RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKHA - BAB 3
ZULAIKA
melangkah turun daripada perut teksi. Dia melihat Atika Ayuni sudah
sedia menantinya di hadapan pusat membeli belah ternama itu. Sebaik
sahaja melihatkan kemunculannya, Atika Ayuni segera melambai-lambaikan
tangannya.
“Dah lama ke Ayu tunggu Ika?” dia menyoal ketika mereka
berdua sedang melihat-lihat pelbagai jenis beg tangan, kasut dan
barangan perhiasan wanita yang diperagakan.
“Adalah dalam sepuluh minit. Senang ke dapat teksi dari rumah Ika tadi?”
“Jenuh Ika menunggu. Nasib baiklah jiran sebelah tolong telefonkan
teksi untuk Ika.” Wajah Zulaika tercemik sedikit. Dia memang telah
keluar awal dan menunggu di hadapan rumahnya dengan harapan adalah teksi
akan muncul di sekitar situ kerana di kawasan kediamannya jarang
dimasuki teksi dan perkhidmatan bas pula tiada. Hampir lima belas minit
dia menunggu dan kelibat sebuah teksipun tak kelihatan. Mujurlah
jirannya yang melihat dia berdiri di tepi jalan menolongnya menghubungi
sebuah syarikat teksi yang telah menghantar teksinya untuk menjemput
Zulaika.
“Agaknya tempat orang kaya-kaya tinggal memang tak ada teksi nak masuk.” Tingkah Atika Ayuni.
“Mana ada kaya!” tempelak Zulaika. Dia cukup marah apabila diusik begitu.
Atika Ayuni ketawa.
“Eh, tak nak mengaku pulak. Kan suami Ika tu orang kaya, jurutera
terkenal tak ke kaya? Tinggal pun kat kawasan elit yang teksi dan bas
malas nak masuk.”
“Ala, Ika tumpang tuah suami je. Lagipun Abang
Yusuf tu taklah sekaya mana pun.” Sahutnya pantas. “Ayu, perut Ika dah
lapar ni, jom kita gi makan.”
“Ika belanja!”
Zulaika ketawa. Wajah Taufik yang merayu agar menolongnya mencarikan calon isteri terbayang di ruang mata.
“Okeylah! Ika pun ada hal nak bagitau Ayu ni.” Tingkahnya. Mereka
berdua berjalan bergandingan menuju ke sebuah restoran yang berhampiran.
Restoran yang dituju itu menyediakan pelbagai juadah untuk makan tengah
hari. Ruang restoran sudah kelihatan sibuk dengan pengunjung tetapi
masih ada meja yang kosong. Zulaika memilih untuk makan nasi briyani
beserta lauk pauk sementara Atika Ayuni hanya makan mihun sup.
“Apa
yang Ika nak beritahu Ayu tadi?” soal Atika Ayuni kepada teman
sekampungnya itu. Ketika mula-mula Zulaika sampai ke Kuala Lumpur
dahulu, rumah sewanyalah yang dituju. Kini dia tidak lagi tinggal di
Kampung Baru sebaliknya sudah berpindah ke Gombak.
“Macam mana
hubungan Ayu dengan Man?” soal Zulaika. Dia telah lama tahu krisis di
antara Atika Ayuni dengan teman lelakinya, Azman. Wajah gadis itu
berubah sebaik sahaja nama lelaki tersebut meluncur keluar dari
bibirnya.
“Kami dah tak ada apa-apa hubungan lagi, Ika. Ayu dah
lepaskan dia. Nak buat apa tunggu dan bersabar sedangkan belum apa-apa
lagi dia dah main kayu tiga kat belakang Ayu.” Jawapan temannya itu
membuatkan hati Zulaika menjadi lapang.
“Tak ada peluang untuk jernihkan keadaan ke?”
Atika Ayuni geleng kepala.
“Hati Ayu dah hancur, Ika. Tiga tahun kami bercinta tapi aleh-aleh dia
ada perempuan lain. Nasib baik kami belum ada ikatan apa-apa lagi. Kalau
tak, malu sekampung!”
“Agaknya bukan jodoh Ayu dengan Man. Tak
apalah, Ayu, sabar ajelah. Ramai lagi lelaki lain kat luar tu yang lebih
baik dan kacak daripada Man. Ayu, kalau Ika nak kenalkan Ayu dengan
seseorang, Ayu berminat tak?” Zulaika memerhatikan riak wajah gadis di
hadapannya. Dahi Atika Ayuni berkerut.
“Isy, Ika ni! Ayu baru aje
putus dengan Man, Ika dah nak kenalkan Ayu dengan jantan lain? Sorrylah,
Ika, buat masa ni Ayu belum bersedia.”
Zulaika menelan air liurnya.
“Apa salahnya kalau berkawan dulu, Ayu. Orangnya kacak dan baik pulak
tu. Dia kawan baik Abang Yusuf semasa kat U dulu.” Dia memujuk.
Atika Ayuni mendiamkan dirinya dan meneruskan suapan yang tadinya
terhenti. Zulaika tidak terus-terusan mendesak gadis itu. Biarlah Atika
Ayuni bertenang dan berfikir dahulu, desis hatinya.
ZULAIKA
sedang berjalan ke arah tempat menunggu teksi ketika telefon bimbitnya
tiba-tiba sahaja berbunyi. Dia menyeluk beg tangan lalu memekapkan
telefon kecil ke telinga.
“Assalamualaikum, abang kat mana ni? Dah makan?”
“Abang baru aje balik ke pejabat. Belum sempat makan lagi. Ika kat mana ni?”
“Kat depan Lot 10, tengah tunggu teksi nak balik rumah. Ni dah dekat
nak pukul dua setengah, cepatlah makan bang. Nanti masuk angin perut
tu.” Dia mengingatkan suaminya.
Yusuf Hakimi tergelak.
“Tak apa, kalau masuk angin Ika boleh tolong keluarkan!” dia sempat mengusik isterinya. Zulaika mendengus.
“Abang ni kalau tak main-main dengan Ika tak boleh ke?”
“Kalau tak main dengan Ika nak main dengan siapa lagi? Dah, janganlah
marah. Abang sayang Ika. Hati-hati ya, sayang. Kita jumpa kat rumah
nanti. Bye!” tukas Yusuf Hakimi agak tergesa-gesa untuk menamatkan
perbualan mereka.
Zulaika menggigit bibirnya. Agaknya Abang Yusuf
sibuk, getus hatinya sambil mempercepatkan langkahnya setelah melihat
sebuah teksi menghampiri tempat tersebut.
YUSUF HAKIMI tidak
tahu kenapa dia perlu berbohong dengan isterinya bahawa dia sebenarnya
bukan berada di ruang pejabatnya sebaliknya berada di sebuah restoran
mewah bersama dengan Intan Juliana. Dia menelefon Zulaika ketika Intan
Juliana berada di bilik air dan tergesa-gesa menamatkan perbualan mereka
setelah melihat dirinya dihampiri oleh wanita itu.
Dia menyesali
sikapnya yang sudah mula belajar menipu isteri di dalam usia perkahwinan
yang baru setahun jagung itu. Bukankah lebih baik kalau dia tidak
menelefon Zulaika sebentar tadi dan menunggu sehingga pertemuannya
dengan Intan Juliana selesai, kemudian barulah menelefon isterinya itu?
Dia mungkin boleh memberi alasan baru sahaja keluar dari restoran untuk
bertemu dengan seorang teman. Tetapi dia menelefon juga dan tidak
tergamak pula untuk memberitahu hal sebenar pada Zulaika.
Apa
salahnya dia bertemu dengan Intan Juliana? Dia pun bukannya ada apa-apa
hubungan denagan perempuan itu. Sementelahan lagi isterinya juga
mengenali Intan Juliana dan hubungan di antara mereka agak erat.
Argh, agaknya semua jantan sepertiku, desis hatinya sambil membuang
wajah Zulaika dari kotak fikirnya dan menumpukan perhatian pada isu yang
sedang diperkatakan oleh wanita di hadapannya.
“Minggu depan I akan ke London menyusul mother I kat sana.” Intan Juliana memberitahu. Yusuf Hakimi mengangguk.
“Berapa lama you akan berada di sana?”
“Tengok keadaan. Mungkin seminggu dua. Semasa I keluar dari bilik air
tadi I nampak you berbual di telefon... dengan siapa? Ika ke?” soal
Intan Juliana.
Yusuf Hakimi menyengih.
“Dia tahu kita bersama tengah hari ni?” duga Intan Juliana. “Dia tak cemburu ke, Suf?”
“Isteri mana yang tak cemburu kalau suaminya makan tengah hari dengan
perempuan secantik you, Ju, you tell me!” sergah Yusuf Hakimi.
“Jadi you tipu dialah?” Intan Juliana jegil biji mata.
Yusuf Hakimi tergelak kecil.
“Sesekali berbohong sunat, apa salahnya? Lagipun kita berdua bukannya
buat apa-apa yang tak manis. Kita sekadar dua orang teman yang keluar
makan tengah hari bersama. Ah, perkara kecil ajelah, Ju, you jangan
risaulah.” Tingkah Yusuf Hakimi sambil mencapai fresh orange di
hadapannya.
“Pandailah you mereka alasan untuk membenarkan setiap
tindak-tanduk you. Yusuf, I tak suka you tipu Ika macam ni. Memang kita
berdua sekadar teman biasa, jadi sepatutnya you tegaskan hakikat ni pada
Ika agar dia memahami situasi kita. You kena bagitau dia yang I ni
bukan saingannya.” Intan Juliana mengomel.
Yusuf Hakimi sekadar
menyengih. Dia membayangkan wajah isterinya yang polos dan suci itu.
Menerapkan sesuatu yang baru ke minda isterinya adalah pekerjaan yang
agak sukar. Mungkin kerana Zulaika berasal dari kampung dan belum
terdedah dengan pancaroba kehidupan di kota Metropolitan, maka
pemikirannya agak jumud. Namun begitu dia tidak pernah memperkecilkan
isterinya. Baginya dia adalah lelaki yang beruntung kerana berjaya
menyunting Zulaika sebagai isteri.
Dia pernah cuba bertanya pendapat
isterinya tentang hubungan akrabnya dengan Intan Juliana. Ternyata
Zulaika jadi kurang senang.
“Kenapa Ika perlu gusar? Kami bukannya
ada hubungan yang istimewa. Abang dengan dia sekadar teman biasa.”
Tingkahnya pada suatu petang ketika mereka sedang berehat-rehat di ruang
tamu. Dia menoleh ke arah isterinya. wajah Zulaika yang tadinya ceria
tiba-tiba sahaja berubah sebaik saja isu itu dibangkitkan.
“Bang,
kalau seorang lelaki dan wanita bukan muhrim berdua-duaan, syaitan
sentiasa berada di tengah-tengah. Dan tugas syaitan adalah untuk
menyesatkan manusia. Abang tengok ajelah cerita-cerita yang dipaparkan
kat dada tv tu, tentang bagaimana iman manusia boleh terpesong dengan
mudah disebabkan oleh seorang wanita, apatah lagi wanita secantik Kak
Ju. Memang betul, mula-mula abang dengan Kak Ju bertemu sebagai kawan
biasa. Jumpa pun kat coffee house atau kat restoran mana-mana. Tapi tak
mustahil esok lusa hubungan sebagai teman biasa tu akan berubah pada
rasa sayang dan kemudian cinta. Ika sayangkan abang, dan Ika tak dapat
membayangkan suami yang Ika sayang serta kasih dirampas oleh perempuan
lain.” Nada manja yang tadinya terlontar dari mulut Zulaika berubah
menjadi serius.
“Mustahil, Ika! Mustahil abang dengan dia!”
“Tak
ada suatu apapun yang mustahil di dunia ni, bang!” suara Zulaika
meninggi. Wajahnya yang cerah sudah mula memerah menahan rasa. “Ika
bukannya bencikan Kak Ju. Tapi abang harus faham perasaan Ika terhadap
dia. Dia cantik, bijak dan ada segala-galanya. Dia tak setanding dengan
Ika yang kekurangan serba-serbi ni. Secara jujur Ika katakan pada abang
yang Ika cemburukan dia. Ika rasa rendah diri setiap kali berada
bersama-sama dengannya. Ika harap abang faham.” Desis Zulaika dan
sebelum isterinya menitiskan air mata kesedihan, Yusuf Hakimi segera
merapatkan wajah Zulaika ke dadanya.
“Abang sayangkan Ika. Abang
takkan buat sesuatu yang menggores hati Ika.” Dia memujuk sambil
membelai rambut isterinya dengan sepenuh rasa kasih dan sayang.
Mungkin itulah senario di mana dia mula belajar menipu Zulaika setiap kali nama Intan Juliana hadir di antara mereka berdua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan