Hatta kentut
pun terbau wangi!” tempelak Puan Kalsom membuatkan Yusuf Hakimi tersedak
serdak kopi di hujung cawan. “Tapi esok lusa kau tak tahu lagi perangai
sebenar bini kau tu. Mama ni dah nampak betapa pemalasnya dia.
Bayangkan dah tengah hari baru nak bangun dari tidur. Pinggan mangkuk
kat meja makan pun tak berkemas, rajin apa namanya tu?”
Yusuf Hakimi kerut kening.
“Mama ada singgah di rumah saya ke?”
Puan Kalsom segera angguk.
“Hmm... pagi tadi! Macam nak patah jari aku ni picit loceng rumah kau.
Rupa-rupanya bini kesayangan kau tu, yang kau puji melangit tu masih
beradu di kamar tidur. Dia buka pintu dengan muka serabai. Bukan main
terkejut lagi dia bila tengok mama yang tercegat kat depan tu!” omelnya
tanpa henti.
Yusuf hakimi hanya mampu mendiamkan dirinya. Takkan
hendak didedahkan pada mamanya bahawa dialah yang sewajarnya
dipersalahkan kerana membuat isterinya kelelahan melayan keinginannya
sebelum keluar ke pejabat pagi tadi. Mungkin Zulaika yang keletihan
menyambung tidur dan terbabas hingga ke tengah hari, desis hatinya
sambil tersenyum dalam hati.
“Huh, kenapa kau diam, Suf?” terjah Puan Kalsom.
“Ala, ma... mungkin Ika tak sihat agaknya hari ni, mana tahu? Tulah sebabnya dia lambat bangun.” Bela Yusuf Hakimi.
“Ada-ada aje alasan kau kalau yang mama sungutkan tu, bini kau!”
hempuknya. “Perempuan ni kalau terperuk aje kat rumah macam tu, memang
lama-lama akan jadi pemalas, Suf. Kau suruh dia cari kerja kat luar.
Sekurang-kurangnya dia tak menyusahkan kau kalau sekadar nak beli baju
dalam ataupun seluar dalam.”
Yusuf Hakimi terkebil-kebil memandang
wajah ibunya. Tidakkah ibunya terfikir dengan berbekalkan sijil SPMnya
apalah kerja yang sesuai dilakukan oleh Zulaika di luar sana? Dan
tidakkah ibunya terfikir, dengan gajinya sekarang sebagai seorang
jurutera projek dia mampu menanggung segala keperluan isterinya? Tak
payahlah Zulaika keluar bekerja. Cukup kalau sekadar melayan makan
minumnya di rumah.
“Saya mampu untuk sara dia, ma. Kalaupun dia nak
keluar bekerja, saya takkan benarkan.” Dia bersuara tegas dan mula
terasa lemas dengan situasi yang menekan itu.
“Tulah... manjakan sangat bini!” dengus Puan Kalsom.
Yusuf Hakimi mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Kalau menjawab
pun tiada faedahnya. Silap haribulan kata-kata kasar pula akan terlontar
keluar dari bibirnya dan mencipta derkaha pada ibunda tercinta. Dia
menghabiskan lima keping karipap putar dan dua cawan kopi sebelum
meminta diri untuk pulang ke rumah.
Dia memandu dengan tenang menuju
ke rumahnya di mana Zulaika sedang setia menunggunya. Kata-kata kesat
ibunya terhadap isteri tersayang, hanya masuk telinga kiri keluar
telinga kanan. Dia menyayangi kedua-duanya; ibu yang telah melahir dan
membesarkan dirinya dengan penuh kasih sayang dan juga isteri yang setia
di sisinya. Oleh itu dia harus bersabar dengan kerenah kedua-duanya.
Dia sudah tidak sabar hendak pulang ke rumah kerana ada berita baik
yang hendak disampaikan pada isterinya. Dia menoleh pada jam di
dashboard kereta. Jarum jam tepat menunjukkan ke pukul enam empat puluh
lima minit petang.
Seperti biasa isterinya akan berdiri di muka
pintu dengan seulas senyuman menyambut kepulangannya ke rumah. Dan
seperti biasa juga Zulaika akan menyalam dan mencium tangannya terlebih
dahulu.
“Abang nak minum? Ika dah bancuh teh O.” Zulaika memberitahu tanpa dipinta.
“Abang dah minum kopi kat rumah mama tadi. Tapi boleh jugalah pekena
secawan lagi, Ika tuangkan, ya.” Katanya sambil menanggal setoking.
“Abang dari rumah mama?”
Yusuf Hakimi mengangguk. Dia menghampiri isterinya lalu melemparkan ciuman ke tengkuknya yang terdedah.
“Ika bangun lambat, ya? Siapa yang buat Ika lambat bangun, hah?”
usiknya sambil membayangkan adegan intim mereka awal pagi tadi sehingga
dia kelewatan ke pejabat.
Wajah Zulaika merintik merah, menahan malu.
“Abanglah... gatal!” dengusnya. Yusuf Hakimi berdekah. “Mama mengadu dengan abang ke?”
“Ala, buat tak tahu ajelah dengan dia, Ika. Lama-lama nanti dia
fahamlah tu.” tingkah Yusuf Hakimi sambil meneguk teh O. “Kenapa Ika
tercegat aje ni, duduklah. Ada hal sikit abang nak cakap dengan Ika ni.”
Zulaika segera menarik kerusi dan duduk rapat-rapat di sisi suaminya.
“Apa dia, bang?”
“Abang dah dapatkan kerja untuk Fatin sebagai telefonis dan juga
penyambut tetamu di salah sebuah syarikat milik kenalan abang. Hujung
minggu ni Ika suruhlah dia kemari untuk abang bawa dia interview kerja
kat syarikat tu hari Isnin depan.”
“Iya, bang? Terima kasih kerana
sanggup menolong mereka. Malam ni juga Ika akan telefon kampung untuk
bagitau mak cik berita baik ni.” Ujarnya dengan ceria.
Yusuf Hakimi hanya tersenyum nipis melihatkan keriangan yang bertapak di wajah isterinya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan