Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 16 Januari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKHA - BAB 6

BAB 6

SEHARIAN SUNTUK Zulaika mengemaskan rumah yang agak luas kalau sekadar didiami oleh dia dan Yusuf Hakimi. Dalam masa mengemas itu pun dia masih sempat berfikir tentang permintaan ibu tirinya malam tadi. Kata-kata Fatimah itu juga wajar dipertimbangkan. Mungkin sikap sambil lewa Fatin Adiba terhadap masa depannya akan berubah jika dia mendapat pekerjaan yang sesuai di Kuala Lumpur kelak.
Jika betul adik tirinya itu hendak berhijrah dan mencuba nasib di Kuala Lumpur, dia tak akan membenarkan Fatin Adiba menyewa rumah. Biarlah gadis itu tinggal sebumbung dengannya dan Yusuf Hakimi. Mungkin kehadirannya di rumah itu nanti akan memeriahkan lagi suasana.
Dia tahu suaminya agak keberatan untuk membenarkan orang lain tinggal bersama mereka. Apatah lagi hubungannya dengan Fatin Adiba tidak berapa mesra. Namun begitu dia akan cuba sedaya upaya untuk memujuk Yusuf Hakimi.
Tidak dinafikan kadangkala dia bosan juga kalau seharian suntuk terpaksa bersendirian di rumah. Oleh sebab itulah dia menghalang suaminya daripada mencari pembantu rumah dengan alasan dia boleh menguruskan rumah itu dengan sempurna.
Dia akan mula menulis setelah selesai melakukan kerja-kerja rutin seperti membasuh pakaian dan mengemas. Sejak mereka berkahwin, suaminya tidak pernah pulang untuk makan tengah hari kerana sibuk dengan urusan kerja. Jadi dia tidak perlu memperuntukkan masa menyediakan juadah tengah hari untuk suaminya. Masa yang terluang itu digunakan sepenuhnya di hadapan laptopnya.
Sesekali sahaja dia akan keluar bersendirian. Selebihnya dia lebih senang ditemani oleh Yusuf Hakimi sama ada untuk membeli belah ataupun urusan peribadi yang lain. Mungkin bagi sesetengah orang, rutin hariannya cukup membosankan. Kadangkala sehingga berhari-hari dia tidak keluar rumah dan orang yang dilihatnya hanyalah suaminya. Oleh sebab itulah Zulaika berharap agar Yusuf Hakimi membenarkan adik tirinya menumpang di situ. Sekurang-kurangnya adalah juga teman untuk dia berbual dan bergurau senda.
Dia menuju ke dapur untuk membancuh sirap bandung. Setelah membasahkan tekaknya dia teringat untuk menghubungi Atika Ayuni.
“Apa, Ika? Ika suruh suami Ika carikan Fatin kerja kat KL? Hey, kau biar betul, Ika!”
“Kenapa pula?”
“Setahu Ayu Fatin yang Ayu kenal tak pernah serius dalam hidupnya. Dia tu terlalu dimanjakan oleh emak tiri kau tu. Ayu takut nanti kedatangannya ke sini hanya menyusahkan Ika.” Atika Ayuni mengingatkannya.
“Ayu ni selalu berprasangka negatiflah. Manusia boleh berubah kalau dia nak tau!”
Atika Ayuni tergelak besar. Zulaika terlalu baik dan lembut hati. Bermacam-macam bentuk penyeksaan zahir dan batin yang dihadiahkan kepadanya oleh ibu tiri mahupun adik tirinya sewaktu di kampung dulu, tapi dia tetap mahu membantu mereka. Sesungguhnya Zulaika bukanlah seorang pendendam.
“Apa kerja yang Abang Yusuf nak carikan untuk Fatin?” soal Atika Ayuni.
“Ika tak tau. Apa-apa ajelah asalkan halal.” Sahut Zulaika. “Ayu, Ika nak minta tolong sikit boleh tak?”
“Tolong apa pulak ni?”
“Ika dah minta Abang Yusuf benarkan Fatin tinggal dengan kami, tapi Ayu faham-faham ajelah perangai suami Ika tu, dia cukup tak suka kalau ada orang lain sebumbung dengan kami. Macam-macam alasannya, ganggu privacylah...”
“Hah! Jadi Ika nak suruh Ayu tumpangkan Fatin kat rumah sewa Ayu?” Atika Ayuni terjerit. “Heiii... Ayu tak sudi! Tak sudi!”
“Ayu, tolonglah Ika! Ni pun kalau suami Ika berkeras tak nak benarkan dia tinggal dengan kami.” Zulaika merayu.
“Hai, kalau bercakap dengan Ika ni, memang lemah hati jadinya. Ayu cakap terus terang, Ayu tak berani nak janji sebab Ayu tahu benar perangai liar Si Fatin tu!”
Zulaika mengeluh.
“Ah, kita lupakanlah dulu tentang tu, Ayu. Ni Ika nak tanya, Ayu dah fikirkan belum tentang hal yang kita bincangkan dulu?”
“Hal apa ni?”
“Ala... Ayu ni buat-buat lupa pulak!”
“O... tentang lelaki yang Ika nak kenalkan dengan Ayu tu? Siapa namanya?”
“Taufik.”
“Umur dia berapa? Kalau orang tua, Ayu tak nak.”
Zulaika mengekel.
“Dia sebaya dengan suami Ika. Malah dia dulu pernah satu universiti dengan Abang Yusuf.” Dia menerangkan.
“Orangnya handsome macam suami Ika tak?”
“Isy, Ayu ni! Manalah Abang Yusuf tu, handsome. Taufik ni boleh tahan orangnya. Ika rasa dia lebih handsome daripada Man.”
“Ah! Kau jangan sebut nama dia lagilah. Menggelegak hati Ayu ni!” hentak gadis di hujung talian yang masih terasa hati dengan sikap bekas kekasihnya yang sanggup bermain kayu tiga dibelakangnya.
Zulaika ketawa kecil. Dia bersyukur kerana tidak perlu berhadapan dengan situasi dikecewakan cinta. Cintanya dengan Yusuf Hakimi adalah cinta pertama yang membawa ke gerbang perkahwinan. Dia dapat membayangkan betapa peritnya penderitaan gadis seperti Atika Ayuni yang menggebu-gebu dengan sebuah cinta sebaliknya dikhianati oleh sang kekasih.

INTAN JULIANA berada di kamar kerjanya. Dia merenung lukisan di atas kanvas yang dilukis dengan menggunakan media akrilik. Lukisan tersebut menggambarkan dua ekor angsa putih di tengah tasik yang dipenuhi kembang teratai.
“Dua minggu lagi harijadi Ika yang ke dua puluh satu.” Suara seorang lelaki tiba-tiba menyapa ingatannya. Ketika itu mereka sedang makan di sebuah restoran terkenal di tengah-tengah bandar.
“Mudanya isteri you. Beruntung you dapat memperisterikan perempuan semuda tu.” Dia memberikan komen ikhlasnya.
Lelaki bernama Yusuf Hakimi itu tersenyum senang.
“Mungkin dah rezeki I agaknya, Ju. I bersyukur dengan Allah Taala di atas anugerah-Nya ni. Siapa sangka I bertemu jodoh dengan Ika, gadis yatim piatu yang berasal dari kampung terpencil tu.” Sahutnya sambil termenung jauh seolah-olah membayangkan semula detik-detik dia bertentangan mata dengan Zulaika di warung usang bawah pokok ketapang. Kini gadis bertuah itu telahpun selamat menjadi isterinya.
Entah mengapa hati kecilnya menjadi cemburu melihatkan kebahagiaan yang dimiliki oleh Yusuf Hakimi. Mengapakah bukan dia yang berada di tempat Zulaika? Mengapakah bukan dia yang bertentangan mata dengan Yusuf Hakimi di warung usang bawah pokok ketapang itu? Mengapa?
“Ju, I nak minta pendapat you sikit, boleh tak?”
“Apa dia, Yusuf?”
“You perempuan, tentu you tahu apa hadiah yang diinginkan oleh Ika di hari jadinya nanti?”
Dia mengerutkan keningnya. Dia pernah cuba untuk berbaik-baik dengan isteri Yusuf Hakimi, tapi Zulaika seolah-olah tidak senang dengan kehadirannya. Walaupun tak pernah diucapkan dengan kata-kata namun reaksi yang dipamerkannya setiap mereka bersua muka, dia sebagai seorang perempuan dapat membacanya dengan cukup jelas; isteri Yusuf Hakimi tidak pernah menyukainya!
Intan Juliana pasti senyuman yang merekah di bibir Zulaika setiap kali mereka bertemu, adalah senyuman yang penuh kepura-puraan. Kata-kata sopan yang dititipkan juga adalah sekadar dibuat-buat untuk tidak mengecilkan hatinya.
Mungkinkah perempuan di sisi Yusuf Hakimi itu mencemburuinya? Dia mengerutkan kening, berfikir dan mencari sebab-musabab mengapa Zulaika perlu mencemburuinya. Mungkin dia membenciku dengan alasan yang sama sebagaimana aku membencinya – Yusuf Hakimi! Ya, lelaki itu adalah puncanya!
“Manalah I tahu apa yang dimahukan oleh isteri you sempena harijadinya nanti, Yusuf. Seharusnya you lebih tahu sebab dia adalah orang yang paling rapat dengan you!” entah mengapa nada suara yang dilontarkannya agak keras dan meninggi.
“Dulu you kan pernah ada kekasih sebelum bertemu jodoh dengan isteri you sekarang?” dia mengungkit. Wajah Yusuf Hakimi mempamerkan riak kurang senang apabila kisah lalunya dibangkitkan semula oleh Intan Juliana.
“Kalau tak nak tolong, tak apa, Ju. Tapi janganlah you bangkitkan kisah silam I pulak. Orang rumah I pun tak pernah tahu tentang kewujudan Suziana dalam hidup I.”
“Okey, I minta maaf. Macam ni ajelah, apa kata kalau I buat satu lukisan istimewa untuknya?” dia akhirnya keluar dengan satu cadangan.
Yusuf Hakimi tersenyum.
“Bagus cadangan you tu. Tapi harganya?”
“You ni sama macam segelintir manusia lainnya yang sukar benar nak seluk poket untuk membeli sebuah hasil seni!” dia sempat mengutuk. Jejaka di hadapannya menyengih. “Okeylah, kali ni I akan buat lukisan tu percuma aje. Anggaplah ianya sebagai hadiah I untuk Ika juga, macam mana?”
“You memang kawan yang baik, Ju!” tingkah Yusuf Hakimi dengan senyuman lebar di bibirnya.
Kini lukisan tersebut telah pun siap dan menunggu masa saja untuk diserahkan pada Yusuf Hakimi.
Matanya lekat lagi ke arah karya ulungnya yang akan dihadiahkan pada isteri Yusuf Hakimi. Dua ekor angsa putih itu menggambarkan sepasang kekasih yang sedang menggebu dengan asmara; tamsilannya untuk cinta abadi di antara Yusuf Hakimi dengan isterinya. Begitulah yang akan diterangkannya pada Yusuf Hakimi sewaktu datang mengambil lukisan tersebut kelak.
Namun, tiada siapa tahu tujuannya bersetuju untuk menghasilkan lukisan tersebut. Hakikatnya dia mahu berada hampir dengan lelaki itu. Dan jika dirinya mustahil untuk berada di rumah Yusuf Hakimi, cukuplah kalau karya ulungnya berjaya menempatkan diri di situ!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan