Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 22 Januari 2014

HARAPAN SEORANG ISTERI- ASMAH HASHIM










Fail yang dilonggokkan di hadapan mata dipandang sepi.  Hancur luluh hatinya.  Mahu sahaja dia menjerit sekuat ombak yang memukul pantai.  Mahu sahaja dia menangis selebat hujan yang turun membasahi bumi, bersama kilat dan petir supaya suami dan anak-anaknya tahu perasaannya. Wajah orang bawahannya yang asyik dengan kerja mereka ditenung seketika.  Ramai stafnya wanita yang sudah bersuami.  Apakah mereka juga sepertinya.  Terhimpit di rumah, tertekan di tempat kerja?  
            Dia tidak mahu mengeluh.  Keluhan mematikan semangatnya.  Keluhan melemahkan dirinya bagaikan plastik yang disambar api.  Dia tidak mahu menjadi dedalu yang menunduk apabila disentuh, lemah dan tidak berdaya ketika itu.  Biarlah dia sekuat besi waja tidak mampu dimamah api.
            Mungkin ini bukan penderitaannya seorang diri.  Bukan kesakitan dan merana sendiri.  Ramai lagi wanita di luar sana senasib dengannya terpaksa mengorbankan cita-cita demi keluarga.  Kenapa dia harus memilih?  Kenapa dia tidak boleh memiliki kedua-duanya dalam masa yang sama.  Tidak layakkah dirinya.  Egokah dirinya mempertahankan kedudukannya sebagai wanita bekerjaya.  Atau dia terlalu mementingan diri sendiri sehingga mengenepikan perasaan suami dan anak-anak.  Bukan selalu dia pulang lewat ke rumah.  Bukan  selalu dia hanya mementingkan kerja daripada keluarganya.  Kenapa mereka tidak mahu memahami.  Tidak mahu mengerti.  Susah benarkah?
            “Abang tidak peduli, cukup  bulan ini berhenti kerja!  Bukan abang tidak mampu beri  Tisya  makan. Pekerjaan abang sebagai Pengurus Syarikat mampu memberi keluarga kita kemewahan.   Kenapa sayang sangat hendak  berhenti?  Setakat  Penolong Pengurus Bank?  Tisya dengar tak cakap abang?”  herdik suaminya, Zali.  Tisya memandang wajah suaminya tidak berkelip.  Dia tahu suaminya mampu.  Dia sedar berapa sangatlah gajinya bekerja dengan orang, walaupun syarikat besar.  Bukan wang yang menjadi  pilihan hatinya tetapi kerja, keyakinan dan minatnya yang mendalam dengan tugas yang sedang disandang.
            “Kenapa Tisya harus berhenti?  Hanya terlewat balik sehari, abang sudah mengamuk macam orang kehilangan isteri?” matanya membulat memandang wajah suami tiba-tiba menjadi orang tidak mengerti.  Bukankah mereka belajar di universiti yang sama, mengarap cita-cita bersama untuk berjaya dalam kehidupan, keluarga dan kerjaya.  Kenapa hari ini berubah wajah, hanya semalam menjadi kudis di hati suaminya?
            “Kerana abang sudah bosan! Bosan menjadi pembuka pintu! Bosan menjadi tukang jaga anak! Bosan menguruskan semuanya sendiri!” jerit suaminya bagaikan orang hilang akal.  Tisya mengetap bibir.  Dadanya berat, seberat lori pasir yang penuh muatannya. 
            “Kenapa baru sekarang? Kenapa tidak sepuluh tahun dahulu?”  soal Tisya dengan mata yang berkaca digenangi air mata. 
            “Kerana baru sekarang abang sedar! Tugas seorang isteri adalah di rumah, bukan mencari nafkah!”  wajah Zali masih mencuka.  Tisya menelan air liur sendiri.  Sakit benar hatinya.  Kalau dia tahu begini jadinya baik tidak berumah tangga.  Biar dia bina sendiri kerjaya dan kehidupan.  Kalau ada suami tetapi tidak memahami untuk apa?  Masalah ini menganggu kerjanya.  Menganggu ketenangan hati.  Tisya bingkas bangun.  Malas dia hendak bertekak di tengah-tengah malam.  Entah-entah anak-anak dan jiran tetangga mendengar pertengkaran mereka suami isteri.  Air jernih mengalir laju di pipi.  Tidak mampu ditahan lantaran hatinya menanah dan berdarah.
            Kenapa dia belajar sehingga ke menara gading?  Kenapa dia perlu bertungkus lumus mentelaah nota dan tesis, buat kajian, belajar bersungguh-sungguh.  Tidak kenal putus asa.  Tidak kenal siang malam, semata-mata ingin Berjaya.  Hari ini suaminya telah menghancurkan perasaannya.  Menghancurkan impiannya.  Mematikan cita-citanya ingin pergi jauh dalam dunia kerja yang amat diminati sejak di bangku sekolah.  Sebab itu dia memilih perakaunan sewaktu di universiti dan di sekolah.  Kerana dia suka bermain dengan angka.  Dia suka mengira.  Dia minat subjek matematik.  Itu sebab jugalah dia memilih bekerja di bank.  Tisya menyeka air matanya. Dia tidak perlu menangis.  Dia tidak perlu kecewa.  Kedua-duanya dia sayang, keluarga dan kerjayanya.  Dia tidak akan mengaku kalah.  Suaminya harus memahami hati dan perasaannya, kehendak dan keinginan hatinya.  Keluarga harus memahami impiannya.
***

            Wajah anak sulongya yang berumur tujuh tahun kelat.  Gara-gara dia tidak hadir majlis penyampaian hadiah.  Bukan dia sengaja.  Ada tugasan yang perlu diselesaikan segera. Laporan akhir tahun yang perlu disiapkan sebelum minggu hadapan.  Dia terlupa sebenarnya.  Kenapalah dia tidak mencatat tarikh tersebut ke dalam dairinya.  Suami pula tidak cuba mengingatkannya. 
            “Mama, sibuk memanjang! Langsung tak ada  masa  untuk kakak dan adik-adik.” Kata anak sulongnya lantang.  Mahu gugur jantungnya.  Anaknya sendiri sudah pandai berkata-kata.  Teruk sangatkah dirinya?    Hanya sekali tidak hadir, sudah dikira tidak ambil tahu. 
            “Sayang… maafkan mama, lain kali mama janji mama akan hadir,”  itulah janjinya.   Sejak itu dia menghadirkan diri jika dipanggil ke sekolah.  Dia tidak mahu menghampakan perasaan anak-anaknya.  Biar penat namun dia dapat memuaskan hati anaknya.  Tetapi sampai bila?  Dia bukan muda lag.  Penat dan lelah, terkejar-kejar ke sana ke mari.  Tidak lagi kursus yang terpaksa dihadiri.  Benar-benar menguji diri.  Baru sahaja melangkah keluar rumah,  wajah suami dan anak-anak sudah kelat.  Jiwanya meruntun resah, kecewa bertapak di hati. Namun dia terus bersabar.  Hanya zikir  dan istighfar  penguat semangat.
***
                “Kenapa bulan ini tidak sampai target kita?  Pinjaman  bulan ini juga tidak banyak? Kalian buat apa?  Tisya?  Awak tidak buat kerjakah?  Tidak perhatikan staf bawahan awak?” marah Pengurusnya.  Tisya menunduk.  Bulan ini adalah bulan malang bagi dirinya.  Di rumah diherdik suami, di pejabat dimarahi oleh majikan. Pilu semakin menghimpit diri.  Tekanan bertubi-tubi.  Setiap  hujung bulan dia terpaksa memeriksa akauan yang dikemas kini oleh orang bawahannya sebelum dirujuk kepada Pengurusnya.  Setiap hujung bulan jugalah dia terpaksa pulang lewat ke rumah.
            “Maafkan saya, Encik Rahim, bulan ini  kami akan cuba. Beri saya masa.”  Janji Tisya.
           “Kenapa dengan awak Tisya?  Apa masalah awak? Prestasi awak teruk sangat bulan ini?”  tanya Encik Rahim. 

Tisya tersenyum, hambar dan tawar.  Rasa malupun ada.  Dia sedar bulan ini  kerjanya agak terganggu lantaran  perubahan suami yang tidak pernah diduga.  Anak-anak pula bagaikan membenci dirinya.  Mereka semakin menjauh. 
            “Maafkan saya Encik Rahim.  Perkara ini takkan terjadi.”  Katanya penuh yakin.  Dia tidak akan membiarkan kehidupan rumah tangganya menghancurkan kerjanya. Dia juga tidak akan membiarkan kerjayanya menghancurkan rumah tangganya.  Dia ingin memiliki kedua-duanya.  Dia ingin Berjaya di dalam menguruskan kerja dan rumah tangganya.  Dia mampu melakukannya.  Dia akan mencuba biar sesusah mana sekalipun.  Dia sayangkan suami dan anak, dia juga sayangkan kerjayanya.
            “Jangan bawa masalah keluarga ke ruang kerja awak, Tisya!” pesan Encik Rahim. 

            Kepalanya sudah terangguk-angguk bagaikan burung belatuk.  Mesyuarat berakhir dengan rasa sebal di hati.  Dia tidak salahkan Encik Rahim.  Sudah tugasnya memastikan pekerja bahawannya melakukan tugas dengan baik.
***
            Di rumah keadaan sunyi sepi, ke mana pergi anak-anak dan suami.  Hari ini dia pulang lewat lagi.  Bukan disengajakan.   Dia menjengah ke bilik, tiada siapa di situ.  Ke mana mereka pergi?  Hatinya diulit risau, kebimbangan menerjam ke hati.   Ke manakah kau hai suami dan anak-anak yang dikasihi, bisik hati kecilnya.  Dia terduduk di birai katil, menangisi nasib diri.  Baru sahaja ingin mencari kekuatan, sudah dilemahkan dengan kejadian yang tidak pernah terduga di hati. 
            Badan terasa letih, bagaikan ada sekeping besi waja menghempap tubuhnya.  Biarlah bekerja  kelihatan seperti duduk sahaja, hakikatnya dia menggunakan setiap akal yang ada, mengira dan meneliti angka-angka yang ada.  Jangan tersilap seangka, pasti silap ke semuanya. Perlu teliti dan berhati-hati.  Ya ALLAH beratnya dugaanMu ini, detik di hatinya. 
            Malam berlabuh pergi, siang menghayun langkah mendekati.  Matanya tidak mampu terpejam, bertongkat sehingga ke siang.  Suara azan mendayu-dayu, memanggil-manggil menunaikan tanggungjawab yang satu kepada PenciptaNYA.  Tisya bingkas bangun menunaikan tanggungjawab sebagai hamba ALLAH SWT.   Hanya itu ubat penenang yang mujarab  bagi kesakitan yang sedang dihadapi.     Hanya ALLAH SWT yang mampu mengubat hatinya yang sedang merana, kecewa dan hampa.  Hanya ALLAH SWT yang mampu memberinya kekuatan untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya. 
            Hari itu dia terpaksa mengambil cuti, masalah yang ada tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.  Ke mana sahaja kau pergi, wahai suami dan anak-anak,  akan kucari juga,  Kereta dipandu laju meninggalkan perkarangan rumah.  Ke rumah mertua diterjah, dia pasti suaminya di sana. Masalah perlu selesai.  Bukan menambah masalah yang ada.  Dia tidak mahu kehilangan kedua-duanya.
            Wajah anak-anak 7 hingga 3 tahun serta suami ditatap lama.  Menahan getar dan sebak di dada.  Dia menarik nafas, menahan sendu di hati.  Menahan rasa sedih membakar diri.
            “Tisya sayang abang dan anak-anak.  Bukan sengaja atau ingin mencari sengketa.   Abang,  Tisya minat bekerja.  Tisya suka dengan kerja ini. Inilah impian Tisya.  Abang sendiri tahu, kan?  Jika dahulu abang memahami, kenapa sekarang baru abang berubah dan mengungkit?  Tidakkah abang  faham perasaan Tisya?  Kenapa harus Tisya sahaja yang mengorbankan apa yang ada?  Abang sendiri tahu, bukan mudah untuk berada ditahap sekarang ini?  Tisya berusaha dari bawah, bang! Bukankah abang sendiri melihat jatuh bangun Tisya?  Kita sama-sama belajar, mengenggam ijazah, mencari tempat mencari rezeki, kita bangun dari susah kepada senang, bersama-sama.  Dari abang hanya seorang penyelia, sekarang sudah menjadi pengurus, kita saling sokong menyokong antara satu sama lain.  Kenapa hari ini abang menjadi orang lain?  Tisya bagaikan tidak mengenali abang?  Tisya sudah cuba sebaik mungkin menjadi seorang isteri dan ibu yang baik, di mana lagi kekurangan Tisya, hanya jika kerana terlambat pulang  sewaktu di hujung bulan apakah itu abang kira Tisya tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri?  Berlaku adillah bang!  Jika abang ingin berjaya dalam kerjaya abang, begitu juga Tisya.  Tisya perlukan sokongan abang dan anak-anak!   Berilah ruang untuk Tisya bernafas, berilah masa untuk memperbaiki apa yang perlu.  Jangan dicari kelemahan ini, Tisya sedar diri, Tisya bukan sempurna.  Tisya hanya manusia biasa ada kelemahan sendiri.  Tisya tidak mahu memilih antara abang dan kerjaya Tisya!  Kedua-duanya Tisya sayang. Cubalah memahami hati ini.”  Kata Tisya panjang lebar. 
            “Talia, mama sayang kalian, mama tahu mama bukan ibu yang baik, tapi berilah mama peluang untuk membuktikan  mama mampu menjadi ibu, kawan dan sahabat Talia dan adik-adik, bolehkan sayang?”  pujuk Tisya. 

Talia mengangguk perlahan.  Pandangan menerjah wajah  mamanya.   Dia mendekati dan memeluk erat.  Tisya menangis di bahu anaknya.
Zali yang sedari tadi membisu, mengeluh perlahan.  Isteri yang dikahwini atas dasar cinta ditatap seketika.  Kenapa dengan dirinya?  Apa yang telah merasuk perasaannya dan hatinya. 
            “Tisya, maafkan abang.  Mungkin khilaf abang sendiri terlalu mengikut kata hati.  Baiklah, kita sama-sama perbaiki keadaan.   Tisya boleh terus bekerja, abang dan anak-anak akan cuba membantu.  Maafkan abang,”  Zali mendekati.  Tangan Tisya ditarik rapat ke dada.  Kenapalah dia merosakkan kebahagian mereka sekeluarga.  Lantaran mengikut kata hati, isteri tempatnya di rumah.  Zali melemparkan senyuman.  Dia akan cuba lebih memahami perasaan seorang isteri dari hanya tahu mementingkan diri sendiri.  Kepada anak-anak akan di yakinkan bahawa suatu hari nanti mereka juga akan ada kerjaya sendiri jadi perlulah juga mengerti. 
            Tisya tersenyum bahagia. Bersyukur ALLAH membuka jalan terbaik untuknya dan keluarga.  Semoga tiada lagi perasaan luka di hati baik dia, suami dan anak-anak.  Berat sama dijunjung, ringan sama dijinjing  Itulah harapannya.

2 ulasan: